Norman Goh
Drama politik kembali lagi minggu ini. Daripada 'pemecatan' pemimpin Bersatu - termasuk pengerusinya yang mengasaskan parti berkenaan - sehingga angka 129 yang tular dan membawa semacam enigma kepada ramai.
Daya tarikannya tidak kurang meriah berbanding sinetron ditayang di kaca televisyen. Ia lengkap dengan unsur suspens dan komedi.
Dulu Bersatu kelilhatan kompak bersatu untuk menentang Najib Razak dan Umno. Kerana itu mereka bersama Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) dan membentuk pentadbiran baru.
Kini adakah Bersatu sudah berterabur kerana berebut kuasa? Persoalannya, siapakah yang akan mendapat kelebihan daripada pergolakan dalaman Bersatu
Cetusan ini bukannya susah untuk ditafsirkan. Walaupun presiden Bersatu kini menyandang jawatan sebagai perdana menteri, beliau tentu sedar kerusi empuk tapi panas itu menjadi rebutan dalam Perikatan Nasional (PN).
Siapa dapat menafikan ia diidamkan oleh gagasan Muafakat Nasional dan - walaupun kini tidak lagi diuar-uarkan selepas ditegur Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong - Umno dan PAS jelas berminat untuk mewujudkan kerajaan berteraskan Melayu dan Islam.
Asalnya saya ingin melihat bagaimana pemilihan dalam Bersatu pada Jun ini menjadi titik tolak kepada perubahan dalam pendekatan parti berkenaan.
Kini dengan krisis semakin memuncak dan pengakhirannya masih kabur, persoalan yang wajar ditanyakan ialah: berhayat panjangkah kerajaan PN ini atau mereka sekadar menggapai dahan pokok yang reput?
'Panas' bermula dari selatan
Untuk kali ini, saya memaparkan bagaimana persaingan populariti dan tampuk kuasa Bersatu kembali terpapar pada muka depan akhbar nasional.
Perpecahan dan perseteruan di antara dua figura pemimpin tertinggi Bersatu - Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin - kelihatan sejak awal 2019 lagi. Sebelum tarikh pemilihan pertama Bersatu ditunda, bibit-bibit perselisihan wujud namun kekal tanda tanya ramai wartawan.
Pemilihan Bersatu menjadi platform untuk pemimpin parti menonjolkan dirinya untuk meraih sokongan, terutamanya dalam kalangan ketua-ketua bahagian. Kalau dilihat dari struktur Bersatu, ia tidak jauh bezanya dengan Umno.
Cuma dalam Bersatu kedudukan paling kanan ialah pengerusi, bukannya presiden parti. Ini bermaksud, dari segi hierarki pengerusi berada di kedudukan tertinggi, diikuiti presiden dan kemudian timbalan presiden.
Kembali kepada pergolakan di antara Mahathir dan Muhyiddin. Perselisihan mereka berpusat di Johor. Pada April 2019, Adun Kempas, Osman Sapian terpaksa berundur dari jawatannya sebagai menteri besar bagi digantikan dengan Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal.
Konflik kemudian berterusan di negeri selatan itu dengan isu pengerusi Bersatu. Akhirnya, Ketua Bersatu Tebrau Mazlan Bujang dilantik menjawat jawatan tersebut. Ia ternyata berbeza daripada biasa kerana lazimnya jawatan tersebut disandang oleh menteri besar.
Kejadian itu menjadikan keretakan di antara Mahathir dan Muhyiddin semakin ketara. Pada masa sama Muhyiddin juga merupakan pengerusi PH Johor. Dengan kapasitinya itu beliau seakan-akan tiada suara.
Sebagai veteran dalam politik, tidak mungkin Muhyiddin berdiam diri. Tidak dinafikan, hubungan baik beliau dengan pihak istana turut memainkan peranan penting dalam hala tuju politiknya.
Keretakan hubungan Mahathir-Muhyiddin menjadi pemangkin kepada wujudnya dua blok utama dalam Bersatu. Pengumuman pemilihan parti meletakkan garis yang agak jelas pada akhir 2019.
Populariti PH nampak menurun
Selepas PH memenangi PRU ke-14, sembilan pilihan raya kecil (PRK) diadakan membabitkan lima kerusi dewan undangan negeri (DUN) dan empat Parlimen.
Bersatu kalah dalam ketiga-tiga PRK yang disertai mereka iaitu kerusi DUN DUN Rantau, DUN Semenyih dan kerusi parlimen Tanjung Piai. Ia tentu meruntuhkan moral ahli akar umbi Bersatu.
Daripada tiga kerusi tersebut, kerusi Tanjung Piai dan Semenyih dimenangi oleh Bersatu pada PRU ke-14 manakala di Timbalan Presiden Umno, mengekalkan kemenangannya di DUN Rantau sebelum ia kemudian dibatalkan mahkamah.
Dalam PRK lain, DAP mempertahankan DUN Balakong dan parlimen Sandakan namun kalah di Cameron Highlands. PKR pula mempertahankan DUN Seri Setia, DUN Sungai Kandis dan parlimen Port Dickson.
Pelbagai analisis dan data yang dicerap menunjukkan pola populariti PH menurun dan ia memberi gambaran suram kepada kelangsungan Bersatu pada PRU ke-15.
Pelbagai persoalan juga dilontarkan termasuklah kemampuan Bersatu menggantikan Umno sebagai pilihan pengundi Melayu dan konservatif. Sekiranya Mahathir tidak lagi memimpin Bersatu, adakah parti tersebut masih dapat menarik sokongan Melayu?
Pada mulanya saya berasakan kerjasama Bersatu dengan parti komponen dalam PH - terutamanya DAP - agak baik dari segi penyelarasan dan sokongan. Namun, perbezaan pendapat dan perselisihan secara terbuka mengguris hati ramai penyokong akar umbi Bersatu hingga wujudlah persepsi yang tidak diperlukan oleh PH.
Ada juga pemimpin DAP dan PKR secara terbuka mengasak Mahathir secara terbuka dalam soal peralihan kuasa. Kejadian-kejadian tersebut ditayangkan secara terbuka. Justeru ramai juga yang termakan dengan dakyah bahawa semua masalah berpunca daripada DAP.
Perbalahan secara terbuka itu memberi gambaran yang sangat negatif secara keseluruhan untuk PH.
Beri kesan pada Mukhriz-Marzuki
Kelangsungan PH mula menjadi tanda tanya dan gerakan 'menyelamatkan' Bersatu dengan keluar daripada gabungan yang membantu mereka menjadi kerajaan pun mula digerakkan.
Pada masa sama Mahathir memenangi - tanpa bertanding - kerusi pengerusi Bersatu dan ia diumumkan secara rasmi oleh parti itu sendiri baru-baru ini.
Untuk jawatan presiden dan timbalan presiden pula, ia menyaksikan perseteruan menarik apabila Muhyiddin dicabar oleh timbalannya sendiri, Mukhriz Mahathir.
Untuk jawatan timbalan presiden pula, ia menyaksikan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu bersaing dengan setiausaha agung parti Marzuki Yahya.
Gandingan Muhyiddin-Ahmad Faizal kini dicabar oleh regu Mukhriz-Marzuki. Dari segi sokongan akar umbi, secara umum kelihatan gandingan Muhyiddin-Ahmad Faizal lebih berpotensi berbanding Mukhriz-Marzuki.
Keadaan itu kerana kedudukan Muhyiddin dan Ahmad Faizal dalam kerajaan. Sungguhpun begitu, sokongan akar umbi kepada Mahathir juga tidak boleh diketepikan begitu saja dan ia tentu memberi impak kepada gandingan Mukhriz-Marzuki.
Namun, selepas pengumuman 'terhentinya' keanggotaan Mahathir, Mukhriz, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah, perkembangan seterusnya juga akan memberi kesan.
Populariti dan persepsi terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri ketika wabak Covid-19 mengancam dilihat semakin positif dan mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin.
Justeru, walaupun berlaku perseteruan dalam Bersatu, persepsi terhadap Muhyiddin masih kukuh.
Cuma, berapa lama keadaan itu akan bertahan? Dan adakah ia sebenarnya hanya menguntungkan Umno dan menjadikan parti itu lebih stabil dan kukuh berbanding Bersatu.
Dalam keadaan begitu, semakin kuatlah keyakinan ramai bahawa Umno adalah satu-satunya pilihan untuk Melayu.
Adakah ketua-ketua bahagian dan akar umbi Bersatu akan kekal taat setia kepada Mahathir atau Muhyiddin? Atau mereka lebih gembira untuk kembali ke pangkuan Umno?
Drama belum berakhir, kemuncaknya belum lagi tiba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan