"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Proses kematangan Pas terbantut

AHMAD LUTFI OTHMAN

Reaksi segera Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap tempoh masa sebulan yang diberikan Dr Mahathir Mohamad memang sudah dijangka. Ia juga dapat ditelah daripada sikap sebahagian besar pimpinan tertinggi Parti Islam kepada penasihat parti Bersatu itu, walaupun semasa proses rundingan masih berlangsung.

Ketika Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah Pilihan Raya, Mustafa Ali dan Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya Pas selangor, Iskandar Abd Samad menunjukkan pendirian lebih terbuka dan bersedia untuk bertolak-ansur, Ustaz Hadi dan Mursyidul Am, Ustaz Hashim Jasin sudah lama menunjukkan mesej berbeda.

Kedua-dua pemimpin ulung pas itu seringkali menjelaskan bentuk dan syarat tahaluf yang boleh diterima, iaitu pastikan Pas yang memimpin, bukan dipimpin; Pas yang mendominasi bukan sekadar mengikuti. Kerjasama politik sebelum ini dianggap gagal disebabkan parti lain yang menguasai dan Pas terpaksa banyak berkorban.

Usah dikira kenyataan atau posting facebook yang dibuat oleh pimpinan lain yang dilihat mendukung kuat pendekatan politik ustaz Hadi, misalnya Naib Presiden, Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Ketua Penerangan, Nasrudin Hasan Tantawi, Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abd Aziz, Ketua Ulama, Dr Mahfodz Mohamed dan orang yang dilihat strategis baru Pas, Dr Zuhdi Marzuki. Kalau mahu diambil kira pandangan Ahli-ahli Jawatankuasa Pas Pusat misalnya Razman Zakaria dan Ustaz Mokhtar Senik, tidak tergambar bahawa Pas berminat untuk bekerjasama lagi dengan parti seperti PKR.

Malah, apabila berulang kali ditekankan syarat ketat dan mengikat, iaitu tiada hubungan dengan mana-mana parti yang mempunyai persefahaman dengan DAP dan Amanah, sudah jelas terbayang isi hati dan kecenderungan sebenar Pas.

"Parti yang jelas tidak mampunyai hubungan sama sekali dengan DAP dan Amanah, hanyalah Umno-BN." kata seorang pemerhati politik, dengan nada sinis. "Soalnya, PKR yang ada hubungan rasmi dengan kedua-dua parti seteru Pas itu boleh pula terus bekerjasama. Sepatutnya keputusan sudah dibuat, tidak perlu tunggu muktamar lagi, untuk putuskan kerjasama dengan PKR."

Dirujuk perkembangan Pas, terutama selepas bermulanya era kepimpinan ulama pada 1983, pengalaman dan eksperimen politiknya menunjukkan satu proses kematangan, meningkat tahap ke tahap yang membanggakan. Dan tidak mustahil bila sampai masanya, Pas boleh menjadi parti paling berpengaruh di antara parti-parti pembangkang, khususnya selepas mendapat kepercayaan majoriti masyarakat Melayu.

Dalam pilihan raya umum 1986, Pas membuka pintu rundingan serta menjalin hubungan dengan parti-parti kecil- PRM, Nasma dan SDP - dalam pakatan yang dinamakan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) sekali gus menunjukkan kesediannya untuk berkongsi kuasa, walaupun dilihat hanya terbatas dengan parti yang kurang menyerlah.

Sebelum itu, ditubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC), khusus buat mendekatkan Pas dengan masyarakat Tionghua. Pimpinan Pas masuk-keluar premis tokong Cina dan mengadakan dialog secara terbuka tentang konsep Negara Islam dan yang berkaitan dengannya. Benteng yang memisahkan Pas dengan golongan bukan Islam berjaya ditembusi ketika Parti Islam itu dilanda pelbagai tohmahan negatif.

Walaupun hanya menang satu kerusi tunggal di Parlimen, iaitu Pengkalan Chepa (dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pun tewas di Bachok), pada pilihan raya pertama di bawah era kepimpinan ulama, namun Pas bingkas bangun. Muktamar di Rusila, Terengganu, 1987, agak panas dan bergelegal dengan kritikan tajam terhadap kepimpinan parti tetapi semangat dan komitmen ahli tidak pudar.
Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah ketika penubuhan Semangat 46 turut disokong Musa Hitam  dan Abdullah Badawi,
Team B diketuai Tengku Razaleigh Hamzah ketika penubuhan Semangat 46 turut disokong Musa Hitam dan Abdullah Badawi,
Sebaliknya Umno menghadapi masalah dalaman yang serius sehingga terbentuk Team A dan Team B, susulan proses pemilihan parti pada april 1987, yang kemudiannya menyebabkan Umno diisytihar haram oleh mahkamah. Pas tidak menunggu lama untuk memanfaatkan peluang yang ada, mendekatkan diri dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah, yang seterusnya membentuk Parti Semangat 46.

Tidak mudah juga untuk Ustaz Fadzil Mohd Noor mengadakan kerjasama dengan Ku Li, arkitek Umno Kelantan yang merampas negeri itu daripada Pas pada 1978. Saya berpeluang menziarahi dua tokoh muda Pas, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar di rumah masing-masing, di Shah Alam dan Alor Setar, ketika mereka baru dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting ekoran tahanan ISA di bawah Operasi Lalang 1987. Kedua-duanya kuat menentang idea tahaluf tetapi kebijaksanaan dan kesabaran Ustaz Fadzil mampu menjinakkan mereka untuk menerima eksperimen politiknya.
Pada PRU1990, Pas sedia menyerahkan sebahagian besar kerusi kepada Semangat 46 walaupun diketahui parti baru itu serba kekurangan, termasuk sokongan akar umbi. Ku Li juga berjaya merapatkan serta mengendurkan ketegangan Pas dengan DAP, dengan mengadakan kerjasama tidak langsung. Pas tidak pula keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah walaupun Semangat 46 turut berada dalam Gagasan Rakyat, bersama DAP dan PBS, dua parti yang dipaparkan sebagai tidak mesra Islam.

Kes pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 juga membuka lembaran baru dalam proses eksperimen politik Pas. Tanpa meminta restu kepimpinan parti terlebih dahulu, Ustas Fadzil tangkas mengisi kekosongan apabila menziarahi bekas TPM yang dizalimi itu ketika Anwar masih Timbalan Presiden Umno. Pas memimpin Gerak, gabungan NGO dan parti politik yang menentang kezaliman elit penguasa. Serentak itu, keahliannya meningkat pantas. Borang untuk menjadi ahli Pas bagai pisang goreng panas.

Sesungguhnya, tidak mudah juga untuk menangani elemen dalam parti yang tidak berpuas hati dengan gerak politik berpandangan jauh Ustaz Fadzil itu. Cuma, apabila kepimpinan tertinggi mahu memacu perubahan dan cepat membaca mood rakyat, segala cabaran dalaman mampu dihadapi dengan matang. Ustaz Fadzil turun berdialog dengan ahli-ahli yang protes dan membantah; segala persoalan dan kemusykilan dijawab dengan tenang.

PRU1999 menyaksikan sikap Pas lebih terbuka. Tiada lagi dua bentuk kerjasama politik pembangkang seperti pada 1990, iaitu Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Barisan Alternatif yang terdiri Pas, KeADILan, PRM dan juga DAP, mengemukakan manifesto bersama dan berkaya mengelak pertembungan sesama sendiri. Pimpinan Pas dan DAP dapat bersemuka dalam mesyuarat bersama.

Walaupun ikatan dengan DAP terburai sebelum PRU2004, disebabkan isu Negara Islam, hubungan tidak rasmi nampak berjalan terus. Sekurang-kurangnya tidak timbul kes kecam-mengecam di khalayak. Kedua-dua parti masih utuh dengan jati diri pembangkang. Lagi pula konstituensi Pas dan DAP tidak bertindan.
Pernah idea kerajaan perpaduan Umno-Pas mahu dibentuk tetapi Pas menolaknya.
Pernah idea kerajaan perpaduan Umno-Pas mahu dibentuk tetapi Pas menolaknya.Tiada timbul kerisauan dan prejudis bahawa mana-mana parti pembangkang cenderung dengan Umno. Semuanya jelas menentang parti pemerintah. Malah, sebelum itu, pelawaan Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan pertemuan bagi merintis apa yang dinamakan perpaduan Melayu selepas PRU1999 ditolak secara berhemah oleh Ustaz Fadzil.

Menghadapi PRU2008, kedua-dua parti tidak ada hubungan formal tetapi di kebanyakan negeri, bukan saja persefahaman untuk mengelak bertanding sesama sendiri, malah kempen dapat diselaraskan dengan baik. Justeru, apabila BN dapat dikalahkan di beberapa negeri serta majoriti dua pertiga dinafikan di Dewan Rakyat, dengan pantas sekali Pakatan Rakyat dibentuk sebaik kerajaan baru negeri ditubuhkan.

Kepimpinan tertinggi Pas serta-merta menolak idea kerajaan perpaduan Umno-Pas, khususnya di Perak dan Selangor. Bayangkan, kalau diterima cadangan itu, Pas akan mengetuai empat negeri, satu kesempatan terbaik buat Pas sepanjang sejarahnya. Namun, mereka tidak tersilau dan amat menyedari mandat sebenar rakyat dan penerimaan secara terbuka oleh pengundi bukan Melayu yang tidak sepatutnya dikhianati.

Dua tiga orang pimpinan Pas negeri tertentu, seperti Pahang dan Pahang, mengakui, sebenarnya sepanjang era yang dikatakan pecahnya Barisan Alternatif itu, hubungan dengan DAP secara tidak formal tetap terjalin balik. Mereka meneruskan kerjasama dan program politik terutama membabitkan kepentingan rakyat. Mungkin kerana itu jugalah, DAP lebih mudah menerima Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar selepas gabungan parti itu bersama PKR dan Pas menang tipis dalam PRU2008 di Perak.

Malangnya, dalam masa sama, Pas seakan-akan mula diresapi sikap untuk mendominasi dan menguasai, tanpa menyedari kekuatan asas, terutama dari segi penguasaan kerusi. Sebahagian pemimpin Pas rasa terpinggir walaupun partinya diakui paling berpengalaman, mempunyai jentera akar umbi paling efisyen, dan ahlinya terbukti sedia berkorban dan cukup setia.

Ada merasakan jentera dan kesetian ahli Pas diperalatkan oleh parti sahabat sementara prinsip parti terpaksa dilenturkan. Dalam masa sama, pendekatan sederhana dan bijaksana yang dipupuk secaras bertahap sejak 1983, mula tergugat. Suara lantang dan agresif mula mengambil tempat. Desakan untuk mengkaji semula kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat diluahkan secara rasmi.

Bukan sesuatu yang pelik dan aneh, jika mana-mana parti politik mahu lebih ke depan berbanding rakan sekutu. Juga sesuatu yang lumrah bagi setiap tokoh politik yang mengimpikan jawatan paling tinggi da;am kerjayanya. Namun, ia tidak harus mencarik persefahaman yang terjalin.

Dan jangan lupa, sesungguhnya dinamika politik sentiasa bersilih ganti. Lima tahuh memisahkan. Mungkin pilihan raya berikutnya keputusan pilihan raya berbeda dan posisi dalam kerajaan juga boleh berbeda. Misalnya pada 2008, Pas Selangor memperolehi hanya lapan kerusi Dewan Undangan Negeri tetapi meningkat kepada 15 pada 2013.

Kempen saraf Umno yang menyuntik rasa cemas tidak berasas terhadap "ketuanan Melayu" dan dominasi Cina-DAP juga berbekas. Presiden, Ustaz Hadi dan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din dilihat tidak senang dengan Pakatan Rakyat. Serentak itu, kecurigaan berbenih tentang kemungkinan Pas lebih mesra dengan elit penguasa, seperti ditunjukkan oleh mereka dalam isu skandal raksasa 1MDB.

Maka, proses berperingkat Pas untuk menjadi parti berpengaruh terhenti secara tiba-tiba. Daripada sebuah parti yang nampak matang dan bersikap terbuka menjadi agak angkuh dan melanggar segala hukum diplomasi.

"Kepada sebahagian pimpinan tertinggi Pas, kegagalan untuk memenangi hati pengundi masyarakat Melayu dalam PRU13 disebabkan faktor DAP. Mereka beranggapan orang Melayu akan menyokong Pas jika Pas tiada lagi hubungan dengan DAP," kata bekas ahli Parlimen yang kini menyertai Amanah.

"Bagi saya, sudah menjadi perancangan elit Umno dan strategi perang saraf Majlis Keselamatan Negara untuk memutuskan hubungan Pas-DAP ini, demi survival Umno-BN. Dan lebih malang lagi, keputusan bercerai dengan DAP dibuat dalam muktamar tanpa melalui proses perbahasan terlebih dahulu," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: