"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Covid-19: Kisah 71 gelandangan warga asing dari 18 buah negara di KL

Ravin Palanisamy

71 orang gelandangan warga asing ditempatkan di Dewan Serbaguna Alam Damai untuk melindungi mereka ketika wabak Covid-19 menular. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 April, 2020.

APABILA pihak berkuasa mula mengumpulkan gelandangan Kuala Lumpur untuk ditempatkan di kawasan selamat ketika wabak Covid-19, mereka terkejut apabila menemui pelbagai warga asing seperti dari United Kingdom, Jepun, Korea Selatan dan Somalia.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menemui 71 orang warga asing daripada 18 buah negara yang menjadi gelandangan dan mereka kini ditempatkan di dewan serbaguna Alam Damai di Cheras.

Setiap warga asing itu mempunyai kisah sendiri bagaimana mereka menjadi gelandangan di Kuala Lumpur.

Apabila pasukan The Malaysian Insight melawat pusat perlindungan itu baru-baru ini, seorang lelaki warga Britain berusia 51 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai James menjadi tumpuan ramai.

Berasal dari Nottingham di England, James berkata beliau adalah seorang guru dan terkandas di Kuala Lumpur selepas gagal memasuki Myanmar.

Beliau di bawa ke pusat perlindungan itu pada 6 April lalu selepas menghabiskan 12 hari hidup sebagai gelandangan di tebing Sungai Klang.

Tambahnya, beliau menetap di Kemboja dan dalam perjalanan ke Myanmar dari Laos melalui Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, selepas tiba di Malaysia, James berkata beliau tidak dapat meneruskan perjalanan ke Myanmar selepas perkhidmatan visa ke negara itu dihentikan.

“Bila saya sampai di Malaysia pada 17 Mac, saya dapati Myanmar menggantung perkhidmatan visa ketibaan. Jadi, saya terkandas di sini.

“Sebelum ini saya duduk di Sungai Klang. Saya jumpa beberapa orang Malaysia, jadi saya duduk bersama mereka berhampiran sungai. Saya berada di sana hampir 12 hari,” kata James.

Katanya, beliau dalam perjalanan ke Myanmar untuk belajar agama Buddha, tetapi disebabkan keadaan sekarang, beliau mahu mengambil peluang untuk belajar Islam di Malaysia.

“Mungkin selepas semuanya dibuka semula, saya akan cuba dapatkan kerja mengajar Bahasa Inggeris untuk simpan duit dan kemudian pergi ke Myanmar tahun depan.

“Saya rasa ini peluang baik untuk belajar Islam. Saya tak pernah belajar Islam sebelum ini.

“Saya pernah baca Al-Quran tapi tak pernah belajar. Saya mahu belajar meditasi dan falsafah hidup Islam kerana ia tak sama dengan Buddhism.

“Jadi, saya agak gembira berada di sini kerana saya mahu belajar Islam sebelum ini cuma tiada peluang,” katanya, yang turut menyifatkan pusat perlindungan sementara itu bersih dan luas.

Pelarian Somalia

Warga Somalia, Ismael berusia 36 tahun datang ke Malaysia pada 2004 sebagai pelajar dan terus menetap di sini kerana perang saudara di negaranya. Beliau kemudiannya memohon status pelarian daripada PBB.

Beliau berkahwin dengan seorang wanita Somalia di sini dan mempunyai anak. Bagaimanapun, beliau sudah lima tahun tidak berjumpa mereka kerana isteri dan anaknya berpindah ke Indonesia.

“Mereka pergi pada 2015 dan sudah lima tahun saya tidak jumpa mereka,” katanya tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenainya punca keluarganya berpindah.

Ismael berkata beliau menjadi gelandangan hampir setahun lalu dan tinggal berhampiran masjid di tengah ibu kota, sebelum dijumpa penguatkuasa yang membawanya ke pusat perlindungan itu.

“Saya jadi gelandangan tahun lepas dan hidup berhampiran masjid. Jadi, bila wabak koronavirus makin serius, polis datang dan temubual saya. Mereka kata mahu lindungi saya dan bawa saya ke sini.

‘Saya cuma berehat di sini. Saya terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana lindungi saya daripada koronavirus. Mereka beri kami makanan berkhasiat, tilam, selimut dan baju. Tempat ini pun tenang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sami Korea terkandas

Sebilangan yang berada di pusat perlindungan bukanlah gelandangan tetapi terpaksa tinggal di jalanan ketika musim wabak disebabkan sekatan perjalanan dan kekurangan wang untuk terus tinggal di hotel.

Kim Wang Won, seorang sami Buddha dari Korea Selatan berkata beliau berada di Malaysia untuk melawat sebuah tokong di Subang Jaya, Selangor.

Kim tiba di negara ini dari Thailand pada 16 Mac lalu, berkata beliau banyak kali datang Malaysia tetapi kali ini terkandas di KL Sentral kerana tiada pengangkutan tersedia disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan. Beliau di bawa ke pusat perlindungan pada 1 April lalu.

“Saya banyak kali datang Malaysia. Setiap kali datang, saya akan tinggal di tokong Buddha Subang Jaya. Pertama kali saya datang sembilan tahun lalu.

“Kali ini, saya datang ke Malaysia dari Thailand pada 16 Mac. Saya tinggal dua hari di Pulau Pinang dan datang ke KL pada 18 Mac. Kali ini semuanya ditutup dan saya tak boleh pergi ke tokong Buddha di Subang Jaya. Jadi, saya duduk di luar.

“Pada 1 April jam 3 pagi, saya di stesen keretapi KL Sentral. Jadi, mereka bawa saya ke sini,” katanya.

Kim berkata beliau akan berada di pusat perlindungan sehingga krisis tamat dan akan pergi ke tokong Subang Jaya selepas PKP dibatalkan.

Menurutnya, beliau mempunyai semua dokumen perjalanan sah dan mungkin melawat Singapura atau Thailand selepas ini.

“Selepas isu virus ini berakhir, saya mahu ke tokong Subang Jaya, mungkin duduk sebulan. Selepas sekatan perjalanan dibatalkan, saya mungkin ke Singapura atau Thailand,” kata Ki yang juga dikenali sebagai Gan Ta Sa Ra kepada The Malaysian Insight.

Selain Kim, Toshi dari Jepun juga dibawa ke pusat itu pada 1 April lepas selepas kehilangan pasport.

Toshi yang bekerja di sebuah syarikat besi di Ishikawa, Pulau Honshu, berkata beliau datang ke Malaysia untuk bercuti dua bulan lepas dan sepatutnya pulang minggu depan tetapi hilang pasport. Beliau sudah meminta bantuan kedutaan negaranya.

“Saya berjalan dengan beg saya dan ada pegawai bermotosikal berjumpa saya. Mereka bawa saya naik bas dan kami datang ke sini.

“Saya pelancong, saya datang sini dua bulan lepas untuk bercuti tetapi saya hilang pasport saya. Sebelum ini saya tinggal di hotel dan sepatutnya pulang ke Jepun tetapi saya hilang pasport. Jadi, saya minta bantuan kedutaan. Selepas dapat balik pasport, saya mahu balik,” katanya.

Di pusat perlindungan itu, mereka diberikan tilam yang ditempatkan satu meter satu sama lain untuk mematuhi syarat penjarakan sosial, bantal, selimut, topeng, pencuci tangan dan baju baru.

Daripada 71 warga asing yang berada di situ, 56 adalah lelaki dan 15 wanita. Pusat itu juga menempatkan tiga orang kanak-kanak.

Wanita bujang ditempatkan di sebuah bilik, yang berpasangan diletakkan di atas pentas yang berada di dewan itu, manakala lelaki ditempatkan di ruang lapang dewan.

Jumlah teramai warga asing adalah Myanmar (23) diikuti Indonesia (21) dan India (6).

Senang pantau

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Anwar Mohd Zain memberitahu The Malaysian Insight yang semua gelandangan warga asing dipindahkan ke Dewan Serbaguna Alam Damai Cheras untuk memudahkan kerja pemantauan.

Katanya, semua yang berada di situ sudah menjalani ujian Covid-19 dan tiada yang positif.

Kawalan keselamatan juga diperketatkan selepas dua orang gelandangan melarikan diri pada 3 April lepas.

“Seorang warga Bangladesh dan seorang Myanmar. Sekarang, kita ada pegawai polis dan tentera. Sebelum ini, hanya Rela. Kita juga letak pagar berduri di sekitar kawasan.

“Jadi, harapnya tidak berlaku lagi (lari),” katanya.

Anwar berkata, gelandagan diberi makan enam kali sehari dan aktiviti dirancang untuk mereka. Makanan ditaja oleh Kembara Kitchen.

Menurutnya selepas PKP tamat, warga asing itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

PKP dikuatkuasa pada 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, dan dilanjutkan sehingga 14 Mac kerana berlaku peningkatan kes.

Setakat semalam, jumlah positif Covid-19 adalah 3,963 kes membabitkan 63 kematian. – 8 April, 2020.

Tiada ulasan: