"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sebelum PKP berakhir

Timmy Say
Perintah kawalan pergerakan (PKP), jika mengikut jadual, bakal berakhir 14 April 2020. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), keputusan sama ada dilanjutkan atau sebaliknya pada 10 April ini.

Namun begitu, sebelum PKP dibenarkan berakhir, banyak lagi langkah kritikal yang perlu diumumkan kerajaan sebelum rakyat Malaysia kembali bergerak aktif. Ini kerana Covid-19 dipercayai akan terus merebak di merata dunia sehingga vaksin dijumpai.

Pertama, KKM perlu mengeluarkan garis panduan jarak sosial dan cara berinteraksi yang wajib dipatuhi semua pemilik perniagaan, sekolah, taska dan pusat asuhan, etika penggunaan kenderaan awam, etika di kawasan perumahan yang berbeza mengikut jenis kediaman sama ada flat, rumah teres atau kondominium serta mengenakan syarat ke atas lawatan luar negara.

Kedua, kerajaan perlu memberi sekurang-kurangnya seminggu sebagai tempoh menyesuaikan kehidupan sebelum PKP berakhir agar semua jenis perniagaan menyediakan premis masing-masing mengikut garis panduan KKM sebelum pekerja kembali ke pejabat.

Di pejabat, contohnya, pentadbir syarikat perlu memastikan setiap pintu pejabat dan lif disediakan pensanitasi, setiap pekerja wajib memeriksa suhu badan sebelum memasuki pejabat dan bilik mesyuarat, manakala tempat duduk perlu dijarakkan, menggalakkan staf tidak sihat bekerja dari rumah dan memastikan kawasan sentuhan orang ramai disanitasi lebih kerap mengikut jadual.

Bagi mengurangkan interaksi dan himpunan pekerja di tempat sama, kerajaan barangkali boleh mewajibkan syarikat mengaplikasi konsep 3 hari bekerja di pejabat dan 2 hari bekerja di rumah bagi pekerja yang boleh berbuat demikian dengan imbuhan pelepasan cukai sebagai galakan.

Perhatian khusus perlu diberikan kerajaan kepada operasi sekolah, taska dan pusat asuhan selepas PKP.

Bagaimana pelajar, kanak-kanak dan bayi dapat mengamalkan penjarakan sosial antara satu sama lain? Apakah waktu pembelajaran di sekolah perlu dipendekkan supaya dapat membahagikan satu kelas kepada 2 sesi untuk mengurangkan jumlah pelajar di sekolah pada satu-satu masa?

Barangkali kerajaan juga perlu mengehadkan jumlah maksimum kanak-kanak dan bayi yang boleh diterima seorang pengasuh atau taska berdasarkan keluasan kawasan yang diluluskan untuk menjalankan perniagaan tersebut.

Mungkin ini masanya untuk kerajaan mewajibkan setiap bangunan yang mempunyai 100 pekerja ke atas diwujudkan sebuah pusat asuhan.

Masalah lebih rumit akan berlaku di tempat tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, kedai runcit, klinik, restoran, rekreasi, gerai tepi jalan, pasar biasa, pasar malam dan pasar pagi.

Jika tidak beroperasi mengikut garis panduan KKM selepas PKP, kawasan terbabit berpotensi mewujudkan kluster Covid-19 yang lebih besar sehingga PKP perlu dilaksanakan semula.

Oleh itu, sebelum PKP berakhir, kerajaan perlu memikirkan bagaimana kawasan terbabit dapat terus mematuhi garis panduan KKM selepas PKP.

Antara syarat wajib ialah pemilik premis perlu menyediakan garisan beratur di kedai mereka, mewujudkan mekanisme untuk mengehadkan jumlah pelanggan di dalam premis perniagaan serta memastikan jarak duduk antara pelanggan mengikut garis panduan KKM.

Ketiga, kerajaan perlu menilai semua operasi pengangkutan awam dan kapal terbang kerana mereka memerlukan anjakan baru untuk mengelakkan diri menjadi vektor kepada penyebaran Covid-19 selepas PKP berakhir.

Antara perkara yang boleh dilakukan ialah memastikan setiap gerabak LRT, MRT dan sejenis dengannya dilukiskan petak berdiri mengikut garis panduan KKM, garisan beratur membeli tiket dan melepasi saringan imigresen, sekuriti serta had penumpang bas dan kapal terbang. Kedua-duanya tidak boleh dibiarkan penuh ibarat tin sardin seperti dahulu.

Bagi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan selepas PKP, khidmat polis dan tentera barangkali diperlukan untuk memastikan garis panduan PKP terus dijaga di semua stesen pengangkutan awam.

Keempat, sebelum berakhirnya PKP, kerajaan perlu menilai secara mendalam apakah wajar untuk membuka pintu masuk negara kepada warga asing untuk 6 hingga 12 bulan akan datang memandangkan jangkitan Covid-19 akan terus merebak sekiranya tiada vaksin dijumpai.

Perkara yang paling dirisaukan ialah warga asing dari negara jiran Indonesia yang dijangka menjadi kluster panas Covid-19 di peringkat dunia dalam masa sebulan.

Kerajaan perlu membuat pemantauan khusus terhadap kemasukan warga Indonesia selepas PKP berakhir untuk mengelakkan kluster Indonesia merebak ke negara ini.

Kelima, kerajaan perlu memahamkan rakyat sebarang perayaan tahun ini perlu dibatalkan demi mengelakkan Covid-19 “bergembira” merebak di musim perayaan bersama rakyat.

Jika rakyat tetap pulang beramai-ramai ke kampung halaman ketika sambutan Aidilfitri nanti, PKP akan menjadi sia-sia dan negara berisiko besar menghadapi situasi seperti di Itali dan Amerika Syarikat.

Kelima-lima langkah di atas perlu ditangani kerajaan sebelum PKP boleh berakhir.

Pendek kata, jika garis panduan KKM tidak dipatuhi selepas PKP berakhir, usaha sekarang seperti mencurah air ke daun keladi.

Pandemik Covid-19 mengorbankan berbilion dana negara, melingkupkan ekonomi dan banyak syarikat. Alang-alang sudah rugi, baik kita bersama kerajaan memastikan PKP berjaya memutuskan rantaian Covid-19 dan menyediakan rakyat ke arah kehidupan berbeza selepas PKP meskipun ia memerlukan masa lebih lama.

Jangan kita berakhir dengan bak kata orang kampung “Bisnes tarak, makan tarak, lepas itu mati Covid-19.”

Tiada ulasan: