"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerja mati-matian selepas kamu rebut mati-matian, kata Anwar kepada kerajaan PN

BORHAN AHMAD
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dituntut agar bekerja bermati-matian bagi membantu rakyat melawan Covid-19 selepas bermati-matian merebut untuk menjadi kerajaan.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu perlu dilakukan oleh semua pemimpin kerajaan PN kerana rakyat berhak kepadanya.

“Setelah kamu rebut mati-matian untuk merampas kerajaan, sekarang bantulah rakyat mati-matian juga kerana mereka berhak untuk mendapatkannya,” kata Anwar dalam sessi dialog secara maya sempena sambutan 21 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Menurut Anwar, ketika negara berhadapan dengan Covid -19 ini, ramai rakyat yang susah dan memerlukan pertolongan kerajaan.

“Sekarang ini ramai yang nak makan pun susah dan ini cabaran masa kini,” kata Anwar dalam dialog secara live di facebook itu.

Ketika berpesan kepada para ahli PKR, Anwar meminta mereka melupakan beberapa kerat ahli dan pemimpin parti itu yang belot dan menjadi pengkhianat.

“Jangan fikir dua tiga kerat pengkhianat itu, tetapi kita kena utamakan rakyat dan ahli biasa yang menaikkan parti ini sejak dari awal,” kata Anwar.

Beliau dipercayai merujuk kepada pemimpin PKR yang belot dan merancang kerajaan pintu belakang dengan membelakangi kehendak rakyat sebagaimana yang dinyatakan dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

Bagi beliau, PKR mesti mempertahankan prinsip penubuhannya sejak dari awal iaitu untuk menjaga rakyat.

“Kedudukan orang Melayu sekarang lebih parah walaupun duduk di bawah kerajaan Melayu Islam. Kesenjangan ekonomi semakin teruk.

“Ia jauh lebih buruk berbanding sebelum DEB dahulu,” kata Anwar merujuk kepada jurang ekonomi antara kaya dan miskin, antara kaum serta bandar dan luar bandar.

Beliau juga menegaskan, PKR perlu memperjuangkan bukan sahaja untuk kaum Melayu sahaja kerana negara ini bukan untuk kaum Melayu sahaja.

“Kita parti berbilang kaum di negara yang berbilang kaum. Jadi kita kena bantu semua yang memerlukan bantuan. Kita tidak boleh pertahankan kaum kita dengan korban rakyat yang lain,” kata Anwar dalam sessi dialog dengan empat lagi pemimpin PKR yang terdiri dari pelbagai kaum itu.

Tiada ulasan: