"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah ahli PAS masih wala' kepada Presidennya yang terbukti melakukan Fitnah

Surat Hadi: Anwar nasihat 'ulama semak fakta sebelum fitnah'
Yasmin Ramlan


Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata selepas menyemak tuduhan Abdul Hadi Awang terhadapnya yang mengaitkan MP Port Dickson itu dengan pergerakan Freemason, beliau mendapati rupa-rupanya maklumat yang diperoleh presiden PAS itu tidak sahih.

Dalam siaran langsung Facebook beliau malam tadi, Anwar menunjukkan laman “Civil Service Lodge No.143” yang mempunyai kakitangan dengan nama yang sama dengannya, “w.bro Anwar Ibrahim.”

Gambar tersebut menunjukkan seorang lelaki warga asing berbadan gempal, berpakain sut hitam bersama tiga orang rakannya, pada tahun 2006.

“Beliau (Hadi) menyebut saya ini, anggota bahkan orang besar, malah orang kanan Freemason.

“Jadi saya pun aneh juga. Ini kalau orang biasa cakap kempen-kempen dan tidak akhlak dan tidak ada asas agama, itu lain.

“Oleh itu, saya dengan demikian minta staff cari (maklumat), rupa-rupanya ada nama Anwar dan mereka tahu kerana ia keluarkan dulu (dalam) lodge officers 2010-2011 - civil service num 143, brother Anwar Ibrahim.

“Ini peluang mereka untuk menyerang saya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab mengenai surat Hadi yang disifatkan melemparkan fitnah yang berat terhadap dirinya.

Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 22 Mac dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi,” yang ditulis dalam bahasa Arab itu dikesan tersebar di media sosial sejak 4 April lalu.

Surat yang dikatakan ditulis Hadi kepada pemimpin gerakan Islam seluruh dunia itu mengundang pelbagai kritikan kerana mengandungi pelbagai dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) serta memburukkan Anwar.

Anggota Parlimen Port Dickson juga secara menyindir menasihatkan supaya Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menyemak fakta sebelum menyebarkan fitnah.

“Ya Allah kalau nak politik pun, nak sokong Umno, janganlah sampai macam tu. Takkanlah saya 2006 boleh sihat segar bugar,” katanya sambil ketawa.

“Kita kalau nak buat tuduhan, semak fakta.

“Kalau dalam tazkirah pandai sekali, kita ambil hadis, kena tahu siapa perawinya, sahih atau tidak.

“Tapi bila nak fitnah orang, tak payah fakta, tak payah perawi,” katanya lagi.

Justeru itu, demi membersihkan namanya, Anwar berkata beliau akan menghantar satu surat balas kepada pemimpin dunia Islam sebagai menjawab dakwaan Hadi.

“Saya akan jawab dan beritahu kepada pemimpin-pemimpin dunia islam yang menerima surat daripada Haji Hadi Awang dan saya akan sebarkan surat ini kepada khalayak untuk menunjukkan fitnah.

“Ini bukan satu saja, ada hal-hal lain yang dibangkitkan.

“Dalam Islam kita boleh patuh kepada pimpinan, boleh walak kepada perkara apa pun, tapi jangan jadi pak turut sehingga tak boleh fikir, sehingga tak boleh nilai, sehingga sanggup memfitnah kerana musuh politik,” katanya.

Tiada ulasan: