"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan Melayu Islam PN benarkan syarikat arak beroperasi ketika PKP

MALAYSIA DATELINE
Bercanggah dengan imej kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dicanang menyatukan umat Melayu Islam, sebuah syarikat pengeluar minuman keras boleh pula dibenarkan beroperasi semasa tempoh kritikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Satu surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertarikh 31 Mac lalu tular memaklumkan pengesahan pengecualian bagi operasi Heineken Malaysia Berhad.

Heineken Malaysia Berhad yang mula ditubuhkan pada 1964 adalah pengeluar utama bir dan stout di negara ini dan telah disenaraikan dalam Bursa Malaysia setahun selepas penubuhannya.

Antara jenama dihasikan Heineken adalah Tiger Beer, Guinness, Heineken, Anchor Smooth, Anchor Strong, Kilkenny, Anglia Shandy, Malta, Paulaner, Strongbow, dan Soll.

Ditandatangani Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, surat kementerian yang diterajui Datuk Alexander Nanta Linggi itu memberitahu pengecualian itu bagi operasi sektor pembekalan makanan di bawah PKP.

“Kementerian mengesahkan dan bersetuju bahawa aktiviti perniagaan tuan/puan boleh dibuka/beroperasi bagi memastikan pembekalan makanan mencukupi sepanjang tempoh PKP berkuatkuasa,” dipetik daripada surat itu.

Walau bagaimanapun, surat tersebut turut memaklumkan pengesahan pengecualian itu adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang diberikan.

Untuk rekod, Alexander, 62, ialah cucu kepada mendiang Tun Jugah Bareng yang turut pernah memegang jawatan dalam Kabinet Persekutuan.

Alexander dari Parti Pesaka Bumiputera (PBB) pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam era Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen dari Sarawak selama lima penggal itu menyandang kerusi Parlimen Kapit sejak 1999 sehingga sekarang.

Arak barang ‘perlu’?

Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini menyenaraikan hanya 10 perkhidmatan perlu dan rantaiannya dibenarkan beroperasi ketika PKP 2 yang bermula sejak 1 April hingga 14 April ini.

Senarai sektor itu ialah makanan; air; tenaga; komunikasi dan internet; keselamatan dan pertahanan serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan.

Empat lagi sektor kritikal atau essential services yang dibenarkan beroperasi mengikut ketetapan MKN ialah penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet; perbankan dan kewangan; e-dagang serta logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.

Kelmarin, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PN yang dibentuk hasil kerjasama beberapa parti akan melaksanakan kewajipan menjaga perpaduan masyarakat majmuk berkonsepkan adil kepada semua kaum.

“Kami mengambil langkah menyatukan umat Melayu Islam daripada bawah dengan mengadakan Muafakat Nasional (Pas dan Umno-Barisan Nasional). Tun Mahathir dan kalangan ilmuwan mengadakan Kongres Maruah Melayu.

“Kami mengumpulkan yang berpecah sehingga menghasilkan gabungan Perikatan Nasional, mengambil alih bersama kerajaan yang terpaksa diselamatkan,” ujarnya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya.

Abdul Hadi yang baharu dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu juga mengingatkan masyarakat Melayu dan Islam supaya berpegang kepada konsep wasatiyyah yang sebenar, menjaga hubungan kemanusiaan dan kekeluargaan dengan istiqamah.

Membimbangkan

Pengambilan arak di negara ini pernah didedahkan semakin meningkat daripada 0.8 liter pada 2005 kepada 1.7 liter pada 2015.

Pada tahun 2016, Malaysia dicatatkan sebagai pengguna arak ke-10 terbesar di dunia.

Banyak pihak sebelum ini menyuarakan pentingnya penagihan arak dibendung antaranya melalui polisi dan penguatkuasaan dasar merangkumi lokasi penjualan, jenis premis menjual dan waktu pembelian.

Pada tahun 2018, terdapat beberapa kes kematian akibat keracunan metanol di Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa negeri lain.

Tabiat minum arak juga dikenalpasti membimbangkan dalam kalangan mereka yang berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Beberapa kawasan rekreasi dan padang permainan awam sekitar Lembah Klang juga sebelum ini dilaporkan menghadapi masalah sampah berupa botol dan tin minuman keras pelbagai jenama.

Tiada ulasan: