"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ringkasan laporan PAC isu kapal LCS, kita bincang dari ‘kulit ke kulit’ – Siri 1

NIK HASYUDEEN

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara berhubung dengan perolehan kapal peronda generasi kedua – Littoral Combat Ship (LCS) 1/10

Mulai pagi ini saya akan bincang secara ringkas laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara atau Public Accounts Committee (PAC) berkenaan pembelian LCS dari kulit ke kulit macam dibuat di pondok-pondok.

Harapnya kita akan menjadi lebih faham berkenaan isu berkenaan dan tidak bergantung kepada sentimen semata-mata.

PAC adalah salah satu dari Jawatankuasa terpilih Parlimen Malaysia. Ianya ditubuhkan untuk meneliti laporan Juruaudit Negara berdasarkan Artikel 107 Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu PAC juga mempunyai kuasa untuk meneliti perkara lain yang dianggap sesuai atau pun yang dirujuk kepadanya oleh Dewan Rakyat. Jadi, PAC ni macam jawatankuasa audit di dalam institusi-institusi korporat.

Keahlian PAC untuk sesi ini ada 15 orang terdiri dari wakil pelbagai parti politik. Di kebelakangan ini, pengerusi PAC dilantik dari wakil pembangkang, sama dengan tradisi Parlimen di negara-negara Komonwel yang lain.

Bagi membantu PAC dalam menjalankan kerjanya, ada wakil tetap yang membantu mereka yang datang dari beberapa jabatan kerajaan seperti Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam isu pembelian kapal LCS oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, saya percaya PAC telah merujuk kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

JKSTUPKK ditubuhkan semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang bertujuan untuk menyiasat pembelian aset-aset mencurigakan di dalam kementerian kerajaan. Pengerusi JKSTUPKK adalah Tan Sri Ambrin Buang, mantan Ketua Audit Negara.

PAC telah memanggil beberapa orang saksi di dalam prosiding berkenaan pembelian LCS. Antara saksi-saksi yang terlibat adalah:

1. Timbalan Ketua Audit Negara

2. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan

3. Pengerusi JKSTUPKK

4. Ketua Pengarah dan mantan Ketua Pengarah Projek LCS TLDM

5. Mantan Panglima Tentera Laut

6. Mantan Menteri Pertahanan

7. Syarikat Bousted Naval Shipyard (kontraktor LCS)

8. Syarikat Alliance IFA (M) Sdn. Bhd. (Juruaudit Forensik BNS)

Jadi, dapatan PAC berkenaan projek LCS ini bukannya secara agak-agak dan sangka-sangka sahaja tetapi berdasarkan keterangan dan fakta yang dibentangkan kepadanya.

Sama dengan jawatankuasa terpilih Parlimen yang lain, PAC tidak ada kuasa untuk mendakwa.

Ianya hanya boleh mensosialisasi (socialise) isu-isu yang ada kepentingan awam supaya rakyat tahu dan maklum bagaimana duit mereka diurus oleh kerajaan.

Terpulanglah kepada agensi-agensi penguatkuasa seperti SPRM dan polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: