"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Semua tindakan Najib adalah bagi capai hasrat peribadi’

Malaysiakini

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini diberitahu bahawa semua tindakan yang diambil oleh Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd adalah bagi mencapai hasrat peribadi beliau bagi mendapat perolehan secara salah bagi dirinya, dan kerugian secara salah kepada syarikat itu.

Pendakwa ad hoc Datuk V Sithambaram berhujah bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan perayu (Najib) bertindak bagi melindungi atau memelihara kepentingan SRC, sebagaimana yang dipertanggungjawabkan kepadanya secara undang-undang.

“Najib adalah perdana menteri, menteri kewangan, dan juga penasihat emeritus syarikat itu. Ia ketara dan jelas bahawa dia menggunakan semua kedudukannya itu bagi mendapatkan perolehan kewangan menerusi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Hasrat perayu melakukan jenayah dilaksanakan dengan cara dia memegang pelbagai jawatan berbeza.

“Apa yang dirancang oleh perayu terhadap wang berbilion yang dibekukan di Swiss bank, tiada siapa yang tahu. Ia adalah ‘mens rea’ (niat) perayu melaksanakan hasrat jenayah dalam pelbagai kedudukannya, yang membolehkan perayu melakukan tujuh kesalahan sebagaimana dakwaan keatasnya,” katanya pada pendengaran rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Beliau berkata sememangnya niat tunggal perayu adalah untuk melakukan jenayah dalam pelbagai peranan yang dimainkan olehnya dalam pentadbiran negara, dan dalam SRC.

Sithambaram berkata gabungan pelbagai peranan yang dimainkan Najib membolehkan dia melaksanakan rancangannya untuk mendapat manfaat daripada dana SRC, apabila dia meletakkan dirinya dalam kedudukan yang menyaksikan lembaga pengarah (BoD) SRC bertindak atas arahannya, dan bukannya sebagai pengarah bebas.

“Walaupun undang-undang menghendaki BOD SRC sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik SRC, ia sebenarnya bertindak (tanpa disedari) demi kepentingan terbaik perayu.

“Pinjaman RM4 bilion KWAP kepada SRC telah hilang, sementara hutang masih dibayar oleh kerajaan daripada dana awam. Ia sesuatu yang luar biasa apabila syarikat yang baru ditubuhkan (SRC) diberi pinjaman yang begitu besar.

“Kelulusan pinjaman dilakukan dengan sangat pantas, dan ia diluluskan kabinet yang dipengerusikan oleh Najib pada ketika itu,” katanya di hadapan panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Lain-lain hakim dalam panel itu terdiri daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Peguam itu seterusnya berkata sejumlah RM50 juta dipindahkan keluar daripada SRC kepada anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan lhsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) dalam dua transaksi berasingan, yakni RM40 juta pada Disember 2014 dan seterusnya RM10 juta pada Februari 2015.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM42 juta dipindahkan ke akaun Najib dalam tiga transaksi yakni RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta.

Prosiding rayuan itu bersambung esok.

- Bernama

Tiada ulasan: