"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rumah keluarga pengkid 'kosong'

Noor Hidayah Tanzizi

am@hmetro.com.my

Bota: "Dia memang wanita tetapi sejak daripada dulu memang berperwatakan tomboi dan belum pernah lagi saya melihat dia berpakaian wanita," kata penduduk di Titi Gantong, di sini.

Wanita enggan dikenali itu tinggal di kawasan perumahan sama dengan keluarga pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' yang tular mengerjakan umrah memakai ihram di Tanah Suci, baru-baru ini.

Menurutnya, keluarga individu berkenaan sudah belasan tahun tinggal di kawasan itu dan mendakwa ketika berpindah ke situ individu itu dianggarkan berusia kira-kira 13 tahun.

Katanya, sejak itu individu berkenaan didakwa tidak pernah memakai pakaian wanita namun dia pernah dilihat memakai selendang pada hari pengebumian salah seorang ahli keluarganya.

"Dari dulu lagi dia memang tak pakai seperti wanita, selalu pakai seluar dan baju-T (seperti lelaki). Saya ada juga melihat dia apabila pulang ke kampung, hari raya baru ini pun dia ada balik.

"Ketika ahli keluarga dia meninggal dunia, dia ada balik dan saya melihat dia memakai selendang ketika itu (tetapi tidak menutup penuh rambut)," katanya ketika di temui di sini, hari ini.

Katanya, sebelum ini dia ada bersembang dengan ibu individu itu, namun keluarga berkenaan dilihat tiada di rumah sejak kisah itu tular dan pulang hanya sesekali saja.

Dia turut mengakui kisah itu juga menyebabkan keluarga berkenaan terutama ibunya sedih.

Seorang lagi penduduk berhampiran kawasan itu mengakui tidak mengenali individu atau keluarga individu itu namun mengetahui kisah tular itu.

"Saya tidak mahu menghukum perkara itu tetapi secara logik takkanlah (dia) tak tahu hukum dan dia pun sudah dewasa.

"Kena tanya dia juga kenapa buat begitu. Ini ujian untuk dia dan keluarganya" katanya yang turut bersimpati dengan keluarga individu itu.

Sementara itu, tinjauan wartawan di rumah yang dipercayai milik keluarga individu berkenaan di Titi Gantong gagal menemui sesiapa manakala pintu dan pagar rumah juga dikunci dari luar.

Metro Ahad sebelum ini melaporkan, Ayid memperdayakan beberapa orang mangsa dengan janji dan perlakuan romantis untuk memperisterikan mereka.

Tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial sebelum ia tular.

Tiada ulasan: