"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kalau PAS dan Umno bertembung, kita hadap sajalah'

Haspaizi Zain

Cadangan untuk mewujudkan kerusi 'Muafakat Nasional' timbul kerana PAS tahu parti itu tidak dapat bergantung kepada kekuatan Bersatu, kata setiausaha agung veteran Umno, Mustapha Yaakub.

Ini selepas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marsuki, berkata PAS perlu segera mencari jalan mewujudkan "kerusi Muafakat Nasional" bersama Umno-BN.

"Kenyataan itu keluar selepas PAS menyedari bahawa mereka tidak mampu bergantung kepada kekuatan Bersatu untuk menang dalam PRU ke-15 nanti.

"PAS kini baru menyedari bahawa mereka tidak mampu menumpang Bersatu, kedudukan mereka dalam PN juga agak terpinggir," katanya kepada Malaysiakini.

Kata Mustapha, Umno kekal dengan pendirian untuk bergerak solo meskipun PAS menjangkakan 27 kerusi berisiko dimenangi Pakatan Harapan (PH) jika berlaku pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

"Risiko hilang kerusi atau tewas kepada PH jika berlaku pertembungan kita hadap saja, tak kiralah berapa penjuru, kita lawan saja," katanya.

Pada 12 Ogos lalu, Zuhdi berkata Muafakat Nasional (MN) adalah kaedah yang mampu menafikan kemaraan PH pada PRU akan datang.

"Oleh yang demikian, ruang perlu diterokai dalam MN agar usaha itu dapat dilaksanakan.

"Di Semenanjung Malaysia, ada 27 kerusi yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya Umno dan PAS bertembung," kata Mohd Zuhdi.

Mengulas lanjut, Mustapha berkata Umno tidak perlu melayan sandiwara PAS yang baru menyedari bahawa PN tidak mempunyai kekuatan seperti mana diharapkan.

"Hasrat PAS untuk menumpang Bersatu, tapi sebaliknya Bersatu yang menumpang jentera PAS," katanya.

'Beri laluan Umno tanding 27 kerusi'

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal, berkata PAS perlu memberi laluan kepada Umno bertanding di 27 kerusi jika benar ia berisiko dimenangi PH.

Katanya, jika PAS mendukung penyatuan ummah, parti itu perlu sedia membuka ruang kepada Umno bagi memastikan PH dapat dikalahkan.

Tambahnya, cadangan itu relevan memandangkan kekalahan PAS dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.

"Lagi pun dilihat bahawa setelah kalah di Melaka dan Johor, kenyataan PAS ini menunjukkan PAS tidak lagi yakin dengan gabungan PN.

"Jadi, daripada hanya jadi parti nyamuk yang menjadi penyebab PH bakal menang di 27 kerusi tersebut, lebih baik serah pada Umno.

Jelasnya, Pemuda Umno kekal konsisten dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) setelah usaha memulihkan MN di Melaka dan Johor buntu.

"Kita telah buat keputusan untuk bergerak solo, itulah prinsip Umno dan BN. Jadi PAS pujuklah Bersatu supaya 27 kerusi itu diserahkan pada BN dan jangan letakkan calon PN di situ," katanya kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: