Bernama
BANTEN: Gelombang tsunami melanda Selat Sunda, 22 Dis lepas, yang membadai daerah Sumur dan Taman Jaya 2 serta sekelilingnya sudah pastinya menjadi ‘mimpi ngeri’ kepada penduduk setempat.
Ia sentiasa akan menjadi bayangan hitam kepada mereka walaupun tragedi terakhir tsunami berlaku pada tahun 1883, berikutan letusan gunung berapi Krakatau yang menyebabkan ribuan mangsa terkorban.
Seorang lelaki mangsa tsunami itu, Yatnor, 40, berkata, pada hari kejadian beliau sempat menyaksikan ombak tsunami setinggi pokok kelapa iaitu kira-kira 8 meter.
“Pada waktu itu, saya sedang bersantai bersama teman di tingkat 2 rumah papan saya di Sumur, ketika itu saya lihat penduduk kampung bertempiaran lari menyelamatkan diri kerana melihat ombak tsunami yang bergulung-gulung.
“Saya terpaku beberapa minit melihat ombak itu (tsunami) yang berselang-selang datang, seolah-olah kaki saya tidak mampu bergerak untuk menyelamatkan diri. Syukur ada teman yang menarik tangan saya,” katanya ketika ditemui di posko (pusat bantuan sementara), di sini.
Tidak lama kemudian, Yatno melarikan diri sekuat hati untuk pergi ke tempat tinggi, selang beberapa minit ombak tsunami itu membadai rumah 2 tingkat miliknya.
“Ia amat menakutkan sekali (ombak setinggi pokok kelapa), syukur kepada Allah saya terselamat,” katanya yang bergelinangan air mata.
Seorang lagi saksi yang juga nelayan, Maimunah, 42, berkata, ketika kejadian, dia bersama suami berada di dalam rumah nelayan, yang dibina menggunakan buluh di laut, sekitar 8.00 malam.
“Waktu itu, saya hendak menyimpan jaring ikan, tidak lama kemudian suami saya memekik mengatakan air laut tiba-tiba menjadi surut dan ditarik ke pertengahan laut.
“Saya terkejut atas pekikan suami dan keluar melihat kesemua air laut telah ditarik habis dan nampak ombak tsunami yang tinggi sama seperti pokok kelapa dari jauh,” katanya.
Maimunah berkata, waktu itu dia merasakan seperti ajalnya telah tiba kerana jarak ombak tsunami dengan rumah nelayan hanya anggaran 60 meter, namun dia dan suami sempat melarikan diri.
“Saya sangat trauma dan akan ingat sampai bila-bila kejadian ini (tsunami) yang menimpa kampung kami serta saya bercadang untuk berhenti menjadi nelayan,” katanya.
Tsunami, yang melanda Selat Sunda pada 22 Dis lepas, berlaku ekoran pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan Gunung Anak Krakatau yang diikuti gelombang kuat.
Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) melaporkan sehingga kini lebih 400 orang maut, manakala 30,000 hilang tempat tinggal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan