"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Raja-Raja Melayu dilaporkan bersidang di Istana Negara: Agong berikutnya dari Pahang, Johor atau Perak?

Raja-raja Melayu dilaporkan sedang bersidang di Istana Negara di Kuala Lumpur. Adalah dipercayai ini susulan selepas Sultan Muhammad V bertindak turun takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Muhammad V dipilih oleh Persidangan Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 13 Disember 2016. Tempoh baginda dijadualkan berakhir pada 2021.

Sehingga Persidangan Raja-raja Melayu memutuskan pada Yang di-Pertuan Agong yang baru, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, yang merupakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, akan bertindak sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

--------------

V Anbalagan
PETALING JAYA: Majlis Raja-raja yang mewakili sultan Melayu bersedia mengadakan mesyuarat untuk memilih Yang di-Pertuan Agong ke-16, susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V, hari ini.

Peguam, Datuk Abdul Shukor Ahmad berkata agak menarik untuk melihat bagaimana Majlis Raja-raja menggunakan kebijaksanaan mereka dalam pemilihan ketua negara seterusnya, berdasarkan sistem penggiliran unik dalam kalangan 9 sultan, setiap 5 tahun.

Katanya, Majlis raja-raja terikat dengan Perlembagaan dalam pemilihan Agong.

Di bawah sistem penggiliran itu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah adalah calon seterusnya, disusuli Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Kesihatan Sultan Ahmad Shah dipercayai tidak berada dalam keadaan terbaik, dengan Tengku Mahkota, Tengku Abdullah menjalankan tugas dan peranan sebagai sultan.

“Agong perlu menghadiri upacara yang mungkin payah dari segi fizikal,” kata Shukor kepada FMT.

Oleh itu, katanya, agak menarik untuk melihat sama ada Sultan Johor berminat mengambil alih jawatan itu.

Dalam proses pemilihan Agong sebelum ini, Sultan Johor dilaporkan menolak tawaran menjadi Yang di-Pertuan Agong bagi menghormati dan mematuhi sistem penggiliran itu.

Keputusan Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Agong, julung kali berlaku di negara ini.

Majlis Raja-raja memilih Sultan Kelantan yang berusia 49 tahun itu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 14 Oktober 2016. Pemerintahannya bermula 2 bulan kemudian bagi menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahannya pada 12 Disember 2016.

Peletakan jawatan Sultan Muhammad V berlaku, selepas spekulasi di media sosial pada akhir cuti 2 bulan Sultan Kelantan itu.

Pemerintahan singkatnya menyaksikan peralihan kuasa secara aman kepada Pakatan Harapan, susulan kekalahan mengejut Barisan Nasional dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Kerajaan tiada kuasa

Peguam, Lim Wei Jiet berkata, proses penggantian Agong mengambil kira “senarai pemilihan” yang diatur mengikut negeri.

“Raja yang berada dalam ‘senarai pemilihan’ teratas akan ditawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu artikel mengenai sistem pemilihan Agong.

Tetapi, beliau berkata, calon berikut untuk jawatan itu boleh diketepikan melalui undi rahsia di kalangan raja.

Katanya, walaupun pemerintah Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak turut menganggotai Majlis Raja-raja, tetapi mereka tiada hak mengundi.

Katanya, walaupun Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan, kerajaan bagaimanapun tiada kuasa dalam keseluruhan proses pelantikan Agong kerana ia adalah budi bicara mutlak pemerintah negeri.

Tiada ulasan: