Faisal Asyraf
Selepas Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahan bermesyuarat selama kira-kira tiga setengah jam di Kuala Lumpur, tidak ada sebarang maklumat didedahkan kepada media berhubung keputusan yang dibuat hari ini.
Bagaimanapun pihak istana Pahang dijangka akan membuat pengumuman mengenainya di Istana Abu Bakar di Pekan, esok.
Hal itu dinyatakan setiausaha kerajaan negeri yang baru dilantik, Sallehuddin Ishak, selepas pertemuan sebuah hotel di Kuala Lumpur berakhir kira-kira jam 7.40 malam tadi.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenai butiran mesyuarat tersebut - yang dipengerusikan pemangku Sultan Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah - Sallehuddin hanya menjawab ringkas.
"Akan ada pengumuman di Istana Abu Bakar, Pekan jam 3 petang esok," katanya.
Sallehuddin juga enggan mengulas mengenai perkara yang akan diumumkan itu, termasuk kemungkinan ia berkaitan dengan mesyuarat hari ini.
Tengku Abdullah juga enggan memberi komen mengenai pertemuan tersebut.
"Terima kasih semua, tak ada komen," katanya.
Doakan yang terbaik
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Jumaah Pangkuan Diraja Pahang bersidang dengan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi pengerusinya.
Pertemuan berlangsung di Jalan Conlay Kuala Lumpur itu menarik perhatian selepas Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Untuk rekod Tengku Abdullah ketika ini ialah pemangku Sultan Pahang ekoran keadaan kesihatan Sultan Ahmad Shah yang tidak mengizinkan.
Tinjauan Malaysiakini mendapati antara tokoh yang menyertai pertemuan hari ini ialah bekas perdana menteri yang juga anggota parlimen Pekan Najib Razak dan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.
Bagaimanapun Tengku Abdullah cuma memberi kenyataan ringkas ketika ditanya wartawan sejurus sebelum memasuki bilik mesyuarat.
"Assalamualaikum, doakan yang terbaik ya," titah Tengku Abdullah yang diiringi adiknya Tengku Muda Tengku Abdul Rahman al-Haj.
Media sebelum ini melaporkan ada kemungkinan Tengku Abdullah akan ditabalkan sebagai sultan yang baru untuk Pahang bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah.
Langkah itu juga membuka kemungkinan Tengku Abdullah dilantik mengisi kekosongan jawatan Agong selepas pengunduran Sultan Muhammad V.
Mengikut sistem penggiliran Agong, selepas Kelantan jawatan Agong akan disandang oleh Sultan Pahang.
Majlis Raja-raja akan bersidang pada 24 Jan ini bagi melantik Agong ke-16 dan majlis mengangkat sumpah dijangka diadakan pada seminggu kemudian.
Sehingga Agong yang baru dilantik Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga timbalan Yang di-Pertuan Agong kini menjadi pemangku Agong.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan