"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing 'dokumen tak teratur' kaut untung jual telekung tiruan

B Nantha Kumar

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai menjual kain tiruan jenama tempatan, di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Menurut KPDN, hasil pemeriksaan mendapati sebuah satu kedai dan sebuah stor disyaki memiliki, menjual dan menawarkan jualan barang-barang tiruan tersebut.

"KPDN merampas 2,753 pasang telekung dan 2,100 beg masing-masing jenama yang sama bernilai RM105,855.

"Pemilik premis telah ditahan dan mengambil keterangan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 sebelum dibebaskan pada hari yang sama," kata jurucakap KPDN.

Sebelum ini, Malaysiakini menerima maklumat mengenai warga asing berkenaan menerusi beberapa sumber dari sekitar Masjid India.

Hasil semakan Malaysiakini dengan sumber Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mendapati individu tersebut telah berkahwin wanita tempatan dan berada di Malaysia menggunakan dokumen yang tidak teratur untuk terus berada di Malaysia.

"Individu tersebut pada awalnya masuk ke Malaysia di bawah PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara).

Kemudian, pada 16 Ogos 2023 dia membatalkan PLKS dan membuat Memo Periksa Keluar (Check Out Memo - COM)

"Undang-undang negara kita sangat jelas bahawa seorang warga asing tidak boleh masuk semula ke negara kita sekurang-kurangnya enam bulan selepas dia memohon COM.

"Tapi, tak sampai sebulan pada 11 Sept 2023, dia kembali masuk ke negara menerusi pas lawatan sosial (pelancong) melalui 'counter setting' di KLIA menggunakan pasport baru," kata sumber itu.

Sementara itu, rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan warga asing tersebut mengahwini wanita tempatan pada bulan Oktober 2023.

"Susulannya, pada Jan 2024 dia pergi JIM Putrajaya bahagian visa pas untuk memohon pas lawatan sosial jangka panjang iaitu (visa mengikut suami kepada warganegara Malaysia). Akuan penerimaan dikeluarkan pada bulan yang sama bagi permohonan pas lawatan sosial jangka panjang

"Ikutkan, rekod JIM pula dia masuk Malaysia pada 11 Sept 2023, kemudian masuk semula pada 15 Okt 2024. Dan pada Jan 2024 dia membuat akuan penerimaan. Maksudnya, dia tidak pulang ke negara asal selepas berkahwin dengan wanita tempatan," kata sumber JIM itu.

Menurutnya, seorang warga asing (lelaki) berkahwin dengan wanita tempatan, perlu pulang ke negara asal dan menetap di sana selama enam bulan sebelum membuat permohonan untuk pas lawatan panjang.

"Ikutkan rekod, dia tak pulang ke negara asal lepas kahwin dan membuat permohonan pas lawatan panjang ketika di berada 'overstay" (tinggal lebih masa).

"Ini yang saya katakan bahawa dia menetap di Malaysia menggunakan dokumen tidak teratur," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi JIM untuk mendapatkan maklum balas lanjut.

Van jenazah terbalik bergesel dengan lori, pemandu terselamat

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Van membawa mayat terbabas dan terbalik di dalam longkang di KM 199 Lebuhraya PLUS, akibat bergesel dengan sebuah lori. Foto tular.
Van membawa mayat terbabas dan terbalik di dalam longkang di KM 199 Lebuhraya PLUS, akibat bergesel dengan sebuah lori. Foto tular.
ALOR GAJAH: 'Berpantang maut sebelum ajal'. Itu yang terjadi kepada seorang lelaki yang terselamat apabila van jenazah dipandunya bergesel dengan sebuah lori lalu terbabas dan terbalik di Kilometer (KM) 199, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Utara.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi semalam, pemandu berusia 48 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Roslan Mohamed@Ab Aziz berkata, laporan kejadian diterima Unit Siasatan Lebuh raya (USLR) Siasat Selatan 1 (SS1) daripada Pusat Kawalan Trafik (TMC) PLUS jam 8.27 pagi.

Katanya, bertindak atas maklumat berkenaan, SS1 menghala ke tempat kejadian dan mendapati memang berlaku kemalangan itu.

"Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila van jenis Toyota Hiace yang membawa satu mayat lelaki bergesel dengan sebuah lori di bahagian kanan.

"Akibatnya van itu hilang kawalan kerana hujan lebat dan jalan licin lalu terbabas dan terbalik di dalam longkong di kiri lebuh raya.

"Pemandu van terselamat dan hanya mengalami cedera ringan di bahagian tangan serta dirawat di Hospital Alor Gajah," katanya dihubungi di sini.

Roslan berkata, difahamkan mangsa dalam perjalanan dari Johor untuk menghantar mayat itu ke Alor Setar, Kedah.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Ular sawa telan lembu hidup-hidup

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan seekor lembu yang ditelan secara hidup-hidup oleh seekor ular sawa. - Tribunnews
JAKARTA – Sekumpulan  penduduk di Mamuju, wilayah Sulawesi Barat terkejut apabila menemui seekor ular sawa gergasi menelan seekor lembu, lapor portal berita Abatanews semalam. 

Kejadian berlaku di sebuah kawasan kebun di Dusun Tonde, daerah Kalukku. 

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan lembu itu dibaham di kawasan belukar oleh pemangsanya. 

Saiz lembu yang besar membuatkan perut reptilia sepanjang 8 meter itu kelihatan kembung dan sukar untuk bergerak. 

Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Husain berkata, dia menemui ular sawa itu semasa dalam perjalanan ke kebun. 

“Ular itu ditangkap oleh penduduk kampung selepas tidak boleh bergerak kerana terlalu kenyang. 

“Lembu itu hilang selama tiga hari sebelum ditemukan di dalam perutnya (ular tersebut),” tambah Husain. – AGENSI

Lori terjunam ke gaung pemandu maut tersepit ditindih balak

AZIZAH SHAFIEI
MANGSA tersepit di dalam kepala lori treler yang terjunam ke dalam gaung dan ditindih kayu balak di Kilometer 50 Jalan Temerloh-Melati berhampiran Tasik Bera di Bera hari ini.
BERA – Seorang lelaki maut selepas treler muatan balak yang dipandunya terbabas ke dalam gaung selepas berlanggar dengan sebuah kereta jenis Honda Civic di Kilometer 50 Jalan Temerloh-Melati berhampiran Tasik Bera di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyaksikan kepala lori balak berkenaan terbenam ke dalam parit dan ditindih dengan kayu balak menyebabkan mangsa, Jayden Omg yang merupakan warga China masih belum dapat dikeluarkan sehingga kini.

Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, semasa kejadian treler dipandu mangsa yang dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Rompin bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Civix.

“Akibat perlanggaran tersebut treler yang telah hilang kawalan terbabas masuk ke dalam gaung di laluan bertentangan, manakala Honda Civic telah berlanggar dengan pacuan empat roda yang berada di belakang treler.

“Pemandu lori treler terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dan sehingga kini mangsa masih tersepit di bahagian kepala treler dan belum berjaya dibawa keluar,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat mangsa dengan menggunakan pelbagai kaedah termasuk penggunaan kren bagi mengangkat treler dan kayu balak terbabit.

Katanya, mayat mangsa akan dihantar ke unit Forensik Bera setelah berjaya dikeluarkan.

“Laluan ini turut ditutup sementara sehingga kerja-kerja mengeluarkan mangsa selesai sehingga dimaklumkan kemudian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kediaman rasmi MB Kedah ditenggelami air, Sanusi dan keluarga terpaksa pindah

Malaysiakini 
story-image
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta keluarganya terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat selepas kediaman rasmi di Seri Mentaloon di Alor Setar semakin ditenggelami air.

Pegawai Khas Media Menteri Besar Helmi Khalid berkata paras air di kediaman rasmi itu semakin meningkat mulai pagi tadi dan menghampiri satu meter pada petang kesan daripada limpahan Sungai Anak Bukit yang terletak di belakang Seri Mentaloon.

"Menteri Besar mengambil keputusan untuk berpindah lebih awal tengah hari tadi ke tempat yang lebih selamat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Helmi turut berkongsi di media sosialnya video yang memaparkan Muhammad Sanusi menggendong anak perempuannya keluar dari kediaman itu untuk berpindah berikutan air telah mencecah paras pinggang.

Isteri beliau, Tok Puan Seri Jusmalailani Jusoh dan anak-anak mereka yang lain turut kelihatan membawa dan mengangkat beg keluar dari kediaman berkenaan.

Semalam, media melaporkan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah setinggi dua tingkat ditenggelami air sejak pagi dan kediaman itu terletak tidak sampai 100 meter dari tebing Sungai Anak Bukit.

- Bernama

Murid tahun 1 cedera dilanggar kenderaan dipandu warga asing

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang murid tahun satu cedera dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipandu wanita warga asing di Bukit Sentosa, Rawang di sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata kejadian dipercayai berlaku pada 6.15 petang ketika kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu mahu melintas jalan.

"Sebaik turun dari van sekolah, mangsa dikatakan menuju ke belakang van untuk melintas jalan sebelum dilanggar Mitsubishi Triton menyebabkan kaki kirinya patah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu manakala pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 46 tahun itu tidak mengalami kecederaan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan.

Ukraine hilang 500,000 askar

KOSMO!

MOSCOW  – Kira-kira setengah juta askar Ukraine terbunuh atau cedera dalam perang berterusan dengan Russia, demikian menurut angka baharu yang diterbitkan oleh majalah The Economist, berdasarkan laporan risikan, ke­nyataan rasmi dan sumber lain.

Namun, The Economist  me­nyatakan bahawa sukar untuk mengira angka korban sebenar  tentera Ukraine kerana Kyiv dan sekutu-sekutunya enggan memberikan butiran lebih lanjut.

Presiden  Volodymyr Zelenskyy  mendakwa pada Februari lalu bahawa hanya 31,000 askar Ukraine telah terkorban sejak konflik dengan Russia menjadi semakin buruk pada 2022. 

Zelenskyy  juga enggan mendedahkan bilangan askar Ukraine yang cedera dengan alasan ia  akan menyebabkan Moscow me­ngetahui jumlah anggota tentera Kyiv yang berada di medan perang.

Majalah The Economist bagai­manapun memetik beberapa pegawai Amerika Syarikat sebagai berkata,  jumlah askar Kyiv yang terbunuh kini melebihi 308,000 orang. 

Menurut analisis beberapa sumber lain, angka kematian anggota tentera Ukraine yang lebih tepat adalah sekitar setengah juta dengan sekurang-kurangnya 60,000 sehingga 100,000 terbunuh.

“Mungkin 400,000 lagi askar Ukraine ‘terlalu cedera’  dan tidak dapat bertempur,” tulis majalah itu.

Ia juga memetik laman web UALosses  yang bertanggungjawab men­jejaki dan merekodkan nama serta usia askar Ukraine yang terbunuh. 

Menurut data laman web itu, Ukraine  kehilangan sekurang-kurangnya 60,435 askar atau lebih 0.5 peratus daripada populasi sebelum perangnya melibatkan penduduk lelaki dalam usia sedia  untuk berperang.

Walaupun data daripada UALosses tidak menyeluruh dan tidak semua umur askar diketahui, The Economist mencadang­kan bahawa jumlah sebenar mereka yang terbunuh dalam pertempuran adalah lebih tinggi.

Ia juga mendedahkan bahawa jumlah askar yang ‘terlalu cedera’  untuk berperang pula adalah jauh lebih besar.

“Dengan mengandaikan enam hingga lapan askar Ukraine cedera parah bagi setiap anggota tenteranya  yang terbunuh dalam pertempuran, hampir satu daripada 20 lelaki dalam usia berperang di negara itu telah mati atau terlalu cedera dan untuk berperang,” kata  majalah itu.

Awal tahun ini, Kementerian Pertahanan Russia mendakwa bahawa sejak Februari 2022, jumlah askarnya yang terjejas mencecah hampir 500,000 orang tanpa menyatakan berapa ramai yang terbunuh atau cedera.

Menurut maklumat terkini Moscow,  Kyiv juga kehilangan lebih 35,000 askar sejak Ogos lalu dalam pencerobohannya ke wilayah Kursk di  Russia.

Pada Jun lalu, Presiden Vla­dimir Putin berkata bahawa kehilangan askar Russia dalam perang itu adalah lebih kecil berbanding Ukraine.

Menurutnya, angka tersebut berdasarkan nisbah korban kira-kira seorang askar Kremlin bagi setiap lima anggota tentera Kyiv, yang maut,  katanya. – AGENSI

Gara-gara Pemandu ke tandas hanya 4 minit, 125 perkhidmatan tren alami kelewatan

Agensi

Seoul: Perkhidmatan kereta api bawah tanah Seoul untuk Laluan 2 tertunda lebih 20 minit ketika waktu puncak pada sebelah pagi akibat seorang konduktor berehat untuk menggunakan tandas secara tiba-tiba pada 25 November lalu, menurut Seoul Metro.

The Korea Herald melaporkan konduktor itu sedang memandu kereta api terpaksa meninggalkan gerabak secara tiba-tiba untuk menggunakan tandas di sebuah stesen kereta api, pada jam 8.11 pagi waktu tempatan.

Sementara itu, seorang jurutera mengawasi kereta api berkenaan sementara konduktor berlari ke platform dan kembali selepas empat minit 16 saat selepas menggunakan tandas di tingkat lain.

Namun, 125 perkhidmatan kereta api terpaksa dijadualkan semula susulan insiden berkenaan.

Ramai pengguna mengalami kelewatan 20 minit dari waktu ketibaan daripada jadual asal, kata Seoul Metro.

Bagaimanapun, berkemungkinan ia tidak menyebabkan ketidakselesaan besar kepada penumpang kerana kereta api terus tiba dan berlepas pada selang masa sama seperti biasa.

The Korea Herald melaporkan konduktor perlu bekerja selama dua hingga tiga jam berturut-turut, tanpa rehat.

Jika perlu menggunakan tandas, konduktor perlu menggunakan tandas di stesen, yang tidak berdekatan dengan platform.
 -hmetro 

Kelantan: Kedegilan ibu bapa akibatkan bayi maut terjatuh dalam air

Nor Fazlina Abdul Rahim
am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Seorang bayi lelaki berusia setahun ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam air di rumahnya di Kampung Cherang Melintang, Chabang Empat, Tumpat, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam Khamis itu, ibu mangsa berusia 41 tahun tersedar daripada tidur dan mendapati anaknya tiada di sisi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata ibu mangsa mencari anaknya di bilik namun tiada sebelum melihat anaknya dalam keadaan terapung dalam air banjir di tingkat bawah rumahnya

Katanya, mangsa kemudian meminta bantuan jiran untuk membawa anaknya keluar dengan menggunakan perahu ke hospital sebelum disahkan sudah meninggal dunia.

"Rumah mangsa adalah dua tingkat dan sebaik air sudah memasuki kawasan dalam rumah, keluarga berkenaan tidak berpindah sebaliknya hanya berlindung di tingkat atas.

"Ini yang saya tekankan supaya terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak kejadian buruk berlaku.

"Disebabkan kedegilan ibu bapa, bayi berusia setahun jadi mangsa. Kematian bayi ini adalah mangsa banjir ketiga di Kelantan selepas di Pasir Puteh dan Machang," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan semua penduduk supaya terus berpindah sekiranya air mula naik di halaman rumah dan jangan menunggu ketika air sudah di tahap bahaya.

Selamba pikul buaya seberat 150 kilogram

KOSMO
Tangkap layar menunjukkan buaya seberat 150 kilogram itu dipikul oleh seorang lelaki di daerah Hamirpur. - X
NEW DELHI – Seorang pegawai hidupan liar di negeri Uttar Pradesh mengundang perhatian orang ramai kerana bersahaja memikul seekor buaya gergasi di atas bahunya, lapor stesen penyiaran NDTV semalam. 

Kejadian berlaku di sebuah perkampungan di Pauthiyahurd, daerah Hamirpur pada 26 November lalu.

Rakaman dimuat naik di laman X oleh akaun @ManojSh28986262 menunjukkan lelaki itu memikul buaya sepanjang 6.09 meter yang ditangkap di sebuah kolam.

Buaya seberat 150 kilogram itu pertama kali dikesan sebulan lalu sebelum mula mengganas dan mengganggu penduduk kampung sejak tiga minggu lepas. 

Kerana takut diserang, penduduk tempatan menghubungi pihak berkuasa.

“Pasukan jabatan hutan berjaya menangkap reptilia ganas itu selepas melakukan pemantauan selama tiga minggu. 

“Sebelum dipikul, mulut dan anggota badan badan buaya itu diikat dengan kain serta tali,” demikian menurut keterangan video berkennaan. 

Reptilia itu kemudian dilepaskan ke dalam hutan berdekatan. – AGENSI

Jumlah mangsa banjir naik kepada 140,107 di 715 PPS

FMT Reporters

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 38 daerah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor terjejas.

PETALING JAYA: Seramai 140,107 mangsa banjir daripada 42,214 keluarga ditempatkan di 715 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri setakat 3 petang ini berbanding 123,554 pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 38 daerah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor terjejas.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 91,129 mangsa daripada 28,213 keluarga yang ditempatkan di 288 PPS di 10 daerah, disusuli Terengganu dengan 39,422 mangsa daripada 11,098 keluarga berlindung di 336 PPS di lapan daerah.

Di Kedah, seramai 6,059 mangsa daripada 1,900 keluarga ditempatkan di 52 PPS di tujuh daerah, manakala 18 PPS masih beroperasi di tiga daerah di Negeri Sembilan yang menempatkan 2,099 mangsa daripada 601 keluarga.

Di Perlis, 492 orang daripada 146 keluarga berlindung di empat PPS di tiga daerah, manakala 393 mangsa daripada 123 keluarga masih ditempatkan di 10 PPS di dua daerah di Johor.

Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Melaka masing-masing berkurangan kepada 302 orang daripada 75 keluarga di sebuah PPS serta 194 daripada 52 keluarga di lima PPS di tiga daerah.

Begitu juga di Perak dengan jumlah mangsa banjir turun kepada 17 orang masih berlindung di sebuah PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di Kelantan, Terengganu dan Perak hingga esok.

Menurutnya, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku khususnya di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan.

Di Terengganu, daerah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang turut diramalkan mengalami hujan lebat berterusan dalam tempoh sama.

Hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di Hulu Perak (Perak), Gua Musang di Kelantan serta Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Kelantan: Jambatan runtuh dibadai arus banjir, penduduk tak dapat keluar beli barang keperluan

Hazira Ahmad Zaidi
bhnews@bh.com.my
Jambatan menghubungkan Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama di Kuala Krai, Kelantan runtuh susulan hujan lebat dan arus deras Sungai Pahi. - Foto ihsan penduduk.
Jambatan menghubungkan Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama di Kuala Krai, Kelantan runtuh susulan hujan lebat dan arus deras Sungai Pahi. - Foto ihsan penduduk.
KUALA KRAI: Jambatan menghubungkan Kampung Temalir dan Kampung Temalir Lama, dekat sini, runtuh susulan hujan lebat dan arus deras Sungai Pahi, menyebabkan hampir 100 penduduk terputus hubungan.

Kejadian ketika hujan lebat berterusan pada Selasa lalu yang mengakibatkan paras air Sungai Pahi naik mendadak dan menenggelamkan jambatan yang akhirnya runtuh dibadai arus deras, malah jalan kampung yang menjadi laluan alternatif untuk ke bandar Kuala Krai turut terjejas akibat banjir.

Penduduk Kampung Temalir Lama, Cik Idris Isa, 43, hampir 100 penduduk kampung berkenaan terputus hubungan hingga menyukarkan mereka untuk keluar membeli barang keperluan.

"Kemungkinan besar sebahagian jambatan sudah dihanyutkan arus deras dan lebih membimbangkan paras air sungai juga menunjukkan trend menaik. Setiap kali musim tengkujuh, jambatan besi sepanjang 300 meter berusia lebih 20 tahun ini sering ditenggelami banjir.

"Lebih merisaukan lagi adalah hakisan tebing sungai juga semakin teruk terutamanya apabila hujan," katanya menambah penduduk juga takut menggunakan bot untuk keluar kerana arus banjir sangat deras.

"Saya bimbang stok makanan yang ada ketika ini tidak mencukupi. Keadaan ketika ini menyukarkan kami untuk keluar mencari kelengkapan dapur," katanya.

Katanya, sebelum ini, jambatan itu sudah beberapa kali dibaik pulih setiap kali runtuh akibat dibadai arus deras, malah selepas banjir surut, penduduk juga akan bergotong-royong menyambung kembali sebahagian jambatan yang runtuh.

"Kami sambung kembali bahagian jambatan yang runtuh menggunakan papan, kayu daripada pokok kelapa dan pokok durian bagi memudahkan urusan berulang alik.

"Jambatan berkenaan kini dalam proses naik taraf, namun dihentikan sementara disebabkan banjir. Selepas jambatan baharu siap dibina, barulah kami tidak perlu lagi berasa bimbang," katanya.

Kelantan: PPS kurang bekalan makanan, mangsa dakwa hanya makan sekali sehari

Nor Fazlima Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Keadaan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh yang dilanda banjir dan mangsa mendakwa kekurangan bekalan makanan. FOTO  Ihsan Penduduk
Keadaan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh yang dilanda banjir dan mangsa mendakwa kekurangan bekalan makanan. FOTO Ihsan Penduduk
Rantau Panjang: Lebih 1,300 mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh mendakwa bekalan makanan di sekolah berkenaan berkurangan dan hanya diberikan makan sekali sehari.

Keadaan itu bermula sejak Rabu lalu apabila PPS berkenaan turut dilanda banjir sehingga paras 0.5 meter.

Malah, keadaan mereka kini bergelap apabila elektrik dipotong selain tiada bekalan air, sebaliknya hanya menggunakan air hujan untuk keperluan harian.

Mangsa banjir, Irwan Faizal, 40, berkata bekalan makanan berkurangan di PPS terbabit kerana pasukan penyelamat tidak dapat menghantar stok susulan arus deras.

"Kami hanya makan sekali sehari iaitu sekitar jam 2 atau 3 petang. Setakat ini masak apa yang ada sahaja dan akan mengambil barangan keperluan asas berdekatan, itupun hanya ada dua kedai sahaja.

"Untuk makan pagi atau malam, kami terpaksa mencari sendiri melainkan ada pihak yang prihatin menghantar makanan pada waktu malam seperti mi goreng dan sebagainya.

"Keadaan sangat sulit, PPS dilanda banjir, tiada elektrik, air pun tiada sebaliknya hanya guna air hujan," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang saban tahun mendiami PPS setiap kali banjir berkata, selalunya PPS akan menyediakan makanan kepada mangsa banjir tiga kali sehari.

"Justeru kami berharap PPS ini turut diberi perhatian dan bekalan makanan dapat dihantar secepat mungkin memandangkan mangsa begitu ramai.

"Malah kami juga perlukan bekalan air bersih," katanya.

Setelah sekian lama akhirnya Arab Saudi henti perjanjian pertahanan dengan AS

Astro Awani

Setiausaha Negara AS Antony Blinken ketika mengadakan pertemuan bersama Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di Jeddah. - Foto REUTERS

RIYADH: Arab Saudi telah menghentikan usahanya untuk mendapatkan perjanjian pertahanan yang komprehensif dengan Washington sebagai pertukaran untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Menurut laporan Reuters, Riyadh kini menumpukan perhatian pada perjanjian kerjasama ketenteraan yang lebih sederhana, menurut dua pegawai Arab Saudi dan empat pegawai barat.

Pada awal tahun ini, dalam usaha mencapai perjanjian keselamatan bersama yang luas, Riyadh melonggarkan pendiriannya terhadap penubuhan negara Palestin.

Arab Saudi memaklumkan kepada Washington bahawa komitmen terbuka Israel terhadap penyelesaian dua negara sudah memadai untuk kerajaan teluk itu menormalkan hubungan.

Namun, dengan kemarahan awam di Arab Saudi dan Asia Barat semakin memuncak akibat tindakan ketenteraan Israel di Gaza, Putera Mahkota Mohammed bin Salman sekali lagi menegaskan bahawa pengiktirafan terhadap Israel hanya akan berlaku jika ia mengambil langkah konkrit untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.

Menurut diplomat barat, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, masih berminat untuk mencapai normalisasi hubungan dengan Arab Saudi sebagai mercu tanda bersejarah dan bukti penerimaan lebih luas di dunia Arab.

Namun, Netanyahu menghadapi tentangan hebat di dalam negaranya terhadap sebarang konsesi kepada rakyat Palestin selepas serangan Hamas pada 7 Oktober.

Sebarang langkah ke arah penyelesaian dua negara dijangka memecahkan gabungan pemerintahannya.

Menurut sumber, dengan kedua-dua pemimpin terhalang oleh kekangan politik dalaman, Riyadh dan Washington berharap perjanjian pertahanan yang lebih sederhana dapat dimeterai sebelum Presiden Joe Biden meninggalkan White House pada Januari.

Perjanjian pertahanan penuh antara Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi memerlukan kelulusan Senat AS dengan majoriti dua pertiga, sesuatu yang tidak mungkin berlaku tanpa pengiktirafan Israel oleh Riyadh.

Perjanjian baharu yang sedang dibincangkan melibatkan peluasan latihan dan latihan ketenteraan bersama untuk menangani ancaman serantau, terutamanya dari Iran.

Ia juga akan menggalakkan kerjasama antara firma pertahanan AS dan Arab Saudi dengan langkah keselamatan untuk mengelakkan kerjasama dengan China.

Selain itu, perjanjian itu bertujuan untuk mempromosikan pelaburan Arab Saudi dalam teknologi canggih, terutamanya sistem pertahanan dron.

AS juga dijangka meningkatkan kehadirannya di Riyadh melalui sokongan logistik, latihan, dan keselamatan siber, serta mungkin menempatkan batalion peluru berpandu patriot untuk meningkatkan pertahanan peluru berpandu dan pencegahan serantau.

Namun, perjanjian ini tidak akan menjadi perjanjian pertahanan bersama yang mewajibkan angkatan bersenjata AS melindungi pengeksport minyak terbesar dunia itu jika berlaku serangan asing.

Juruwang warga China maut ditikam di restoran

FMT Reporters

Kejadian di sebuah pusat beli-belah di Cheras membabitkan wanita berusia 49 tahun itu dilaporkan berlaku petang semalam.
PETALING JAYA: Seorang juruwang warga China dilaporkan mati ditikam di restoran tempatnya bekerja, dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Cheras, semalam.

Kejadian membabitkan mangsa wanita berusia 49 tahun itu dipercayai berlaku antara 3 hingga 4 petang.

Ketua Polis Cheras, Aidil Bolhassan, berkata pihaknya setakat ini telah menahan tujuh suspek terdiri rakan sekerja mangsa untuk membantu siasatan.

“Mangsa dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau dan pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian tidak menemukan senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.

“Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis.

“Mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bedah siasat,” katanya.

Lelaki tular terlibat kemalangan 2 kereta ditahan

Bernama

Dalam kejadian di Sungkai, kereta dipandu lelaki terbabit tiba-tiba telah masuk ke laluan pengadu dan melanggar bahagian hadapan Perodua Axia.
Tangkap layar rakaman tular menunjukkan kemalangan membabitkan dua kenderaan di Taman Sungkai Perdana, Sungkai.
IPOH: Seorang lelaki disyaki terbabit dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Taman Sungkai Perdana, Sungkai, yang tular di laman sosial baru-baru ini telah ditahan polis semalam.

Ketua Polis Tapah, Mohd Naim Asnawi berkata pihaknya menerima laporan polis daripada pengadu iaitu wanita berusia 23 tahun pada kira-kira 3 petang 25 Nov lepas berkaitan kemalangan tersebut.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku 1.28 tengah hari pada hari yang sama membabitkan kereta jenis Perodua Axia yang dipandu pengadu dan kereta jenis Perodua Aruz dipandu suspek berusia 47 tahun.

“Kemalangan berlaku semasa pengadu memandu dari rumahnya ke sebuah premis di sekitar Taman Sungkai Perdana untuk membeli makanan .

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu lelaki itu tiba-tiba telah masuk ke laluan pengadu dan melanggar bahagian hadapan Perodua Axia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Naim berkata kedua-dua pemandu terbabit tidak mengalami kecederaan tetapi hanya kerosakan pada kenderaan dan hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati tempat kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau berkata Bahagian Cawangan Trafik IPD Tapah telah mengesan dan membuat tangkapan terhadap suspek di Taman Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor kira-kira 1 tengah hari tadi.

“Punca kemalangan masih dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut,” katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pegangkutan Jalan 1987.

Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik IPD Tapah Sadri Omar di talian 016-9266800.

Kelab Liga Pro Saudi tawar Salah gaji lebih tinggi daripada Ronaldo

Agensi
SALAH menjadi buruan kelab Arab Saudi. FOTO AFP
SALAH menjadi buruan kelab Arab Saudi. FOTO AFP
London: Mohamed Salah yang berdepan masa depan tidak menentu di Liverpool dijangka mendapat tawaran luar biasa daripada kelab Liga Pro Saudi dan tidak mengejutkan jika bayaran gaji bakal diterimanya lebih daripada Cristiano Ronaldo.

Kontrak Salah, 32, di Liverpool berakhir Jun 2025 jika tiada perjanjian baharu dimuktamadkan antara pemain sebelum penghujung musim 2024/25.

Bintang Mesir itu membayangkan situasi masa depannya di Anfield selepas tamat perlawanan menentang Southampton yang mencetuskan keresahan penyokong mereka apabila menyatakan dia mungkin meninggalkan mereka berbanding terus kekal bersama Liverpool.

Kini menurut Mail, Salah bakal ditawarkan kontrak luar biasa jika menyertai kelab Liga Pro Saudi dengan hierarki kelab terbabit sudah lama mahu membawanya ke Timur Tengah.

Pada Ogos 2023, bekas bintang Roma menarik minat Al-Ittihad yang sedia menawarkan £150 juta (RM846 juta) tetapi gagal direalisasikan.

Berdasarkan fakta pemain berusia 32 tahun itu akan berpindah dengan perpindahan percuma, dia dijangka menerima pendapatan lebih tinggi daripada Ronaldo.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu yang beraksi dengan Al-Nassr sejak Disember 2022 dilapor menerima £177 juta (RM998 juta) setahun.

Menurut laporan Mail, sumber mendakwa sebarang perjanjian untuk Salah menyertai Liga Pro Saudi bakal membabitkan bayaran melepasi gaji Ronaldo.

Justeru, Salah perlu membuat keputusan sama ada mahu terus kekal untuk menjulang trofi dengan Liverpool atau berpindah mencari cabaran baharu di Arab Saudi.

Tujuh kanak-kanak main basikal lajak secara berbahaya ditahan polis

Bernama

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kesemua kanak-kanak itu telah dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk tujuan dokumentasi. - Gambar FB IPD Timur Laut

GEORGE TOWN: Polis menahan tujuh kanak-kanak lelaki kerana bermain basikal lajak di kawasan Lebuh Relau 4 di sini hingga mengganggu ketenteraman dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurut kenyataan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kesemua kanak-kanak itu telah dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk tujuan dokumentasi sebelum diserahkan kepada waris dan penjaga masing-masing.

"Berdasarkan aduan orang awam mengenai sekumpulan kanak-kanak dikatakan bermain basikal lajak di kawasan itu hingga mengganggu ketenteraman dan membahayakan pengguna jalan raya lain, Pasukan Petugas Balai Polis Sungai Nibong telah melakukan rondaan dan tinjauan di sekitar lokasi tersebut pada petang semalam," menurut kenyataan itu

Sehubungan itu, polis menasihati ibu bapa agar sentiasa mengawasi pergerakan, tingkah-laku dan aktiviti anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang aktiviti yang membahayakan diri sendiri serta orang lain.

Sejak semalam tular rakaman video memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain basikal lajak di jalan raya di kawasan berkenaan ketika cuaca hujan yang bukan sahaja membahayakan mereka malah pengguna jalan raya lain.

Rumah tertimbus: Dua beradik maut, seorang selamat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dua beradik dikenal pasti mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Ajil, Hulu Terengganu, petang tadi.

Mangsa dikenali Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya, Siti Fatimah, 13, yang ditemui 6.32 petang dan 6.59 petang.

Mangsa terselamat dikenali Uzair, 17, yang ditemukan 5.17 petang, lapor Harian Metro.

Sementara itu, jiran mangsa Danial Arabi berkata dia ada mendengar suara mangsa meminta tolong namun tidak sempat membantu.

“Saya dengar suara mangsa meminta tolong namun saya tidak dapat buat apa-apa kerana tidak tahu keberadaan mereka,” katanya yang memaklumkan mendengar bunyi dentuman kuat ketika berada di rumah pada 4.30 petang.

“Sebaik keluar, saya melihat tanah runtuh yang menghempap tiga rumah.

“Saya segera ke sana dan nampak seorang mangsa yang terperangkap selain mendengar suara meminta tolong,” katanya.

Lelaki dapat pampasan hampir RM2 bilion kerana suntikan diberi semasa rawatan menyebabkan kemaluannya gagal berfungsi sepenuhnya

Lelaki dapat pampasan hampir RM2 bilion kerana ‘adik’ sudah mati
 
KOSMO!

WASHINGTON  –  Panel juri di negeri New Mexico, Amerika Syarikat (AS) menganugerahkan pampasan AS$412 juta (RM1.8 bilion) kepada seorang lelaki berusia 72 tahun,  lapor portal berita The Sacramento Bee semalam.

Lelaki itu menyaman sebuah pusat perubatan kerana mendakwa dia diberikan suntikan tidak perlu sehingga merosakkan zakarnya,

Panel juri memberikan pampasan AS$37 juta (RM164 juta) dan ganti rugi punitif berjumlah AS$375 juta (RM1.6 bilion) pada Isnin lalu. Kes tersebut dibicarakan di sebuah mahkamah daerah Bernalillo, demikian menurut dokumen mahkamah. 

Peguam lelaki itu berkata, keputusan mahkamah itu merupakan anugerah penyelewengan perubatan terbesar dalam sejarah, manakala selepas mengambil kira kadar faedah, pampasan itu dijangka melebihi AS$550 juta (RM2.4 bilion). 

“Disebabkan penipuan korporat dan ketamakan, anak guam saya berdepan penderitaan yang tidak dapat dipulihkan dan memberi kesan mendalam terhadap tubuh badan serta kehidupannya.

“Zakar lelaki berusia 72 tahun itu ‘hancur’ sepenuhnya,” kata seorang lagi peguamnya, Nick Rowley.

Tuntutan itu menamakan NuMale iaitu sebuah syarikat perubatan di Albuquerque, Bernalillo dan beberapa orang yang terlibat dengan firma itu sebagai defendan. 

Sementara itu, Presiden Pusat Perubatan NuMale, Barad Palubicki berkata: “Walaupun kami menghormati proses kehakiman, kerana prosiding undang-undang yang sedang berlangsung, kami tidak boleh mengulas mengenai butiran khusus kes tersebut buat masa ini.”  

Lelaki yang mengemukakan tuntutan mahkamah itu mendapatkan rawatan di pusat perubatan  Albuquerque NuMale pada 2017 untuk terapi penggantian testosteron dan penurunan berat badan, kata peguam serta dokumen mahkamahnya. – AGENSI

Siapa PM PAS?

Mohsin Abdullah

PAS percaya adalah adil pemimpinnya terutama presiden dijadikan perdana menteri.

Apabila Mursyidul Am PAS Hashim Jasin tempoh hari kata partinya yang paling layak memimpin Perikatan Nasional (PN) ini bukan sesuatu yang memeranjatkan atau menghairankan. Mengapa saya kata begitu?

Sebab untuk sekian lama PAS mahu pemimpinnya memegang jawatan perdana menteri andainya berjaya memerintah negara. Selama ini PAS memang menganggap presidennya mempunyai ciri, kebolehan dan kewibawaan untuk pegang jawatan nombor satu negara.

Oleh itu, apabila Hashim berkata apa yang beliau kata bagi saya itu ‘comes naturally’. Sekadar menyatakan pandangan, pendirian dan kemahuan selama ini. Sejak PAS ditubuhkan pada 24 Nov 1951 dan melalui kepimpinan ulama kemudian golongan nasionalis dan ulama semula sekarang.

PAS percaya adalah adil pemimpinnya terutama presiden dijadikan perdana menteri. Diulangi jika PAS memerintah negara secara sendirian atau sebagai anggota gabungan politik.

Betullah Hashim tidak menyebut secara spesifik jawatan perdana menteri. Tetapi rasanya semua boleh faham apa maksudnya. Imbas kembali apa yang beliau katakan seperti yang dilapor media 22 Nov lalu.

Menurut Hashim, PAS layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen. PAS ada 49 Ahli Parlimen. Sekali gus menolak Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dijadikan calon PM bagi gabungan PN. Untuk pengetahuan DAP ada 40 kerusi Parlimen, PKR (31), Umno (26) dan Bersatu (25) iaitu sebelum enam YB Bersatu berpaling sokong PMX.

Dan kata Hashim PAS mempunyai jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara di samping tidak ada rekod atau masalah lompat parti ‘berbanding Bersatu yang sekarang terbukti banyak kepincangan’.

Itu alasan untuk tolak Muhyiddin dan Bersatu bagi ‘menghalalkan’ PAS memimpin PN. Ini saya baca sebagai presiden PAS jadi PM.

Bagaimanapun, semasa PAS berada dalam gabungan lain pada masa dahulu pendirian presiden PAS sebagai PM sudah dipegang. Umpamanya semasa duduk dalam Pakatan Rakyat (PR). Majoriti ahli PAS tetap mahu presiden mereka jadi PM jika PR menang meskipun gabungan itu ada pilihan calon perdana menteri mereka sendiri yang dipersetujui semua anggota (termasuk PAS secara luaran). Yang dimaksudkan pilihan PR ialah pemimpin PKR Wan Azizah Wan Ismail atau Anwar Ibrahim. Cuma PAS memendam rasa dan dilihat menuruti pilihan gabungan. Mungkin atas sebab strategi tertentu dan sebagainya. Apa pun PR tidak pernah menang pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan persekutuan. Oleh itu soal siapa PM sekadar ‘akademik’ lantas tidak ditimbulkan.

Berbalik soal PAS dan PN. Dewasa ini PN khususnya PAS yakin boleh menang PRU akan datang. Kerana itu pada hemat saya Hashim timbulkan soal siapa harus memimpin PN.

Ikut apa yang dihasrat Hashim (saya pasti semua dalam PAS bersependapat dengan beliau) andai PN yang dipimpin PAS menang logiknya yang akan jadi PM ialah Hadi Awang. Selain apa yang disebut tadi Hadi juga ada pengalaman sebagai pentadbir hasil memegang jawatan menteri besar Terengganu selama sepenggal dari 1999 hingga 2004.

Hadi kini berusia 77 tahun. Jika PRU diadakan pada 2027 dan PAS/PN menang beliau akan berusia 80 tahun lebih muda ketika Dr Mahathir Mohamad jadi PM kali kedua pada 2018. Jika Hadi mahu bertindak sebagai ‘power behind the throne’ siapakah orang PAS pilihan parti atau lebih penting pilihan beliau sendiri untuk menjadi perdana menteri ‘bagi pihak beliau’?

Untuk menjawab soalan itu perlu ditonjolkan persoalan siapa ‘next in succession’ dalam PAS sekarang?

Pemerhati, penganalisis politik dan media sudah lama buat spekulasi. Media Singapura CNA menyebut dua orang ‘contender’. Calon pertama Muhammad Khalil anak Hadi sendiri. Beliau berusia 47 tahun, bekas ketua Pemuda PAS, Adun selama dua penggal dan duduk dalam kerajaan Terengganu. Beliau ialah seorang ‘Islamic scholar’ oleh itu sememangnya lantang menyuarakan isu dan hukum syariah. Ertinya beliau golongan ulama dalam PAS. Sebagai anak presiden Khalil memang ada kelebihan.

Seorang lagi ‘contender’ ialah Ahmad Samsuri Mokhtar atau Dr Sam. Beliau ialah menteri Besar Terengganu sekarang. ‘He is a PhD holder in aeroengine ignition and combustion’. Ertinya beliau ialah golongan profesional dalam PAS.

Seorang rakan bertanya mengapa Hadi memberi peluang luar biasa kepada Samsuri yang merupakan bekas setiausaha politiknya. Apa syarat dan apa maknanya? tanya si kawan.

Contoh. Hadi menyerahkan kerusi DUN Rhu Rendang yang sangat kebal malah paling selamat untuk PAS ditandingi Samsuri. Kerusi itu dipegang Hadi sejak 1986 hingga melepaskannya kepada Samsuri pada 2018. Hadi meminta Samsuri bertanding di kawasan selamat itu dengan hasrat dipilih jadi MB Terengganu jika menang. Hasrat Hadi tercapai.

Pada 2022 Terengganu dilanda banjir besar. Samsuri selaku menteri besar tidak kelihatan kerana berada di New Zealand. Beliau dikritik keras luar dan dalam parti. Hadi tampil mempertahankan Samsuri dengan bersungguh-sungguh. Ertinya Hadi sayang Samsuri? Pilihan beliau sebagai pengganti? Tetapi bukankah ‘blood is thicker than water’? Mungkin Hadi tidak mahu memilih anak sendiri untuk elak dituduh mengamalkan nepotisme? Atau Hadi mahu PAS memaparkan imej moderat Samsuri berbanding imej Islamik keras Khalil?

PAS sejak dahulu ada kelompok ulama dan profesional. Kita masih ingat apa jadi pada 2015. Profesional dinyahkan. Ulama seperti biasa menang kerana PAS parti kepimpinan ulama.

Oleh itu, bukan mustahil majoriti dalam PAS mahu seorang ulama yang memimpin negara jika Hadi tidak mahu ambil peranan aktif dan bertindak di belakang tabir, mungkin atas alasan kesihatan. Pilihan mereka pasti seorang lagi ulama. ‘Who can be a better choice than’ anak Hadi sendiri?

Tetapi sebelum itu semua, PAS perlu menang PRU terlebih dahulu. Bolehkah PAS menang? Dapat sokongan orang bukan Melayu, bukan Islam? Bekas menteri undang-undang anak kelahiran Kelantan Zaid Ibrahim berpendapat PAS ‘tidak usah angan-angan merebut jawatan PM’.

Negara kata beliau, memerlukan pemimpin yang berani berjihad melawan rasuah, tetapi PAS ‘hanya akan mengejar sasaran mudah seperti kedai 4D, pusat urut, kedai arak dan kedai babi serta panggung wayang tidak pasang lampu’.

Menurut Zaid, walaupun terdapat pemimpin PAS yang berkelayakan untuk jadi PM, mereka tidak sesuai dan tidak punya peluang untuk menang.

Polis dipenjara 12 tahun kerana memperdagang, dera pembantu rumah

S Vinothaa

Seorang pegawai polis dan isterinya yang merupakan ahli perniagaan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 12 dan 10 tahun, kerana memperdagangkan dan mengeksploitasi pembantu rumah warga Indonesia, Zailis, sebagai buruh paksa.

S Vijiyan Rao, 40, dan K Rineshini Naidu, 37, didapati bersalah mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) di mahkamah antipemerdagangan orang di Klang, hari ini.

Akta Atipsom merangkumi kes-kes kemudaratan yang teruk yang dikenakan ke atas mangsa pemerdagangan.

Mereka didakwa pada September 2022, berikutan pendedahan bahawa pegawai dari Kementerian Sumber Manusia didesak untuk menyembunyikan perkara itu.

Pasangan itu, yang mempunyai dua anak, diarah memberi pampasan kepada Zailis, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama.

Mereka diarah membayar RM80,000 dalam tempoh sebulan selepas sabitan.

Pasangan yang berasal dari Batu Caves, Selangor itu turut menerima hukuman penjara tambahan bagi pertuduhan berasingan.

Rineshini disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperkatakan menyebabkan kecederaan parah secara sukarela dan dihukum penjara empat tahun, denda RM4,000 dan tempoh penjara tambahan jika denda tidak dibayar.

Sementara itu, bagi sabitan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen, Vijiyan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan RM25,000, dengan tambahan empat bulan penjara jika gagal membayar denda.

Seksyen 55B menyentuh kesalahan menggaji seorang atau lebih orang selain daripada warganegara atau pemegang Permit Masuk yang tidak mempunyai pas yang sah.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono berkata keputusan itu menghantar mesej jelas kepada majikan bahawa tingkah laku sedemikian tidak akan terlepas daripada hukuman.

Kes Zailis menggambarkan perjuangan biasa yang dihadapi oleh kes pembantu rumah Indonesia di Malaysia, terutamanya penderaan fizikal dan gaji yang tidak dibayar.

M Saravanan yang merupakan Menteri Sumber Manusia ketika pasangan itu ditahan berkata Zailis mempunyai tunggakan gaji RM32,000 yang tidak dibayar sejak 2019 dan menyifatkan pasangan dari Batu Caves itu memberi imej buruk kepada negara.

Pada awal September 2022, Zailis dimasukkan ke hospital dengan luka parah di muka dan kecederaan pada kedua-dua telinganya akibat dipukul majikannya.

Hermono yang melawatnya di Hospital Selayang berkata dia turut dirawat kerana kecederaan patah tangan lama yang dialami apabila majikannya didakwa memukulnya, tetapi tidak pernah berusaha untuk merawat kecederaannya.

Dia berkata Zailis terpaksa meneruskan kerja dengan patah tangan dan kecederaan lain seperti disimbah air panas di belakangnya.

Mangsa banjir hampir mencecah 100,000 setakat petang tadi

Malaysiakini 

Situasi banjir di lapan negeri kian buruk dengan angka keseluruhan mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 96,883 orang setakat 4 petang ini.

KELANTAN adalah negeri paling terjejas dengan 65,993 mangsa ditempatkan di 244 PPS di 10 jajahan berbanding 59,232 orang pagi tadi.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 22,486 orang di 56 PPS diikuti Tumpat (11,105 mangsa, 22 PPS), Kota Bharu (8,349 mangsa, 39 PPS), Kuala Krai (5,584 mangsa, 41 PPS), Tanah Merah (4,458 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (3,040 mangsa, 10 PPS).

Di Pasir Puteh seramai 5,882 mangsa ditempatkan di 25 PPS, Machang (4,510 mangsa, 20 PPS), Jeli (535 mangsa, empat PPS) dan Gua Musang (44 mangsa, sebuah PPS).

Beberapa sungai utama di Kelantan melepasi paras bahaya antaranya Sungai Lanas di Jeli dengan bacaan 29.22 meter (m); Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu (5.47 m); Sungai Golok di Kampung Jenob (28.99 m); Sungai Sokor di Kampung Sokor (33.92 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (11.43m).

Di TERENGGANU, jumlah mangsa turut terus meningkat kepada 22,511 orang yang ditempatkan di 228 PPS berbanding 20,911 orang pagi tadi dan Besut menjadi daerah paling terjejas dengan 10,867 orang.

Di Setiu melibatkan 4,544 mangsa di 46 PPS; Hulu Terengganu (4,152 mangsa di 38 PPS), Kemaman (1,519 mangsa di 17 PPS), Dungun (703 mangsa di 16 PPS), Marang (665 mangsa di sembilan PPS) dan Kuala Nerus (61 mangsa di satu PPS).

Paras air sungai di 11 stesen seluruh negeri telah melepasi paras bahaya termasuk Sungai Besut di Kampung La di Besut (22.31 m); Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu (14.08 m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (20.32 m) manakala 36 jalan membabitkan jalan persekutuan dan jalan negeri ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat bencana itu.

Di KEDAH, angka mangsa bertambah kepada 5,701 orang berbanding 4,378 orang pagi tadi yang berlindung di 43 PPS melibatkan daerah Kuala Mudaa, Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pokok Sena dan Sik.

Di NEGERI SEMBILAN, seramai 1,593 individu ditempatkan di 13 PPS membabitkan tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Tampin dan Jempol, berbanding 291 mangsa pagi tadi manakala di SELANGOR, 312 mangsa kini berlindung di dua PPS di Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dan Balai MPKK Bukit Kapar berbanding 117 mangsa pagi tadi.

Beberapa sungai di Selangor juga sudah melepasi paras bahaya antaranya di Pekan Meru, Klang; Kampung Sungai Selisik di Hulu Selangor dan Bukit Changgang di Kuala Langat .

Sementara itu, seramai 84 mangsa banjir di MELAKA ditempatkan di lima PPS melibatkan daerah Jasin, Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Di JOHOR, terdapat tiga PPS beroperasi masing-masing dua daerah Segamat dan satu di Tangkak membabitkan 184 mangsa.

Dua sungai iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak sudah melepasi paras bahaya manakala Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang dan Sungai Skudai di Kampung Laut, Johor Bahru; Sungai Lenik di Ladang Cha’ah, Segamat; Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak serta Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang melepasi paras amaran.

Di PERLIS, tiada perubahan ketara jumlah mangsa banjir dan seramai 485 orang masih berlindung di empat PPS berbanding 488 orang daripada 145 keluarga pagi tadi.

Sementara di PERAK, seramai 20 mangsa daripada tujuh keluarga masih berlindung di PPS SK Parit Haji Aman di Kerian susulan penutupan satu PPS di daerah Batang Padang hari ini.

Laporan terkini kejadian bencana di seluruh negara yang dikeluarkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara petang tadi memaklumkan tiga kematian dilaporkan setakat ini dengan dua daripadanya di Kelantan iaitu di Pasir Puteh dan Machang manakala satu lagi di Besut, Terengganu.

- Bernama

Terengganu: 'Saya dengar suara mangsa minta tolong namun tidak dapat buat apa-apa'

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
TANAH runtuh di Kampung Bukit Apit menyebabkan tiga orang terperangkap. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
TANAH runtuh di Kampung Bukit Apit menyebabkan tiga orang terperangkap. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Kuala Berang: "Saya dengar suara mangsa meminta tolong namun saya tidak dapat buat apa-apa kerana tidak tahu keberadaan mereka," kata Danial Arabi, 36, individu pertama tampil sejurus tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini, hari ini.

Danial adalah jiran kepada tiga beranak yang dilaporkan terperangkap dalam kejadian itu, dipercayai berlaku pada 4.30 petang.

Tanah runtuh menghempap tiga rumah iaitu rumah yang didiami kesemua mangsa dan dua rumah lagi yang sedang dalam pembinaan.

Menurut Danial, dia sedang berehat apabila dikejutkan dengan bunyi dentuman dan bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.

"Sebaik keluar, saya melihat tanah runtuh yang menghempap tiga rumah termasuk rumah dihuni enam beranak.

"Saya segera ke sana dan nampak seorang mangsa yang terperangkap selain mendengar suara meminta tolong.

"Saya kemudian menghubungi polis dan bomba memaklumkan kejadian berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Difahamkan, rumah berpenghuni didiami enam beranak namun ketika kejadian si ibu tidak berada di dalam rumah.

Terdahulu, media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini.

Bomba menerima panggilan pada 4.59 petang sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

Terengganu: 3 beranak terperangkap dalam tanah runtuh di Ajil

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
ANGGOTA bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa yang dilaporkan terperangkap di dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba sedang melakukan operasi mencari mangsa yang dilaporkan terperangkap di dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil. FOTO Ihsan JBPM.
Kuala Berang: Tiga beranak dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil di sini hari ini.

Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum bergegas ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.

Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 5.17 petang.

Hakim: Tindakan Syed Saddiq simpan, bahagi wang Armada timbul inferens niat jahat

Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyimpan dan membahagikan wang Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tanpa disimpan di tempat yang selamat di pejabat parti, menimbulkan satu inferens niat jahat.

Atas dasar itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas empat kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA) terhadap Syed Saddiq sebagai tidak keterlaluan.

Beliau berkata demikian dalam alasan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman, selepas setahun sabitan dan hukuman dijatuhkan terhadap anak kelahiran Johor Bahru itu.

Menurutnya, mahkamah berpandangan bahawa tindakan Syed Saddiq, 32, ketika kejadian sebagai Ketua Armada Bersatu dan salah seorang pemegang amanah untuk akaun parti, telah mengarahkan dua individu supaya mengeluarkan RM1 juta tanpa kelulusan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, tergolong dalam kesalahan pecah amanah.

Dua individu itu ialah saksi pendakwaan ke-11 (SP), bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, 34, dan SP13, bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 34 (saksi utama).

Susulan itu beliau berkata, mahkamah memutuskan bahawa satu kes prima facie telah berjaya diasaskan oleh pihak pendakwaan bagi pertuduhan itu dan Ahli Parlimen Muar terbabit diperintahkan untuk membela diri.

“Mahkamah ini berpendapat, tidak munasabah bagi seorang pemimpin sayap parti politik, tidak mengetahui berlakunya pengeluaran wang yang banyak daripada akaun sayap parti.

“Penafian tertuduh tentang penyimpanan dan kegunaan wang tersebut merupakan sesuatu yang sukar diterima akal,'' katanya.

Menerusi dokumen alasan penghakiman setebal 22 muka surat itu juga, hakim ini berkata, dakwaan tertuduh telah membelanjakan wang sendiri juga tidak disokong oleh mana-mana keterangan.

Katanya, tanpa sebarang bukti untuk menyokong fakta ini, dakwaan wang terlibat ialah bagi menggantikan wang tertuduh sendiri juga adalah tidak berasas.

Menurutnya, mahkamah berpuas hati, wang hasil kutipan dari majlis makan malam amal sebenarnya bagi tujuan membiayai perbelanjaan kempen pilihan raya tertuduh, iaitu sebulan selepas majlis tersebut dibuat.

Bagaimanapun, hakim ini berkata, tindakan tertuduh mengarahkan SP13 untuk mengeluarkan dan memindahkan wang RM120,000 ke akaun peribadinya, hanya beberapa hari selepas kutipan dibuat dan sebelum kempen pilihan raya bermula, ialah tindakan yang termasuk di kes menyalahgunakan harta untuk kegunaan sendiri.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Pada 9 November 2023, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dihukum penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA.

Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak Syed Saddiq gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dihukum penjara selama tiga tahun dan satu sebatan.

Sementara satu pertuduhan menyalah guna harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403 kanun sama, dia dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.

Mahkamah memerintahkan dua hukuman penjara itu dilaksanakan secara berasingan.

Bagi pertuduhan kes AMLA, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan tambahan dua tahun, jika gagal membayar denda tersebut. - Sinar Harian

18 termasuk dua wanita didakwa merusuh di tempat awam

Zuhainy Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Seramai 18 individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang atas pertuduhan merusuh akibat selisih faham pasangan kekasih. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
Seramai 18 individu dibawa ke Kompleks Mahkamah Balik Pulau, Pulau Pinang atas pertuduhan merusuh akibat selisih faham pasangan kekasih. - Foto NSTP/Zuhainy Zulkiffli
BALIK PULAU: Seramai 16 lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan merusuh akibat selisih faham pasangan kekasih, hujung minggu lalu.

Lapan tertuduh Khairul Ezham Khairul Eddy, 20, Muhammad Syafril Haikal Mohd Fazli, 20, Muhammad Aliff Aliman Mazlan, 21, Mohammad Alif Ikhram Mohd Hashim, 23, Ahmad Afifuddin Selamat, 25, Muhammad Asrul Nazrul Haizam, 22 dan Mohd Syafik Abdullah, 20, Nornikman Noor Din, 33, Nor Azira Zaidi, 40 dan Ahmad Ameeruddin Selamat, 22, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Seramai lapan tertuduh lagi iaitu Mohamed Ammar Mohamed Ghani, 19, Muhammad Aiman Ibrahim, 19, Aszaifudin Hamid Mohaideen, 19, Muhammad Nur Zuhairi Noordin, 19, Muhammad Adzlie Hakim Muhammad Nasir, 19, Muhamad Fahrien Addenan, 19, Alyssa Sofieya Mazlan, 19 dan Muhammad Nor Isma Haikal Nor Ismadi, 20, tidak mengaku bersalah.

Tertuduh masing-masing terdiri daripada pekerja kilang, pelajar kolej swasta dan institusi kerajaan, penghantar makanan, pembantu kedai makan dan penganggur.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh adalah ahli suatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama perhimpunan iaitu bergaduh dan melakukan kesalahan merusuh di Queens Water Front Q1, Persiaran Bayan Indah, Bayan Lepas, jam 2.30 pagi, 23 November lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dengan membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala semua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo.

Dalam prosiding, Jin Hong menawarkan jaminan yang berbentuk pengajaran terhadap semua tertuduh memandangkan kes berkenaan tidak sepatutnya berlaku di tempat awam termasuk di kawasan residen.

Sementara itu, Edric pula memohon mahkamah memberi jaminan paling minimum iaitu sebanyak RM1,000 seorang selepas mengambil kira faktor dan latar belakang semua tertuduh terbabit.

Mahkamah kemudian memutuskan denda RM800 kepada setiap tertuduh yang mengaku bersalah, manakala jaminan RM1,500 seorang pula dikenakan kepada tertuduh yang tidak mengaku bersalah.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Isma turut membuat pengakuan tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 323 dan 326 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan itu dilakukan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen.

Bagi kesalahan itu, mahkamah membenarkan jaminan masing-masing sebanyak RM1,500 dan RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pemuda rogol kekasih diarah jalani khidmat masyarakat 240 jam

FMT Reporters

Mahkamah Sesyen Seremban menjatuhkan hukuman itu terhadap Ronaldo Sillo Chundi, 20, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

PETALING JAYA: Seorang pelajar kolej diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan merogol remaja yang juga teman wanitanya, Mei lalu.

Hakim Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Ronaldo Sillwo Chundi, 20, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran rumahnya pada setiap 1 haribulan setiap bulan dan mengikut sesi kaunseling serta mematuhi jadual aktiviti yang ditetapkan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lapor Harian Metro.

Hakim turut mengenakan cagaran bon RM5,000 dengan penjamin daripada ahli keluarga, jika gagal boleh dikenakan penjara setahun dan sekiranya gagal menjalani khidmat masyarakat, tertuduh boleh dihadapkan semula ke mahkamah serta boleh dihukum mengikut peruntukan hukuman asal.

“Selepas mendengar rayuan mitigasi daripada pihak pembelaan dan meneliti fakta kes dan juga faktor pemberatan dikemukakan serta laporan sosial daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat dan syor yang dikemukakan, mahkamah berpendapat hukuman pemenjaraan dan sebatan rotan tidak bersesuaian dalam kes ini,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan merogol seorang remaja berusia 13 tahun di sebuah hotel di Port Dickson, kira-kira 3 petang, 15 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh Kartikeyan Supramaniam memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk khidmat masyarakat terhadap tertuduh kerana dia adalah pesalah muda manakala mangsa pula teman wanitanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi tidak membantahnya permohonan pihak pembelaan dan menyerahkannya kepada budi bicara mahkamah.

Masalah PMX

Mohsin Abdullah

Ambil gaji dan buat kerja. Rakyat takkan ‘complaint’. Musuh dan kawan sama-sama mengakui Anwar sebagai PM bekerja keras.

“Anwar boleh jadi PMX bawah tempurung. Tak payah ke luar negara, buat kerja dalam negara sahaja. Tolak jemputan ketua-ketua negara. Jangan hadir persidangan pemimpin dunia.” Teks menerusi WhatsApp ini ialah hantaran seorang bekas aktivis Umno kepada saya dua hari lalu.

“Itu pun nanti ada yang bising. Akan ada yang kata Anwar tidak berani, tidak boleh berbahasa Inggeris,” katanya lagi. Jelas beliau perli dan memerli. Beliau tidak menamakan sesiapa. Saya pula tidak tanya. Tetapi saya percaya kata-kata sinis beliau tujukan kepada golongan menjadikan siri lawatan luar negara perdana menteri sebagai isu dan ‘menyerang’ PMX.

Si penghantar mesej bukan peminat Anwar Ibrahim. Bosnya dulu adalah ‘musuh’ politik Anwar semasa kedua-duanya berada dalam Umno. Oleh itu, saya agak terperanjat beliau tampil mempertahankan Anwar. Mungkin beliau dan bosnya (yang sudah tidak aktif dalam politik) sudah lupakan perselisihan masa lalu? Mungkin beliau tampil kerana berpendapat apa berlaku ke atas Anwar sesuatu yang tidak adil? Wallahuaklam.

Sebenarnya, beliau ada membuat perbandingan lawatan Anwar dengan lawatan luar negara dibuat perdana menteri terdahulu. Pedas dan pedih. Kalau perdana menteri terdahulu dengar boleh bikin merah telinga. Saya tidak bercadang mengulangi apa dikata beliau.

Yang ingin diulangi ialah penjelasannya terhadap lawatan Anwar. “Sebenarnya lawatan PMX sebagai persediaan untuk Malaysia jadi pengerusi Asean tahun depan. Lawatan Anwar ini sebahagian untuk menyampaikan jemputan secara personal kepada ketua-ketua Asean sebelum jemputan rasmi dihantar tahun depan,” katanya.

Untuk memperkuhkan hujah beliau turut memberi kepada saya pautan kepada laporan berita Astro Awani dengan tajuk: ‘Pengerusi Asean 2025: Malaysia siap sedia, fokus keterangkuman, perkongsian global-PM’. Ini adalah inti pati ucapan PMX di Shanghai.

Selain negara Asean dan China, perdana menteri juga mengunjungi beberapa negara lain termasuk menghadiri sidang Apec di Peru. Kos lawatan ialah RM6 juta dan ini mecetuskan persoalan dalam kalangan pembangkang dan badan bukan kerajaan.

Respons awal PMX ialah ia dibayar syarikat swasta. Ini menyaksikan pelbagai pihak bertanya apa ganjaran untuk syarikat berkenaan kerana ‘nothing is free’. Susulan itu PMX dan Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil tampil berulang kali memberikan penjelasan lanjut siap dengan ‘breakdown figure’ dan sebagainya. Bagi saya ini mengelirukan.

Anwar beria-ia mahu menunjukkan kepada rakyat beliau menjimat wang kerajaan (baca rakyat). Pada hemat saya Anwar terpaling jimat. Ini tidak perlu.

Tidak ada salahnya kerajaan membiayai lawatan seorang perdana menteri. Ini adalah peruntukan buat perdana menteri. Setiap PM sebelum ini pun diperuntukkan ini. Bukan Anwar seorang sahaja. Jadi apa perlu rasa bersalah jika kerajaan membayar kos lawatan seorang perdana menteri yang membabitkan tugas rasmi? Yang boleh memberi faedah kepada negara pada jangka panjang. Melainkan ekonomi negara tidak mengizinkan.

Begitu juga dengan langkah tidak ambil gaji yang kini pembangkang mempersendakan. Tidak ambil gaji bagi Anwar cara beliau jimatkan wang kerajaan. Tetapi berapa jumlah yang dapat dijimatkan? Lainlah kalau gaji PM berbilion ringgit.

Pada pandangan saya tidak perlu Anwar ambil langkah begitu. Apabila seseorang bekerja dia berhak dapat gaji. Agama pun ada sebut soal upah. Perdana menteri juga seorang pekerja. Beliau diperuntukkan gaji. Wang itu bukan diambil daripada seseorang untuk diberikan kepada PM.

Memang ada gaji. Oleh itu Anwar sepatutnya ambil gaji dan segala ‘perks’ perdana menteri. Ambil gaji dan buat kerja. Rakyat takkan ‘complaint’. Musuh dan kawan sama-sama mengakui Anwar sebagai PM bekerja keras.

Menurut Bloomberg 23 Nov lalu ‘While Malaysia is no stranger to its own political volatilities, the nation’s economy has managed to remain robust under Anwar’s leadership which recently hit the two year mark’.

Saya ulangi langkah tak ambil gaji dan kerajaan tak bayar kos lawatan PM ‘are so unnecessary’. Diulangi juga ambil gaji yang sememangnya hak PM. ‘Take what’s due’ dan buat kerja. Tunaikan janji reformasi walaupun diakui beberapa perkara sukar dilaksanakan mengambil kira masalah ‘unik’.

Namun, untuk menuduh Anwar tidak melakukan reformasi adalah tidak adil. Ada yang telah dilakukan. Meski ada yang tidak puas hati. Sekarang masanya untuk melengkapkan pelaksanaan. Yang belum dilakukan – lakukanlah.

Gaji? Ambillah. Tidak salah ambil kalau kerja keras.

AMARAN: Hujan lebat berterusan peringkat bahaya di Terengganu, Kelantan hingga Sabtu

Intan Shanim Sulaiman

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di seluruh Terengganu serta beberapa daerah di Kelantan hingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan daerah di Kelantan itu termasuk Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu, hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka di negeri Perak (Hulu Perak), Kelantan (Gua Musang), Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin) bagi tempoh yang sama.

Dalam pada itu, hujan berterusan tahap waspada diramal berlaku di seluruh negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang.

Amaran sama juga dikeluarkan bagi Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta dan Kampar di Perak; Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong, Temerloh dan Bera) serta Segamat, Mersing dan Kota Tinggi, Johor hingga 30 November.

Hukuman penjara 7 tahun, sebatan Syed Saddiq tak keterlaluan, putus Mahkamah Tinggi

FMT Reporters

KUALA LUMPUR: Hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan yang dikenakan terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram tidak keterlaluan, menurut Mahkamah Tinggi.

Hakim Azhar Abdul Hamid berkata, mahkamah mengambil kira status Syed Saddiq sebagai tokoh masyarakat dan suri teladan bagi golongan muda apabila menjatuhkan hukuman.

Ahli Parlimen Muar itu turut dikenakan denda RM10 juta.

Dia merayu hukuman itu di Mahkamah Rayuan, yang menetapkan 16 Jan untuk pengurusan kes.

“Tertuduh (Syed Saddiq) sepatutnya menunjukkan contoh lebih baik dan menjadi suri teladan bagi golongan muda,” kata Azhar dalam alasan penghakiman 22 muka surat.

“Memandangkan ini kesalahan pertamanya, beliau masih ada masa untuk membetulkan kesilapannya dan muhasabah atas apa yang berlaku.”

Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Saddiq yang juga bekas ketua Pemuda Bersatu, didapati bersalah atas satu tuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1 juta milik sayap itu, serta satu lagi tuduhan menyalahgunakan harta berjumlah lebih RM120,000, juga milik Pemuda Bersatu.

Dia juga disabitkan bersalah atas dua tuduhan pengubahan wang haram kerana memindahkan sejumlah RM100,000 ke akaun peribadinya daripada sebuah syarikat, Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), yang dikaitkan dengan Pemuda Bersatu.

Bagi tuduhan pecah amanah dan penyalahgunaan harta, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga dan dua tahun.

Syed Saddiq dijatuhi hukuman dua tahun bagi setiap tuduhan pengubahan wang haram.

Bagaimanapun, dia hanya perlu dipenjarakan lima tahun kerana kesemua hukuman berjalan serentak.

Dalam keputusan mendapati Syed Saddiq bersalah pecah amanah, Azhar berkata, bekas menteri belia dan sukan itu mengarahkan dua ahli parti untuk mengeluarkan RM1 juta tanpa kebenaran pucuk pimpinan Bersatu.

“Tindakan menyembunyikan wang itu di pejabat sayap Pemuda menimbulkan inferens dia berniat jahat,” katanya.

Berhubung penyalahgunaan harta bernilai RM120,000, yang dikatakan hasil acara kutipan dana pilihan raya, mahkamah memutuskan bahawa tindakan memindahkan jumlah itu ke dalam akaunnya melanggar undang-undang.

“Dia tidak perlu memindahkan wang itu. Sebarang pembayaran boleh dibuat ke atau melalui akaun ABBE.

“Mahkamah mendapati tertuduh mempunyai niat menyalahgunakan wang itu,” kata Azhar.

Beliau berkata, mahkamah tidak boleh menerima pembelaan Syed Saddiq bahawa beliau tidak pernah mengarahkan ahli-ahli tersebut mengeluarkan wang RM1 juta itu, dan menafikan dia tahu tentang perkara itu.

“Tidak munasabah dia (sebagai bekas ketua Pemuda) berkata tidak tahu sejumlah besar wang dikeluarkan,” kata Azhar.

“Bagi pertuduhan penyalahgunaan harta dan pengubahan wang haram, tertuduh berkata, wang hasil kutipan dana itu adalah untuk membayar balik apa yang dibelanjakannya sebelum ini.

“Bagaimanapun, tiada keterangan dikemukakan untuk menyokong (alasan) pembelaan itu.”

Kelantan: '20 orang terperangkap... sekelililing rumah seperti pulau'

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
PENDUDUK terperangkap di tingkat atas rumah selepas kediaman mereka dinaiki air. FOTO ihsan penduduk
PENDUDUK terperangkap di tingkat atas rumah selepas kediaman mereka dinaiki air. FOTO ihsan penduduk
Pasir Mas: "Kami 20 orang terperangkap di tingkat atas rumah, sekelililing rumah seperti pulau, balai polis pun nampak bumbung," kata Atikah, 27, mangsa banjir di Kampung Bakong.

Beliau berkata, air mula naik malam tadi menyebabkan kediamannya tenggelam dan dia berpindag ke rumah ibu saudaranya berdekatan rumah.

"Namun sebaliknya yang berlaku rumah ibu saudara pun dinaiki air dan paras air di tingkat bawah rumah sudah cecah paras dada hampir satu meter.

"Sejak malam tadi kami menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan dan sehingga kini masih menununggu untuk dibawa ke pusat pemindahan sementara.

"Air begitu deras dan bot biasa sudah tidak dapat masuk ke sini yang menyebabkan kami terperangkap.

"Keadaan sekarang masih hujan dan kami bimbang paras air semakin naik. Justeri kami berharap pasukan penyelamat dapat membawa kami ke PPS dengan kadar segera," katanya ketika dihubungi.

Katanya, mereka penduduk di kampung berkenaan sudah bergelap sejak tiga hari lalu dan berharap urusan mereka dipermudahkan untuk ke PPS.

Pemandu bas ekspres lari tinggalkan penumpang takut kena cekup

MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
Anggota polis trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) Koperal Mohd Azrul Alizain menunjukkan alatan menghisap syabu yang dirampas di tempat duduk pemandu bas pada Operasi Bersepadu membabitkan tujuh agensi penguatkuasaan di Hentian RTC Gopeng, semalam. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
GOPENG – Seorang pemandu bas ekspres lelaki nekad melarikan diri meninggalkan kenderaan itu bersama 11 orang penumpang semasa pemeriksaan Operasi Bersepadu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak di Pusat Transformasi Bandar (RTC) Gopeng di sini, malam tadi.

Pengarah MKN Perak, Mohd Zawawi Zakaria berkata, pemandu itu bertindak sedemikian kerana berada di bawah pengaruh bahan terlarang dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan polis.

“Bas itu bergerak masuk ke kawasan pemeriksaan sekitar jam 10.30 malam. Suspek kemudiannya parkir kenderaannya di tepi dan terus meloloskan diri.

“Pemeriksaan dijalankan oleh pihak berkuasa kemudiannya membawa kepada penemuan alat yang digunakan bagi tujuan penyalahgunaan dadah di bahagian pemandu bas. Siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan suspek,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Katanya lagi, operasi yang menumpukan kenderaan perdagangan itu bermula pada pukul 8.30 malam dan tamat pada pukul 12 tengah malam hari ini yang melibatkan 31 pegawai dan 113 anggota.

“Sebanyak 155 buah kenderaan, 86 pemeriksaan imigresen, lapan pemeriksaan kes Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah dilakukan. Sejumlah 61 saman dan tujuh notis kesalahan trafik telah dikeluarkan. – KOSMO! ONLINE

Pemuda Pas tak tahu apa-apa isu royalti Terengganu

Harapandaily

MUAMMAR QADDAFi

Kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri Terengganu mengkritik AMANAH sebagai tidak menghormati hak federalisme dalam isu royalti Terengganu mencerminkan ketidaktahuan apa-apa pimpinan sayap pemuda parti terbabit dalam isu royalti yang dibangkitkan.

Walaupun kenyataan terbabit memetik isi perjanjian antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu berbunyi;

“Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan 5% dari nilai petroleum yang didapati di terengganu dan dijual oleh Petronas atau agen-agen atau kontraktor- kontraktor dalam tempoh yang diperuntukan dalam Fasal 2.”

Persoalan saya, bagaimana Pas mengukur sempadan pada klausa “petroleum yang didapati di Terengganu”? adakah sehingga hujung dunia?

Di situ kecuaian atau kealpaan besar kenyataan terbabit. Pas harus merujuk Kanun Tanah Negara bagi mengenalpasti sempadan negeri Terengganu, kerana tidak ada apa-apa yang tiada sempadan dalam dunia ini melainkan kebodohan.

Perkara ini telah disebut dalam kenyataan awal dikeluarkan iaitu;

Sempadan negeri ini boleh dilihat melalui Kanun Tanah Negara. Yang mendefinisikan “Tanah Negeri” sebagai ;

“State land” means all land in the state (including so much of the bed of any river and of the foreshore and the bed of the sea, as is within the rerritories of the state or the limits of territorial water) other than –

a) Alienated land;
b) Reserved land;
c) Mining land;
d) Any land which, under the provisions of any law relation to forensts (whether passeed before or after the commencement of this Acr) is for the time being reserved forest:

‘Limits of territorial waters’ dalam definisi di atas pula boleh dirujuk melalui Ordinan Darurat 1969 (sebelum mansuh) dan akta 750 (selepas mansuh) iaitu sempadan hak negeri adalah kawasan perairan yang tidak melebihi 3 batu nautica.

Persoalan lain yang ditimbulkan ialah mengapa Perjanjian 1975 dibuat sekiranya petroleum bukan milik Terengganu? Perlu difahami bahawa kewujudan perjanjian tersebut bukanlah bukti bahawa hasil petroleum itu secara mutlak milik negeri.

Sebaliknya, perjanjian ini dirangka sebagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan bahawa sekiranya petroleum didapati berada dalam sempadan negeri, maka pembayaran tunai akan diberikan kepada negeri yang terlibat.

Justeru, perjanjian ini tidak menimbulkan sebarang kesalahan kerana ia hanya bertujuan untuk mengesahkan hak pembayaran sekiranya sumber itu ditemui dalam kawasan negeri.

Dua persoalan dibangkitkan dalam kenyataan sama adalah kenapa sebelum menjadi kerajaan persekutuan, pimpinan AMANAH lah yang paling hebat kononnya memperjuangkan isu royalti di Terengganu?

Apakah ketika itu pimpinan AMANAH tak membaca atau jahil tentang undang-undang yang ada berkenaan perkara ini?

Tiada kesalahan untuk memperjuangkan hak royalti negeri Terengganu, AMANAH akan terus memperjuangkan hak royalti negeri namun ia harus dengan kebijaksanaan, bukan kebebalan.

Tiada guna jika menuntut pada sesuatu yang tidak menepati akta dan perjanjian yang dibuat. Sebagaimana dilakukan oleh Samsuri, dan Pas kini.

Ia harus mengikut prosedur dan tatacara yang betul, jika sudah termaktub dalam undang undang negara bahawa hak wang tunai minyak adalah kepada negeri yang terbabit jika dalam sempadan negeri dan Akta 750 (setelah Ordinan Darurat dimansuhkan) menetapkan sempadan negeri adalah 3 batu nautika, maka jalan yang benar untuk memperjuangkan hak bayaran tunai hasil minyak adalah dengan mengembangkan jarak ini pada kadar yang boleh menguntungkan negeri.

Ini yang tidak dibuat oleh Pas termasuk ketika memegang pentadbiran kerajaan persekutuan dan memegang jawatan menteri undang undang.

Usaha Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberi hak royalti ini pernah dibuat secara betul oleh beliau pada 2009 sewaktu menjadi Ketua Pembangkang dimana beliau telah mengemukakan cadangan agar peruntukan Seksyen 10 Akta Kemajuan Petroleum 1974 dipinda dengan memotong tanda noktah pada penghujung seksyen tersebut dan memasukkan perkataan-perkataan yang berikut:

“…dan perkataan “di luar pantai” bermaksud sebahagian kawasan di tengah laut terbuka di luar pesisir pantai yang berada di dalam had Zon Ekonomi Eksklusif bagi Persekutuan dan diukur menurut undang-undang yang diterima pakai oleh Persekutuan pada masa berkaitan.”

Berdasarkan cadangan pindaan ini, Datuk Seri Anwar menyedari bahawa Kerajaan Negeri-negeri lain tidak mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai dan diperolehi di luar 3 batu nautika perairan wilayah negeri-negeri.

Walaupun usaha ini tidak berjaya, namun cara Anwar memperjuangkan adalah melalui saluran yang betul iaitu di Parlimen, ini yang gagal dilakukan oleh Pas sewaktu menjadi sebahagian dari kerajaan Persekutuan, kini usahlah menyalahkan pihak lain!

Dan usahlah meletak beban untuk mengusahakan perkara ini di bahu pihak lain, sementelah pihak yang sehingga kini Pas berusaha mahu runtuhkan.

Pas satu habuk pun tak buat apa untuk royalti
Apa yang sebenarnya lebih jelas, perjuangan royalti pada Pas adalah ketika menjadi pembangkang . Setelah mendapat kuasa selama 33 bulan, satu habuk pun tidak dilakukan untuk capai tujuan ini.

Bahkan Pas merupakan sebahagian dari Kabinet bila Menteri Kewangan menyebut di dalam Parlimen ;

“Tiada bayaran tunai dibuat oleh PETRONAS, khususnya bagi pengeluaran petroleum kepada mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia termasuk negeri Kelantan. Ini disebabkan oleh kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.”

Jika beginilah sifat perjuangan Pas, selayaknya Pas menjadi pembangkang untuk 1000 tahun lagi.

Sesuatu yang menarik dalam dua rujukan dipetik dalam kenyataan Pemuda Paz Terengganu iaitu petikan dari Perjanjian 1975 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Iaitu TIDAK ADA SATU PUN PERKATAAN ROYALTI digunapakai, sebaliknya disebut “Bayaran Wang Tunai” . Perkataan royalti hanya ditambah oleh penulis sahaja sedangkan, besar perbezaan antara dua terma ini.

Maka, walaupun kedua-duanya melibatkan pembayaran, royalti menandakan pengiktirafan hak milik, manakala bayaran wang tunai adalah lebih kepada bentuk pampasan. Dan perlu ingat, hak kepada bayaran tunai ini jika minyak diperoleh dalam sempadan pengairan negeri, bukan sehingga hujung dunia.

Penulis merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Terengganu