"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Bekas pegawai polis culik isteri sendiri
KOSMO!
PHASAKORM menculik isterinya sendiri di Surat Thani semalam. - Foto Khaosod
BANGKOK – Seorang bekas pegawai polis yang berada di bawah pengaruh dadah methamphetamine ditangkap kerana menculik isterinya di wilayah Surat Thani, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Kejadian dramatik itu berlaku lebih sejam berikutan pertikaian keluarga dan permintaan perceraian.
Polis Surat Thani menangkap Phasakorn Kheawphakdee, 27, yang memandu sebuah kereta selepas mengejarnya di sebuah lebuh raya semalam.
Insiden itu bermula apabila dia melarikan isterinya, Sutheemas, 25, secara paksa dari tempat kerja mangsa.
Penculikan itu dilaporkan dicetuskan oleh keengganan keluarga isterinya untuk membenarkan Phasakorn bertemu anak-anak mereka dan permintaan Sutheemas untuk bercerai.
Phasakorn yang sebelum ini dipecat daripada pasukan polis kerana tidak hadir bertugas, bertindak menculik Sutheemas dalam cubaan untuk berhadapan dengan isterinya tentang perkara itu.
Seorang pegawai kanan polis, Sirichai Suksat melaporkan tentang penculikan itu yang berlaku sekitar pukul 8.20 pagi (waktu tempatan). – AGENSI
Apa hal pulak ni?: Saya kekal di Selangor hingga akhir penggal, kata Amirudin
FMT Reporters
PETALING JAYA: Adun Sungai Tua Amirudin Shari mengumumkan akan kekal di Selangor sehingga akhir penggal ini.
Beliau membuat pengumuman itu susulan pelbagai spekulasi tular baru-baru ini.
“Sebagaimana nasihat Duli Yang Maha Mulia Tuanku kepada saya, dan Tuanku perkenan untuk saya menyebut nasihat ini kepada semua.
“Saya akan kekal di Selangor sehingga akhir penggal ini demi menjamin kestabilan ekonomi dan kerajaan perpaduan Selangor,” katanya dalam kenyataan kepada pemberita.
Amirudin berkhidmat sebagai menteri besar Selangor ke-16 sejak Jun 2018. Beliau juga naib presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan Selangor.
Pagi tadi, akaun audio siar popular, Keluar Sekejap, di platform X menulis Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz disebut bakal menggantikan Amirudin sebagai menteri besar.
Katanya, menurut sumber, Amirudin dijangka bakal dilantik sebagai menteri di persekutuan.
Semalam, FMT melaporkan rundingan sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, memetik sumber dalaman Umno Selangor.
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh bagaimanapun memaklumkan tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.
Hari ini, Presiden Umno Zahid Hamidi memaklumkan tiada pemakluman daripada Tengku Zafrul berkait ura-ura akan menyertai PKR.
Tengku Zafrul menjadi ahli Umno sejak 1997 dan menyertai MKT pada Mac lalu dalam pemilihan parti penggal 2023-2026.
Zahid turut membuat teguran kepada rakan komponen kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli parti lain.
Hajiji jumpa pemimpin PH Sabah minta sokongan
Lee Way Loon
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang berdepan tekanan kuat untuk berundur susulan skandal rasuah, bertemu dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah malam tadi untuk mendapatkan sokongan mereka.
Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa semasa perjumpaan yang berlangsung ketika makan malam, Hajiji menjelaskan isu itu dan mengulangi pendirian tegasnya dalam melindungi sumber Sabah.
Sumber itu juga mendedahkan bahawa ketua menteri berkenaan berharap PH menunggu SPRM menyiasat perkara itu secara menyeluruh sebelum memutuskan sama ada untuk meneruskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau tidak.
Menurut sumber, pemimpin PH Sabah hanya mendengar penjelasan ketua menteri dan tiada perbincangan mengenai jawatan dibuat.
Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe mengesahkan majlis makan malam itu tetapi enggan mendedahkan perincian perjumpaan berkenaan.
Bagaimanapun, dia berkata Hajiji sebelum ini berkali-kali menyatakan GRS harus terus bekerjasama dengan PH walaupun beberapa ahli GRS mempunyai pandangan berbeza.
Pengerusi DAP Sabah Phoong Jin Zhe
“Di satu pihak, GRS, parti yang diterajui ketua menteri, telah berulang kali menekankan hasrat untuk bekerjasama dengan PH.
“Sebaliknya, SAPP dan Star mahu GRS bertanding kesemua 73 kerusi.
“Meski dengan pendirian berbeza ini, kami menghormati mereka, sebagaimana pendirian DAP Sabah baru-baru ini dalam mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan negeri harus dihormati.
"Perkara ini memerlukan pertimbangan dan komunikasi yang teliti dengan rakan pakatan untuk mendapatkan kata sepakat," kata Phoong, yang juga menteri negeri dalam kerajaan Hajiji.
PH Sabah bermesyuarat hari Selasa
Phoong turut mengesahkan PH Sabah akan mengadakan mesyuarat pada 17 Dis.
Dia berkata tanpa mengambil kira keadaan yang mengelirukan, pertimbangan DAP tetap jelas, iaitu memastikan keputusan muktamad memberi manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Kami memerlukan masa untuk menilai situasi yang sedang berkembang. Sementara itu, kita mesti terus menunjukkan dalam kerajaan bahawa DAP adalah kuasa baru, berkebolehan dan progresif yang membawa perubahan kepada Sabah,” katanya.
Awal hari ini, Presiden SAPP Yong Teck Lee mendedahkan bahawa mereka menasihatkan majlis tertinggi gabungan GRS untuk bertanding di semua 73 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Dia berkata PH dan BN telah mengukuhkan hubungan mereka, tanpa mengambil kira hubungan GRS dengan PH.
Dewan Undangan Negeri Sabah mesti dibubarkan pada 9 Okt tahun depan, bermakna pilihan raya negeri mesti diadakan selewat-lewatnya pada 9 Dis.
Ketika ini, GRS, BN, dan Warisan semuanya berebut kerjasama dengan PH dalam pilihan raya.
GRS terdiri daripada lapan parti termasuk Gagasan yang diterajui Hajiji, SAPP, Star, PBS, Usno, LDP, PHRS dan PCS.
Pada 3 Dis, seorang pemberi maklumat mengeluarkan rakaman video yang membabitkan beberapa Adun Sabah dalam dakwaan rasuah.
Pemberi maklumat itu mendakwa video itu mendokumentasikan perbincangan tentang rasuah yang didakwa diberikan kepada ahli politik untuk mendapatkan sokongan bagi lesen penerokaan perlombongan.
Sehari kemudian, Hajiji menafikan dakwaan itu sebagai cubaan untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri dan mencemarkan nama baiknya.
Jam 3.30 pagi: 'Lembaga' menyorok belakang langsir
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memeriksa rumah dihuni warga asing di kawasan setinggan di Taman Ayer Hitam, Dengkil, Putrajaya, dalam operasi awal pagi ini. FOTO Raja Noraina Raja Rahim
Putrajaya: Sembunyi di belakang langsir bagi mengelak diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sebaik kediaman setinggan warga asing di Taman Ayer Hitam, Dengkil diserbu awal pagi semalam.
Itu antara gelagat pendatang warga asing yang cuba menyembunyikan diri sebaik menyedari penempatan haram itu dikepung anggota JIM sekitar jam 3.30 pagi tadi.
Difahamkan rata-rata penghuni sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota berkuasa.
Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, operasi diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JIM Selangor, Johari Supardi itu turut disertai 80 pegawai dan anggota JIM.
"Seramai 100 warga asing diperiksa dengan 51 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan kebanyakannya warga Indonesia dan Myanmar berusia antara 20 hingga 50-an membabitkan 33 lelaki serta 18 wanita," katanya selepas tamat operasi.
Khairrul berkata, antara kesalahan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang dikesan dalam operasi itu adalah tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal lebih masa.
"Operasi itu dilakukan hasil risikan dijalankan sejak beberapa minggu lalu selepas JIM menerima aduan awam memaklumkan kehadiran warga asing di lokasi ini.
"JIM akan mempergiatkan usaha membanteras pati di Selangor," katanya.
Katanya, kesemua ditahan dibawa ke Pejabat JIM Selangor untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dibelasah orang ramai kerana pukul ibu sendiri di khalayak ramai
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular
Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang dipercayai memukul ibu di khalayak ramai mendapat pembalasan apabila 'dikerjakan' orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.
Klip video berdurasi dua minit 33 saat itu yang memaparkan seorang lelaki ditangkap sekumpulan orang awam tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam video itu memaparkan seorang lelaki berbaju putih yang dikatakan mencederakan ibunya, ditampar dan ditendang beberapa individu yang berang dengan tindakannya.
Turut kelihatan dalam video berkenan, seorang wanita berpakaian hitam duduk menangis di bahu jalan dalam keadaan berlumuran darah di bahagian kepala. "Itu lu (kamu) punya mak, kau jangan tunjuk gangster dengan mak kau, kau faham tak apa aku cakap!" kata seorang lelaki yang berada di lokasi kejadian.
Video berkenaan juga memaparkan pemuda terbabit 'dibasuh' dalam dua bahasa iaitu Bahasa Malaysia dan Tamil oleh orang ramai yang berang selepas lelaki itu dikatakan memukul ibunya sendiri.
Sementara itu, Harian Metro yang menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan IPK Selangor untuk mendapat maklumat lanjut gagal berikutan pihak polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.
Pengantin bersanding di tanah kubur
KOSMO!
PASANGAN pengantin bersanding di jawasan kubur di Simpang, Madura. - Foto TikTok@_zaini_93.
JAKARTA – Satu rakaman video di Simpang, Indonesia tular kerana memaparkan majlis perkahwinan yang diadakan di atas tanah perkuburan, lapor laman berita Banjarmasin Post hari ini.
Pelamin acara raja sehari itu didirikan di tepi sejumlah kubur dan di hadapan rumah pengantin. Semasa majlis berlangsung, ramai tetamu dilihat menjamu selera di kawasan perkuburan tersebut.
Rakaman video suasana majlis perkahwinan itu menjadi tular di media sosial selepas dimuat naik di platform TikTok menerusi akaun @_zaini_93.
Dalam majlis itu, pasangan pengantin berkenaan memakai pakaian sedondon berwarna putih.
Majlis perkahwinan itu mendapat komen daripada netizen dengan ada yang menulis: “Jika siang tenang tetapi bagaimana waktu malam, seram.”
Seorang lagi netizen menulis: “Tidak adakah tempat lain (untuk mengadakan majlis perkahwinan).” – AGENSI
Bersatu semakin pening selepas diperlekeh pemimpin PAS terkini SAPP pula umum keluar PN
Malaysiakini
Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini mengumumkan menarik diri daripada PN susulan pendirian gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Presiden SAPP Yong Teck Lee berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP pada 23 November lalu dan telah dimaklumkan kepada ibu pejabatnya.
“Jelas kelihatan bahawa PN ingin bertanding dalam pilihan raya Sabah yang akan datang, satu pendirian yang bertentangan dengan pendirian dan dasar SAPP yang selama ini menyatakan bahawa semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya ditandingi oleh parti-parti tempatan Sabah.
“Pendirian SAPP ini selaras dengan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan autonomi Sabah.
“Kami tidak boleh berkompromi dengan komitmen kami untuk memastikan bahawa pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri Sabah kekal di bawah bidang kuasa parti-parti tempatan, bebas daripada campur tangan parti-parti yang berpusat di Semenanjung," kata Yong dalam satu kenyataan.
SAPP merupakan satu-satunya parti komponen dalam pakatan pembangkang di Sabah.
Parti itu pernah menggotai BN sebelum menyertai PN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sebelum ini SAPP tidak bersetuju dengan cadangan agar parti-parti nasional bertanding dalam pilihan raya negeri.
Yong, yang juga bekas ketua menteri Sabah, pada September lalu menggesa PN agar tidak menyertai pilihan raya negeri itu.
Namun, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, berkata keputusan sama ada PN akan bertanding pada PRN Sabah atau tidak akan ditentukan sendiri oleh gabungan itu.
Katanya, ini bermakna keputusan itu bukan dibuat pihak lain termasuk SAPP.
"Ia bergantung kepada kita yang buat keputusan, bukan mereka buat keputusan,” katanya.
Bersatu Shah Alam bakal bubar, kecewa persidangan ditangguh lagi
Nora Mahpar
PETALING JAYA: Seorang pemimpin akar umbi Bersatu Shah Alam membidas keputusan saat akhir parti menangguhkan persidangan bahagian itu untuk memilih barisan pimpinan baharu bagi penggal 2025-2027 dijadualkan 3 petang ini.
Ketua Bersatu Kampung Kebun Bunga, Mohamad Anuar Giman berkata surat pembatalan dikeluarkan Setiausaha Agung Azmin Ali lewat malam tadi dianggap tidak munasabah ‘dengan alasan siasatan lembaga disiplin berhubung kejadian rusuhan pada persidangan 2 Nov lalu masih berjalan’.
Azmin menjelaskan siasatan yang turut membabitkan calon bertanding menyebabkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) memutuskan persidangan Bersatu Shah Alam hari ini ditangguhkan.
Namun, Anuar yang juga bekas ahli jawatankuasa Bersatu Shah Alam mendakwa tindakan membatalkan persidangan pada saat-saat akhir itu sebenarnya dibuat untuk membantu calon tertentu disokong seorang Adun Bersatu yang dijangka akan kalah pada pemilihan hari ini.
“Dari 2 Nov hingga lewat malam tadi, mengapa beberapa jam sebelum persidangan baru parti nak maklumkan? Mengapa tidak dua atau tiga hari sebelum persidangan semula ini?
“Kami seolah-olah diperkotak-katikkan selepas berusaha keras untuk menjayakan persidangan ini, segala persiapan dari dewan, makanan dan pemberitahuan kepada perwakilan telah dibuat.
“Penatnya tiada siapa tahu dan kami tidak dibayar pun tetapi ikhlas bantu parti, tetapi ini balasannya,” katanya kepada FMT.
Anuar menegaskan mereka tetap akan hadir ke Dewan Lavender, Seksyen 7, Shah Alam untuk menghadiri ‘persidangan’ itu yang dijangka bertukar menjadi majlis pengumuman keluar parti.
“Kami dah penat dengan permainan politik yang memperlekehkan ahli semata-mata untuk kepentingan pemimpin tertentu.
“Mungkin kami akan umum keluar parti beramai-ramai, boleh dikatakan Bersatu Shah Alam bakal bubar,” katanya.
Mengikut surat dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bertarikh 9 Dis, Bersatu Shah Alam diminta mengadakan persidangan semula hari ini dengan pasukan mengendalikan pemilihan juga telah dilantik.
Selain Shah Alam, JPP Bersatu turut mengumumkan 10 bahagian yang tidak boleh bersidang dalam pemilihan pada 2 Nov lalu iaitu Hulu Langat, Kota Melaka, Jasin, Tapah, Teluk Intan, Machang, Bukit Mertajam, Bukit Bendera, Tanjong dan Cameron Highlands.
Antara alasannya ada aduan mendakwa laporan palsu dihantar berhubung persidangan cawangan-cawangan dan juga keahlian.
FMT menghubungi Azmin untuk mendapat maklum balas.
Dua bidan ditahan kerana jual 66 bayi
Agensi
Jakarta: Polis Jogjakarta, baru-baru ini, menahan dua bidan dikenal pasti sebagai DM dan JE atas tuduhan memperdagangkan bayi secara haram, lapor portal Kompas.
DM, 77, ialah bidan dan pemilik rumah bersalin. JE, 44, diambil bekerja oleh DM di rumah itu.
Kedua-dua suspek sebelum ini dipenjarakan selama 10 bulan kerana sabitan atas pertuduhan sama.
Polis berkata, mereka merampas rekod yang menunjukkan bahawa kedua-dua wanita itu menjual bayi sejak 2010.
Sepanjang 14 tahun itu, kedua-duanya didakwa menjual 66 bayi.
"Modus operandinya adalah mencari individu yang berminat untuk mengambil anak angkat.
"Suspek akan menerima atau mengambil bayi itu daripada wanita atau ibu yang menyerahkan anak kepada mereka.
"Kanak-kanak itu kemudian akan dijaga, dan selepas itu, pengumuman akan dibuat melalui media menyatakan mereka sedang mencari ibu bapa yang ingin mengambil bayi itu sebagai anak angkat," ketua detektif jenayah am Polis Jogjakarta, FX Endriadi.
Siasatan bermula selepas polis menerima laporan pemerdagangan bayi di sebuah rumah bersalin di daerah Tegalrejo, Jogjakarta.
DM dan JE dilaporkan didapati menjual seorang bayi perempuan pada 2 Disember lalu pada harga AS$3,434 (kira-kira RM15,000), dengan wang pendahuluan kira-kira RM834.
Apabila polis menahan DM dan JE pada 4 Disember, mereka mendapati seorang bayi perempuan berusia satu bulan dalam jagaan mereka dan dia dalam keadaan sihat.
Menurut Endriadi, daripada 66 bayi yang dijual, 28 adalah lelaki, 36 perempuan dan dua tidak direkodkan jantina.
DM dan JE didakwa menjual bayi itu pada harga yang berbeza-beza, dengan harga bayi lelaki lebih tinggi.
Rekod polis menunjukkan bayi perempuan dijual dengan harga 55 juta Rupiah ((kira-kira RM15,000) manakala bayi lelaki dijual antara 60 juta Rupiah (kira-kira RM70,000) hingga 65 juta Rupiah ( (kira-kira RM18,000).
Polis berkata, mengikut dokumen penyerahan di rumah bersalin, bayi itu dijual kepada pelanggan di seluruh Indonesia.
-hmetro
'PAS cuba tunjukkan kepada Bersatu siapa abang besar dalam PN
Haspaizi Zain
Pemerhati politik menyifatkan PAS sedang menunjukkan siapa "abang besar" sebenarnya dalam Perikatan Nasional (PN) apabila Naib Presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar meletak jawatan selaku bendahari agung PN.
Bagi penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Awang Azman Awang Pawi, peletakan jawatan itu merupakan tanda protes PAS terhadap kepimpinan PN.
Katanya, PAS perlu diberikan jawatan strategik dalam PN selaku parti yang mempunyai kerusi paling banyak dalam gabungan itu.
"PAS perlu jawatan strategik sesuai dengan kedudukan mereka sebagai parti yang besar, agihan kerusi macam tak cerminkan sumbangan besar PAS kepada PN.
"Ini (peletakan jawatan Ahmad Samsuri) merupakan tekanan kepada kepimpinan PN untuk mengiktitaf sumbangan PAS, terdapat keperluan untuk bincang semula agihan jawatan dalam PN dan ini juga satu strategi dalam PAS untuk menunjukkan ketegasan.
"Pilihan raya dalam masa dua, tiga tahun lagi, oleh itu penting untuk PAS tunjuk bahawa mereka tak ikut telunjuk Bersatu, situasi ini akan melemahkan PN dan bagi saya perlu ada rundingan semula yang realistik. PAS berasa mereka abang besar yang sebenarnya dalam PN," katanya kepada Malaysiakini.
Jelasnya, peletakan jawatan Ahmad Samsuri sebagai bendahari agung jelas menterjemahkan rasa tidak puas hati terhadap dominasi Bersatu dalam PN.
Pada 11 November lalu, Ahmad Samsuri mengumumkan peletakan jawatan sebagai bendahari agung PN.
Lidah rasmi PAS, Harakah Daily melaporkan pengumuman itu dibuat melalui satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan PAS Pusat.
Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan, berkata tindakan Ahmad Samsuri meletak jawatan dalam PN adalah isyarat jelas protes terhadap kepimpinan Bersatu dalam PN.
"Tidak syak lagi ia satu protes PAS terhadap Bersatu yang dilihat sewenang-wenangnya membuat keputusan dalam PN tanpa berbicara dengan PAS sebagai sekutu mereka.
"Pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN saya pasti tidak melalui perbincangan, saya pasti kalau berbincang PAS akan protes dalam hal ini, dah lah calon perdana menteri dari Bersatu dan ketua pembangkang juga dari Bersatu.
"Jawatan bendahari agung, jawatan kecil dalam PN, jadi tak ruginya PAS membuat protes secara tersirat dalam hal ini," katanya kepada Malaysiakini.
Oleh itu kata Azmi, Bersatu perlu memahami isyarat dihantar PAS dan tindakan segera perlu diambil.
Sementara itu, pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Afifi Abdul Razak berpandangan PN perlu segera memperbetulkan kelemahan mereka.
Katanya, PN perlu lebih demokratik dengan mengenengahkan barisan kepimpinan yang meyakinkan kepada rakyat.
"Tindakan Ahmad Samsuri mungkin dilihat biasa, namun boleh memberi impak yang besar kepada PN.
"Berdasarkan kepada beberapa kenyataan kepimpinannya, PAS dilihat sudah tidak boleh bersabar dengan tindakan PN," katanya.
Peletakan jawatan Ahmad Samsuri dibuat hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN bermesyuarat untuk mengesahkan pelantikan enam jawatan penting parti berkenaan iaitu setiausaha agung, ketua wanita, ketua penerangan dan ahli majlis tertinggi gabungan itu.
Mesyuarat itu menyaksikan Bersatu mengekalkan kesemua enam jawatan utama dalam gabungan PN.
Keputusan itu diambil meski terdapat permintaan daripada PAS agar jawatan setiausaha agung diberikan kepada pemimpin dari parti mereka, Takiyuddin Hassan.
Disyaki dalang sindiket dagang manusia, 4 warga Bangladesh ditahan
Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia berpusat di ibu negara menerusi serbuan ke atas tiga lokasi di Cheras.
Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata tiga suspek lelaki berusia 35 hingga 38 tahun dan wanita 32 tahun yang dipercayai pasangan kepada seorang daripada suspek itu ditahan di sebuah premis dalam operasi khas bermula 9.11 malam Rabu lalu.
Menurutnya, operasi hasil risikan selama dua minggu itu berjaya menyelamatkan 11 lelaki Bangladesh berusia 30 hingga 38 tahun yang dipercayai akan diperdagangkan sindiket berkenaan.
“Modus operandi sindiket ialah membawa masuk rakan senegara ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong melalui pintu masuk udara dan segala urusan pasport, visa serta tiket penerbangan diuruskan sindiket.
“Seterusnya, mangsa ditempatkan di rumah transit. Kadar bayaran dikenakan sindiket RM15,000 setiap seorang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari rumah transit dan sindiket ini beroperasi selama tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, 17 pasport Bangladesh, 20 telefon bimbit, wang tunai RM800 dan USD800, masing-masing sebuah Proton Gen 2 serta Proton X70 turut dirampas.
Tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.
Bola api penuhi ruang udara di Damsyik
Agensi
Bola api penuhi ruang udara di Damsyik
Satu rakaman video memaparkan bola api memenuhi ruang udara bandar Damsyik diikuti bunyi letupan kuat turut kedengaran pada Jumaat.- Gambar Reuters
DAMSYIK : Satu rakaman video memaparkan sejumlah bola api memenuhi ruang udara bandar Damsyik diikuti bunyi letupan kuat turut kedengaran pada Jumaat.
Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 10.47 malam waktu tempatan bersamaan Jumaat pertama selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad yang menamatkan dinasti autoritarian yang bermula dari era pentadbiran bapanya, Hafez al-Assad sejak tahun 1971.
Setakat ini, punca kejadian belum dapat dikenal pasti.
Kerajaan pimpinan keluarga Assad yang memerintah selama 53 tahun telah tumbang sepenuhnya pada Ahad lalu selepas kumpulan pembebas Syria melancarkan serangan mengejut, iaitu 13 tahun selepas protes antikerajaan sehingga mencetuskan perang saudara sehingga mengorbankan ratusan ribu orang.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berkata, Assad harus bertanggungjawab tetapi menggelar pergolakan politik negara itu sebagai peluang bersejarah untuk rakyat Syria membina semula negara mereka.
Pada Ahad, penduduk bersorak ketika pembebas Syria mengumumkan Assad yang melarikan diri dan mengisytiharkan negara itu bebas dari pemerintahan yang zalim.
Bunyi tembakan turut kedengaran di udara sambil diselang selikan teriakan Syria adalah milik kita dan bukan keluarga Assad. - Agensi
- Astro Awani
Papagomo dibebaskan dengan jaminan polis
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Blogger kontroversi, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris yang ditahan bagi membantu siasatan kes penipuan dalam kutipan dana awam dengan menggunakan nama sebuah syarikat sudah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Polis Negara Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, blogger terbabit dibebaskan selepas polis selesai merakam keterangannya.
"Setakat ini, 16 orang sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
"Siasatan sedang dilengkapkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Harian Metro semalam melaporkan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 41, ditahan di kediamannya di Putrajaya, bagi membantu siasatan kes penipuan dalam kutipan dana awam dengan menggunakan nama sebuah syarikat.
Difahamkan, penahanan itu dilakukan sepasukan anggota Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) Bukit Aman.
Dipercayai, penahanan itu dilakukan susulan satu laporan polis dibuat seorang menteri, pada Julai lalu.
Dalam tangkapan itu, polis turut merampas telefon bimbit milik blogger terbabit untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video penahanan Wan Muhammad Azri oleh sepasukan anggota polis yang datang ke kediamannya dengan menaiki tiga kenderaan polis dengan kapsyen memaklumkan penahanan itu untuk siasatan berkaitan kes Amla.
Peguamnya, Rafique Rashid kemudian memaklumkan Wan Muhammad Azri ditahan susulan satu laporan polis oleh seorang menteri.
‘Kelam’ selubungi PN jika gagal lihat isyarat Dr Sam
Nora Mahpar
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu bimbang keadaan kelam bakal menimpa Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan mengejut Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari agung, yang juga mungkin isyarat terbesar terhadap pimpinan Muhyiddin Yassin.
Pemimpin enggan dinamakan itu berkata walaupun belum jelas alasan tindakan naib presiden PAS itu, namun pimpinan PN perlu segera memperbetulkan keadaan bagi mengelakkan perpecahan sekali gus menjejaskan peluang menang pada PRU16.
Rabu lalu, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mengesahkan peletakan jawatan bendahari agung PN – keputusan dibuatnya dua hari selepas pengumuman pelantikan beberapa pemimpin Bersatu dalam komponen terbabit antaranya Azmin sebagai setiausaha agung.
Azmin juga setiausaha agung Bersatu.
Turut diumumkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin sebagai timbalan pengerusi PN, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan), Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin (ketua Wanita) dan dua lagi naib Ronald Kiandee serta Radzi Jidin dilantik anggota majlis tertinggi.
“Kebetulan atau tidak, tindakan Samsuri berlaku selepas pengumuman pelantikan dalam PN dan ini perlu dilihat Muhyiddin selaku pengerusi jika wujud perasaan tidak puas hati PAS berhubung keadaan itu.
“Tak boleh ambil ringan kerana sudah ada petunjuk besar dari PAS, ia ibarat protes halus terhadap keputusan didakwa hanya dibuat sebelah pihak,” katanya kepada FMT yang bimbang perkembangan itu juga berkait isyarat terhadap pimpinan Muhyiddin.
Selain Presiden PAS Hadi Awang sebagai timbalan pengerusi, pimpinan parti itu yang menduduki jawatankuasa PN terdiri Takiyuddin Hassan (timbalan setiausaha agung) dan Sanusi Nor (ketua pengarah pilihan raya).
Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden (ketua Pemuda) dan Tuan Ibrahim Tuan Man serta Idris Ahmad (anggota majlis tertinggi).
Sementara itu, sumber yang mengetahui perjalanan mesyuarat tertinggi PN, Isnin lalu, mendakwa senarai nama pelantikan jawatan utama dalam gabungan berkenaan telah disusun lebih awal tanpa ada perbincangan.
“Ramai datang mesyuarat terkejut apabila di atas meja sudah ada nama bagi jawatan tertentu, tiada perbincangan dan hanya diminta sahkan sahaja.
“Tok guru Hadi pun nampak banyak berdiam diri seolah-olah beri sesuatu isyarat,” katanya tidak menolak kemungkinan tindakan Samsuri yang juga bekas setiausaha politik Ahli Parlimen Marang itu mungkin berkait dengannya.
“Jika ini terus berlaku, masa depan PN kelam di bawah Muhyiddin.”
FMT telah menghubungi pimpinan PN termasuk Azmin untuk mendapat maklum balas.
Mengejutkan: Sindiket 'Counter Setting' masih beroperasi di KLIA, dakwa sumber
B Nantha Kumar
Walaupun SPRM berkali-kali menegaskan dalang utama sindiket 'counter setting' yang membawa masuk warga asing melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah ditahan, sumber mendakwa sindiket itu masih beroperasi di lapangan terbang berkenaan.
Menurut satu sumber yang arif mengenai sindiket itu, hanya terdapat sedikit perbezaan pada modus operandi mereka.
"Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) melarang pegawainya menggunakan telefon pintar semasa berada di kaunter, kini pegawai menulis empat digit terakhir pasport pelancong asing yang cuba masuk ke negara kita melalui 'counter setting' dalam kertas agar tidak dapat dikesan oleh sesiapa.
"Sebaik masuk kaunter, dia akan periksa empat digit terakhir nombor pasport untuk kepastian," kata sumber itu.
Malaysiakini telah menghubungi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk mendapatkan komen.
Untuk rekod, pada 9 Nov, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berkata dua pegawai Jabatan Imigresen yang dipercayai dalang utama sindiket itu bakal didakwa di mahkamah
Katanya, keputusan untuk mendakwa dua pegawai terbabit telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
"Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, kes ini mungkin akan dibawa ke mahkamah pada bulan ini (November), atau berkemungkinan pendakwaan akan ditangguhkan hingga awal tahun hadapan," katanya.
Siasatan masih berjalan
Ketika dihubungi, Azam berkata sindiket 'counter setting' ini masih dalam radar siasatan agensi itu.
"Siasatan berhubung modus operandi "counter setting" membabitkan 50 pegawai imigresen masih terus berjalan, namun siasatan melibatkan dua pegawai imigresen yang dikenal pasti sebagai dalang utama telah mempunyai bukti yang mencukupi.
"Atas faktor itu, SPRM telah menyerahkan hasil siasatan terhadap kedua-dua individu berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan keizinan mendakwa telah diperolehi.
"Suspek-suspek akan menghadapi pertuduhan di mahkamah dalam tempoh masa terdekat," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, SPRM juga turut mencadangkan empat lagi nama pegawai agensi berkenaan kepada TPR untuk pertimbangan pertuduhan.
"Kes-kes melibatkan baki pegawai-pegawai berkenaan sedang diteliti daripada sudut tindakan tatatertib yang akan dipertanggungjawabkan kepada jabatan terbabit,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditanya mengapa hanya dua pegawai sahaja yang didakwa di mahkamah.
Azam pada 30 Sept berkata, seramai 50 kakitangan JIM dijangka bakal didakwa. Dia juga pada 18 Sept memberitahu agensi pencegah rasuah itu mendapati seramai 60 individu, termasuk 50 pegawai agensi penguatkuasaan, didapati bersekongkol dalam kegiatan itu.
Menurutnya pada masa itu, sebanyak 37 kertas siasatan telah dibuka dengan 95 individu telah diambil keterangan.
Sementara itu, sumber yang bercakap kepada Malaysiakini memaklumkan seramai empat warga Pakistan masuk ke negara ini melalui modus operandi 'counter setting' pada 18 Nov.
"Mereka dari Lahore ke KLIA pada pagi 18 Nov menaiki salah sebuah pesawat syarikat penerbangan tempatan. Sebaik tiba ke KLIA, mereka membeli sim kad dan menghubungi ejen di Malaysia.
"Ejen di sini minta mereka ke kaunter 41 hingga 45 di KLIA. Bayaran untuk satu kepala adalah RM1,200.
"Jadi, kesimpulan saya, dalang utama 'counter setting' masih bebas. Selagi SPRM atau JIM tidak menahan 'ikan besar', selagi itu sindiket 'counter setting' ini tak akan dapat ditumpaskan," kata sumber itu.
Malaysiakini sebelum ini mendedahkan seorang ahli perniagaan tempatan di kenali sebagai DK dan seorang pegawai kanan di JIM antara dalang utama sindiket-sindiket melibatkan warga asing.
Wanita koma gara-gara potong daun bawang
KOSMO
HANOI – Seorang wanita berumur 61 tahun di Vietnam koma dan nyaris maut akibat alahan selepas menghiris daun bawang dalam jumlah yang banyak, lapor portal berita VNExpress semalam.
Kejadian berlaku di wilayah Quang, timur laut Vietnam kelmarin.
Menurut polis tempatan, mangsa sukar bernafas dan tidak sedarkan diri selepas menghiris sejumlah daun bawang di rumahnya.
“Wanita berkenaan terhidu gas yang keluar daripada herba itu. Dia dibawa ke pusat perubatan di bandar Dong Trieu.
“Doktor mengesahkan dia mengalami alahan teruk dan kegagalan pernafasan,” kata polis.
Mangsa kemudian disuntik dengan adrenalin dan diletakkan pada alat pernafasan.
“Selepas 24 jam, wanita itu tersedar daripada koma,” tambahnya. – AGENSI
Rakam video tiga wanita dalam tandas, seorang penganggur didenda RM14,000
Sinar Harian
Hadee dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Jumaat. - Gambar/ Sinar Harian
LUMUT: Seorang penganggur didenda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengaib kehormatan tiga wanita, minggu lalu.
Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid turut memerintahkan tertuduh, Hadee Abdullah, 29, dihukum penjara 18 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan tiga wanita berusia 24, 34 dan 38 tahun itu dengan merakam video semasa mereka berada dalam tandas staf sehingga mengganggu kesantunan.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat dialisis cawangan Ayer Tawar antara jam 11.56 pagi hingga jam 2.47 petang pada 5 Disember 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding sama, Hadee yang masih bujang turut mengaku bersalah atas pertuduhan menyimpan sebanyak 756 video lucah di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung sekitar jam 4.10 petang pada Rabu lalu.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh didenda sebanyak RM3,000 dan memerintahkan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Ray, Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Sive Ganesh. - Sinar Harian
7 suspek kes curi kabel, cuba langgar polis ditahan
Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tujuh suspek disyaki dalang kes curi kabel di Jalan Lang Hitam, dekat Manjalara, Kepong di sini pada 4 Disember lalu ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar bandaraya ini serta Selangor.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, kumpulan terbabit turut memecut laju kenderaan dinaiki ketika cuba meloloskan diri sebaik terserempak polis, selain cuba melanggar anggota bertugas.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata semua tujuh suspek berusia 24 hingga 37 tahun itu ditahan melalui lima serbuan di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur antara 4 hingga 8 Disember lalu.
Hasil tangkapan, polis merampas 10 telefon bimbit serta empat kenderaan, masing-masing satu pacuan empat roda Ford Ranger, Perodua Myvi, Toyota Vios dan Volkswagen Golf, dengan tiga daripada kenderaan sewa.
"Kita turut merampas pelbagai peralatan untuk mencuri kabel serta kelengkapan pakaian seperti pekerja kontrak yang disyaki dipakai ketika mencuri kabel bagi mengaburi orang ramai.
"Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan jenayah dan dadah, selain ujian saringan air kencing menunjukkan mereka positif dadah," katanya.
Mengulas kejadian 4 Disember lalu, Ahmad Sukarno berkata sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Kepong yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, anggota terbabit mengarahkan kenderaan berhenti untuk tujuan pemeriksaan, namun suspek terus memecut laju dan hendak melanggar anggota polis.
"Keadaan ini memaksa polis melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek namun mereka berjaya meloloskan diri," katanya.
Dengan tertangkapnya tujuh suspek itu, Ahmad Sukarno berkata pihaknya berjaya menyelesaikan siasatan kes cubaan bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Dua lelaki tular didakwa merompak lapan wanita
MOHD YUNUS YAKKUB
Saimen (depan), Alex (tengah) dan Rishitharan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
KLANG – Dua lelaki yang sebelum ini tular menoreh lengan wanita ketika menyamun didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan melakukan rompakan bersiri terhadap lapan wanita selama dua bulan bermula Oktober lalu selain menyebabkan kecederaan pada mangsa berkenaan.
Kedua-dua mereka, G. Saimen , 26, dan T. Rishitharan, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Noridah Adam.
Turut membuat pengakuan tidak bersalah adalah abang kepada Saimen iaitu Alex, 28, kerana menyimpan barangan curi.
Berdasarkan empat pertuduhan, Saimen dan Rishitharan didakwa merompak empat wanita seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua mereka juga didakwa empat lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap empat lagi wanita lain mengikut Seksyen 394 Kanun sama.
Kesemua perbuatan itu dilakukan terhadap lapan wanita berusia 23 hingga 69 tahun di sekitar Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi, Pandamaran dan Bandar Klang antara 26 Oktober hingga 17 November lalu.
Sabit kesalahan bagi kedua-dua seksyen untuk setiap pertuduhan boleh penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Alex pula didakwa menyimpan sebuah telefon pintar hasil rompakan jenama Samsung Galaxy milik seorang wanita berusia 58 tahun di Taman Sentosa Perdana kira-kira pukul 4 petang pada 21 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi tidak mencadangkan sebarang jaminan susulan kesalahan dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin.
“Ini kerana kes yang disabitkan terhadap tertuduh (Saimen dan Rishitharan) adalah banyak dengan modus operandi yang sama selain terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Atifah Muhammad memohon ketiga-tiga anak guamnya itu dibebaskan dengan jaminan dan bersedia mematuhi syarat tambahan yang akan diperintahkan mahkamah.
Hakim bagaimanapun hanya membenarkan Alex sahaja untuk diikat jamin bersama seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan 23 Januari depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan perbuatan jahat dua lelaki merompak dua beranak dan menoreh lengan salah seorang daripada mereka memakan diri selepas diberkas masing-masing pada 17 dan 24 November lalu di sekitar Taman Sentosa Perdana, Klang. – KOSMO! ONLINE
Haji Hadi agak uzur, enggan ditemui pemberita
Sinar Harian
Abdul Hadi (tengah) dipimpin untuk kediamannya selepas selesai menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang pada Jumaat.
MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kelihatan agak uzur dan enggan ditemui pemberita sebaik selesai menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.
Beliau yang ditemui sekitar jam 10.30 pagi tadi dilihat dipimpin untuk kediamannya dan tidak bersedia untuk mengulas berhubung peletakan jawatan secara mengejut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN).
Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya juga tidak mengetahui dengan lebih lanjut berhubung perkembangan itu.
Katanya, spekulasi berhubung perkara itu hanya diketahuinya selepas ia berlegar di media sosial dan mendapat perhatian oleh pelbagai pihak.
"Hubungan antara Perikatan Nasional (PN) Terengganu tiada masalah. Kita sepakat dalam segenap hal termasuk saluran bantuan bencana banjir dan sebagainya.
"Namun, mengenai sebab peletakan jawatan beliau (Ahmad Samsuri) sebagai Bendahari Agung PN kami tidak maklum dan perlu merujuk kepada beliau sendiri," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.
"Tunggu sahaja kenyataan daripada beliau mengenai perkara itu. Beliau ada menyatakan untuk membuat penjelasan dan semua pihak perlu menunggu tanpa membuat sebarang spekulasi," ujarnya.
Sebelum itu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas isu peletakan jawatan beliau selang dua hari selepas dilantik sebagai Bendahari Agung PN.
Beliau yang ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng di Rumah Pam Penggalak Gebeng, Kuantan, Pahang pada Khamis memberitahu akan mengeluarkan kenyataan pada masa sesuai.
Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Bendahari Agung PN, namun enggan mengulas lanjut perkara itu.
Ahmad Samsuri melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung PN dan pengumuman mengenainya juga dibuat menerusi satu kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas Pusat. - Sinar Harian
Dua ditahan disyaki samun bersenjata, menyamar anggota polis
Bernama
KUALA LUMPUR: Dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes samun menggunakan senjata api dan menyamar sebagai anggota polis, di sebuah rumah di Jalan Metro Barat Perdana Timur 2, Taman Usahawan Kepong, Sabtu lepas.
Penahanan Suspek: Dua lelaki ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis dan menyamun menggunakan senjata api di Taman Usahawan Kepong pada 7 Disember 2024.
Barang Rampasan: Polis merampas sepucuk pistol jenis CZ 75, 10 butir peluru, kad lesen senjata api, dan dua telefon bimbit milik mangsa.
Pertuduhan: Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dalam kejadian 11 malam itu, suspek yang bersenjatakan pistol telah datang ke rumah seorang wanita warga Indonesia berusia 40 tahun kononnya untuk tujuan pemeriksaan selain memperkenalkan diri sebagai anggota polis.
“Pengadu (mangsa) yang curiga dengan tindakan suspek telah menghubungi Balai Polis Kepong untuk meminta bantuan.
"Suspek kemudian bertindak merampas telefon bimbit milik pengadu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Bertindak atas maklumat katanya, polis menyerbu lokasi kejadian dan berjaya menahan kedua-dua suspek masing-masing berusia 42 dan 55 tahun manakala pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka bekerja sebagai pengawal keselamatan dan seorang lagi tidak bekerja.
“Polis merampas sepucuk pistol jenis CZ 75 yang didapati milik sebuah syarikat kawalan keselamatan dan dipercayai digunakan suspek untuk tujuan pemerasan.
"Turut dirampas ialah 10 butir peluru, sekeping kad lesen senjata api milik syarikat kawalan keselamatan dan dua telefon bimbit milik mangsa.
“Siasatan mendapati suspek tidak memakai pakaian seragam polis (ketika datang ke rumah mangsa) dan hanya memperkenalkan diri sebagai anggota secara lisan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-duanya telah dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kerana disyaki melakukan pemerasan RM5,000 terhadap seorang pemilik gerai di Jalan Sentul Pasar, 5 Dis lepas.
Ahmad Sukarno berkata dalam kejadian pada 6 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai mengugut untuk merosakkan gerai mangsa jika wang itu tidak dibayar dan kemudian makan tanpa membuat bayaran di gerai mangsa pada 2.30 petang hari sama.
“Bertindak atas maklumat, polis menangkap lelaki itu pada Ahad lepas di Sentul Pasar dan siasatan mendapati dia mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik, namun tidak mempunyai kaitan dengan kongsi gelap,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
Ketua PBB 'sangat bimbang' dengan serangan udara Israel yang berulang di Syria
Bernama
HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Khamis mengecam sekeras-kerasnya "pelanggaran besar-besaran terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria baru-baru ini," sambil menggesa Israel menghentikan serangan ke atas negara itu, menurut laporan Agensi Anadolu.
“Setiausaha Agung amat prihatin terhadap ratusan serangan udara Israel di beberapa lokasi di Syria dan menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan keganasan di semua kawasan di negara itu,” kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu sidang media.
Beliau berkata Guterres menegaskan bahawa perjanjian pemisahan 1974 antara Israel dan Syria masih berkuat kuasa serta mengutuk semua tindakan yang tidak selaras dengan perjanjian itu.
Perjanjian berkenaan menetapkan sempadan zon penampan dan kawasan bebas tentera dipantau oleh Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF) yang bertugas mengekalkan gencatan senjata antara Israel dan Syria selepas Perang Timur Tengah pada 1973.
Dujarric menyeru semua pihak yang terlibat dalam perjanjian itu untuk mematuhi kewajipan mereka, termasuk menghentikan semua kehadiran yang tidak dibenarkan di kawasan pemisahan, serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata dan kestabilan di Bukit Golan.
“Setiausaha Agung menekankan pentingnya mengekalkan ketenteraman awam sambil menyokong pengaturan peralihan yang boleh dipercayai, teratur dan terangkum di Syria,” kata Dujarric.
Apabila ditanya sama ada dakwaan Israel untuk mencegah senjata jatuh ke “tangan yang salah” boleh menjadi justifikasi bagi serangan berulang terhadap Syria, Dujarric menjawab: “Banyak negara memberikan alasan untuk melanggar kedaulatan negara lain. Apa yang jelas, kami bimbang terhadap pelanggaran berulang terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Syria.”
Beliau menekankan bahawa Syria memerlukan sokongan daripada negara jirannya untuk bergerak ke arah sistem tadbir urus yang terangkum, demokratik dan melindungi hak golongan minoriti. Selain itu, pihak yang mengawal Syria juga harus memastikan semua senjata berada di bawah kawalan bagi mengelak penjarahan atau kehilangan.
Guterres turut menyeru Israel menghentikan serangan terhadap Syria dan memberi peringatan kepada negara lain yang mungkin mengambil kesempatan dalam situasi ini. “Tetapi tiada negara lain. Kami bercakap mengenai pelanggaran yang dilakukan, khususnya oleh Israel,” kata Dujarric.
Tentera Israel dilaporkan telah menawan zon penampan di Bukit Golan yang diduduki Syria pada Ahad, tidak lama selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan perjanjian pemisahan yang dipantau PBB dengan Damsyik telah terjejas.
Tentera Israel melancarkan ratusan serangan udara terhadap pangkalan tentera, stesen pertahanan udara, ibu pejabat perisikan, serta depot peluru berpandu jarak jauh dan dekat, dan stok senjata tidak konvensional di seluruh Syria.
Sementara itu, pasukan anti-rejim telah merampas Damsyik pada Ahad selepas serangan pantas yang memaksa Bashar al-Assad melarikan diri ke Rusia, menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan pemerintahan 53 tahun oleh keluarganya.
-- BERNAMA
Wanita yang mendakwa akan berkahwin dengan Tengku Mahkota Pahang sedang dicari pihak polis
Bernama
Polis buka kertas siasatan berhubung dakwaan tular seorang wanita akan melangsungkan perkahwinan dengan Tengku Mahkota Pahang April depan.
KUANTAN: Polis sedang mengesan wanita yang mendakwa kononnya akan melangsungkan perkahwinan bersama Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kita siasat perkara ini dan dalam tindakan mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Selasa lepas, Istana Pahang menafikan satu hantaran tular berkenaan perkahwinan diraja melibatkan Tengku Hassanal dengan seorang wanita, yang kononnya akan berlangsung pada April tahun depan.
Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang Mej Jen Mohamed Zahari Yahya dilaporkan berkata, hantaran yang dimuat naik pengguna platform Instagram dengan nama Faridah Daud (faridah.daud_l) itu menyaksikan wanita berkenaan menerangkan majlis perkahwinannya bersama Tengku Hassanal.
Menurut hantaran pada cerita Instagram berkenaan, wanita itu mendakwa akan melangsungkan perkahwinan pada April tahun depan, dan secara fitnah telah menyebut nama Tengku Mahkota Pahang sebagai pasangannya.
‘Ulat’ parkir haram di Bukit Bintang ditahan
AZMI NORDIN
Antara warga asing yang ditahan menerusi Op Parkir Haram di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR – Kegiatan tujuh warga asing mengoperasikan sindiket parkir haram di sekitar Jalan Bukit Bintang, di sini, terbongkar apabila ditahan sepasukan polis, semalam.
Serbuan yang bermula pukul 10 malam itu dilakukan sepasukan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Op Parkir Haram itu berjaya menahan tujuh lelaki warga India berusia lingkungan 36 hingga 55 tahun.
Katanya, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM445 yang dipercayai hasil daripada aktiviti parkir haram.
“Kesemua tangkapan dibuat di empat lokasi berasingan sekitar kawasan berkenaan.
“Siasatan mendapati kegiatan parkir haram ini dipercayai dilakukan secara bersindiket dan mengenakan caj sekitar RM10 hingga RM15 terhadap setiap kenderaan.
“Mereka akan melambai tangan ke arah kenderaan untuk menawarkan parkir sebelum mengenakan bayaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, kesemua tangkapan dibawa ke JSPT Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE.
Tiga maut terkena renjatan elektrik ketika pasang panel solar
Sinar Harian
Anggota bomba mengalihkan mayat mangsa yang terkena renjatan elektrik ketika melakukan pemasangan panel solar di kawasan bangunan pejabat di Ranau.
RANAU: Tiga pekerja kontrak pemasangan panel solar maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di sebuah bangunan pejabat di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, tiga lelaki dikenali sebagai Wong, 54, Salleh, 34, dan Gimbal, 24, disahkan maut di lokasi manakala seorang lagi rakan mereka terselamat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Ediansah Edal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.11 pagi.
"Tiga mangsa terbabit telah ditugaskan untuk memasang panel solar dan pemasangan dilakukan menggunakan perancah besi pada ketinggian 12 meter.
"Seorang lagi pekerja berada di bawah dan ketika pemasangan, panel solar telah menyentuh kabel Sabah Electricity yang dikategorikan sebagai bervoltan tinggi iaitu 11000kv," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.46 pagi.
"Mangsa yang terkena renjatan elektrik disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya," katanya. - Sinar Harian
Tengku Zafrul masuk PKR? Belum ada borang diterima, kata Fuziah
Hariz Mohd
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh hari ini berkata dia setakat ini tidak menerima borang permohonan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz untuk menyertai parti itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, Fuziah berkata PKR tidak menerima sebarang permohonan keahlian daripada Zafrul, yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua bahagian Umno Kota Raja di Klang.
Menurut Fuziah, jawatankuasa pimpinan pusat PKR akan membincangkan permohonan keahlian baru dalam mesyuarat bulanan mereka dan nama besar seperti Zafrul tidak akan terlepas pandang.
“Kita akan luluskan (permohonan keahlian) pada setiap mesyuarat pimpinan pusat. Setakat mesyuarat terakhir pada 30 Nov, tiada (daripada Zafrul).
"Pemohonan kumpulan seterusnya akan dibincangkan dalam mesyuarat kami yang akan datang," katanya semasa temu bual di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya awal hari ini.
Fuziah menjawab soalan mengenai khabar angin bahawa Zafrul merancang untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.
Menurut timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu, Zafrul juga tidak pernah menghubunginya untuk berbincang atau menunjukkan minat menyertai PKR.
Bagaimanapun, dia menegaskan sesiapa yang ingin menyertai PKR dialu-alukan untuk mengisi borang keahliannya melalui sistem dalam talian parti itu.
Tambah Fuziah, setiap ahli baru perlu melalui prosedur permohonan biasa dan "tiada laluan khas".
“Saya tak ada terima personal pun daripada dia. Maksudnya jika dia mahu (sertai PKR), mungkin dia dah isi borang, mungkin dia dah isi dalam talian, kita tak tahu, sebab dalam sistem.
"Kita hanya akan keluarkan dari sistem itu bila nak mesyuarat," katanya.
Awal hari ini, portal berita Free Malaysia Today memetik sumber yang mendakwa bahawa rundingan sedang berjalan untuk Zafrul menyertai PKR.
Zafrul dikatakan telah diperuntukkan untuk memainkan peranan dalam pentadbiran negeri Selangor, yang berada di bawah kepimpinan PKR.
PapaGomo ditahan berkait kes tipu, ubah wang haram
FMT Reporters
Siasatan itu dipercayai berkait dengan satu laporan polis yang dibuat seorang menteri pada Julai lalu.
PETALING JAYA: Penulis blog, Wan Azri Wan Deris ditahan polis pagi ini dipercayai untuk siasatan berkait kes menipu dan aktiviti pengubahan wang haram.
Peguamnya Rafique Rashid Ali, mengesahkan Wan Azri ditahan dan disiasat Bukit Aman kerana menipu dan kesalahan berkaitan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).
Katanya, Wan Azri juga disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun, sebat, dan denda jika sabit dengan kesalahan.
Difahamkan, siasatan itu berkait dengan satu laporan yang dibuat seorang menteri pada Julai lalu.
Rafique berkata lapan anggota polis datang dan menahan Wan Azri di rumahnya kira-kira 1.30 pagi tadi.
“Polis mendapat perintah tahanan reman selama sehari untuk membantu siasatan,” katanya.
Tak sampai dua tahun pemimpin Pas ini dah buat 3 fitnah besar
Harapandaily
LIYANA MARZUKI
Maaf kuasa tiga.
Kes 1: 9 Februari 2023.
Dia fitnah PM Malaysia promosi agenda LGBT dan Komunis. Lepas kena gertak dengan LOD, dia minta maaf, kes tak diteruskan.
Kes 2: 2 Disember 2024
Dia fitnah Menteri Besar Perak zalim dan biadap. Selepas kena sound dalam DUN, dia minta maaf. Siap minta MB belikan dia kereta baru sebagai Ketua Pembangkang, punya tak malu.
Kes 3: 11 Disember 2024
Dia fitnah menteri KPKT, katanya acara kibar bendera China di Teluk Intan itu menteri yang itu pelopori. Bila kena LOD, kelam kelibut minta maaf lagi.
Sebagai orang Perak, saya sangat tak berkenan Ketua Pembangkang di DUN ini. Cakapnya merapu sahaja, nampak sangat eager beaver nakkan kuasa semata-mata.
Sekarang dah macam jadi SOP dia.
Fitnah – minta maaf – ulang lagi
Kurang dari dua tahun, tiga fitnah terbesar dia pernah buat. Dah jadi macam pemfitnah tegar. Dia terlepas sebab dia minta maaf.
Inilah isunya bila agama dijadikan parti. Apa sahaja taktik jahat politik, seperti fitnah dan adu domba, akan terpalit kepada agama juga.
Kalau politikus yang kononnya mewakili Islam mengamalkan perangai fitnah dan menipu untuk undi, bagaimana orang lain memandang Islam nanti?
Pejuang agama pada saya bukan bermaksud anda berperang dan memusuhi orang bukan seagama. Patutnya anda berusaha dekatkan orang lain kepada kita.
Saya selalu percaya, orang menilai sesuatu agama bukan melalui kitab sucinya, tetapi melalui tingkah laku pengamalnya.
Kalau inilah pemimpin Islam yang dipuja, you tell me. Orang nak dekati atau lebih menjauhi?
Malaysia kena mula berfikir bagaimana nak buat depolitisi agama. Seperti Indonesia, Brunei dan Turki.
Agama itu tidak seharusnya dimonopoli oleh mana-mana pihak. Tambah orang politik.
Agama itu sifatnya menyatukan. Politik pula memecah belah. Makanya seperti air dan minyak.
Moga reformasi politik ini berlaku segera. Ini yang terbaik untuk negara, menolak penunggang agama.
Rayuan ‘jangan bakar kelambu’ petanda kapal dah nak karam?
SITI NUR ZAWANI
Ketika Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menasihati rakan-rakannya di dalam Pas supaya tidak membakar kelambu kerana marahkan nyamuk, beliau seolah menyampaikan bahawa situasi di dalam Perikatan Nasional (PN) agak serius dan menuju kehancuran.
“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar”. Demikian peribahasa yang digunakan Wan Fayhsal ketika meminta Pas untuk bersabar.
Peribahasa itu memberikan banyak maksud yang merujuk kepada tindakan terburu-buru hanya merugikan diri sendiri atau membuat masalah yang lebih besar hanya disebabkan perkara remeh.
Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu sepertinya ingin memberitahu tindakan Pas itu berkemungkinan boleh membawa kepada perpecahan dan tamatnya kerjasama dua parti.
“Lebih menarik, ianya dianggap sebagai tindakan membakar kelambu… lalu adakah ini tanda-tanda hari terakhir PN?
“Kerana apabila dikatakan bakar kelambu maknanya hancur lah kan. Hanya kerana nyamuk seekor, nak bakar kelambu.
“Pokoknya, istilah bakar kelambu tu mungkin Ahmad Fayhsal tak faham, dia main tembak je peribahasa itu. Maksudnya nak membakar, memusnahkan.
“Bererti dia macam menaggangap itu satu tindakan yang membawa perpecahan dan mungkin tamatnya kerjasama Pas dan Bersatu,” kata Khalid ketika diminta mengulas kenyataan Wan Fayhsal.
Beliau berkata demikian dalam segmen Bicara Hj Khalid Samad (Siri 247), bertajuk “Politik Fitnah Politik Islam?” yang disiarkan di Facebook Parti Amanah Negara malam tadi.
Semalam Wan Fayhsal meminta bahkan merayu Pas agar bersabar dengan situasi semasa yang melibatkan PN itu.
Beliau juga meminta agar Pas tidak membuat sebarang keputusan yang bakal merugikan mereka, dengan membakar kelambu hanya kerana marahkan nyamuk.
Bekas CEO terima rasuah dipenjara 2 tahun, denda RM1.3 juta
FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) dipenjara dua tahun dan didenda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen Air Keroh hari ini kerana menerima rasuah bagi kontrak kerja pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC), tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Fariz Mohd Ali, dijatuhkan hukuman oleh Hakim Elesabet Paya Wan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, menurut Berita Harian.
Hakim mendapati tertuduh bersalah serta disabitkan atas empat pertuduhan pindaan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Mengikut keempat-empat pertuduhan pindaan, tertuduh yang ketika kejadian memegang jawatan pengurus di Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Produk (PPSPM) ketika kejadian, secara rasuah menerima suapan tunai berjumlah RM260,000 daripada CEO Syarikat LEC Impressions Sdn Bhd.
Ia sebagai dorongan mencadangkan syarikat berkenaan untuk memperoleh projek membekal 10 bot Melaka River Cruise kepada PPSPM dan semua kesalahan itu dilakukan dalam empat perjumpaan berasingan bersama wakil syarikat, Osman Abdul Rahman di dua lokasi berbeza sekitar daerah Melaka Tengah antara 4 Jan hingga 15 Nov 2017.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Pegawai Pendakwa Nur Syakila Yaacob memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh atas kepentingan awam serta sebagai pengajaran. .
Peguam Hamidi Mohd Noh dan Nur Khairunnisa Sabirah Abdul Manan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan atas beberapa alasan termasuk itu kesalahan pertamanya, menjaga ibu bapa yang uzur serta anak dan isteri tidak bekerja.
Selepas membuat pertimbangan, Elesabet menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM500,000 bagi pertuduhan pertama; penjara dua tahun, denda RM400,000 bagi pertuduhan kedua serta masing-masing penjara setahun dan denda RM250,000 serta RM150,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat.
Beliau turut mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh hukuman hari ini serta memerintahkan tertuduh dipenjara 32 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman selepas dipohon peguam bagi membuat rayuan dengan jumlah jaminan dinaikkan kepada RM60,000.
Kelantan: Penjenayah paling dikehendaki ditembak mati di Kelantan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang penjenayah paling dikehendaki yang mempunyai 24 rekod lampau ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Jeram Pasu, Pasir Puteh, pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, berkata sebelum kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, Jabatan Siasatan Jenayah IPK Kelantan mengadakan operasi cegah jenayah sebelum mengesan suspek menaiki kereta Perodua Bezza.
Katanya, polis kemudiannya mengejar suspek dari Melor, Kota Bharu sebelum lelaki terbabit memecut kenderaannya dan diekori sehingga ke lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, suspek bertindak agresif dengan keluar dari tempat duduk pemandu dan terus menembak ke arah anggota polis.
“Dalam usaha mempertahankan diri, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan dan suspek maut di lokasi kejadian,” katanya, menurut Berita Harian.
Yusoff berkata suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penarik kereta itu memiliki 17 rekod jenayah dan tujuh kes berkaitan narkotik.
“Berdasarkan pemeriksaan dalam kereta suspek, polis menemui sepucuk pistol semi auto, pistol tiruan, sebilah parang dan sebungkus tembakau yang dipercayai untuk diseludup masuk ke dalam penjara.
“Mayat dihantar ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh untuk bedah siasat.
“Polis akan melakukan siasatan lanjut sekiranya terdapat suspek lain dalam kes berkenaan,” katanya.
4 Ah Long didakwa bawa lari, kurung wanita Indonesia
FMT Reporters
PETALING JAYA: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan melarikan dan mengurung seorang wanita Indonesia secara salah di sebuah kondominium, baru-baru ini.
Bagaimanapun tertuduh, R Narindran, 30, M Areveen Raj, 28, R Jayruban, 25, dan Mohamad Syafiq Segnar Abdullah, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin, menurut Berita Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama dengan seorang lagi suspek yang masih bebas melarikan secara paksa seorang wanita Indonesia berusia 41 tahun di tepi Jalan Kelawai yang terletak dalam Daerah Timur Laut.
Keempat-empat tertuduh didakwa dengan niat telah menyebabkan kurungan salah terhadap wanita itu dalam sebuah unit Kondominium Palma Laguna Water Park, Jalan Baru, Perai dan kesalahan tersebut dilakukan antara 8 malam hingga 11.45 pagi pada 5 hingga 7 Dis lalu.
Dakwaan terhadap mereka dikemukakan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala kesemua tertuduh diwakili peguam K Mahendran.
Terdahulu, Nurul Atikah tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk menentukannya.
Mahendran kemudiannya memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Siti Nurul Suhaila membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu melarang mereka mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 21 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media pada 8 Dis lalu melaporkan tiga lelaki disyaki terbabit kegiatan Ah Long direman empat hari bagi membantu siasatan kes culik membabitkan seorang wanita Indonesia.
Berdasarkan laporan itu, mangsa yang merupakan pekerja bahagian pembersihan bersama dua lagi rakan senegaranya melakukan pinjaman masing-masing berjumlah RM1,000 pada tahun lalu.
Rundingan kemungkinan Tengku Zafrul sertai PKR sedang berjalan
Minderjeet Kaur
PETALING JAYA: Rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul Aziz meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dengan keputusan dijangka dibuat dalam dua hari lagi, kata sumber dalaman Umno Selangor.
“Jika Tengku Zafrul menyertai PKR, pengumuman itu mungkin akan dibuat pada Ahad semasa kongres PKR,” kata sumber, sambil menambah bahawa langkah itu bukan dilakukan tanpa menerima kesan.
“Ini bukan keputusan yang tidak penting. Banyak faktor yang perlu diteliti,” katanya.
Sumber itu berkata anggota dari kem Tengku Zafrul sedang memuktamadkan rundingan dengan rakan sejawat mereka dalam PKR mereka mengenai perkara itu.
FMT telah menghubungi pembantu Tengku Zafrul, yang enggan mengulas.
Tengku Zafrul merupakan menteri pelaburan, perdagangan dan industri. Beliau juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan ketua bahagian Kota Raja parti itu.
Pada Mac, beliau meletakkan jawatan sebagai bendahari Umno Selangor.
Sumber lain yang rapat dengan perkara itu berkata Tengku Zafrul dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam pentadbiran dan kemajuan ekonomi Selangor.
“Negeri akan mendapat manfaat daripada pengalamannya. Terdapat banyak kemajuan yang dirancang untuk Selangor dan ada dorongan untuk beliau memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negeri,” katanya.
Tengku Zafrul terkenal dengan penglibatannya dalam sektor korporat dan kewangan sebelum menyertai politik.
Beliau yang juga bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB, mendapat perhatian negara berikutan pelantikannya sebagai menteri kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, peranan yang beliau kekalkan dalam Jemaah Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Semasa memegang jawatan, Tengku Zafrul menerajui pakej rangsangan ekonomi Covid-19 Malaysia, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (Penjana).
Majlis kahwin tengah hutan, penuh ulat bulu
KOSMO
Tangkap layar menunjukkan ulat bulu hitam yang merayap di atas kerusi dan pakaian tetamu. - TikTok
JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana berlangsung di tengah hutan yang dipenuhi ulat bulu berwarna hitam, lapor portal berita Wolipop.
Kejadian berlaku di Gunungkidul, Jogjakarta pada 16 November lalu.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @sutrisnoajik menunjukkan ulat-ulat bulu yang bertenggek di atas daun dan kerusi tetamu.
Ulat-ulat itu juga jatuh daripada pokok dan merayap pada kaki serta pakaian tetamu.
Rakaman itu mencatatkan lebih 925,700 tontonan dan mengundang pelbagai reaksi netizen.
“Saya rela tidak hadir daripada terseksa di situ,” kata seorang netizen. – AGENSI
Kenapa ramai pemimpin Pas dan PN kalah saman fitnah pemimpin DAP?
Harapandaily
Jamzuri Ardani
Modus operandi pemimpin Pas untuk mendapatkan undi Melayu ialah dengan menakutkan orang Melayu terhadap DAP yang dikaitkan pula dengan PH.
Bagi menjayakan motif ini, banyak cerita rekaan dan naratif dongeng yang terpaksa direka dan disebarkan untuk mengocak emosi dan sentimen perkauman dan prasangka agama. Semakin sensasi cerita tersebut, semakin tajam dan dalam kesannya ke atas minda orang Melayu. Bagi mereka yang penting adalah undi. Soal salah atau tidak, soal dosa pahala … itu belakang cerita.
Cerita politik dongeng ini pula hanya disebarkan di kalangan masyarakat Melayu, samada melalui kuliah di surau masjid, atau melalui ceramah politik, atau usrah, atau melalui sembang kedai kopi, atau melalui media sosial.
Cerita bohong dan fitnah ini disebar dalam bahasa Melayu dan diselang seli dengan petikan hadith dan ayat Quran yang diolah mengikut selera politik mereka. Adakalanya mereka juga mengambil kononnya kata-kata tokoh ulamak yang tidak dapat dipastikan sumbernya.
Tujuannya hanya untuk menimbulkan prasangka, kemarahan, kebencian, dan permuduhan ke atas DAP. Bila orang Melayu benci DAP, mereka akan menolak PH dan mengundi parti mereka. Sifir politik yang mudah dan murah. Hanya dengan air liur sahaja.
Para pemimpin DAP tidak ada banyak ruang untuk mempertahankan diri kerana sebaran fitnah ini hanya berkitar di kalangan masyarakat Melayu dan dari sudut politik perlakuan Pas ini tidak menjejaskan DAP pun kerana DAP tidak bertanding di kawasan Melayu. Jadi keadaan ini dibiarkan berlarutan lama dan Pas merasakan ianya boleh diteruskan dengan selesa.
Sebaran cerita bohong dan fitnah tentang DAP menang mudah dan berkesan kerana ia menyentuh emosi dan sentimen orang Melayu. Bukan soal betul atau salah. Yang penting reaksi dan sokongan politik dari cerita bohong dan fitnah itu memihak kepada mereka.
Di kalangan rakan-rakan aktivis Pas pula mereka menganggap ianya adalah strategi politik yang absah. “Peperangan itu tipudaya”, mereka berdalil dengan sabda Nabi SAW. Mereka tidak melihatnya sebagai dosa atau bercanggah dengan hukum agama.
Bagi mereka ia hanya sebahagian dari agenda besar menegakkan syariat Islam. Walaupun ini pemikiran yang aneh, tetapi doktrin politik agama yang mereka pegang mengabsahkan begitu.
Bagaimanapun tindakan menyebar fitnah dan bohong dengan memainkan sentimen perkauman dan agama ini membawa kesan yang besar dan buruk kepada negara, bukan sahaja dari sudut kestabilan politik dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, tetapi menjejaskan keselamatan negara.
Beberapa insiden keganasan, ugutan jenayah, dan perbuatan melampau mula berlaku. Ini membimbangkan banyak pihak sehingga Majlis Raja-Raja Melayu sendiri terpaksa mengeluarkan kenyataan tentang bahaya memainkan isu 3R untuk kepentingan politik kepartian.
Ucapan-ucapan fitnah dan bohong yang berleluasa mula dikongsi di dalam media sosial serta media arus perdana turut memberi liputan. Ini memberi kesan yang lebih besar dari sudut perundangan di mana pihak yang menjadi mangsa fitnah sudah boleh mengambil tindakan undang-undang.
Maka bersusunlah satu persatu pimpinan Pas dan PN didapati memfitnah oleh mahkamah. Yang terbaru Presiden Bersatu diminta membayar RM1.4 juta dan MP Kepala Batas kena bayar RM825 ribu kerana memfitnah para pemimpin DAP.
Semoga rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya sedar bahaya kejahatan politik fitnah dan bohong yang beralaskan perkauman dan fanatik agama ini.
Pemimpin Bersatu mula gelabah apabila Samsuri letak jawatan
Wan Fayhsal minta PAS tak bakar kelambu dek marahkan nyamuk
Shakira Buang, Ili Aqilah & Shahrin Aizat Noorshahrizam
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini meminta - bahkan merayu - PAS agar bersabar dengan situasi semasa yang melibatkan PN itu.
Meminta agar PAS tidak membuat sebarang keputusan yang bakal merugikan mereka.
Mengakui dia "susah" untuk mengulas perkembangan itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata punca Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan sebagai bendahari agung gabungan terbabit tidak diketahuinya.
“Susah untuk saya ulas kerana saya tak terlibat dalam (keanggotaan) Majlis Pimpinan Tertinggi PN.
“Jadi, keputusan yang dibuat oleh YB Shamsuri, untuk saya ulas panjang pun susah, sebab saya tak tahu punca kenapa beliau letak jawatan.
"Itu hanya beliau dengan Pengerusi PN.
“Tapi, apa pun saya harap dan saya doakan - dan saya mungkin merayu - kepada rakan-rakan dalam PAS supaya bersabar.
"Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Tak hadir mesyuarat
Dia yang juga Ahli Parlimen Machang berkata demikian sebagai mengulas perkembangan melibatbat Ahmad Samsuri yang berundur daripada salah satu jawatan utama dalam PN, semalam.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman dilihat mengejutkan ramai apabila tiba-tiba membuat pengumuman melepaskan jawatan tersebut menerusi satu kenyataan ringkas.
Pemakluman tersebut pula disampaikan kepada kepimpinan PAS Pusat.
Dalam kenyataannya Ahmad Samsuri memberitahu dia sudah menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut kepada pihak pengurusan PN.
Ia berlaku hanya dua hari selepas Majlis Tertinggi PN mengumumkan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai setiausaha agung parti berkenaan di sebalik muncul gesaan agar jawatan berkenaan diserahkan kepada Takiyuddin Hassan.
Cadangan itu dikemukakan PAS melalui sayap pemudanya. Antara lain mereka berhujah bahawa Ahli Parlimen Kota Bharu itu lebih berpengalaman dan senior dalam hierarki parti.
Pengumuman itu juga menyaksikan Bersatu mengekalkan semua enam jawatan utama dalam PN termasuk ketua sayap wanita. PAS pula kekal menjadi ketua untuk sayap pemuda.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Ketua Wanita PN, Mas Ermieyati Samsudin, mengakui terkejut dengan keputusan Ahmad Samsuri.
Pada masa sama dia mengakui Ahmad Samsuri tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diadakan pada Isnin lalu.
"Saya memang tak ada maklumat sebab saya baru sahaja dilantik, pertama kali datang mesyuarat," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Masjid Tanah itu lagi dia hanya diminta hadir pada hari tersebut untuk menerima pelantikan sebagai Ketua Wanita PN.
Kes Wan Saiful: Lebih RM900,000 dimasukkan ke akaun bank tiga syarikat
Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu wang berjumlah RM976,380 dimasukkan ke dalam akaun bank tiga syarikat menerusi lima transaksi, dua tahun lepas.
Penolong Pengurus Ambank Cawangan Manjalara Norsuhana Yusof, 46, mengesahkan terdapat transaksi kemasukan wang masing-masing RM400,000 ke dalam akaun Ambank Islamic atas syarikat Jendela Timur Consultant pada 2 Sept dan syarikat Fendi Dilif Resources pada 5 Okt 2022.
"Pada 20 Okt 2022, terdapat transaksi kemasukan wang RM31,800 dan RM54,000 bagi syarikat Fokus Malaysia Studio melalui pindahan wang.
"Terdapat juga transaksi kemasukan wang berjumlah RM90,580 atas syarikat Fokus Malaysia pada 7 Nov 2022," katanya apabila dirujuk dengan penyata akaun Ambank Islamic bagi tiga syarikat berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Shahrom Idris pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berhadapan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.
Kepada soalan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Wan Saiful, saksi bersetuju beliau hanya boleh mengesahkan terdapat wang masuk ke dalam akaun bank, namun tidak mengetahui tujuan wang berkenaan dimasukkan.
Sebelum ini, Wan Saiful didakwa menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram menerusi dua keping cek, masing-masing bernilai RM400,000 yang dibayar kepada syarikat Jendela Timur Consultant dan Fendi Dilif Resources, serta memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM176,380 ke akaun bank syarikat Fokus Malaysia.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)