"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isyarat besar hampir kiamat

Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Beberapa hari ini kita digemparkan dengan tragedi pembunuhan kejam berlaku di dua tempat berbeza. Kejadian menyayat hati ini rentetan daripada peristiwa pembunuhan manusia yang sentiasa berlaku di dunia dan Malaysia tidak terkecuali daripada berlakunya tragedi sedemikian.

Peristiwa pembunuhan ini antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat. Menghampiri kepada saat itu, semakin banyak pembunuhan berlaku membabitkan banyak pihak. Perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi sedemikian menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Menjelang kiamat nanti, hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: 'al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi.'" Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 7067

Hadis ini menjelaskan maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan di antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan serta hilangnya ilmu.

Dalam riwayat lain, daripada Abdullah dan Abu Musa RA, mereka berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila hampirnya berlaku kiamat, akan terjadi hari-hari berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu dan berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Bukhari. Kitab al-Fitan, hadis no. 6538

Dalam hadis berikutnya, daripada Abu Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: Pembunuhan." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Gambaran pertama hadis ini merujuk kepada kejahilan yang jelas berlaku bermula pada penghujung pemerintahan kerajaan Uthmaniyah iaitu apabila hampir tiada yang mampu membaca dan menulis sehingga mencapai kemuncak kepada kejahilan manusia. Pada ketika itu hanya sedikit yang mendirikan solat dan hampir tiada yang boleh membaca al-Quran, sebelum umat Islam mula bangkit kembali serta ajaran Islam mula berkembang.

Gambaran pembunuhan pula merujuk kepada banyaknya pembunuhan sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh. Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh. Dalam situasi ini berkemungkinan pembunuh juga hanya berperanan sebagai tukang bunuh yang diupah dengan nilai tertentu. Situasi ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh." Maka mereka bertanya kepada baginda: "Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab: "Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka." Hadis Riwayat Al-Albani. Silsilati al-Shahih, hadis no. 2772

Pembunuhan dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah. Pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada membabitkan harta, takhta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Bagaimanapun, apabila diteliti, terdapat maksud tertentu yang menyebabkan berlaku sesuatu pembunuhan. Antaranya membabitkan kepentingan daripada pihak tertentu. Situasi ini dapat dilihat dengan sejarah pembunuhan yang berlaku di seluruh dunia dengan bermotifkan perebutan harta, politik, dendam yang akhirnya nyawa menjadi pertaruhan.

Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Ibadah pada saat terjadinya al-Harj (pembunuhan) adalah seperti orang yang hijrah kepadaku." Hadis Riwayat Muslim al-Fitan, hadis no. 2948

Hadis ini menunjukkan nilai ibadah pada zaman yang banyaknya berlaku pembunuhan dengan menyamakan dengan nilai hijrah kepada Rasulullah SAW. An-Nawawi menjelaskan, maksud al-Harj adalah merujuk kepada fitnah dan urusan manusia di dunia. Oleh itu, keutamaan ibadah padanya adalah penting kerana pada zaman itu ramai manusia akan lupa kepada perkara akhirat dan sibuk kepada perkara yang membawa kepada fitnah.

Dalam al-Quran Allah SWT menyatakan dengan jelas larangan terhadap pembunuhan sesama manusia. Allah SWT berfirman maksudnya: "Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Al An'am ayat 151

Pada ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman 'qisas' (balasan yang seimbang) dalam perkara orang yang mati dibunuh iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (si pembunuh pula hendaklah menunaikan bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu dan suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Surah Al-Baqarah ayat 178

Dalam satu riwayat menjelaskan umat Islam adalah umat 'marhumah' iaitu umat yang diberi rahmat dan dikasihi. Mereka tidak akan diseksa dengan azab yang kekal di akhirat. Allah SWT hanya menyeksa mereka di dunia dengan pelbagai fitnah, gempa bumi dan pembunuhan.

Diriwayatkan daripada Shidqah bi Al-Muthanna: "Telah menceritakan kepada kami Rabbah bin al-Harith daripada Abu Burdah dia berkata: 'Ketika aku sedang berdiri di pasar pada masa pemerintahan Ziyad, tiba-tiba aku memukul sebelah tangan aku kerana berasa hairan, lalu salah seorang lelaki daripada kalangan Ansar yang bapanya mempunyai persahabatan dengan Rasulullah SAW bertanya, 'Apakah yang engkau hairankan wahai Abu Burdah? Aku menjawab, 'Aku hairan terhadap kaum yang agamanya satu, nabinya satu, dakwahnya satu, hujahnya satu, berperang kerana tujuan yang satu, tetapi mereka saling membunuh antara sebahagian yang lain.' Dia berkata: 'Janganlah engkau hairan kerana aku mendengar ayah aku memberitahu dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 'Sesungguhnya umatku ini adalah umat yang dikasihi. Tidak ada hisab dan azab bagi mereka di akhirat, sesungguhnya azabnya berupa pembunuhan, gempa bumi dan pelbagai fitnah di dunia.'" Hadis Riwayat al-Hakim.

Oleh itu marilah sama-sama kita memohon keselamatan kepada Allah SWT dan memohon perlindungan-Nya daripada pembunuhan dan semua fitnah sama ada yang jelas atau tersembunyi.

Penulis Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Tiada ulasan: