"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno ibarat hikayat gunung ledang, Pas pula hikayat janji 1001 ‘malang’

SITI NUR ZAWANI MISCON

Jika cadangan Umno ibarat hikayat gunung ledang kerana menetapkan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021, janji-janji Pas pula sama seperti hikayat janji seribu satu malang kerana banyak janji yang tidak ditepati, kata Pengerusi AMANAH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah.

Beliau berkata, semasa menjadi pembangkang, Pas merayu untuk melaksanakan Rang Undang-undang (RUU) 355, dan membela pembunuhan anggota Bomba Muhammad Adib, namun kini isu yang lantang dibangkitkan tidak lagi kedengaran.

Contohnya beliau berkata, peruntukan kepada sekolah-sekolah tahfiz dan agama telah dikurangkan kepada RM29 juta berbanding RM100 juta ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan Pas Kelantan dan Terengganu membelanjakan begitu banyak wang untuk kenaikan gaji Exco dan melantik begitu ramai pegawai sementara rakyat sedang menderita.

“Gaji Adun di Kelantan pula dinaikkan antara RM3,000 hingga RM5,000 selepas mereka membeli kereta Mercedes semasa rakyat mengalami masalah ekonomi yang teruk.

“Lebih banyak wang rakyat dikeluarkan untuk menanggung ahli politik dan pegawai mereka tanpa disedari oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu Kamarul yang juga bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, pendirian Pas yang tidak mahu membahas secara kritikal Belanjawan 2021 jelas menggambarkan sikap tidak prihatin terhadap perbelanjaan wang rakyat.

Katanya, mereka terlalu selesa dengan budaya wala’ atau taat secara mutlak sehinggakan tidak mahu meminta penjelasan.

Rakyat juga katanya, terpaksa menanggung jumlah tinggi untuk dibayar kepada orang politik sementara janji-janji manis kepada rakyat tentang hudud, RUU 355 serta keadilan untuk arwah Adib sudah tidak kedengaran lagi.

“Ini lah hikayat seribu satu malang janji dari bibir manis ustaz Pas untuk pengundi.

“Apabila berkuasa, janji dari bibir manis mereka tinggal hanya janji untuk diratib semula mungkin bila tiba masa PRU akan datang pula,” katanya lagi.

Tiada ulasan: