"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Secawan kopi RM50, sepotong karipap RM10

Majdan Dagang

Tidak mustahil suatu masa nanti harga secawan kopi RM50, sepotong karipap RM10 dan sepinggan nasi lemak RM250! Mungkinkah ini berlaku? Ya, tidak mustahil perkara ini boleh terjadi jika setiap tahun harga barangan terus naik akibat kenaikan cukai dan pada masa yang sama rakyat menuntut kenaikan gaji minimum.



Bagi pihak kerajaan, bagi menampung kos gaji kakitangan awam, mereka terpaksa menaikkan pelbagai jenis cukai dan mungkin mengenakan pula pelbagai cukai baru. Tidak mustahil pula segala subsidi dikurangkan atau dihapuskan. Rakyat pula sama ada di sektor awam mahupun sektor swasta menuntut gaji minimun agar dapat disesuaikan dengan kenaikan kos sara hidup.

Hakikatnya, pertembungan itu banyak merugikan rakyat dan seolah-olah tiada kaedah yang mampu menyelesaikannya. Sebenarnya rakyat yang cerdik boleh menyelesaikan kemelut ini.

Sebagai contoh, rakyat yang bijak akan memilih pemimpin yang amanah untuk menjaga harta rakyat seperti yang berlaku di Kelantan. Oleh sebab, kerajaan negeri yang amanah, maka pelbagai jenis cukai dapat dikurangkan ataupun dihapuskan terus. Di Kelantan, sebaik sahaja PAS memerintah cukai teksi (beca) dihapuskan, di samping beberapa jenis cukai lain. Dalam keadaan kerajaan Kelantan yang disekat peruntukan oleh kerajaan pusat, dan bidang kuasa yang terhad, mereka masih mampu mengawal keadaan dan tidak mengenakan pelbagai tekanan kepada rakyatnya.

Di Selangor pula, sebaik sahaja kerajaan negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat, harga air dapat dikurangkan. Pada masa yang sama kerajaan negeri masih mempunyai lebihan pendapatan.

Melalui dua contoh mudah di atas, kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam mengawal kenaikan barangan dan kos sara hidup. Apalah guna gaji seorang kerani RM5,000 sebulan jika secawan berharga RM50 dan sebuah kereta sedan Proton Saga berharga RM1 juta.

Adalah lebih baik jika harga sebuah Proton Saga baru cuma RM15 ribu dan tempoh bayaran balik tidak lebih 5 tahun dengan bayaran bulanan sekitar RM200-RM300. Kerani yang bergaji kurang daripada RM1,000 pun mampu membalinya.

Kenaikan kos sara hidup dan harga barangan keperluan asas banyak bergantung kepada dasar dan polisi kerajaan. Setiap satu kenaikan akan memberi kesan kepada rantaian antara suatu sama lain.

Sebagai contoh, kenaikan harga tol walaupun dalam dalam nisbah yang tidak besar tetapi tetap mempunyai kesan rantaiannya. Setiap kenderaan perdagangan yang melalui tol akan meletakkan kos tersebut kepada harga barangan yang dibawanya. Jadi, harga barangan tersebut akan dinaikkan dan penggunalah yang akan menanggung kos itu.

Begitu juga dengan kenaikan harga petrol. Setiap sen kenaikan akan membabitkan semua sektor. Hal ini kerana, semua kenderaan yang membawa pelbagai barangan keperluan harian menggunakan petrol. Lori tepung, lori gula, lori simen, teksi, bas sekolah dan bermacam lagi akan turut menaikan kos agar tidak kerugian.

Jika kos kenaikan sesuatu barangan itu berkaitan dengan import dan perdagangan luar negara, rakyat faham bahawa kerajaan tidak berupaya mengawalnya. Namun, pihak mestilah memikirkan langkah lain yang boleh digunakan agar harganya tidak naik. Janganlah mengambil jalan mudah dan menggunakan alasan “harga ini lebih murah berbanding harga serantau”.

Jika sudah tiada pilihan lain, kerajaan boleh menaikkan harga tetapi ada beberapa syarat yang wajar difikirkan. Antaranya, segala elaun dan lain-lain peruntukan wang yang diperoleh para menteri dipotong dahulu, kemudian ahli-ahli yang berhormat dan kemudian diikuti oleh mana-mana kumpulan yang sesuai.

Seperti yang pernah disiarkan dalam media tidak berapa lama dahulu bahawa elaun keraian perdana menteri sahaja mencecah RM50 ribu sebulan. Jika wang sejumlah itu dapat dikembalikan ke dalam perbendaharaan kerajaan, anda boleh bayangkan banyak masalah rakyat dapat diselesaikan. Jika dikumpulkan semua jumlah elaun menteri, timbalan menteri dan lain-lain, tentunya lagi banyak faedah untuk rakyat.

Jika semua kos yang tidak penting itu dapat dikawal, maka tidak ada sebab kerajaan menaikkan pelbagai jenis harga barangan kawalan, cukai dan sebagainya. Apabila kos hidup tidak terlalu tinggi dan jika naik pun dalam kadar yang perlahan, tidak perlulah memeningkan kepala memikirkan masalah gaji minimun.

Untuk memikir dan menyelesaikan masalah ini tidak memerlukan ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi pun. Yang penting jujur dan ikhlas dalam melaksanakan amanah sebagai pemimpin. Jawatan bukan keistimewaan tetapi tanggungjawab. Jika tidak mampu, rakyat berhak memberikan kuasa memimpin kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: