"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib sanggup mohon maaf kepada keluarga Altantuya?

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Mac: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat isu yang melibatkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu semakin mencalarkan imej Datuk Seri Najib di mata masyarakat.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, penghakiman bertulis yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Datuk Mohd Zaki Md Yasin seakan mahu mengheret ‘seseorang yang berkuasa’ di sebalik pembunuhan model tersebut.

“Penghakiman ini mewujudkan persoalan dan persepsi masyarakat, adakah institusi mahkamah dalam kes ini benar-benar bebas berfungsi ataupun telah diikat dan dikongkong oleh mereka yang berkuasa di belakangnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, lebih mengusutkan keadaan apabila dalam penghakimannya, Datuk Mohd Zaki Md Yasin merumuskan bahawa motif pembunuhan tidak penting walaupun ianya relevan.

“Tidak penting tujuan bunuh, justeru, mengapa Altantuya dibunuh?” soalnya.

Dua orang yang telah didapati bersalah adalah anggota Unit Tindakan Khas iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya adalah pegawai keselamatan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

“Soalnya pula, bagaimana kedua-dua anggota ini yang bertugas menjaga keselamatan pemimpin negara boleh terlibat melakukan operasi membunuh ini dengan begitu kejam?

“Apa kaitan kedua-dua mereka dengan Altantuya?” tanya Riduan lagi.

Tambahnya, tidak mungkin anggota polis melakukan jenayah itu tanpa sebab.

Menurutnya, mesti ada arahan oleh mereka yang lebih tinggi darinya untuk melakukan perbuatan itu DPPM berpandangan, sepatutnya misteri kes itu mudah terjawab dengan merungkai satu demi satu persoalan sehingga akhirnya akan menemui jawapan yang sebenar.

“Lihatlah bagaimana kes Datuk Sosilawati yang dibunuh dengan modus operandi yang hampir sama. Kes ini disiasat dengan beitu teliti sehingga akhirnya menemukan motif pembunuhan tersebut,” ujarnya lagi.

Namun demikian, kata beliau dalam kes Altantuya motif pembunuhan ditutup seakan mahu menutup terus cerita ini dari terus disiasat.

Walau apa pun alasannya, ujarnya rakyat melihat pembabitan Najib dalam kes itu.

Beliau berkata, meskipun mungkin beliau tidak terlibat secara langsung, namun pembabitan kedua-dua anggota keselamatan dalam kes itu amat merendahkan reputasi Najib.

Tambahan pula, ujarnya orang kepercayaan beliau, Abdul Razak Baginda juga dikatakan terlibat meskipun kemudiannya dibebaskan dan didapati tidak bersalah.

“Kes ini juga amat memalukan negara di mata dunia kerana dunia menganggap Malaysia bukanlah sebuah negara yang selamat dikunjungi,” katanya.

Justeru, tambahnya apa yang berlaku kepada Altantuya tidak mustahil juga berlaku kepada pelancong lain yang berkunjung ke negara ini.

“Dalam keadaan Datuk Seri Najib merayu-rayu rakyat dengan permohonan maaf dan menyesali atas ‘ketelanjurannya’, sanggupkah beliau memohon maaf kepada keluarga Altantuya atas pembabitan bekas pegawai keselamatannya.

“Beranikah beliau berdepan dengan keluarga mendiang dan memohon maaf kerana kejadian itu berlaku di Malaysia?” tanya beliau lagi.

Beliau menambah, berjiwa besarlah Najib jika sanggup mengaku salah atas apa yang berlaku terhadap model Mongolia itu.

Tiada ulasan: