"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa salahnya pindahkan Surau Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ini ke lokasi lain…

ANBAKRI HARON

Keunikan seni bina masjid atau surau dan rumah-rumah ibadah peninggalan silam atau binaan masa kini yang tidak terpisah dari roh peradaban lalu di Malaysia banyak tertumpu kepada ciri-ciri khas binaannya seperti aspek bumbung, kubah, menara, mimbar dan mihrab.

Di samping itu, binaan masjid juga terpancar dari hal-hal yang dampak hasil dari kehalusan presentasi keindahan yang telah disampaikan lalu dapat terzahir pada sekelian hiasan dan ornamen yang digantung dipelbagai bucu, sudut, ruang dan serambinya.

Ini sering menyentuh aspek seni ukir dan seni khat yang melambangkan kehalusan seni budaya Melayu di alam nusantara.

Bentuk bangunan. Hiasan permukaan. Kaligrafi Islam dan ornamen corak geometri yang “interlace” – ini semua ada serba sedikit terakam di dalam seni reka surau unik ini.

Ya, ia kecil tetapi ia masih sempat memuat, merakam dan memancarkan serba sedikit pelbagai kraf kesenian hasil pemikiran dan kebijakan seni nenek moyang kita dahulukala.

Akhirnya bangunan telah diatur untuk mengalah. Pada 24 Ogos 2021, ia ditarik untuk tenggelam disebatikan dengan bumi buat selama-lama.

Apa erti kecintaan jika ia tidak disusuli dengan kecermatan. Apa erti kesabaran jika ia digelojohi oleh kesegeraan membuat keputusan lalu apa yang bersifat pemuliharaan ditolak tepi?

Surau Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra:

Fakta 1). Pada saya, tentu ada siri mesyuarat yang telah diatur antara Kerajaan Negeri dengan MOT, DCA , Perbadanan Muzium atau pihak penguasa lapangan terbang. Saya percaya, ini telah berlaku.

Fakta 2). Semua pihak akur yang surau ini tidaklah termasuk dalam senarai bangunan sejarah justeru ia dibina baru kira-kira 30 tahun lalu.

Fakta 3). Yang ramai rasa terkilan ialah apakala bangunan yang ada sentuhan klasik, yang unik ; yang dilihat “taat kepada hukum senibina” sebuah masjid atau surau Islam Melayu dari segi nilai reka bentuk seninya; tiba-tiba tidak diberi layanan mesra dari sebuah kerajaan Islam Melayu sewaktu; lalu ia dirobohkan. Ini kepelikan !

Apa salahnya ia dilakukan dengan lebih cermat , antara lain misalnya:

3.1). Dirombak dengan lebih teliti untuk tujuan dipindah dan digunapakai di tempat yang lain kalau pun untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembesaran lapangan terbang. Jika dirombak dan dipasang siap semula di Tunjong atau di PCB, apa salahnya ?

3.2). Ini soal mengambil inisiatif tambahan yang sifatnya lebih sedikit dan berfikir lebih sedikit demi menghargai sebuah fasiliti; benda yang dah ada. Pindahkan saja ke lokasi lain yang strategik – apa salahnya?

3.3). Jika berfikir hening sedikit, akan ada-ada sajalah kaedahnya. Insya Allah, jika kita sama-sama jujur, pandailah Allah menganugerahi sebuah ilham pendekatan yang lebih mesra.

3.4). Ramai orang yang pernah menggunakan kemudahan surau ini memang terkesan kerana seni bina surau dan masjid kecil ini cukup indah – ini yang sebetulnya! Ia dilihat amat bersepadu dengan pintu gerbang yang dibina dan berada tidak jauh darinya.

3.5). Bahkan setakat yang mampu ditarikh, masjid dan surau ini dibina serentak. Ia dibina dengan konsep 3 serangkai yakni masjid, perkampungan kraftangan dan pintu gerbang rehal yang sememang telah menjadi sebuah mercu tanda.

3.6). Ketiga-tiga seni bina ini amat menyentuh denyut nadi seni bina sebuah bandar budaya bernama Kota Bharu, bagai yang pernah kerajaannya sendiri mewartakannya, sebelum ini di sedikit masa.

3.7). Masjid ini cukup “cute.” Ia berbudaya dan ia genit lagi bergaya. Bergaya seni bina akitektur timur, ia beraurakan kemasyhuran pemerintahan Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang. Ia menghimbau sebuah nostalgia.

3.8) Bahkan, pergi lebih jauh, kita boleh “capitalise” aspeknya dengan membuat pelbagai usaha pengukuhan serba sedikit lagi. Ini diikat dengan aspek naratif persejarahan, sekali gus tarikan pelancongan.

3.9). Isunya di sini, ia kurang dicermati. Dengan jentera jengkaut yang berlengan panjang dan segagah itu, sudah dapat kita bayangkan “degree” kemusnahan yang telah dilakukan. Pendekatan ‘total damage’ jenis ini jarang berlaku melainkan dilakukan oleh penguasa yang alpa. Sayang, tiada disedari akan perihal pangkal hujung dan jatuh kemusnahannya.

3.10). Nak bina surau atau masjid seklasik ini. Entah , saya tak nampak mampu dilakukan dalam upaya dan komitmen terkini pihak berkuasa yang sedia ada. Ya, meruntuh lebih senang dari membina, demikian lazimnya.

3.11). Dalam bahasa loghat, izin saya petik sebuah keluhan seorang teman akrab saya yang saya selalu panggil Deng jah (#Nourdin Anwar):

“Taktau lah War, baso jenis mano? Surau comel llotey – molek ggitu mor. Ya kauk sodok gitu jah. Ore rombok la, gi pasang tempat lain pulok. Pasang di PCB ko. Palo buleh. Tidok bbazir. Bukae main lawa. First class War. Uh, basso . Tok jadi apo,”.

Penulis merupakan bekas Setiausaha Politik Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tiada ulasan: