Undi percaya: Kenyataan Shamrahayu nakal, kata peguam
MALAYSIA DATELINE
Para peguam menyifatkan kenyataan Profesor Datuk Dr. Shamrahayu binti A. Aziz sebagai nakal apabila berkata usul percaya tidak perlu lagi terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri semalam.
Ini kerana, sebelum perlantikan Ismail, beliau sendiri berpendapat usul undi percaya itu perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sehubungan itu, bekas timbalan menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin berkata, kenyataan sebegitu sebenarnya bukan sahaja nakal bahkan tidak menghormati titah Yang Dipertuan Agong sendiri.
“Jika ada suara-suara “nakal” yang cuba berhujah kononnya kini tidak wajib dibuat Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat, pada hemat saya, kenyataan sebegitu amat tidak wajar, mengelirukan dan boleh dengan sewajarnya ditafsirkan seperti tidak menghormati titah YDPA tersebut sedangkan YDPA secara jelas mengkehendaki pelantikan itu diabsahkan melalui USUL UNDI PERCAYA di Dewan Rakyat,” kata peguam yang juga ahli parlimen Sepang itu.
Justeru itu, katanya, Usul Undi Percaya di Dewan Rakyat seperti mana titah YDPA adalah wajib dan mesti di bawa oleh pihak Kerajaan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen ini dan ia perlu menjadi agenda yang perlu disegerakan.
Seorang lagi peguam, Zulhazmi Sharif pula meminta Shamrahayu tidak terlalu cepat mahu mengulas sehingga melanggar kenyataan sendiri.
“Sementara tak terlanjur teruk sangat elok berhenti sekejap la.. tenangkan diri… jangan laju sangat nak ulas.. hari tu cakap lain, kemudian cakap lain.. kalau tak malu dengan diri sendiri pun hormatlah orang lain yang tahu juga tentang Perlembagaan,” kata beliau.
Beliau juga meminta media agar jangan melebelkan beliau sebagai pakar.
“Kepada para wartawan, tolonglah jangan dilabelkan orang macam ini pakar. Setakat kerap mengulas tidak menjadikan seseorang itu pakar. Peguam pun ada masa menang kes ada masa kalah,” kata beliau.
Semalam, Shamrahayu berkata, undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail di Dewan Rakyat tidak perlu dilakukan kerana keabsahannya sudah diperakui ketika Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, pada Sabtu semalam.
Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Shamrahayu Ab. Aziz, sekiranya undi percaya dilakukan, ia hanyalah proses mengukuhkan sokongan terhadap Perdana Menteri.
Profesor Shamrahayu turut menjelaskan, dalam Perlembagaan tidak menyatakan bahawa perkenan Yang di-Pertuan Agong perlu diuji di Dewan Rakyat.
“Secara fahamnya, sekiranya seorang Perdana Menteri itu telah mengangkat sumpah, maka jawatan itu telah sah.
“Lagipun dalam Perlembagaan kita ia tidak menyatakan syarat bahawa perkenan Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) itu should be tested in the Parlimen.
“Kita tidak perlu lagi mengesahkan perkenan Tuanku itu, sebenarnya perkenan Tuanku secara legal suatu pelantikan yang sah,” katanya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI Khas di Saluran 501, di sini, pada Sabtu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan