Dzulfikar Mashoor
BANGI, 2 Jun: Empat mahasiswa yang didakwa di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terpaksa merempuh benteng pengawal keselamatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) demi menyerahkan injunksi kepada naib canselor universiti itu, Prof Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.
Mereka yang terbabit bagaimana pun hanya dibenarkan menyerahkan surat injunksi masing-masing kepada setiausaha sulit naib canselor, Puan Norlelawati pada sekitar jam 10 pagi, iaitu lewat sejam dari waktu yang dirancang.
Menurut Hilman Idham, salah seorang yang didakwa, sepatutnya universiti boleh menghormati keempat-empat mahasiswa yang mahu menyerahkan surat injunksi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ekoran insiden itu, beliau mempersoal kredibiliti kelima-lima pegawai terbabit serta Noorlelawati kerana enggan memberi layanan profesional kepada mahasiswa.
"Kenapa pegawai keselamatan universiti perlu halang kami. Injunksi ini mahkamah yang keluarkan, kenapa pula Puan Noorlelawati awalnya enggan menerima surat injunksi kami dengan mengarahkan keselamatan menghalang kami," katanya.
Tambahnya lagi, layanan universiti itu seakan tidak menghormati keputusan mahkamah terhadap kaedah universiti menggunakan Auku ke atas mahasiswa.
Ditanya tentang motif perhimpunan aman lebih 100 mahasiswa di Dataran Canselori, beliau berkata, perhimpunan tersebut adalah isyarat kepada universiti bahawa dakwaan yang dikenakan ke atas mahasiswa menggunakan Auku adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan hak asasi manusia.
Bercakap pada satu sidang media yang lain, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching (DAP) berjanji untuk mengetengahkan dakwaan tidak munasabah itu pada sidang Dewan Rakyat kelak.
Baginya, Hilman bersama tiga mahasiswa yang lain, Wong King Chai, Ismail Aminuddin dan Azlin Shafina berhak untuk berpartisipasi dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor memandangkan mereka masing-masing adalah calon sarjana muda Sains Politik.
Di perkarangan Dataran Canselori, menyaksikan lebih 100 mahasiswa serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun secara aman menuntut UKM supaya bersikap lebih profesional dan matang dalam menghadapi aktivitisme mahasiswa.
Semalam, selain mengeluarkan injunksi interim secara ex-parte yang menghalang pihak berkuasa tatatertib universiti memulakan proses perbicaraan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut memutuskan untuk mendengar semula kes tersebut secara inter-prates pada 17 Jun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan