"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Prabakaran dan politik tiga rasa
ISMAIL HASHIM YAHAYA
Dua hari lepas, saya menanyakan seorang rakan sekerja, apa hidangan berbuka puasa, dia mengatakan dia menyediakan masakan ikan tiga rasa. Masakan ikan siakap tiga rasa boleh sahaja di makan di Restoren Tom Yam tetapi dalam situasi PKP ramailah ibu atau suri-rumah yang memasaknya sendiri.
Saya pun melakukan sedikit pencarian ingin mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan tiga rasa itu, saya dapati ia adalah gabungan rasa sos tomato, cili dan tiram. Maka gabungan tiga rasa melahirkan satu rasa yang mantap.
Saya membaca berita memgenai anggota Parlimen Batu, P Prabakaran yang mengesahkan beliau diajak oleh seorang pemimpin PKR yang sedang digantung, Afif Bahardin untuk meninggalkan parti itu.
Namun Prabakaran berkata beliau menolak tawaran Afif agar menyertai Gerakan.
Prabakaran juga mengeluarkan satu kenyataan berasingan dan menegaskan beliau akan setia bersama PKR.
Apa yang sedang berlaku sebenarnya daripada ajakan Ahli Parlimen Batu yang didakwa Ketua PKR Perak Saudara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak untuk menyertai Gerakan. Adakah ini bagi mengukuhkan kedudukan politik Datuk Seri Azmin Ali dan kumpulan ahli parlimen yang menyokongnya untuk menyertai Gerakan sebagai mengukuhkan kedudukan politik dan perjuangan mereka.
Pada Februari lepas, terdapat desas desus yang Azmin dan kumpulannya akan menyertai Gerakan. Ini kerana Gerakan adalah parti berbilang kaum, tentu ahli parlimen bukan Melayu dapat menyertai parti seperti Gerakan.
Kemudian terdapat berita pula yang mengatakan bekas Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula.
Selain Azmin adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar.
Selain itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin.
Kemungkinan adalah wajar bagi Azmin menyertai Gerakan kerana terdapat ahli parlimen keturunan India, Dr Santara Kumar contohnya dan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak yang boleh menyertai Gerakan. Mereka tentulah tidak boleh menyertai Pari Bersatu. Gerakan boleh dijenamakan semula. Cuma tidak pasti adakah Azmin dan penyokongnya telah menyertai Gerakan secara rasminya.
Saya tertarik dengan kenyatan Afif yang enggan melayan tuduhan itu dan fokus beliau adalah kepada pengundinya dalam tempoh PKP yang sukar ini. Ahli politik muda Prabakaran juga mahu ‘politik jijik’ dihentikan dan akan terus berkhidmat kepada rakyat sehingga pilihan raya umum ke-15.
Afif merupakan sekutu rapat kepada bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang membantu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Feb lalu.
Bagi saya kenyataan kedua-dua ahli poltik ini berkaitan dengan poltik tiga rasa, semacam masakan ikan siakap tiga rasa. Sebagai ahli politik tiga rasa ini amat penting seseorang ahli politik menghadamkan tiga rasa itu iaitu rasa rakyat, rasa parti dan rasa kepentingan diri. Ramuan tiga rasa manakah yang didahuluk dan diutamakan untuk dipraktikkan.
Adakah semasa menjadi ahli politik kita mengutamakan rakyat, bangsa (tidak membuta tuli) daripada diri kita. Adakah kita melupuskan diri dan keluarga demi rasa rakyat? Jika takrifan politik secara ringkas adalah kuasa, dan inilah yang terjadi dengan langkah Sheraton di samping PH juga yang mengutarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8, janji atau persetujuan Tun Mahathir untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada hujung tahun ini selepas sidang APEC untuk memberikannya kepada Anwar.
Tulisan Khairil Anwar Mohd Amin (Sinar Harian 9 Mac 2020) mengemukakan enam teori konspirasi yang dikaitkan ‘Langkah Sheraton’ sehingga tertubuhnya kerajaan Perikatan Nasional. Adakah ia mencirikan rasa rakyat, kepentingan diri atau parti dan kerajaan.
1) Mohamed Azmin, Hishammuddin pencetus gerakan
2) Pas cadang usul sokong Dr Mahathir sebagai PM
3) Lokman Adam dedah Ahmad Zahid cuba ‘khianat’ UMNO
4) Setiausaha-setiausaha politik Dr Mahathir bertindak sebagai ‘daulah terpendam’ dalam PH
5) Hishammuddin didakwa ‘mastermind’ kerajaan pintu belakang
6) Dr Mahathir sebagai ‘trojan horse’ menggagalkan PH
Teori konspirasi ini paling kuat diperkatakan dalam kalangan warga maya sehingga kini.
Bagaimanapun, segala bentuk teori konspirasi ini bukanlah satu jawapan muktamad terhadap persoalan terjadinya ‘Langkah Sheraton’ yang dianggap sebagai satu lipatan sejarah penting negara.
Namun adakah segala bentuk teori konspirasi ini memperlihatkan rasa kuasa ke atas rakyat atau rasa kepentingan diri untuk berkuasa, atau rasa untuk kepentingan Melayu dan Islam seperti diperjuangkan Muafakat Nasional?
Di mana logika rasa itu? Rasa terhadap rakyat, kepentingan diri dan parti dan kerajaan itu datang dari mana? Sejauhmanakah rasa keberagamaan, ketauhidan dan latihan kerohanian membuatkan kita mempunyai citarasa yang sama dengan rakyat untuk hidup dan mati bersama agama dan rakyat. Nilailah sendiri.
Sejauhmanakah rasa bersama rakyat kita itu menjauhkan diri kita daripada rasa mementingkan diri, dan secara sempitnya memperjuangkan parti dan kelompok kita yang ingin berkuasa. Ahli politik memerlukan politik dalam keseimbangan tiga rasa yang merupakan ramuan terbaik memegang, mengurus dan mengendalikan kuasa dengan memberikan khidmat kepada rakyat.
Bagi saya kuasa atau siasah bukan hak istimewa mencari kekayaan, gila berkuasa tetapi hakikatnya adalah ahli politik itu menjadi kuli atau hamba kepada rakyat sebab rakyatlah yang memangkah dan mengundi ahli-ahli politik ini untuk mewakili mereka, menjadi ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Walaupun mereka mewakili parti berkepentingan kaum dan agama, mereka harus ingat mereka naik kerana rakyat. Oleh itu politik tiga rasa adalah penting bagi wujudnya rasa rakyat, kuli rakyat; rasa diri – potensi dan kreaviti diri dalam mencari jalan membantu rakyat sekiranya negara dan rakyat ditimpa kesusahan, kegawatan, krisis seperti sekarang; dan rasa parti dan kerajaan, mewakili gabungan penyatuan, kedaulatan kerajaan dan keutuhan sebagai sebuah parti, gabungan parti dan kerajaan dari mandat rakyat dalam berhadapan dengan isu kenegaraan, antarabangsa dan keselamatan.
Jika politik tiga rasa ini tidak diadunkan menjadi rempah politik yang enak, menyelera untuk dinikmati rakyat (keadilan, kestabilan)dalam keselesaan dan stabil, maka negara akan hancur, kucar kacir dan musnah. Rakyatlah yang menjadi pengukur kepada politik tiga rasa ini.
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan