"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi Awang fitnah, bohong besar - Mat Sabu

SITI NUR ZAWANI MISCON
Presiden AMANAH, Mohamad Sabu membidas dakwaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya Pakatan Harapan (PH) tidak mempedulikan pelarian Rohingya dalam pentadbiran lalu.

Mohamad berkata, beliau sentiasa mengutarakan isu penindasan umat Islam Rohingya setiap kali menghadiri mesyuarat antara Menteri-Menteri Pertahanan Asean atau di antara Negara-Negara dalam Asean.

Malah, beliau sebagai Menteri Pertahanan ketika itu tegas menimbulkan isu Rohingya agar jalan penyelesaian terbaik dicapai untuk menyelamatkan etnik tersebut yang dihalau keluar dari tanah air mereka.

“Jika Hadi Awang mengatakan bahawa kerajaan PH tidak mempedulikan hal Rohingya, (ianya) adalah satu fitnah dan pembohongan yang cukup besar.

“Sewaktu bertemu dengan Menteri Pertahanan Qatar, kami membincangkan supaya Qatar memainkan peranan lebih hebat, menghulurkan bantuan lebih tinggi kepada rakyat Rohingya khasnya membantu hospital Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi dalam kenyataannya semalam, turut mendakwa hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu Rohingya dalam persidangan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), namun pemimpin lain sibuk menghadapi krisis dalaman menanti peletakan jawatan Mahathir.

Mohamad menegaskan, beliau sendiri membincangkan isu pelarian Rohingya semasa pertemuannya bersama Setiausaha Pertahanan Amerika, Menteri Pertahanan UK, Perancis, Jerman, Australia, New Zealand, Russia, termasuk juga Menteri Pertahanan China.

Dalam masa sama, Mohamad membangkitkan isu kapal pelarian Rohingya yang dihalau dari Malaysia sehingga kemudiannya hampir 30 orang maut di perairan negara.

“(ianya) berlaku semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) di mana Hadi Awang bersamanya.

“Mengapa Hadi Awang sanggup berbohong di atas isu Rohingya sedangkan saya sebagai Menteri Pertahanan termasuk Tun Mahathir selaku Perdana Menteri amat lantang menyuarakan pembelaan terhadap umat Islam Rohingya dan pelarian Rohingya secara amnya yang ditindas oleh kerajaan zalim Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi,” tegasnya.

Pada 16 April lalu, usaha bersepadu antara TUDM, TLDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menghalang kemasukan bot dipenuhi kira-kira 200 pelarian Rohingya yang berhajat memasuki perairan negara.

Kapal itu mulanya dikesan oleh tentera udara di sekitar Pulau Langkawi kemudiannya dipintas dua kapal tentera laut dibantu helikopter.

Pihak berkuasa memberikan makanan kepada kumpulan itu sebelum mengawal mereka untuk keluar dari perairan negara.

Terdahulu, terdapat lebih 200 pelarian Rohingya mendarat dengan menaiki bot di kawasan peranginan berdekatan Pantai Teluk Nibong di Langkawi pada 4 April lepas.

Sejak awal tahun 1990-an lagi, etnik Rohingya telah lari ke Malaysia secara berperingkat ekoran konflik dan penindasan dilakukan kerajaan Myanmar.

Tiada ulasan: