"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penularan kemelut PN Johor lebih kencang berbanding wabak Covid-19

AKMAL MANAF

Susulan kemelut politik yang melanda Umno dan Bersatu di Johor ketika ini, Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar menyifatkan ianya semakin merebak dan menular.

Mohd Sayuti dalam laman blognya berkata, kemelut kerajaan PN di Johor nampaknya tidak boleh ditusuk selindungkan lagi.

“Persoalan yang mahu dilihat daripada kemelut di Johor ketika ini, apakah ia akan menjadi pemula dan penyebab kepada akan runtuhnya kerajaan PN di Johor?

“Cakap dan cakar politik dalam kerajaan PN Johor sudah kian merebak dan makin menular, kini Johor dalam radar pemeriksaan para pemerhati politik negara.

“Penularannya lebih kencang daripada Covid-19 waktu ini. Ironisnya pandemik Covid-19 sudah tampak hendak mengurang, tetapi kemelut politik di Johor semakin membelang pula. Apakah isu terbaru selepas Covid-19 ianya hal berkaitan politik Johor?” soal beliau.

Baru-baru ini, dalam isu sama, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman turut menyuarakan pandangan beliau

bahawa pemimpin atasan Bersatu dan Umno perlu berbincang segera untuk menamatkan perdebatan situasi politik di negeri paling selatan tanah air itu.

Ekoran kenyataan Tajuddin itu, Mohd Sayuti menyifatkan ‘suara’ daripada Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak itu, bukanlah sembarangan.

“Beliau jarang menyentuh hal-hal remeh begitu. Apabila beliau turut memerhati, maknanya ia serius.

“Seperti dilaporkan, beliau meminta pemimpin atasan campur tangan menyelesaikan kemelut di Johor itu. Cadangnya penyelesaian itu bukan saja oleh pemimpin peringkat bawahan atau kawasan, tetapi di peringkat tertinggi.

“Apabila meminta pemimpin atasan campur tangan, ertinya kemelut di Johor itu tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri lagi. Ia bukan isu kecil yang boleh dilihat sebelah mata,” katanya lagi.

Mohd Sayuti mendakwa, apa yang berlaku di Johor itu, ‘penganiayaan’ Umno kepada Bersatu adalah percubaan Umno untuk menguji kekuatan Bersatu.

“Itu sebenarnya. Fahami isu di Johor itu, ia tidak berlaku dan terjadi begitu sahaja tanpa motif. Apakah orang Bersatu memahami keadaan dan kondisi ini, wallahu’alam.

“Benarlah apa yang dianologikan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub bahawa Umno parti berpuaka dan ada saka yang tidak mungkin boleh berlaku adil dengan Bersatu.

“Jika Bersatu mengharap keadilan daripada Umno, ia sesuatu pengharapan yang sia-sia sahaja. Lantaran itu, Salahuddin tanpa pesimis membuka jalan kepada Bersatu agar kembali kepada PH,” tambah beliau.

Menurut Mohd Sayuti lagi, ‘pembukaan jalan’ itu bertujuan meneruskan pengorbanan dan perjuangan demi rakyat seperti dilakukan semasa dalam kerajaan PH dahulu, selain ia juga bagi mengelakkan Bersatu terus diperbudakkan oleh Umno.

“Ada benarnya kata Salahuddin itu. Rasanya orang Bersatu pun dapat tahu dan membandingkan keselesaan sebenar apakah bersama Pakatan Harapan (PH) atau bersama Perikatan Nasional (PN),” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: