"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mungkinkah korupsi di negara ini sudah jadi endemik?

ZIN MAHMUD

Pada tahun ini, rakyat Malaysia mula diperkenalkan dengan istilah endemik. Seperti mana pada tahun lalu, apabila istilah pandemik mula menjadi sebutan.

Sesuatu wabak apabila merentas sempadan dan menjadi global, ia menjadi pandemik. Apabila pandemik tidak boleh dihapuskan sepenuhnya, maka ia menjadi endemik. Manusia perlu menyesuaikan diri hidup dengan virus itu, dengan mencari jalan supaya tidak dijangkit. Maknanya wabak ini dikawal supaya sistem kesihatan negara tidak lumpuh walaupun tidak boleh dihapuskan.

Andai kata korupsi dianggap sebagai suatu virus. atau virus merupakan suatu metafora bagi korupsi, maka ia boleh dipandang sebagai suatu wabak. Jadi jika ia sudah merentas sempadan atau bersifat global, maka ia boleh dianggap sebagai suatu pandemik. Tetapi jika ia tidak boleh dihapuskan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan, maka ia juga boleh disebut sebagai endemik.

Virus mempunyai varian. Begitu juga dengan korupsi. Ada pelbagai jenis varian korupsi. Seorang penyair, Ghazali Lateh dalam sajaknya bertajuk “Endemik” yang dipaparkan dalam Facebook mengungkapkan metafora ini:

“Awas! Awas!

Vaksin integriti tidak berkesan total

Virus rasuah banyak varian

Ada varian ketua jabatan

Ada varian penguatkuasa kerajaan

Varian siasah paling dominan

Terkena kenan seluruh keturunan.”

Ghazali meletakkan integriti sebagai vaksin untuk melawan korupsi. Tetapi ia tidak berkesan secara penuh, iaitu seperti vaksin untuk melawan Covid-19. Sebab itu beliau menggambarkan korupsi ini sebagai endemik.

Tetapi kalau hendak dijadikan metafora, mungkin integriti boleh diumpamakan sebagai imuniti tubuh manusia, dan bukannya vaksin. Seperti usaha melawan Covid-19 adalah berasaskan pada kekuatan imun seseorang, maka bagi melawan korupsi, ia adalah pada integriti. Seperti kekuatan imun, tahap integriti seseorang juga berbeza di antara satu sama lain.

Perkara ini disedari sendiri oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) sejak dari tahun 2000-an yang mana disuarakan kepentingan kesedaran integriti supaya korupsi dapat dicegah di peringkat diri seseorang lagi. Perkara ini dilakukan kerana korupsi ridak dapat dibanteras dengan hanya menyiasat, mendakwa dan menghukum.

Maknanya lebih baik cegah daripada merawat melalui hukuman. Ia tidak jauh bezanya dengan pendirian pihak berkuasa kesihatan iaitu mencegah lebih baik daripada merawat.

Untuk itu, program membangkit kesedaran tentang korupsi perlu dilakukan. Maka Institut Integriti Malaysia ditubuhkan. Kempen penerangan mengenai korupsi pun dilakukan. Adalah juga disedari bahawa pendidikan mencegah korupsi wajar dibuat di peringkat sekolah lagi, antaranya melalui mata pelajaran siviks.

Dalam dakwah pula, adalah penting bagi penceramah agama turut menyumbang dalam menyedarkan orang ramai mengenai bahaya korupsi.

Kesedaan ini penting kerana untuk mengatasi korupsi melalui aduan, laporan, siasatan dan pendakwaan adalah sukar dan memerlukan perbelanjaan tinggi. Tetapi lebih penting ialah kesedaran rakyat terhadap korupsi kerana merekalah yang mencorakkan landskap politik.

Rakyat yang menolak korupsi akan melahirkan ahli politik yang bersih. Tekanan melalui sistem demokrasi akan menyingkirkan ahli politik yang korup. Jika tidak, bukan saja korupsi berleluasa dalam masyarakat tetapi juga ia turut menjadi amalan parti politik serta pemimpin-pemimpinnya yang bertambah merosakkan negara. Bukan saja korupsi menjadi endemik tetapi diinstitusikan, atau institutionalise.

Dalam sajak Ghazali di atas, beliau menyebut; “varian siasah paling dominan, terkena kenan seluruh keturunan.” Maksud beliau ialah korupsi melalui politik adalah paling besar kesannya. Ini kerana ia melibatkan bukan saja wang yang banyak kerana boleh diwarisi turun-temurun tetapi juga melibatkan wang orang ramai,

Walaupun SPRM mempunyai kuasa tetapi ia memerlukan sokongan rakyat. Orang ramai yang sedar dan tegas menyokong kerja-kerja SPRM akan mendorong parti politik yang memerintah menyokong usahanya. Begitu juga, rakyat yang sedar korupsi akan memudahkan parti pembangkang menyuarakan isu-isu berkaitan dengannya. Selain itu, media akan juga aktif menghidu dan membongkar pelanggaran integriti.

Satu cabaran besar bagi negara ini ialah apabila ada sebahagian rakyat yang menganggap korupsi yang melibatkan politik bukan korupsi. Seolah-olah pemberian wang yang bersumberkan korupsi tetapi untuk aktiviti politik dianggap sebagai bukan korupsi. Mereka menganggapnya sebagai pendanaan politik.

Lebih-lebih lagi bagi parti politik yang telah berpuluh-puluh tahun dan tidak disiasat merasakan perkara itu tidak salah. Malah ada pemimpin politik yang menyeru supaya korupsi ditakrifkan semula, dengan dibayangkan bahawa ia tidak salah di sisi agama.

Perkara ini perlu jelas. Penyandang awam dari kalangan lantikan politik yang menjadi kaya raya melampaui pendapatannya mesti menimbulkan tanda-tanya. Adakah kekayaannya itu datang dari sumber halal atau korupsi. Perkara ini tidak perlu aduan orang ramai kerana mereka tidak akan memperoleh maklumat.

Lebih-lebih lagi jika wang yang banyak itu disimpan di luar negara. Tetapi korupsi tetap korupsi. SPRM juga mempunyai kaedah untuk menyiasat seseorang apabila ia kelihatan mewah di luar jangkauan pendapatannya.

Apabila menyebut korupsi sudah menjadi endemik, ia adalah juga bererti amalan itu sudah meluas dalam komuniti. Tetapi itu tidak bermakna bahawa rakyat wajar berputus asa dan membiarkannya. Generasi akan bergantian tetapi usaha melawannya wajar diteruskan untuk menyelamatkan negara.

Oleh kerana negara sentiasa berhubung dengan dunia luar melalui perdagangan dan pembelian keperluan pertahanan yang melibatkan perbelanjaan besar, pastinya korupsi juga boleh merentas sempadan. Sebab itu terdapat perkhidmatan perbankan luar pesisiran. Di situlah berlaku kegiatan pengubahan wang haram dan usaha untuk lari dari cukai.

Dalam bidang kesihatan, ada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Sementara dalam bidang integriti terdapat juga pelbagai agensi. Antaranya adalah badan yang memberi penarafan integriti pada negara. Imej negara turut tercabar dengan penarafan ini.

Bagi melawan Covid-19, terdapat vaksin yang boleh meningkatkan imuniti seseorang walaupun tidak kebal sepenuhnya. Tetapi dalam memerangi korupsi, tidak ada vaksin untuk meningkatkan integriti.

Nilai integriti terkandung dalam perwatakan seseorang. Bagaimana integriti itu wujud dan meningkat, atau menurun adalah merupakan suatu dalam kajian psikologi yang berkait pula dengan sosiologi di mana masyarakat sekeliling turut mempengaruhnya.

Dalam politik, maksud integriti adalah lebih luas daripada korupsi. Contohnya, melompat parti adalah bukan saja tidak beretika tetapi juga tidak berintegriti. Untuk bercakap atau menulis mengenai integriti memang lebih mudah berbanding apabila seseorang menghadapi sesuatu situasi.

Hanya apabila ada sesuatu cabaran yang melibatkan integriti seseorang, barulah ia benar-benar diuji. Cabaran itu selalunya berbentuk wang ringgit, kuasa, jawatan, kedudukan atau ugutan kepada pendedahan perkara lebih buruk.

Setiap orang termasuk ahli politik mempunyai hati nurani atau conscience untuk dicabar. Tetapi bagi orang ramai, penilaiannya adalah pada zahirnya. Khabar angin tentulah bukan fakta. Tetapi kalau sesuatu maklumat sudah dapat diyakini, maka orang ramai perlu menilai pada hati nurani masing-masing untuk memberi sokongan atau tidak kepada ahli poltik dan partinya yang jelas korup.

Untuk hidup dalam endemik Covid-19 ada SOP. Maka begitu jugalah untuk hidup dalam endemik korupsi.

Tiada ulasan: