
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Ratusan labah-labah ‘jatuh’ dari langit
KOSMO!

Tangkap layar memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung pada serang gergasinya di udara. - Newsflash
BRASILIA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan beratus-ratus ekor labah-labah tergantung di udara di sebuah kawasan pedalaman di Brazil, lapor akhbar The Sun UK.
Penemuan itu berlaku di Sao Thome das Letras, negeri Minas Gerais pada 28 Disember lalu.
Rakaman yang dimuat naik menunjukkan ratusan labah-labah itu tergantung pada sarang gergasinya.
Jumlah yang banyak menyebabkan labah-labah tersebut kelihatan seperti sedang terbang atau jatuh dari langit.
Pakar labah-labah, Kayron Passos berkata, kejadian aneh itu berlaku disebabkan cuaca panas lembap yang dialami di rantau tersebut.
“Ia bagaikan sebuah pesta. Labah-labah betina mempunyai spermatheca di mana haiwan itu menyimpan air mani jantan yang berbeza untuk menyuburkan telur.
“Dengan cara ini, labah-labah betina dapat meningkatkan kebolehubahan genetik spesiesnya,” kata Passos. – AGENSI
Amanah mahu lapor polis terhadap Sanusi
Dakwa dilahirkan DAP: Amanah mahu lapor polis terhadap Sanusi
Malaysiakini
Amanah akan membuat laporan polis di seluruh negara terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa memfitnah parti itu.
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata laporan itu susulan ucapan Sanusi pada program himpunan ummah selamatkan Malaysia di Kedah semalam yang mendakwa Amanah dilahirkan DAP.
"Fitnah ini telah lama dimainkan dan ia ditiupkan semula semalam yang menunjukkan betapa terdesaknya PAS untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.
“Justeru Amanah melalui biro mobilisasi akan menggerakkan laporan polis dibuat di seluruh negara supaya siasatan dibuat terhadap PAS yang semakin ketagih membudayakan politik fitnah dan adu-domba yang kesannya sangat bahaya kepada negara.
“Rakyat Malaysia perlu dijamin kehidupan yang sejahtera dengan membuang awal-awal sikap ektrimisme yang sedang dibina PAS hari ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu menurut Faiz, laporan polis juga dibuat terhadap satu artikel ditulis Nurhafizul Badrul Hisham bertajuk "Fitnah PAN terhadap agama lebih bahaya" yang disiarkan Harakahdaily.
“Jelas, siri-siri fitnah yang dibuat oleh PAS ini adalah satu serangan tersusun untuk melemahkan Amanah<‘ kata Faiz.
Terdahulu media melaporkan Amanah mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Muhammad Sanusi berhubung dakwaan parti itu ditubuhkan DAP untuk memecahbelahkan PAS.
Naib Presidennya, Mahfuz Omar menafikan dakwaan itu dan menegaskan Amanah diasaskan oleh bekas ahli PAS yang menolak hala tuju politik parti berkenaan.
Mengulas lanjut, Faiz berkata, sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu, Amanah berjaya bergerak ke seluruh negara dengan menubuhkan 180 pertubuhan kawasan dan berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dalam dua pilihan raya umum.
Jelasnya, Amanah ditubuhkan untuk meneruskan perjuangan Islam yang kini sudah tergelincir jauh daripada kompas perjuangan PAS.
“Dasar perjuangan Islam jelas termaktub dalam perlembagaan Amanah dan prinsip untuk menegakkan rahmat untuk semua kekal menjadi teras perjuangan Amanah.
“Saya tegaskan bahawa Amanah tidak ditubuhkan untuk melawan PAS dan penubuhan Amanah bebas daripada pengaruh mana-mana parti termasuk DAP, sepertimana yang selalu difitnah PAS,” tegasnya.
Dua lagi lelaki serang warga Singapura guna parang diburu
Sinar Harian
Tangkap layar video tular memaparkan insiden yang berlaku di Kampung Tengah, Kluang.
KLUANG: Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terbabit dalam insiden seorang lelaki warga Singapura dicederakan menggunakan parang di Kampung Tengah di sini pada awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki warga tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di lokasi kejadian pada jam 6.10 pagi.
"Sebelum itu, polis telah menerima laporan seorang lelaki dicederakan menggunakan parang pada jam 5.50 pagi. Sepasukan anggota dari Balai Polis Kluang dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya menahan seorang suspek.
"Hasil semakan mendapati tangkapan mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala ujian saringan air kencing positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Bahrin, dua lagi rakan sejenayah suspek berjaya melarikan diri dan usaha mengesan kedua-duanya sedang giat dijalankan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi mana-mana Balai Polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi 45 saat yang memaparkan insiden kejadian mangsa diserang menggunakan kayu serta cermin kereta dipercayai milik mangsa dipecahkan. -- Sinar Harian
Pemilihan PKR, Anwar, Rafizi mungkin tak dicabar?
FMT Reporters
PETALING JAYA: Status quo jawatan presiden dan timbalan presiden PKR antara pilihan dipertimbangkan, menjelang pemilihan parti pada Mei.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata ketika ini sedang berlangsung proses mengadakan rundingan agar jawatan utama tidak dipertandingkan.
“Ya, ada perundingan yang kita sedang kita lakukan supaya jawatan-jawatan utama tidak dipertandingkan,” katanya menurut Utusan Malaysia sempena Program Back To School 2025 Parlimen Tambun, di Ipoh.
“Kita bincang semua,” katanya mengulas sama ada ia juga melibatkan jawatan parti disandang Anwar Ibrahim selaku presiden dan Rafizi Ramli, sebagai timbalan.
Dalam pada itu, Shamsul menegaskan perundingan tidak berlaku pertandingan jawatan itu juga sebahagian proses demokrasi.
“Bertanding pun demokrasi. Tidak ada pertandingan itu pun demokrasi juga. Apabila tidak ada pertandingan, bermakna ada berlaku perundingan. Perundingan itu demokrasi.”
Katanya, PKR memfokuskan agenda lebih utama iaitu berkhidmat kepada rakyat sebagai kerajaan, serta persediaan untuk menghadapi PRU16 dijangka penghujung 2027.
Lelaki ditemui mati atas katil akibat sesak nafas
Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
IPOH: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil di sebuah rumah di Pekan Bharu, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata pihaknya dimaklumkan penemuan mayat lelaki berusia 51 tahun itu oleh orang awam pada jam 8.41 malam.
Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat beberapa keping nota tulisan mangsa ditemui berdekatan mayatnya dan tiada sebarang kecederaan pada badan lelaki itu.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan sesak nafas.
"Tiada sebarang unsur perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit supaya menghubungi Inspektor Azrene Shazwani Abd Manap di talian 019-2702236 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.
Penuntut IPT serah duit, barang kemas ibu RM147,000 kepada ‘polis’
ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KUANTAN – Akibat takut ditangkap ‘polis’ seorang mahasiswa bertindak menyerahkan barang kemas dan wang tunai milik ibunya selepas diperdaya ‘scammer’ yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat e-dagang dan pegawai polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 23 Januari lalu selepas mangsa yang berumur 20 tahun menerima panggilan telefon daripada pihak mendakwa sebagai wakil syarikat e-dagang yang menyatakan mangsa mengiklankan barangan menyalahi undang-undang.
“Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada ‘pegawai polis’ dan suspek memaklumkan bahawa mangsa terlibat dengan pengubahan wang haram.
“Suspek meminta mangsa membuat pemindahan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap dan membersihkan rekod mangsa daripada kes jenayah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa kemudiannya telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.
Katanya, pada 30 Januari lalu mangsa juga diarahkan untuk menyerahkan barang kemas milik ibunya bernilai kira-kira RM100,000 kepada seorang perempuan yang tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya.
“Mangsa mula menyedari ditipu apabila ibu mangsa mempersoalkan kehilangan barang kemas dan kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE
RM20 punca rakan sekerja ditikam mati
FMT Reporters
PETALING JAYA: Hanya kerana RM20, warga Filipina maut ditikam berkali-kali oleh rakan sekerja susulan pertengkaran, dalam kejadian di ladang kelapa sawit, Ulu Lumagar, Papar.
Kejadian sekitar 8 malam, Khamis lalu, dipercayai berpunca wang diberikan bagi membeli ikan dan roti, namun suspek warga Indonesia tidak membelinya atas alasan kedai tutup.
Justeru, mangsa berusia berusia 37 tahun tampil bersemuka dengan suspek mahu meminta kembali wang berkenaan, tetapi suspek enggan memulangkan RM20 itu.
Ketua Polis Papar Kamaruddin Ambo Sakka, berkata punca pertengkaran disebabkan si mati bertanyakan kepada suspek berusia 26 tahun mengenai wang tersebut yang diberikan isteri mangsa, pada minggu lalu.
“Wang tidak pula dipulangkan semua kepada isteri mangsa. Sebelum kejadian itu juga, dikatakan isteri mangsa pernah meminjamkan wang RM30 kepada suspek, namun dia belum membayar wang berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, ketika pertengkaran, suspek bertindak masuk dalam rumahnya dan mengambil pisau kecil lalu terus menyerang mangsa dengan menikam lelaki itu berkali-kali.
Kamaruddin berkata, susulan kejadian, polis menangkap suspek dalam serbuan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, Papar.
“Turut ditahan, dua lelaki dan dua wanita dewasa, warga Indonesia dan Filipina, berusia 20 hingga 60 tahun. Polis juga merampas sebilah pisau berhulu kayu yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pas perlukan formula baharu hadapi PRU16
Sinar Harian
ALOR SETAR: Pas memerlukan formula baharu untuk menghadapi cabaran politik masa hadapan khususnya bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, untuk kekal relevan parti itu perlu melakukan pembaharuan dalam barisan kepimpinan menjelang pemilihan parti yang dijangka diadakan pada tahun ini.
Menurutnya, gabungan pengalaman kepimpinan lama dengan dinamisme pemimpin muda dan teknokrat adalah formula yang diperlukan parti itu.
“Sebagai sebuah parti yang ‘senior’ Pas perlu bijak mengurus peralihan kepimpinan, saya sarankan Pas mengekalkan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai mentor dan pada masa sama memberi ruang kepada kepimpinan baharu.
“Pas perlu lebih agresif dalam usaha menjadi parti berbilang kaum yang masih berteraskan Islam, terutama dalam menghadapi kemungkinan perlu bersaing secara solo pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, sudah sampai masanya Abdul Hadi diberikan peranan baharu dan bukan lagi berstatus Presiden parti.
“Abdul Hadi wajar diposisikan sebagai mentor atau penasihat utama parti. Pengalaman beliau membawa Pas dari parti pembangkang sehingga berjaya menjadi sebahagian komponen kerajaan amat bernilai.
“Malah kepimpinan beliau turut berjaya membawa Pas memenangi 43 kerusi Parlimen. Pengalaman beliau wajar dimanfaatkan dan kekal sebagai 'elder statesman' untuk memberi panduan strategik,” katanya.
Menurutnya lagi, transformasi kepimpinan parti itu boleh diisi dengan beberapa pemimpin pelapis berpotensi, antaranya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang amat berpengalaman dalam politik.
“Tokoh lain termasuk Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang merupakan pentadbir berpengalaman; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara teknokrat dengan rekod pentadbiran cemerlang serta pemimpin generasi baharu yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Ir Khairil Nizam Khirudin,” katanya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, mereka ini perlu diberi ruang lebih besar dalam parti kerana ia mencerminkan gabungan kepakaran profesional dengan nilai Islam.
“Pas juga perlu menunjukkan keupayaan mentadbir secara moden dan efisien dengan membina imej parti berbilang kaum secara lebih inklusif.
“Pas perlu bersedia untuk bersaing solo pada PRU16 jika situasi politik memerlukan ia bertindak sendirian namun pada masa sama perlu mengukuhkan sokongan bukan Melayu/Islam,” jelasnya.
Menurutnya, parti itu seharusnya berusaha membangunkan sayap profesional yang lebih kukuh dengan mengekalkan prinsip Islam dan terbuka kepada kepelbagaian.
“Antara agenda pembaharuan yang perlu ada ialah membina imej parti Islam progresif, memperkasakan peranan teknokrat dalam parti, mengukuhkan jentera parti di kawasan campuran serta membangunkan dasar lebih inklusif,” ujarnya.
Ahmad Zaharuddin Sani berkata, antara cabaran utama parti itu termasuk untuk mengekalkan sokongan tradisional sambil meraih sokongan baharu.
“Pas perlu bijak mengimbangi nilai Islam dengan keperluan masyarakat majmuk, disebabkan itu penting bagi parti itu memastikan peralihan kuasa berlaku dengan lancar, sambil membina keyakinan pengundi bukan Islam.
“Parti itu perlu kemukakan hala tuju strategik dengan perkasakan program pendidikan politik, meningkatkan penglibatan profesional muda, mengukuhkan hubungan dengan semua kaum serta membangunkan dasar ekonomi komprehensif,” jelasnya lagi. - Sinar Harian
Disamun ketika makan (video)
MOHD YUNUS YAKKUB

Tangkap layar kejadian samun berparang itu.
KUALA LANGAT – Sesi menjamu makanan seorang lelaki bersama rakannya bertukar detik cemas apabila disamun lelaki berparang di sebuah kedai makan di Banting, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM600 selepas beg sandangnya dilarikan suspek.
Insiden tersebut tular menerusi video berdurasi satu minit 16 saat dengan semasa kejadian terdapat beberapa pelanggan di kedai tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, siasatan mendapati suspek yang bersenjatakan parang telah mendekati mangsa yang sedang makan bersama rakannya.
Katanya, suspek seterusnya bertindak mengangkat parang ke arah mangsa sebelum menyuruh menyerahkan beg sandang.
“Mangsa kemudiannya telah menyerahkan beg miliknya itu sebelum suspek melarikan diri menaiki sebuah kenderaan disyaki jenis Toyota Camry.
“Polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-31872222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
Wanita ajak lelaki keluar ‘dating’ jadi kecoh dan sensasi di media sosial
KOSMO!
TANGKAP layar perbualan antara Reshika dengan seorang lelaki. - Foto X
NEW DELHI – Perbualan seorang wanita yang mengajak seorang lelaki keluar untuk temu janji menjadi ‘sensasi’ di media sosial, lapor portal berita India Today kelmarin.
Dalam siaran di platform X, Reshika Srivastava menyiarkan tangkap layar perbualan dia dan seorang lelaki yang dikenalinya.
“Rakan-rakan( netizen), saya ajak dia keluar dan dia berkata ya!” Kata Reshika.
Dalam perbualan sembang bersama lelaki tersebut, Reshika berkata: “Biar saya tanya awak betul-betul. Adakah awak mahu keluar temu janji dengan saya?”
Lelaki itu menjawab: “Ya! Wow! Saya tidak tahu hendak cakap apa. Saya sangat gementar untuk bertanya kepada awak tetapi perkara ini sering bermain di fikiran.
“Tetapi awak telah mengajak saya keluar. Sekarang saya boleh.”
Pendedahan Reshika itu mengundang pelbagai komen netizen.
Seorang netizen berkata, dia mengharapkan lebih ramai wanita akan membuat perkara serupa.
“Tolong beritahu susulan (selepas temu janji!)” kata seorang lagi netizen. – AGENSI
Remaja panjat pagar curi tabung surau
KOSMO

Rakaman CCTV menunjukkan seorang remaja lelaki mencuri duit tabung surau di Medan, Sumatera Utara. - Instagram
JAKARTA – Perbuatan seorang remaja lelaki di Indonesia yang sanggup memanjat pagar untuk mencuri duit tabung surau mengundang kecaman orang ramai, lapor portal berita Tribunnews semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2.43 pagi (waktu tempatan) di Medan, wilayah Sumatera Utara pada 26 Januari lalu.
Rakaman dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @medanku memaparkan remaja lelaki berbaju hitam itu memanjat pagar surau.
Dia kemudian bergegas ke tabung tersebut lalu mengambil wang di dalamnya sebelum melarikan diri.
Rakaman itu mencatatkan lebih 41,600 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Seluar dalam ibu (pencuri berkenaan) yang beli, masih nak buat jahat,” kata seorang netizen. – AGENSI
Tiga warga Indonesia cedera dalam kejadian amuk di Trusan
Utusan Borneo

Tiga mangsa amuk yang cedera dalam kejadian amuk di Ladang Trusan Lawas pada Khamis.
LAWAS: Tiga warganegara Indonesia cedera dalam kejadian amuk di sebuah ladang dekat Trusan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku jam 8.10 pagi itu yang menyebabkan tiga mangsa warga Indonesia mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital Lawas untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata susulan kejadian itu anggota polis telah digerakkan untuk mengesan suspek di lokasi kejadian iaitu di Ladang Trusan Lawas.

Suspek kes amuk berjaya diberkas.
“Suspek berusia 44 tahun yang juga warganegara Indonesia telah berjaya ditangkap pada Khamis dan kes disiasat mengikut seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Punca kejadian masih dalam siasatan dan suspek akan direman untuk siasatan lanjut”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Liong turut meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan kes ini.
“Orang ramai juga diminta untuk tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran awam,”ujarnya lagi.
oleh
Mastura Ismail
Pengurus Liverpool, Arne Slot gesa Salah tandatangani kontrak baharu dengan Liverpool
AFP

SALAH (kiri) berlatih bersama Dominik Szoboszlai dan Kostas Tsimikas. FOTO REUTERS
London: Pengurus Liverpool, Arne Slot menggesa Mohamed Salah untuk menandatangani kontrak baharu bersama kelab itu biarpun mendapat tawaran lumayan ke Arab Saudi.
Prestasi Salah cukup sensasi pada musim ini, tetapi kontraknya bakal berakhir pada Jun depan.
Spekulasi mengenai masa depan pemain antarabangsa Mesir itu semakin hangat diperkatakan dengan Liga Pro Saudi dilihat sebagai antara destinasi pilihan untuk dia meneruskan kerjayanya.
Dalam satu temu bual yang disiarkan di saluran YouTube Piers Morgan Uncensored pada Khamis, Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal ditanya sama ada bintang Mesir itu akan menjadi hadiah besar kepada negara Timur Tengah itu.
"Sudah tentu, jika dia memenuhi semua kriteria, kami akan sangat berbesar hati untuk memilikinya," kata Putera Abdulaziz.
"Kami merasakan ada berkongsi banyak persamaan dengan orang Mesir, dari segi budaya hingga sejarah."
Pada usia 32 tahun, Salah memimpin carta penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 19 gol musim ini, namun dalam satu kenyataan pada Disember lalu, dia menyatakan masih jauh untuk mencapai persetujuan mengenai kontrak baru bersama Liverpool.
Slot berkata, kelab itu berhasrat untuk mengekalkan Salah dan berharap pemain berkenaan akan memilih untuk melanjutkan kontraknya.
"Kami mahu dia terus bersama kami, itu jelas. Tetapi saya tidak terkejut jika negara lain termasuk Saudi, berminat untuk mendapatkannya," kata Slot dalam sidang media, hari ini, menjelang aksi menentang Bournemouth, malam esok.
"Dia cukup bijak dan berpengalaman dalam membuat keputusan untuk masa depannya dan saya pasti dia akan membuat keputusan yang terbaik, bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk kami."
Selain Salah, dua lagi pemain utama Liverpool, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini, menambah kebimbangan terhadap masa depan pasukan itu.
Bagaimanapun, Slot enggan mengulas lanjut mengenai rundingan kontrak, namun menegaskan perbincangan mengenai masa depan pemainnya adalah sesuatu yang dipandang serius.
Polis buru Shamsul kes ceroboh rumah, tumbuk warga emas
Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Polis masih memburu seorang lelaki yang menceroboh rumah dan menumbuk penghuninya sehingga cedera di Kampung Pasir Tuntong, Bukit Rotan, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, ketika ini pihaknya giat mengesan suspek dikenali Shamsul Atin, 34.
"Masih memburu. Kalau (suspek) ditahan kita akan maklumkan," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kejadian pada 5.50 petang, membabitkan mangsa wanita warga emas berumur 73 tahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 447/323 Kanun Keseksaan.
Empat ditahan dalangi 11 kes ragut
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
SERDANG: Tiga lelaki dan seorang wanita dengan 21 rekod jenayah lampau, ditahan polis kerana disyaki terbabit kes ragut rantai emas di Taman Mawar, Puchong di sini jam 4.40 petang pada 3 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata kejadian membabitkan seorang mangsa yang mendakwa rantai leher miliknya diragut dari arah belakang oleh seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal berwarna merah.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak dapat mengenal pasti nombor pendaftaran atau jenis motosikal terbabit dan kerugian dianggarkan RM8,000.
"Bertindak di atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan Respon Tim Balai Kinrara melancarkan operasi bermula 16 hingga 18 Januari.
"Pihak polis berjaya membuat tangkapan ke atas kesemua suspek terbabit yang berusia lingkungan 31 hingga 55 tahun.
"Suspek B1 ditahan di sekitar Petaling Jaya, manakala B2 yang merupakan suspek utama ditahan bersama B3 dan B4 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Anbalagan berkata, tiga suspek itu ditahan sejurus mendarat di KLIA selepas pulang daripada bercuti di dalam negara.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati tiga daripada suspek berkenaan memiliki 21 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan narkotik.
Anbalagan berkata, saringan air kencing mendapati tiga daripada suspek berkenaan positif dadah.
"Polis turut merampas sebuah motosikal, helmet dan pakaian dipercayai digunakan ketika samun itu dilakukan, selain rampasan telefon bimbit, jam tangan, rantai serta cincin dipercayai emas.
"Hasil tangkapan dan rampasan ini, polis berjaya menyelesaikan 11 kes samun, ragut di dalam daerah Serdang, Petaling Jaya dan Subang Jaya membabitkan nilai kerugian sekitar RM40,000.
"Suspek direman sehingga 3 Februari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.
Chegubard disiasat berhubung dakwaan kes rogol anak menteri
Shakira Buang
Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin hari ini dipanggil polis untuk disiasat susulan dakwaannya mengenai kes rogol membabitkan seorang anak menteri.
Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Chegubard hadir bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur, sekitar jam 10 pagi.
“Saya dipanggil ke IPD Brickfields berhubung isu anak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, dan saya disiasat di bawah Seksyen 233 SKMM,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.
Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
‘Jangan kelentong PM’, Mas Ermieyati persoal 38 juta pelancong diumum Tiong
Nora Mahpar
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin mengkritik tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang didakwa mencampurkan angka pelawat harian dan jumlah pelancong sebagai data rasmi kedatangan 38 juta pelancong tahun lalu.
Mas Ermieyati yang juga bekas timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan berkata tidak semua pelawat harian yang sebahagian besarnya penduduk di sempadan negara yang bekerja, berniaga dan berstatus pelajar, berbelanja dan bermalam di Malaysia.
“Sepatutnya kalau pelancong, ambil kira data pelancong sahaja, tak perlu masukkan data pelawat harian.
“Kalau nak ambil kira status pelancong, mereka perlu bermalam dan berbelanja, tapi ini tidak.. jangan kelentong perdana menteri konon angka 38 juta itu menunjukkan prestasi hebat menteri,” katanya di Facebook.
Minggu lalu, Tiong berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan menetapkan sasaran baharu kedatangan pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang sebelum ini ditetapkan 36 juta orang.
Menurutnya, keputusan itu diambil susulan kejayaan menarik 38 juta pelancong tahun lalu yang disifatkan sebagai pencapaian luar biasa.
Dalam pada itu, Mas Ermieyati mendakwa jumlah 38 juta pengunjung pada tahun lalu itu sebenarnya merangkumi 13 juta pelawat harian dan 25 juta pelancong asing.
Beliau turut mendakwa kiraan digunakan Motac ketika ini tidak mengikut barometer ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu.
“Ini tak betul, tak boleh… kita tak boleh takrifkan ia (pelawat harian) sebagai pelancong. YB Menteri saja nak kejar angka tersebut sedangkan Tourism Malaysia dah bertahun-tahun guna barometer yang telah ditetapkan Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu,” katanya.
Beliau yang juga pengerusi portfolio pelancongan seni dan budaya Perikatan Nasional meminta Motac mengadakan perbincangan dengan Imigresen dan Kastam serta Jabatan Perangkaan bagi mendapatkan data lebih tepat.
“Kita nak pastikan pelawat yang masuk ke Malaysia ini apakah tujuannya dan adakah mereka ini berbelanja di Malaysia?
“Seperti contoh ada pemandu lori yang masuk ke Malaysia dari Singapura untuk menghantar barangan dan langsung tidak berbelanja . Gunakan lori mereka sendiri. Apakah kepentingan untuk kita ambil kira kemasukan pemandu lori tersebut sebagai pelancong?,” katanya.
“Datuk Seri (Tiong), saya memerhatikan anda, lebih baik hati-hati,” katanya.
2 warga Indonesia hantar Pati cedera ditembak ke hospital diburu
FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis masih memburu dua warga Indonesia yang menghantar tiga daripada empat pendatang asing tanpa izin (Pati) ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang yang cedera dalam insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting, Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit selain yakin ada beberapa lagi individu terbabit, berdasarkan saiz bot dan percakapan daripada saksi.
Katanya, pihaknya juga merakam 14 percakapan membabitkan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), selain dua daripada empat suspek yang cedera.
“Mereka terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia yang mana mereka termasuk seorang yang meninggal dunia dikesan tiada dokumen sah.
“Kita percaya mereka ini dalam proses keluar daripada perairan negara menggunakan laluan tidak sah,” katanya pada sidang media IPK Selangor hari ini, menurut Berita Harian.
Sebelum ini dilaporkan, Unit Kecemasan Hospital Sultan Idris Shah menerima tiga lelaki yang mengalami kecederaan akibat ditembak.
Berdasarkan maklumat, tiga lelaki warga Indonesia itu dihantar ke hospital berkenaan kira-kira 7.30 pagi oleh sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Ketiga-tiga lelaki itu mempunyai kaitan dengan dua lagi warga Indonesia yang ditemui dalam bot yang terbabit dengan kejadian itu, termasuk seorang daripadanya maut.
Mengulas tindakan anggota Maritim Malaysia melepaskan tembakan, Hussein berkata, agensi berkenaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk melepaskan tembakan apabila mereka diancam.
“Kita hampir selesaikan siasatan dan akan merujuk pihak Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
“Siasatan kini dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960,” katanya.
Kelantan: Kerjasama utuh BN-PH kunci ke arah merealisasikan impian AMANAH di Kelantan
Harapandaily
Penganalisa politik Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berpandangan bahawa AMANAH mampu menang belasan kerusi di Kelantan sekiranya ada kerjasama utuh melibatkan BN dan PH.
Kerjasama itu termasuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri, agihan kerusi yang sesuai selain kesepakatan dalam penggunaan logo akan diwakili calon gabungan.
Tidak boleh ada pertembungan tiga penjuru atau lebih, mesti antara calon Amanah dan parti lawan sahaja. Mesti ada kerjasama antara PH-BN menerusi agihan kerusi, lambang yang akan digunakan dan kawasan yang sesuai untuk ditandingi oleh gabungan tersebut.
“Bagi saya Amanah di Kelantan boleh bertanding atas logo BN dan PH di kawasan tertentu. Jika ini dilakukan, tidak mustahil Amanah boleh menambah bilangan kerusi di Kelantan,” katanya, lapor FMT.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu semasa konvensyen tahunan partinya.
Tawfik juga yakin AMANAH mampu menembusi blok pengundi Melayu yang dikuasai Pas dan Umno berdasarkan rekod perkhidmatan Adun tunggal AMANAH -Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama).
Akar umbi setia
“AMANAH tidak akan menjadi parti pilihan kedua atau ketiga selepas Umno dan Pas kerana Amanah ada akar umbi setia berbanding Bersatu yang tiada akar umbi kuat.
“Parti ini berkembang pesat jika dengan segera menambah ahli berkualiti, meningkatkan prestasi lebih baik dan menjadi parti alternatif gerakan Islam yang sederhana,” katanya.
Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, juga yakin AMANAH mampu mencipta kejutan dalam gelanggang pilihan raya akan datang, dengan bantuan Umno dan PKR.
“Kalau betul strateginya, diberi bantuan sepenuhnya kepada Amanah mungkin apa diidamkan presiden AMANAH boleh menjadi kenyataan,” katanya walaupun atas kertas ‘mimpi’ Mat Sabu dilihat agak mustahil jika dicongak kekuatannya di peringkat nasional.
“Walaupun PAS dianggap Kelantan dan Kelantan dianggap PAS, berbanding Umno, AMANAH mempunyai peluang lebih cerah kerana seterunya adalah PAS.
“Mungkin kali ini AMANAH mampu menguasai lebih banyak DUN jika Umno beri kelonggaran dalam pemilihan kerusi di Kelantan,” katanya.
Terengganu: 34 ketulan dipercayai rangka manusia ditemukan di Pantai Batu Buruk 2
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my

FOTO daripada FB menunjukkan lokasi penemuan rangka dipercayai rangka manusia di Pantai Batu Burok 2, semalam.
Kuala Terengganu: Sebanyak 34 ketulan dan serpihan tulang dipercayai tulang manusia ditemukan di tepi Pantai Batu Burok 2 dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan rangka itu, 10.10 malam tadi.
Menurutnya, maklumat melalui panggilan telefon daripada orang awam dan satu laporan polis dibuat bagi siasatan lanjut.
Katanya, siasatan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) di tempat kejadian yang dilakukan bersama Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu.
"Tempat kejadian adalah dalam kawasan semak, di tepi longkang kering tidak berair iaitu di tepi pantai, dengan jarak 40 meter dari gigi air semasa air pasang.
"Lokasinya iaitu di belakang kawasan Kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditinggalkan dan tidak lagi dihuni," katanya.
Menurutnya, ketika pihaknya tiba untuk siasatan, persekitaran kawasan terbabit adalah gelap kerana tiada sumber pencahayaan.
Beliau berkata, 34 ketulan dan serpihan tulang ditemukan dan dikumpulkan untuk siasatan lanjut.
Katanya, tulang itu akan dihantar ke Unit Patologi dan Jabatan Kimia untuk pemeriksaan lanjut.
Tambahnya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan kawasan sekitar sama ada ia perkuburan lama atau milik persendirian.
"Usaha mengesan identiti mangsa bergantung kepada hasil pemeriksaan perubatan dan kimia seperti jantina, tempoh kematian dan maklumat lain-lain yang akan diperoleh kemudian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Wanita maut rempuh trak tentera, dipercayai mengantuk ketika memandu
FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan trak tentera, dalam kejadian di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, awal pagi tadi.
Mangsa, Manisya Azlin Ishak, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira 2.24 pagi itu.
Kejadian itu turut menyebabkan pemandu trak tentera berusia 33 tahun mengalami patah tangan.
Timbalan Ketua Polis Alor Gajah, Azrul Mohamed, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Ayer Keroh ke Masjid Tanah.
Katanya, mangsa yang juga kakitangan pusat panggilan Telekom di Ayer Keroh bagaimanapun dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.
“Akibatnya, kereta dipandu mangsa bertembung dengan kenderaan berat itu dari arah hadapan yang cuba brek berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter di laluannya.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang seorang diri ketika kejadian tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, menurut Sinar Harian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat selepas berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah.
“Pemandu trak yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala empat lagi anggota tentera lain yang berada dalam trak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua kenderaan yang terlibat dalam nahas itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Puspakom bagi pemeriksaan teknikal.
“Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Bapa tembak mati anak perempuan kerana kandungan menjelikkan di TikTok
BHarianonline
ISLAMABAD - Seorang remaja perempuan ditembak mati bapanya sendiri di Pakistan kerana tidak puas hati dengan kandungan TikTok dihasilkan mangsa, dalam kejadian di Quetta, Pakistan pada Selasa.
Suspek, Anwar ul-Haq, pada mulanya mendakwa anak perempuannya yang berusia 15 tahun telah ditembak oleh penembak tidak dikenali tetapi akhirnya mengaku melakukan jenayah itu.
Polis telah mendakwa Anwar ul-Haq dengan tuduhan membunuh. Selain suspek, abang iparnya turut ditangkap, lapor Reuters.
Menurut pegawai polis, Babar Baloch, siasatan awal mendapati bahawa keluarga tersebut tidak bersetuju dengan cara berpakaian, gaya hidup, dan pergaulan sosial anak perempuan kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu.
Difahamkan, Kedutaan AS belum dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Penyiasat polis, Zohaib Mohsin, menambah bahawa telefon bimbit mangsa telah dirampas dan kes sedang disiasat termasuk dari aspek pembunuhan demi menjaga kehormatan keluarga.
Menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan, lebih 1,000 wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan oleh anggota komuniti atau ahli keluarga demi maruah dan kehormatan.
Keluarga tersebut kembali ke wilayah Balochistan di Pakistan baru-baru ini setelah tinggal di AS selama kira-kira 25 tahun.
Anwar ul-Haq, yang mempunyai kewarganegaraan AS, memberitahu polis bahawa anak perempuannya mula mencipta kandungan yang dianggap 'menjelikkan' di TikTok semasa tinggal di AS dan terus berkongsi video selepas kembali ke Pakistan.
Lebih daripada 54 juta orang menggunakan TikTok di Pakistan, sebuah negara dengan 241 juta penduduk.
Kerajaan Pakistan telah beberapa kali menyekat aplikasi perkongsian video tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kandungannya kurang sesuai. - AGENSI
Ahli Parlimen ditahan selepas didakwa lakukan serangan seksual
Bernama
NEW DELHI: Seorang Ahli Parlimen (MP) pembangkang India ditahan pada Khamis susulan dakwaan merogol seorang wanita.
Wanita berkenaan yang sudah berkahwin mendakwa, MP terbabit yang mewakili sebuah kawasan di negeri utara Uttar Pradesh mengeksploitasi mangsa secara seksual selama empat tahun dengan janji untuk mengahwini serta membantu memajukan kerjaya politiknya.
Polis telah membuka kertas siasatan terhadap Ahli Parlimen berusia 60 tahun itu pada 17 Januari lepas.
Beliau ditahan ketika mengadakan sidang media di kediamannya bagi menjawab tuduhan terhadapnya.
Isteri minta cerai kena simbah asid
KOSMO!

Suspek ditahan oleh polis. - Berita Satu
JAKARTA – Seorang lelaki di Bandung, wilayah Jawa Barat ditahan kerana menyimbah asid ke arah isterinya gara-gara berang dengan tindakan mangsa yang menuntut cerai, lapor laman berita Tribunnews semalam.
Suspek, Dodi Suhendar, 34, didakwa melakukan perbuatan itu pada 14 Januari lalu.
Ketika kejadian, suspek dan isterinya yang dikenali sebagai AFF, 29, bertengkar selepas mangsa menghalaunya keluar dari rumah.
Ketua Polis Cimahi, Asisten Komisioner Tri Suhartanto berkata, suspek mengaku dia berasa marah dengan tindakan mangsa yang mengemas pakaiannya dan mengusir dia keluar dari rumah.
Mangsa juga dikatakan enggan membatalkan tuntutan cerai selepas mendapat tahu kecurangan suspek pada tahun lalu.
Suspek melarikan diri selepas menyimbah asid kepada mangsa sebelum dia ditangkap pada 21 Januari lalu di sebuah hotel di Bali.
Sementara itu, mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di hospital. – AGENSI
Bibik ‘bermalam’ dalam sungai, lari daripada majikan
ADNAN IBRAHIM

ANGGOTA bomba melakukan tugas mengeluarkan seorang wanita warga Indonesia yang terjatuh dalam Sungai Yassin di Simpang Renggam, Kluang ketika melarikan diri dari rumah majikannya kelmarin.
KLUANG – Gara-gara melarikan diri dari rumah majikan, seorang wanita warga Indonesia terpaksa berendam semalaman di dalam sungai selepas terjatuh jambatan dilaluinya.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang Selasa lalu dan dimaklumkan oleh orang awam tentang kejadian itu pukul 8.47 pagi semalam.
Katanya, susulan daripada itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Renggam datang membantu mengeluarkan mangsa dan dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan.
“Hasil daripada siasatan awal, kejadian berlaku ketika wanita berkenaan, Astuti, 47, melalui jambatan Sungai Yassin di Simpang Renggam kerana melarikan diri dari rumah majikannya.
“Mangsa melarikan diri kerana dikatakan sudah tidak mahu lagi bekerja sebagai pembantu rumah walaupun baru seminggu memulakan kerja di sebuah rumah di taman perumahan berhampiran tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Bahrin lagi, akibat daripada jatuh daripada atas jambatan dengan ketinggian lima meter itu, wanita berkenaan telah mengalami kecederaan di bahagian kaki kanannya.-KOSMO! ONLINE
Wanita lari dipercayai ikut 'tomboy'
Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my

Siti Nurfatin Syuhada dilaporkan gagal dikesan sejak keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, 6 Januari lalu. - Foto NSTP/ Ihsan Polis
MELAKA: Seorang ibu dari Batu Berendam di sini, buntu dan bimbang memikirkan tindakan anaknya nekad melarikan diri dipercayai mengikut teman berperwatakan seperti lelaki untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur sejak 6 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, wanita itu membuat laporan kehilangan anaknya, Siti Nurfatin Syuhada Shahrul Aizom, 22, yang tidak bekerja itu pada jam 10.14 pagi, Ahad lalu.
Katanya, berdasarkan laporan pengadu, yang ketika itu berada di tempat kerja di Tangga Batu, dihubungi seorang daripada anaknya memberitahu Siti Nurfatin Syuhada keluar dari rumah mereka di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam.
Katanya, pengadu kemudian menghantar pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp bagi bertanyakan keberadaan anak bongsunya itu.
"Anaknya membalas, hanya keluar sekejap dan mahu bersendirian, sebelum menghantar mesej lain menyatakan ingin berdikari selain mahu membuktikan dia mampu berdikari.
"Sehingga hari ini, pengadu cuba menghubungi anaknya tetapi tiada sebarang respon sebelum hadir ke balai polis pada 26 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Christopher berkata, gadis berkulit cerah dan berketinggian 160 sentimeter itu juga pernah memaklumkan kepada keluarganya mahu bekerja di Kuala Lumpur.
Katanya, pengadu mengesyaki anak perempuannya itu melarikan diri mengikut individu yang dikenali sebagai Farah.
"Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan wanita muda itu yang dilaporkan hilang sejak Ahad.
"Pakaian terakhir yang dipakainya adalah baju-T lengan panjang berwarna hitam dan berseluar palazzo biru tua, bertudung warna hitam dan berkasut sukan berwarna putih," ujarnya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan individu itu boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mejar Hairul Anuar Mohd Jaini di talian 018 3868234 untuk membantu siasatan.
Nenek jatuh sungai bertarung dengan buaya
KOSMO!

KAETEK terlantar selepas bertarung dengan seekor buaya. - Foto RRI
JAKARTA – Seorang nenek memberanikan diri dengan melawan seekor buaya selepas dia terjatuh dari perahunya ketika mencari siput dan sejenis tumbuhan air di Teluk Rumbia, wilayah Aceh, lapor laman berita Radio Republik Indonesia (RRI) semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Kaetek, 59, bagaimanapun kehilangan sejumlah wang tunai dan beberapa barangan kemas miliknya yang hanyut dibawa arus sungai.
Kaetek berkata, selepas mengutip sejumlah siput kecil, dia berhasrat mencari tumbuhan air itu.
“Ketika saya menghulurkan tangan ke dalam air, saya diterkam buaya lalu terjatuh ke dalam sungai,” katanya.
Kaetek kemudian bertarung dengan reptilia itu sambil berdoa dia akan selamat dalam serangan tersebut.
“Tiba-tiba datang sebuah bot, menyebabkan buaya itu melepaskan tangan saya,” kata Kaetek.
Warga emas itu kemudian dibantu beberapa penduduk tempatan dan dia dibawa ke pusat kesihatan untuk menerima rawatan akibat kecederaan pada jari dan tangan. – AGENSI
Pelajar Malaysia dilaporkan hilang di Jepun ditemukan selama
Bernama
Maklumat mengenai penemuan Nurin Hannani dikongsi oleh MSAJ di laman Facebook rasminya pada Khamis. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pelajar wanita Malaysia di Hiroshima, Jepun yang dilaporkan hilang telah ditemukan selamat dan dibawa ke Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.
Maklumat mengenai penemuan Nurin Hannani Hafizi, 21, penuntut institusi pengajian Kure Kosen dikongsi oleh Malaysian Students' Association in Japan (MSAJ) di laman Facebook rasminya pada Khamis.
Sebuah organisasi dakwah rakyat Malaysia di Jepun, IMAN Jepun turut berkongsi berita itu di Facebook.
"Kami telah menerima berita daripada Kedutaan Malaysia. Alhamdulillah, Hannani telah ditemukan dengan selamat. Terima kasih kepada semua atas kerjasama, sokongan dan doa anda. Kebaikan dan usaha anda amat bermakna," kata IMAN Jepun di laman Facebook rasminya.
Sebelum ini, Nurin Hannani dilaporkan hilang pada Rabu setelah tidak pulang ke kampus sejak malam Isnin sehingga pihak Kosen membuat laporan polis mengenai kehilangannya.
Lelaki bakar al-Quran di Sweden mati ditembak
Reuters

SALWAN Momika (gambar fail) mati ditembak di sebuah rumah di bandar Södertälje, berhampiran Stockholm. FOTO TT News Agency via AFP
Stockholm: Seorang pelarian Iraq yang juga aktivis anti-Islam ditembak mati di Sweden beberapa jam sebelum menerima keputusan mahkamah berhubung perbicaraan mengenai pembakaran al-Quran.
Lima individu sudah ditahan berkaitan insiden itu pada Khamis.
Menurut polis Sweden di laman web mereka, kelima-lima individu itu ditahan berkaitan insiden yang berlaku lewat Rabu dan diperintahkan untuk ditahan oleh pendakwa raya.
Namun, pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada penembak termasuk dalam kalangan mereka yang ditahan.
Salwan Momika, 38, ditembak di sebuah rumah di bandar Södertälje, berhampiran Stockholm, menurut laporan penyiar awam SVT yang memetik sumber polis yang tidak dinamakan.
Momika sebelum ini membakar salinan al-Quran dalam demonstrasi awam pada 2023 sebagai protes terhadap Islam.
Mahkamah di Stockholm dijadualkan menjatuhkan hukuman ke atas Momika dan seorang lagi lelaki pada Khamis dalam perbicaraan jenayah berkaitan "kesalahan menghasut terhadap kumpulan etnik atau nasional," namun mahkamah mengumumkan keputusan itu ditangguhkan.

LOKASI pembunuhan Momika di sebuah blok apartmen di bandar Södertälje, berhampiran Stockholm. FOTO AFP
Jurucakap polis mengesahkan seorang lelaki ditembak mati di Södertälje, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Tertuduh lain dalam kes yang sama dilaporkan sedang memberikan temu bual pada Khamis dan memuat naik mesej di platform X dengan menulis: "Saya yang seterusnya."
Perkhidmatan Keselamatan Sweden menyatakan bahawa pihak polis mengetuai siasatan, tetapi mereka sedang "memantau perkembangan situasi dengan teliti untuk menilai kesannya terhadap keselamatan Sweden," kata jurucakapnya kepada Reuters.
Media Sweden melaporkan Momika sedang melakukan siaran langsung di TikTok ketika ditembak.
Video yang dilihat oleh Reuters menunjukkan polis mengambil telefon dan menamatkan siaran langsung yang dipercayai dari akaun TikTok Momika.
Pada 2023, Sweden meningkatkan amaran ancaman pengganas ke tahap kedua tertinggi dan memberi amaran mengenai ancaman terhadap rakyat Sweden di dalam dan luar negara selepas siri pembakaran al-Quran - rata-rata daripadanya dilakukan oleh Momika - mencetuskan kemarahan umat Islam serta ancaman daripada kumpulan jihad.
Walaupun kerajaan Sweden mengecam gelombang pembakaran al-Quran pada 2023, ia pada awalnya dianggap sebagai bentuk kebebasan bersuara yang dilindungi.
Agensi Migrasi Sweden pada 2023 berusaha untuk mengusir Momika kerana memberikan maklumat palsu dalam permohonan pemastautinnya, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dia berisiko menghadapi penyeksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan jika dihantar pulang ke Iraq.
Bagi umat Islam, pembakaran al-Quran dianggap sebagai tindakan menghina agama kerana kitab suci itu dipercayai sebagai firman Tuhan yang sebenar.
Penyanyi ditemui mati ada kesan tembakan di kepala dipercayai bunuh diri
HANISAH SELAMAT

MALONEY ditemui mati di kediamannya di Nevada, Amerika Syarikat (AS), semalam.
DITEMUI mati dengan tembakan di kepala, bekas peserta program realiti The Voice 2014, Ryan Whyte Maloney dipercayai membunuh diri.
Insiden tragik yang kini masih dalam siasatan pihak berkuasa itu dikatakan berlaku di kediamannya di Nevada, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Pada malam sebelum kejadian,Maloney, 44, sempat berkongsi sebuah video dirinya berapa di pusat hiburan sambil menikmati suasana malam dalam Insta Story.
“Sembilan lelaki Irish yang hebat untuk pesta malam ini. Kami akan tampil memukau,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Berdasarkan perkongsian tersebut, bagai tiada perkara pelik atau tanda-tanda penyanyi merangkap komposer itu mempunyai masalah sehingga sanggup bertindak menembak diri sendiri.
Begitupun, polis mengingatkan mana-mana pihak agar jangan mengeluarkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, Maloney pertama kali mencuri perhatian ramai ketika tampil dalam musim keenam program realiti popular AS itu sekitar 10 tahun lalu.
Menerusi ‘blind audition’, dia menonjolkan persembahan memukau apabila mampu membuatkan keempat-empat juri memutarkan kerusi mereka sebaik memperdengarkan lagu Lights nyanyian asal Journey dengan sempurna.
Di bawah bimbingan penyanyi Blake Shelton, pemuzik kelahiran Michigan itu berada pada posisi lima teratas sekali gus mara sebagai finalis.
Penggiat seni yang mahir bermain pelbagai alat muzik termasuk biola, dram, cello dan gitar itu juga pernah menganggotai kumpulan Indulge.
Dia kemudian bergerak solo sebagai penyanyi muzik Country dan menghasilkan album serta beberapa lagu popular seperti Hillbilly dan Michigan Moonlight. – KOSMO! ONLINE
Aktiviti joging bertukar tragedi, wanita maut dirempuh kereta
Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my

Lokasi kejadian seorang wanita maut dirempuh kereta ketika joging di Penampang. - Foto ihsan PDRM
PENAMPANG: Aktiviti riadah sekumpulan individu bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut dirempuh kereta di Kilometer 7.2 berhampiran sebuah pusat beli-belah menghala Pekan Donggongon, di sini, hari ini.
Mangsa wanita berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kes kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kereta dengan seorang pejalan kaki yang sedang berjoging, jam 6.20 pagi.
Katanya, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati pejalan kaki dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang.
"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas di HQE I, Kota Kinabalu akibat parah di kepala.
"Manakala pemandu kereta lelaki tempatan berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pemandu terbabit ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Polis meminta saksi kejadian untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.
Sementara itu, Sammy berkata polis ingin menasihatkan orang awam untuk sentiasa berhati-hati ketika memandu dan melintas jalan raya serta tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
4 ditahan berkait kes langgar depan pusat hiburan
FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki cedera selepas dirempuh dua kenderaan di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan itu ketika sedang berhibur di pusat hiburan berkenaan.
“Permohonan reman ke atas semua suspek akan dipohon hari ini,” katanya kenyataan menurut Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan polis mengesahkan dua lelaki cedera selepas dirempuh kenderaan jenis Toyota Hilux dan Vios yang dipandu melulu ke arah sekumpulan orang yang bertindak bertempiaran lari.
Video kejadian itu yang tular di media sosial menunjukkan beberapa orang dilihat dilanggar dua kenderaan terbabit yang kemudiannya berpatah balik dengan salah sebuah daripadanya melanggar pula motosikal diletakkan di tepi jalan.
Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood berkata polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 24 tahun yang melihat insiden itu semalam.
Katanya, semua mangsa masih belum membuat laporan tetapi polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan kes masih dalam siasatan.
Padah sembunyi harta daripada isteri
Agensi
Singapura: Lelaki yang cuba menyembunyikan kekayaannya dalam perceraian diperintahkan untuk memasukkan kira-kira S$10 juta (kira-kira RM32.57 juta) dalam harta sepencarian pasangannya yang juga warga Malaysia.
Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir menganugerahkan bekas isteri lelaki itu 69 peratus daripada jumlah keseluruhan S$10.2 juta (kira-kira RM33.23 juta) aset perkahwinan, lebih tinggi daripada 50 peratus yang diminta pada mulanya, menurut laporan The Straits Times.
"Ia mewakili penipuan bukan sahaja di mahkamah, tetapi ke atas semua pihak yang terbabit dalam litigasi dan sistem keadilan yang lebih meluas," katanya dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 9 Januari.
Keputusan itu menyebabkan wanita itu meraih kira-kira S$7 juta (kira-kira RM22.8 juta), manakala lelaki itu menerima S$3.1 juta (kira-kira RM10.1 juta).
Wanita itu, warga Malaysia berusia 38 tahun dan bekas suaminya warga Australia berusia 39 tahun mempunyai seorang anak berusia enam tahun.
Lelaki itu pada mulanya mengisytiharkan aset hanya S$11,732 (kira-kira RM38,216) dalam tiga akaun bank dan mendakwa tidak mempunyai simpanan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF), saham atau pelaburan luar negara.
Melalui proses diarahkan mahkamah, wanita itu mendedahkan, suaminya itu adalah pengarah dan pemegang saham dalam kumpulan perniagaan multinasional dan menerima bayaran bulanan sehingga A$10,000 (kira-kira RM32,574).
Katanya, lelaki itu juga memegang lebih 80 peratus entiti di Indonesia yang bernilai S$12 juta (kira-kira RM39.09 juta), tetapi mendakwa perniagaannya tidak bernilai.
"Suami komited untuk menyembunyikan asetnya dan mengemukakan alasan lucu mengapa dia tidak dapat mematuhi kewajipan pendedahannya," kata hakim.
Katanya, lelaki itu tidak dapat dinafikan memiliki jutaan dolar dalam aset, namun mereka-reka cerita yang sangat sukar dipercayai tentang nilai kewangan bersih hanya puluhan ribu dolar.
Mahkamah akhirnya membuat inferens buruk dan menambah S$10 juta merujuk kepada perniagaannya di Indonesia ke dalam harta sepencarian mereka.
Hakim juga memberikan wanita itu tambahan 10 peratus bahagian aset, mengatakan penalti untuk penyembunyian aset mesti cukup berat untuk menggalakkan ketelusan.
Berulang kali memfitnah bukan sebab terkhilaf tapi ketagih – Pemerhati politik
SITI NUR ZAWANI

Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, tindakan pemimpin Pas yang berulang kali menyebarkan fitnah bukan disebabkan terkhilaf, tetapi kerana sudah “ketagih”.
Beliau berkata demikian membalas respon Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mempertahankan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria.
“Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim mempertahankan Razman dengan menyindir muktahir ini perbuatan memohon maaf seolah-olah menjatuhkan maruah dan dianggap keji oleh segelintir pihak.
“Isunya bukan sebab terkhilaf. Kalau sekali dua boleh diampun, tapi kalau sudah berulang kali itu bukan terkhilaf tapi itu ketagih namanya..
“Atau dalam erti kata lain sengaja. Pelik ketagih memfitnah sebab selalu kita dgr ketagih rokok, ketagih dadah. Ini ketagih fitnah,” katanya dalam satu ulasan di Facebook.
Norman pada masa sama mempersoal kredibiliti Pas yang masih mengekalkan Razman sebagai pemimpin di peringkat negeri walaupun terpalit dengan banyak kes fitnah.
Katanya, jutaan ringgit telah dihabiskan penderma Pas untuk membiayai saman pemimpin-pemimpin Pas di mana wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk membayar gaji guru Pasti.
“Wang tersebut boleh digunakan untuk membantu kos kenaikan gaji guru Pasti yang pendapatan mereka jauh lebih teruk daripada pekerja Bangladesh, Nepal, Indonesia, Filipina dan lain-lain.
‘Gaji RM600 tidak cukup biayai sewa rumah di era sekarang ini. Sepatutnya wang hasil fitnah tersebut yang duit pun berjuta habis dan dosa yang tidak diampun pun dapat digunakan untuk kebajikan ahli Pas,” ujarnya lagi.
Di mana Hadi, Tuan Ibrahim ketika pemimpin PAS sebar fitnah? - MP PKR
Malaysiakini
Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari secara sinis berkata dia berasa kagum dengan perkongsian timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai tuntutan memohon maaf dan memaafkan dalam Islam.
Bagaimanapun Mohammed Taufiq mempersoalkan sikap berdiam diri Tuan Ibrahim dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang apabila pemimpin mereka terlibat dalam menyebarkan fitnah.
"Persoalannya di manakah presiden dan Timbalan Presiden PAS ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah?
"Di manakah ulama-ulama dalam PAS yang sepatutnya menegur? Jika mereka benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa mereka diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka?
Pada 27 Jan lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mengaku salah dan memohon maaf kerana mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai “anak YTL” apabila mengaitkan pemimpin DAP itu dengan tokoh korporat 'Yeoh Tiong Lay.
Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Siti Mastura Muhammad diarah membayar lebih RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP kerana mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin komunis.
Pada 11 Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt.
Semalam Tuan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata tindakan memohon maaf dan memaafkan adalah perbuatan terpuji dalam Islam.
"Memberikan kemaafan kepada orang yang memohon maaf serta mengakui kekhilafannya adalah sifat yang patut diamalkan seperti mana yang disaran oleh Allah dalam Al-Quran," kata Tuan Ibrahim.
PAS perlu bertaubat
Mengulas perkara itu, Mohammed Taufiq berkata PAS perlu bertaubat dan berhenti menjadikan fitnah sebagai alat politik.
“Jangan kita normalisasikan sikap hipokrit ini. Jangan beri muka kepada pemimpin PAS yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan mereka atas nama Islam,” kata pemimpin PKR itu.
Tegasnya, Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan, walau dengan apa alasan sekalipun.
“Sudah tiba masanya PAS benar-benar bertaubat. Bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan dan politik mereka sendiri,” ujarnya.
Hannani, pelajar Malaysia di Jepun hilang sejak Isnin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my

Hannani dilaporkan hilang sejak Isnin. FOTO Tular
Kuala Lumpur: Penuntut Malaysia yang sedang melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi sejak Isnin lalu.
Difahamkan, penuntut perempuan dikenali sebagai Hannani berusia 21 tahun dipercayai meninggalkan kampus pada tengah hari Isnin lalu dan sehingga kini masih belum pulang.
Berdasarkan maklumat tular, pihak kedutaan serta Imigresen Jepun sudah dimaklumkan berhubung kejadian berkenaan.
Setakat ini pihak kampus mengesahkan bahawa Hannani yang meninggalkan Kure Kosen masih belum kembali ke asrama.
Menurut mereka, pihaknya sudah menghubungi polis dan usaha menghubungi Hannani melalui LINE, Messenger serta WhatsApp juga tidak membuahkan hasil.
"Kami juga sudah memeriksa biliknya dan mengesahkan dia membawa pasport serta dompet. Kini, kami sedang cuba menghubungi pelajar Malaysia lain di Kosen.
"Sekiranya ada sebarang maklumat, sila hubungi kami. Kami juga akan maklumkan jika ada sebarang perkembangan. Maaf atas kelewatan menghubungi tuan/puan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Hannani diminta untuk menghubungi Pegawai Pejabat Penasihat Pendidikan dan Latihan (PPL) Tokyo, Encik Imran Yusof di talian +81 80-7561-8080 atau Puan Yang Munirah di +60 12-688 8364.
Sementara itu, Harian Metro kini sedang mendapatkan pengesahan dari pihak kedutaan Malaysia di Jepun berhubung kejadian berkenaan.
Penjenayah 'The Punisher' ditembak mati di Melbourne
BERNAMA

Suleiman ‘Sam’ Abdulrahim, 32, yang juga peninju dilaporkan ditembak oleh beberapa penyerang di tempat letak kereta bawah tanah sebuah hotel di Preston, Melbourne. - Foto Instagram
SYDNEY: Mangsa tembakan maut di pinggir bandar utara Melbourne hari ini, dikenal pasti sebagai penjenayah dunia bawah tanah yang dikenali sebagai "The Punisher", lapor Xinhua.
Suleiman "Sam" Abdulrahim, 32, yang juga peninju dilaporkan ditembak oleh beberapa penyerang di tempat letak kereta bawah tanah sebuah hotel di Preston, 9 kilometer (KM) di utara pusat Melbourne, kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan.
Detektif Skuad Pembunuhan Polis Victoria, Inspektor Dean Thomas memberitahu pemberita petang tadi, bahawa Abdulrahim meninggal dunia di tempat kejadian selepas seorang wanita, dipercayai teman wanitanya dan polis serta kru ambulans cuba melakukan pertolongan cemas.
Beliau berkata, polis percaya pelaku serangan yang disasarkan itu melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki kenderaan berwarna putih.
"Polis sedang menyiasat sama ada Porsche terbakar yang ditemukan kemudian di pinggir bandar berdekatan dikaitkan dengan pembunuhan itu," katanya.
Abdulrahim, yang sebelum ini menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kemalangan maut, sebelum ini terselamat daripada beberapa cubaan membunuhnya.
Pada 2022, dia ditembak lapan kali di dada dan perut, di tanah perkuburan di utara Melbourne. Pada Mei 2024, dia terlepas daripada kecederaan apabila beberapa das tembakan dilepaskan ke arahnya ketika dia meninggalkan rumahnya.
Akhbar Nine Entertainment melaporkan hari ini bahawa Abdulrahim baru-baru ini bersembunyi melarikan diri selepas ganjaran hadiah A$1 juta (US$625,532) terhadap nyawanya.
Thomas pada Selasa berkata, polis sebelum ini telah berbincang dengannya mengenai keselamatannya dan para penyiasat akan cuba mengenal pasti bagaimana penembak dapat mengetahui lokasinya. – BERNAMA-XINHUA
Hilux, Vios main langgar orang tepi jalan di Jalan Klang Lama
SITI A'ISYAH SUKAIMI

Tangkap layar video Toyota Vios dan Toyota Hilux dipandu arah sekumpulan orang ramai di sebuah kelab di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR – Satu insiden kekecohan berlaku di hadapan sebuah kelab di Jalan Klang Lama di sini, melibatkan dua kenderaan Toyota Vios dan Toyota Hilux dipandu secara melulu ke arah sekumpulan orang ramai.
Rakaman kejadian itu tular di media sosial serta memperlihatkan kedua-dua kenderaan itu dipandu secara melulu ke arah sekumpulan orang ramai di luar bangunan kelab.
Berikutan itu, ada yang berlari menyelamatkan diri daripada dilanggar oleh kedua-dua pemandu tersebut.
Seterusnya, kenderaan Toyota Hilux dan Toyota Vios itu dilihat keluar di jalan utama dan dipercayai melanggar individu di situ.
Dalam rakaman itu juga, kedua-dua kenderaan tersebut kemudian berpatah semula dan salah satu daripadanya dilihat melanggar sebuah motosikal yang diletakkan berdekatan bahu jalan.
Suasana bising dan kecoh menerusi rakaman tersebut selain ada yang mengeluarkan kata-kata kesat selepas kedua-dua kenderaan itu beredar.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan punca kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian dua kenderaan dipandu secara melulu dan melanggar sekumpulan lelaki sehingga menyebabkan kecederaan.
Katanya, polis telah menjalankan siasatan sebaik laporan diterima pada Rabu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun.
“Pengadu telah melihat dua kenderaan jenis Toyota Hilux dan Toyota Vios keluar dari bangunan tempat letak kereta dan dipandu secara melulu di hadapan Kelab Top Plus.
“Kenderaan itu melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan dua orang mengalami kecederaan. Seorang mangsa telah dihantar ke hospital menaiki ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua mangsa belum membuat laporan polis dan pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berdekata. – KOSMO! ONLINE
Langgan:
Catatan (Atom)