"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerana harta, kakak ipar maut, kakak cedera parah

Agensi
SONCHAI sudah ditahan. FOTO Agensi
SONCHAI sudah ditahan. FOTO Agensi
Bangkok: Berebut harta, itu punca bekas pegawai dari Balai Polis Samrae tergamak menembak mati kakak iparnya malah mencederakan kakaknya sendiri.

Portal The Thaiger melaporkan, kejadian berlaku pada 23 Mac jam 1.04 tengah hari di Bang Mod, daerah Chom Thong, dekat sini.

Timbalan Inspektor dari Balai Polis Tha Kham, Leftenan Polis Thanathat Ratsameepupa menerima panggilan itu dan tiba di tempat kejadian bersama pasukan penyiasat.

Setibanya mereka di rumah bandar dua tingkat itu, pegawai menemui dan mengenal pasti Sonchai, 69, yang juga bekas pegawai polis, sebagai suspek.

Sonchai memiliki sebuah revolver kaliber 38 dengan lima butir peluru.

Suspek didakwa menembak kakak iparnya, Sirinat, yang maut akibat kecederaan di kepala.

Selain itu, kakaknya, Sieamnai, 75, cedera parah selepas terkena tembakan di mata kanan dan dikejarkan ke hospital.

Suspek mengaku melakukan jenayah itu dalam keadaan marah berikutan pertengkaran mengenai pembahagian hak harta dalam rumah keluarga itu.

Menurut Sonchai, pertikaian mengenai pewarisan harta itu berpunca daripada kakaknya.

"Selepas bersara daripada pasukan polis, dia meminta untuk tinggal bersama saya, tetapi kami tidak serasi dan bertengkar sepanjang masa.

"Disebabkan kakak saya yang membayar rumah, saya tidak membantu membayar ansuran, tetapi ada masanya membayar bil utiliti.

"Jadi kakak saya meminta mahkamah mengambil hak milik rumah itu sebelum mahkamah memutuskan untuk memberikannya kepada adik saya.

"Selepas itu, kakak saya menghalau saya dari rumah dan berkata dia akan memberi saya sedikit wang. Saya bersetuju tetapi meminta tempoh sebulan," katanya.

Berikutan pendedahan itu, polis menahan suspek dan dan mahu mendakwa bekas pegawai itu mengikut undang-undang, lapor KhaoSo
-hmetro 

Tuan Ibrahim Tuan Man: PAS ‘tiada isu’ dengan MB Terengganu

Chia Wan Rou

PETALING JAYA: Selepas seorang exco Terengganu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut tampil mempertahankan Ahmad Samsuri Mokhtar susulan kemunculan poster menggesa menteri besar itu meletak jawatan.

Tuan Ibrahim mendakwa, poster itu hanya ‘tindakan murahan’ sesetengah pihak susulan kejayaan pentadbiran PAS di negeri itu.

“Poster ini tak perlu layan, PAS Pusat dan Negeri tiada sebarang isu (melibatkan Ahmad Samsuri),” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Hanafiah Mat selaku exco dan Adun bawah pentadbiran Ahmad Samsuri menafikan dakwaan kerajaan negeri bergolak.

Penolong setiausaha PAS Terengganu itu turut menyeru ‘tangan ghaib’ supaya henti menabur fitnah yang boleh mengharu-birukan rakyat Terengganu.

Sebelum ini tular di platform X sebuah poster menggesa Ahmad Samsuri segera meletak jawatan menteri besar, dipacak di kawasan yang belum dikenal pasti.

Kemunculan poster tersebut mengundang pertanyaan netizen sama ada PAS Terengganu berdepan pergolakan dalaman.

Sejumlah 27 daripada 32 Adun di negeri itu daripada PAS, selain sembilan daripada 10 exco termasuk menteri besar.

Pada PRN15, Perikatan Nasional (PN) menang kesemua 32 DUN ditandingi di Terengganu, hasil gabungan PAS dan Bersatu, sekaligus mencipta sejarah tiada pembangkang dalam kerajaan negeri.

Mayat bayi ditemukan dalam mangkuk tandas stesen minyak

Bernama

Mayat seorang bayi yang baru dilahirkan ditemukan dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Supt Md Yusof Ahmad berkata mayat itu ditemukan orang awam kira-kira 12 tengah hari, namun jantina dan bangsa bayi tersebut tidak dapat dipastikan.

"Pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi itu meninggal dunia pada 11.15 pagi.

"Polis kini giat menjalankan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat, dipercayai menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat bayi itu secara sulit," katanya dalam kenyataan di Shah Alam hari ini.

Beliau meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi pegawai penyiasat Insp Nor Aimi Liyana Mohd Khairani di 018-2510452 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular di media sosial gambar lokasi kejadian dengan dakwaan ada individu melahirkan anak dalam tandas wanita stesen minyak itu sebelum membuang bayinya.

- Bernama

Kanak-kanak lelaki 10 tahun terkandas di laut sejak 21 Mac kerana mahu candat sotong

Agensi
KANAK-KANAK hilang sejak 21 Mac lalu ditemui dalam keadaan selamat. FOTO Agensi
KANAK-KANAK hilang sejak 21 Mac lalu ditemui dalam keadaan selamat. FOTO Agensi
hmetro.com.my
Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di selatan China yang memancing solo terselamat selepas hilang apabila kayak dinaikinya ditiup angin kencang hingga membawanya jauh daripada perkampungannya.

Portal The Straits Times memetik media tempatan melaporkan, kanak-kanak itu keluar memancing sotong di atas kayak di sepanjang pantai perkampungan Chiling di selatan Hainan.

Dia dilaporkan hilang oleh keluarganya kira-kira jam 8.30 malam pada 21 Mac lalu.

Seorang kapten bot nelayan yang sedang belayar dekat Sanya, lebih sembilan batu nautika di barat pantai Chiling, kebetulan melihat kanak-kanak lelaki itu dalam kayak hijaunya meminta bantuan, lapor Jimu News.

Anak kapal yang menaiki bot itu menyelamatkan kanak-kanak lelaki yang ditemui dalam keadaan kulitnya yang kemerahan kerana terdedah dengan matahari, kata kapten.

Kanak-kanak itu tidak mempunyai bekalan makanan dan minuman serta berkongsi pengalaman ngerinya selepas diberi makan sedikit roti dan susu.

Katanya, dia tertidur ketika memancing berhampiran kampungnya.

Ketika dia dihanyutkan ombak pada waktu malam, dia melalui beberapa bot namun jeritannya tenggelam dengan bunyi jentera kapal, kata kapten bot itu kepada media tempatan.

Kanak-kanak lelaki itu juga melalui patung Guanyin yang terkenal di Sanya, ketika hanyut ke arah pasang surut ombak di Laut China Selatan.

Ia menyebabkan beberapa nelayan kagum dengan keupayaannya untuk terus bertahan di atas kayaknya tetapi tidak dapat membayangkan apa yang dilaluinya.

Menurut kapten bot, kanak-kanak itu dibawa balik ke pantai dan diserahkan kepada polis yang sudah menunggu di jeti

Penyelamat di Hainan berkata mereka menerima panggilan kecemasan daripada ibu bapa kanak-kanak itu pada kira-kira jam 2 petang pada 22 Mac, tetapi diberitahu kira-kira sejam kemudian dia kembali ke pangkuan keluarganya.

Dia berada dalam keadaan sihat, walaupun sedikit terkejut dengan pengalaman pahit yang dialaminya.
-hmetro 

Wanita maut selepas hantar anak ke sekolah, motosikal bertembung kereta dipandu guru

Sinar Harian
Keadaan motosikal mangsa dan kereta Myvi dipandu guru wanita terbabit kemalangan maut di Jalan Melaka- Muar pada pagi Isnin. Gambar kecil: Noor Faradhillah
JASIN: Seorang wanita maut selepas menghantar anaknya ke sekolah apabila motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka- Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau di sini pada pagi Isnin.

Kejadian yang berlaku jam 8.40 pagi menyebabkan mangsa Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang dipercayai masih menyusukan anak bongsunya yang baru berusia enam bulan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama Jalan Melaka- Muar sebaik menghantar anaknya ke sekolah.

Menurutnya, namun dalam masa sama sebuah kereta Perodua Myvi dipandu guru wanita berusia 34 tahun dari arah Sungai Rambai menuju Merlimau tidak sempat mengelak.

"Ketika itu motosikal mangsa pada kedudukan yang terlalu dekat lalu berlaku pelanggaran di bahagian kanan motosikal mangsa.

"Impaknya mangsa terjatuh dan cedera di badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Tambahnya, mayat mangsa kemudian di bawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan melalui pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533.

"Maklumat juga boleh disalurkan kepada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260,” ujarnya lagi. -Sinar Harian

Terengganu: Tular kain rentang desak MB letak jawatan


Harapandaily

Sebuah kain rentang yang mendesak Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatannya menjadi tanda tanya ramai.

Kain rentang yang tergantung di kawasan berdekatan deretan kedai di Terengganu itu mula tular sejak semalam.

Terpampang wajah Ahmad Samsuri yang dipangkah dan tulisan berbunyi: “Demi masa depan kerajaan, MB Samsuri sila letak jawatan. #gengkitertolokMB”.

Ramai tertanya apa yang terjadi, selain mengandaikan sedang berlaku pergolakan dalaman kerajaan negeri.

Hasil semakan dan komen orang ramai, difahamkan kain rentang tersebut merupakan banting lama yang ditularkan kembali oleh pengguna X.

Tetapi tidak pasti tahun bila ia dinaikkan. Ahmad Samsuri dilantik sebagai menteri besar sejak 2018 iaitu ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Penuntut universiti didakwa cuba bunuh bekas kekasih

FMT Reporters

Tertuduh, B Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

B Vashigharan, 19, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dengan menikam gadis itu, minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang penuntut universiti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dengan menikam gadis itu, minggu lalu.

Tertuduh, B Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh Kirtanah Poomaran, 19, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tandas tingkat 1, Universiti AIMST di Semeling, Bedong pada 10 pagi, 17 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguam P Ashokumar.

Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.

Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dengan alasan kes berkenaan adalah serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Ashokumar merayu mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan kerana tertuduh masih muda dan belajar di peringkat universiti.

Rayuan itu ditolak hakim dan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin, selain menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut universiti swasta parah akibat ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan, Isnin lalu.

Mangsa diserang remaja lelaki itu yang dikatakan bekas teman lelakinya semasa berjalan ke perpustakaan bersama beberapa rakan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan kecederaan di tangannya di klinik kesihatan di kampus berkenaan sejurus kejadian.

Suspek dikatakan bertindak demikian kerana berang bekas teman wanitanya memutuskan hubungan mereka.

Polis siasat dakwaan wanita ditampar pemandu kereta

Bernama

LABUAN: Polis sedang menyiasat insiden wanita ditampar seorang pemandu lelaki selepas berlaku pertengkaran di jalan raya berhampiran Pasar Raya Besar Bataras di Jalan Tun Mustapha di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata insiden membabitkan wanita berusia 28 tahun itu dipercayai berlaku pada 2 petang selepas keretanya hampir bertembung dengan kenderaan suspek yang berusia 40 tahun.

Lelaki itu dikatakan memandu secara melulu, menyebabkan wanita berkenaan terpaksa menekan brek secara mengejut untuk mengelakkan perlanggaran.

"Berikutan itu, berlaku pertengkaran dan suspek dikatakan menampar pipi kiri wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Hamizi berkata kedua-duanya pergi ke balai polis pada hari kejadian tetapi tiada laporan dibuat.

Beliau berkata mereka kembali ke balai polis pada Sabtu untuk membuat laporan dan polis membuka dua kertas siasatan terhadap suspek, pertama di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan yang kedua di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kejadian yang telah tular itu.

Polis siasat video tular dakwa anggota trafik terima rasuah

FMT Reporters

Video tular menunjukkan anggota trafik itu menerima sesuatu dari pemandu kereta dan memasukkannya ke dalam poket.
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang anggota dilihat mengambil sesuatu dari pemandu kereta yang ditahan sebelum memasukkannya ke dalam poket.
PETALING JAYA: Polis menyiasat dakwaan seorang anggota trafik menerima rasuah dari pemandu kereta yang ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Serdang, hari ini.

Ini susulan satu video tular menunjukkan tiga anggota polis trafik membuat sekatan jalan raya dan pemeriksaan berhampiran pusat beli belah The Mines. Seorang anggota polis dilihat mengambil sesuatu dari pemandu kereta ditahan sebelum memasukkannya ke dalam poket.

Ketua Polis Serdang, AA Anbalagan berkata pihaknya menjalankan siasatan dalaman bagi menyemak sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran garis panduan sekatan jalan raya, yang diadakan antara 12.15 tengah hari hingga 1.15 petang tadi.

“Kami tidak akan berkompromi jika terbukti berlaku salah laku semasa sekatan jalan raya dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Anbalagan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu siasatan.

Penjualan bermacam jenis mercun menyebabkan kecederaan dan gangguan bising kerajaan patut dipersalahkan

Pelajar melecur, putus jari akibat main mercun diubah suai

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

Jeli: Tindakan tiga pelajar lelaki bermain mercun yang diubah suai di dalam asrama sekolah, di sini, mengundang padah apabila kesemua mereka mengalami kecederaan dan melecur, termasuk putus jari tangan, petang tadi.

Dalam kejadian 4.40 petang itu, ketiga-tiga mangsa berusia 15 hingga 16 tahun dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan pihak polis di lokasi mendapati kejadian berlaku sekitar 4.40 petang di dalam sebuah asrama lelaki sekolah agama di sini.

"Ketika kejadian, kesemua mangsa dipercayai mengubah suai mercun dengan memasukkan belerang ke dalam sebuah botol bersama batu kerikil untuk dijadikan mercun.

"Akibat tindakan itu, mangsa mengalami kecederaan dan melecur di beberapa bahagian badan. Seorang daripadanya yang berusia 16 tahun putus jari tangan sebelah kiri.

"Kesemua mangsa sedang menerima rawatan di Bahagian Kecemasan Hospital Jeli," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati dan sentiasa memantau aktiviti anak dalam menyambut perayaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Isteri bunuh, potong mayat suami, sorok dalam tong bersimen

Sinar Harian

Muskan mengaku membunuh suaminya dan menyembunyikan mayat mangsa di dalam tong yang dipenuhi simen. - Gambar/ Sinar Harian/ Agensi

SEORANG bapa di Meerut, India, mendesak hukuman mati dijatuhkan terhadap anak perempuannya selepas wanita itu mengaku membunuh suaminya dan menyembunyikan mayat mangsa di dalam tong yang dipenuhi simen.

Memetik laporan berita Asian News International (ANI), Muskan Rastogi mengaku menikam suaminya, Saurabh Rajput hingga mati pada 4 Mac dengan bantuan rakannya, Sahil Shukla.

Kedua-duanya mengaku melakukan perbuatan tersebut sebelum bertindak memotong mayat mangsa dan menyembunyikannya di dalam tong yang diisi simen.

Bapa kepada Muskan, Pramod menyifatkan tindakan anaknya sebagai sangat salah dan menegaskan bahawa menantunya, Saurabh, berhak mendapat keadilan.

“Apa yang dia lakukan sangat salah, menantu saya berhak mendapat keadilan. Keputusan kes ini perlu disegerakan dan saya mahukan hukuman mati untuknya," katanya.

Pramod memainkan peranan penting dalam menyelesaikan kes itu apabila dia menggesa Muskan untuk mengaku jenayahnya semasa dalam perjalanan ke balai polis.

Sementara itu, ibu Muskan, Kavita melahirkan rasa kesal kerana anaknya tidak berkongsi masalah dengan mereka, selain menekankan kepentingan berkomunikasi antara ibu bapa dengan anak-anak.

"Anak saya telah melakukan kesilapan besar. Saya sering bertanya apa masalahnya, tetapi dia terus berahsia.

“Jika dia berkongsi masalahnya, dia tidak akan berada dalam keadaan ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Superintenden Bandar Meerut, Ayush Vikram Singh berkata, Saurabh yang bekerja sebagai kelasi kapal, pulang ke rumah pada 4 Mac lalu dan dilaporkan hilang sejak itu.

"Hasil soal siasat, Sahil mengaku bahawa dia dan Muskan menikam Saurabh hingga mati pada 4 Mac.

“Mereka kemudian memotong-motong mayat mangsa dan menyembunyikannya di dalam tong simen," menurutnya.

Polis telah menahan Muskan dan Sahil, dan kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan India. - Sinar Harian

Bufet Ramadan di hotel-hotel melakukan pembaziran makanan tertinggi?

Hmetro

Impak buruk gagal kawal nafsu belanja
IBARAT sudah menjadi trend ketika Ramadan, rekod pembaziran makanan turut melonjak jika dibandingkan dengan bulan lain.
IBARAT sudah menjadi trend ketika Ramadan, rekod pembaziran makanan turut melonjak jika dibandingkan dengan bulan lain.
MUKA depan Harian Metro semalam mendedahkan, umpama sudah menjadi trend ketika Ramadan, rekod pembaziran makanan turut melonjak jika dibandingkan dengan bulan lain.

Keadaan itu boleh diperbaiki jika semua pihak memainkan peranan penting berbelanja secara berhemah, sekali gus mengelakkan pembaziran.

Kafe Ahad minggu ini menemubual Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) DATUK NADZIM JOHAN bersama wartawan MUHAMMAD SAUFI HASSAN bagi mengupas isu pembaziran di bulan Ramadan.

Bagaimana Datuk melihat isu pembaziran ketika bulan Ramadan?

Isu ini sudah berlarutan terlalu lama malah kalau saya ingat semula tidak kurang daripada sedekad yang lalu, kita sudah memperkatakan mengenai pembaziran sisa makanan khususnya ketika Ramadan.

Sepatutnya Ramadan ini bulan untuk kita berjimat cermat, tidak terlalu berbelanja, membeli pada kadar yang perlu dan mengawal diri daripada pembelian yang tidak diperlukan.

Namun lain pula jadinya ketika ini apabila rekod-rekod daripada badan pengurusan sisa pepejal menunjukkan pembaziran yang luar biasa.

Dalam Islam sendiri kita diajar untuk tidak membazir kerana membazir ini amalan syaitan, sepatutnya kita semua praktikkan sejajar dengan agama Islam.

Mungkin sudah sampai masanya, kita perlu melihat semula semua perkara ini dengan lebih serius supaya masalah pembaziran ini dapat kita tangani.

Berdasarkan data badan pengurus sisa pepejal, terdapat puluhan ribu tan metrik sisa makanan dan peningkatan sekitar 20 hingga 30 peratus berbanding bulan biasa, pandangan Datuk?

Ya, perkara itu memang mengejutkan. Kalau saya tengok semula data-data ini amat mengejutkan kita, puluhan ribu tan metrik adalah sisa makanan.

Ini tidak sepatutnya berlaku, kalau kita boleh terjemahkan puluhan ribu tan metrik ini kepada bekalan bantuan makanan, kita boleh memberi manfaat kepada ramai orang.

Kalau kita terjemahkan puluhan ribu tan metrik ini kepada bantuan makanan untuk negara Islam terjejas seperti rakyat di Syria, Gaza dan beberapa negara Islam lain, saya rasa kita mampu menampung bekalan makanan untuk mereka bagi sebulan atau lebih.

Masalah segelintir masyarakat kita pada hari ini adalah pembelian secara berlebihan, pembelian di luar kapasiti yang sepatutnya, kita membeli sebab kita tengok makanan itu nampak sedap dan bukannya kita ingin makan makanan itu nanti.

Di samping itu, kita perlu sedar kapasiti kita untuk menikmati juadah berkenaan, selalunya tidak banyak mana pun yang kita makan, oleh itu, saya kira perlunya kita mengawal nafsu berbelanja.

Selain daripada pembelian luar kawalan, penyediaan makanan yang terlalu banyak juga mungkin menyumbang kepada kenaikan sisa makanan ini.

Peniaga menyediakan makanan dalam kuantiti yang terlalu banyak sedangkan pembelian tidak setara, jadi di situ ada ketidakseimbangan.

Bagaimana pula dengan trend berbuka puasa di hotel-hotel?

Ini juga satu masalah, satu kepala untuk bufet Ramadan RM200, mungkin lebih, mungkin kurang.

Kadang-kadang saya terfikir makan apa dengan jumlah bayaran setiap kepala yang tinggi sebegitu, sedangkan kita tidak makan banyak mana pun.

Jadi, sempena Ramadan ini, kita semua perlu muhasabah diri, melihat semula trend perbelanjaan kita dan mengamalkan sikap jimat cermat sepanjang bulan yang mulia ini.

Pada pandangan Datuk, adakah sisa makanan ini sememangnya daripada bazar, pengguna individu atau sebaliknya?

Apa yang saya tahu, sisa makanan ini banyak daripada hotel-hotel besar yang menawarkan bufet Ramadan.

Prosedur di hotel ini menyatakan bahawa lebihan makanan itu perlu dibuang walaupun ia tidak diusik oleh sesiapa.

Baru-baru ini, kami di PPIM ada menerima aduan daripada seorang lelaki, beliau adalah pekerja sebuah hotel terkemuka dan datang ke Kuala Lumpur ini untuk mencari pendapatan.

Lelaki ini ada mengambil beberapa bahagian makanan yang masih elok di bufet Ramadan dan ketika itu, lebihan makanan berkenaan ingin dibuang, jadi lelaki ini berpendapat bahawa daripada buang lebih baik dia ambil untuk bekalan makanan di rumah untuk keluarganya.

Namun nasib lelaki ini tidak begitu baik apabila pemeriksaan pihak keselamatan hotel menjumpai bungkusan makanan berkenaan dan lelaki ini sudah dikenakan tindakan.

Ini menunjukkan bahawa prosedur di hotel-hotel besar ini perlu diubah, jika ada lebihan makanan yang tidak diusik, yang elok, tidak salah untuk pekerja mengambilnya untuk dibawa pulang daripada dibuang.

Saya lihat prosedur hotel ini perlu diubah, banyak lagi golongan yang memerlukan makanan, juadah yang masih elok dibuang begitu saja, ini satu pembaziran yang sangat luar biasa.

Prosedur ini tidak lagi praktikal, sudah sampai masanya kita bersama-sama untuk mengubahnya dengan menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan dan juga memberi input ini kepada kerajaan.

Selepas bertahun-tahun, apakah harapan Datuk dalam isu pembaziran ini?

Satu saja, saya mahu melihat statistik pembaziran ini berkurangan untuk tahun-tahun akan datang.

Caranya, kita sendiri perlu bergerak, kita perlu beri kesedaran kepada orang lain dan kita gerakkan satu kebangkitan rakyat untuk mengurangkan pembaziran.

Ini adalah tugas kita semua khususnya umat Islam kerana Islam melarang kita bersifat boros, membazir dan tingkah laku buruk yang lain.

Pada masa sama, saya juga mengharapkan bahawa prosedur pengurusan lebihan makanan di hotel besar dapat diubah supaya pembaziran ini dapat kita tangani dengan bijaksana.

Saya juga mengingatkan diri sendiri dan orang lain supaya sentiasa mengamalkan pembelian atau berbelanja secara berhemah.

Kerajaan patut disalahkan membiarkan pati berkeliaran: Lelaki Rohingya menyamar 'Ariff Aiman' dituduh rogol remaja perempuan

Alias Abd Rani
Lelaki Rohingya, Mohamad Osman menyamar 'Ariff Aiman' tak mengaku salah terhadap tuduhan merogol remaja dikenali melalui gambar palsu di media sosial. - NSTP/ Alias Abd Rani
Lelaki Rohingya, Mohamad Osman menyamar 'Ariff Aiman' tak mengaku salah terhadap tuduhan merogol remaja dikenali melalui gambar palsu di media sosial. - NSTP/ Alias Abd Rani
MUAR: Seorang pemotong rumput etnik Rohingya yang menggunakan nama 'Ariff Aiman' di media sosial, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol remaja perempuan dalam garaj sebuah rumah, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohamad Osman Boshor, 29, yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa merogol remaja berusia 17 tahun di Batu Pahat antara jam 12.15 tengah malam hingga 1 pagi, 29 Januari lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan laporan dibuat, tertuduh mengenali mangsa dengan menggunakan gambar orang lain serta nama palsu pada akaun media sosial bagi memancing remaja perempuan yang diminati.

Mangsa menyangka gambar digunakan tertuduh adalah asli sebelum mereka berkenalan dengan lelaki itu.

Pada hari kejadian, tertuduh yang menetap di Muar sanggup datang ke Batu Pahat dengan menggunakan e-hailing semata-mata mahu berjumpa dan melakukan perbuatan itu.

Pada masa sama, tertuduh juga mengugut mahu menyebabkan gambar dan video mangsa jika enggan menuruti arahannya.

Bagaimanapun, kejadian itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada rakan yang kemudiannya memaklumkan kepada gurunya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Faruzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh atas faktor lelaki itu warga asing.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 25 April ini untuk sebutan serahan dokumen dan juga lantikan peguam.

Polis cekup individu ugut bunuh Firdaus Wong berkait isu kuil

Sinar Harian

PETALING JAYA: Individu dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong berkaitan isu pembinaan kuil telah ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, suspek yang merupakan individu tempatan itu ditahan untuk siasatan lanjut.

"Saya sahkan ada tangkapan berkaitan kes ini dan satu kenyataan media akan dikeluarkan," katanya pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan pendakwah bebas berkenaan membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh di Facebook (FB), susulan kenyataannya berkaitan isu pembinaan kuil. -Sinar Harian

Kedah: Suami orang dicekup khalwat bersama ibu tunggal anak satu

Sinar Harian
Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang ibu tunggal dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Serai, awal pagi Ahad.
KULIM: Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang ibu tunggal dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Serai, awal pagi Ahad.

Lelaki berusia 46 tahun itu mendakwa datang ke rumah kenalan wanitanya hanya untuk membantu membawa kereta wanita itu untuk dibaiki.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori dicekup kira-kira jam 2.05 pagi oleh pegawai masjid sebelum diserahkan kepada Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) untuk tindakan lanjut.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan membuka pintu dalam keadaan hanya memakai seluar tanpa baju.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berusia 42 tahun yang merupakan ibu tunggal berada di dalam sebuah bilik bersama anak perempuannya berusia 12 tahun yang sedang tidur.

“Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat,” katanya pada Ahad.

Menurutnya, siasatan mendapati wanita itu merupakan ibu tunggal yang kematian suami sejak enam tahun lalu dan hanya memperoleh pendapatan daripada wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala lelaki tersebut masih mempunyai isteri serta enam anak.

“Mereka mengaku berkenalan sejak enam tahun lalu melalui laman sosial Facebook,” ujarnya.
Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat. - Sinar Harian

PN jadi macam MN?: Lebih banyak persoalan daripada jawapan

Mohsin Abdullah

Timbul persoalan apa akan jadi dengan PN apabila Hamzah Zainudin nyata Bersatu sedia kerjasama dengan Umno.

Apabila Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata partinya sedia menjalinkan kerjasama dengan Umno, persoalan pertama yang muncul pada hemat saya adalah ‘apa kata PAS’? Perlu ditegaskan semasa artikel ini ditulis, belum ada reaksi PAS. Sebenarnya, semua pihak yang terkait dengan isu ini belum beri respon, setakat ini.

Persoalan kedua, mana mahu ‘diletakkan’ PAS, sekali gus persoalan susulan, apa akan jadi dengan Perikatan Nasional (PN)? Senasib dengan Muafakat Nasional (MN)? Layu sebelum berkembang? Sebenarnya, banyak lagi persoalan timbul.

Imbau kembali apa kata Hamzah semasa menjadi tetamu audio siar Keluar Sekejap tempoh hari. Saya tidak mengikuti siaran itu, maka saya menulis berpandukan apa yang dilapor Sinar Harian.

Akhbar itu memetik Hamzah berkata, kesediaan Bersatu jalin kerjasama dengan musuh ketatnya ‘demi mencapai matlamat perjuangan politik’. Adakah ini bermakna ‘the end justifies the means’?

Kata Hamzah lagi, tiada sebab bagi Umno dan Bersatu untuk terus berpecah jika kedua-dua parti berkongsi perjuangan dan wadah politik yang sama. “Saya tak nampak pun pertembungan yang menyebabkan Umno dengan Bersatu tidak boleh duduk semeja,” katanya. Tetapi bukankah ‘pertembunganlah’ yang terjadi selama ini menyebabkan Bersatu dan Umno bermusuhan (pelik kalau Hamzah tak nampak). Namun Bersatu ialah parti serpihan Umno. Dalam bahasa lembut, asal Bersatu ialah Umno. Lantas bolehlah dikatakan Bersatu ada DNA Umno.

Imbas kembali. Bersatu atau nama penuhnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia diasaskan Dr Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin Yassin pada September 2016, didaftarkan pada 14 Jan 2017 dan disahkan 14 Jan 2017.

Bersatu menyertai Pakatan Harapan (PH) dan apabila gabungan itu menang PRU14 pada 2018, Mahathir menjadi perdana menteri Malaysia yang ketujuh. Beliau mahu Bersatu mengambil alih daripada Umno untuk jadi parti utama mewakili orang Melayu. Impian itu seakan-akan menjadi kenyataan apabila beberapa pemimpin berprofil tinggi dan ahli Umno menyertai Bersatu. Bagai sirih pulang ke gagang, katanya, namun penghijrahan beramai-ramai yang diharapkan Mahathir tidak berlaku.

Umno kekal sehingga kini sementara Bersatu tidaklah menjadi parti utama orang Melayu, malah dilihat tidak sekuat seperti yang diharapkan. Hakikatnya, Bersatu dan Umno dua-dua tidak mendapat gelaran parti utama Melayu. Gelaran itu, menurut saya, milik PAS. Bukan rahsia lagi Bersatu banyak bergantung harap pada PAS dalam PN.

Berbalik persoalan tadi, apa akan jadi dengan PN? Bubar seperti apa yang terjadi dengan MN? MN ditubuhkan oleh Umno dan PAS pada 2019 tetapi bubar sebagai entiti politik pada 2022, dan jadi badan bukan kerajaan sekarang.

Ditegaskan sekali lagi, kekuatan PN banyak dicapai oleh PAS, bukan Bersatu. Walaupun dinafikan, realitinya adalah PAS ‘abang besar’ dalam PN. Jadi adakah Hamzah telah mendapat restu PAS sebelum menyatakan kesediaan partinya bekerjasama dengan Umno?

Katalah PAS restu, adakah parti itu juga akan menyertai rombongan Bersatu duduk semeja dengan Umno bincang kerjasama? Namun bukankah PAS sudah berulang kali berkata tidak akan kerjasama dengan Umno selagi Zahid Hamidi presiden? ‘Last time I checked’, Zahid masih presiden Umno.

Apa pun, semua boleh jadi dalam politik. Kata seorang kawan lama sambil ketawa, beliau tidak akan terkejut ‘jika selepas ini ada puak yang kata, kami sokong Malaysia Madani demi masa depan Melayu’. Saya tak pasti sama ada kawan saya itu berseloroh atau perli, tidak pula saya tanya. Mungkin beliau rujuk langkah enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap PMX tahun lepas.

Satu lagi persoalan – adakah Hamzah sudah dapat lampu hijau presidennya, Muhyiddin, sebelum membuat kenyataan menerusi podcast yang dikendalikan Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan Jumaat lepas ?

Yang ingin saya katakan, walaupun Hamzah pegang jawatan tinggi dalam parti, tetapi jawatan nombor dua tetap ada ‘boss’ di atas. Adakah beliau mendapat mandat parti untuk menyatakan kesediaan Bersatu bekerjasama dengan Umno? Ini langkah besar membabitkan parti. Atau adakah itu hanya pandangan peribadi beliau?

Ada lagi persoalan penting – apa agaknya reaksi Umno? Adakah ia bersedia berdamai dengan musuh ketat? Selama ini, banyak kata kesat yang dilemparkan Bersatu terhadapnya (‘Umno is no angel’. Ia pun lempar kata-kata kesat terhadap Bersatu). Andai setuju kerjasama ‘demi Melayu’, mungkinkah persetujuan datang bersama beberapa syarat?

Kerjasama dengan Umno secara tidak langsung bermakna kerjasama dengan rakan-rakan Umno dalam kerajaan perpaduan. Adakah Hamzah OK dengan itu? Atau mungkin Hamzah ada strategi tersendiri apabila melambungkan kesediaan Bersatu?

Setakat ini lebih banyak persoalan daripada jawapan. Indahnya politik kita.

Kelantan: Ada anak muda hidup mewah hasil aktiviti penyeludupan

Bernama

KOTA BHARU: Golongan anak muda yang bukan dalam kalangan pempengaruh atau usahawan dikesan menjalani kehidupan mewah dengan memiliki kenderaan berjenama seperti Mustang dan BMW tanpa sumber pendapatan yang jelas, kata Ketua Polis Negara Razarudin Husain.

Beliau berkata fenomena itu bukan sesuatu yang baharu dan menerusi beberapa kejayaan operasi sebelum ini, terbukti ada dalam kalangan mereka terlibat dengan aktiviti penyeludupan.

“Hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah, senjata api dan barang kontraban melalui sempadan Kelantan-Thailand,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, Kelantan sememangnya menjadi antara laluan utama sindiket penyeludupan, khususnya membabitkan dadah jenis syabu, heroin dan pil kuda yang dibawa masuk dari Thailand sebelum diedarkan ke seluruh negara.

Selain dadah, sindiket turut menyeludup senjata api serta pelbagai barang kontraban termasuk penyeludupan haiwan ternakan seperti lembu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas serta Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam kini memperketat kawalan sempadan serta menjalankan risikan berterusan bagi membanteras sindiket yang mempergunakan anak muda untuk aktiviti haram,” katanya.

Polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat termasuk mereka yang berselindung di sebalik perniagaan sah.

“Kita tidak mahu Kelantan terus menjadi transit utama bagi sindiket dadah dan senjata api.

“Pihak berkuasa akan terus memantau serta mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekang aktiviti jenayah ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa tangkapan besar telah dilakukan sebelum ini namun polis percaya masih terdapat rangkaian aktif yang terus beroperasi secara senyap dan mengambil kesempatan atas kelemahan di sempadan.

5 jam larikan barang kemas RM2 juta, suspek ditahan

BHarianonline 

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, dekat sini petang tadi ditahan polis malam ini.

Suspek yang juga lelaki tempatan dikatakan ditahan kira-kira jam 10 malam tadi di satu lokasi di sekitar Bukit Beruntung di Rawang lebih kurang lima jam selepas kejadian samun terbabit.

Turut ditemukan bersama suspek sejumlah barang kemas yang disamun dalam kejadian antara jam 4.40 petang hingga 4.50 petang.

Terdahulu, suspek yang bersenjatakan pistol dilaporkan menyamun kedai emas terbabit dan dipercayai sempat melarikan tujuh dulang barang kemas yang ada dalam rak pameran yang dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Suspek kemudian dilapor melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Persona berwarna merah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.