"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Pas yang zalim, rakus takutkan Kerajaan Madani. Ini tindakan mereka

Harapandaily

Kerajaan Pas Terengganu mempamerkan kezaliman dan kerakusan mereka kepada rakyat kerana takut terhadap kerajaan Madani.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah dijadualkan menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan Bersama peserta Felcra

Oleh itu, khemah telah dipasang di dalam pekarangan masjid ke luar kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, lain pula jadinya.

“Di saat akhir Jabatan Agama Negeri Terengganu tidak memberikan kebenaran menggunakan kawasan masjid tanpa sebab yang jelas,” kata pemegang akaun TikTok AAKJ World.

“Namun, adat orang kampung, tetamu telah dijemput maka majlis diteruskan juga.

AAKJ World menyatakan bahawa tindakan rakus kuasa ini mengingatkan mereka pada peristiwa di tahun 1999 iaitu bilamana pelajar Tadika Kemas dihalau dari sekolah mereka atas alasan menggunakan dewan milik kerajaan negeri.

Polis minta pemilik ‘dashcam’ rakam kemalangan maut di Senawang tampil

Bernama

Dua remaja maut selepas sebuah kereta dilapor gagal berhenti di lampu isyarat merah dan merempuh dua motosikal di Senawang, Khamis lalu.
Dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat Matahari Height di Senawang, Seremban.
SEREMBAN: Polis meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berkaitan kemalangan mengakibatkan dua remaja maut selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1 pada Khamis tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata setakat ini dua saksi kejadian telah tampil memberi keterangan.

“Kita sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes ini, bagi mereka yang ada rakaman kamera papan pemuka boleh tampil untuk bantu siasatan kerana semua mangsa masih di hospital dan belum dapat diambil keterangan.

“Berdasarkan siasatan, pemandu kereta jenis Honda Jazz berusia 18 tahun yang terlibat dalam kejadian itu didapati tidak mempunyai lesen memandu. Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada Bernama.

Beliau turut meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana boleh mengganggu proses siasatan.

Semalam, media melaporkan dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja lelaki itu bersama seorang penumpang dari arah Senawang menuju ke Paroi gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa serta sebuah lagi motosikal jenis Honda Vario.

Lelaki warga Singapura memandu mabuk rempuh restoran

Izz Laily Hussein
JOHOR BAHRU: Lelaki warga Singapura berusia 46 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga terbabas masuk ke sebuah restoran di Jalan Dato' Abdullah Tahir di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.50 malam, 5 Mac lalu, membabitkan sebuah kenderaan Suzuki.

Beliau berkata, pemandu Suzuki terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar dinding restoran, kerusi serta meja.

"Ketika cuba mengundurkan kenderaan keluar, dia kemudian melanggar Honda HR-V yang sedang diparkir di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Raub berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu kira-kira 2 petang tadi.

Beliau berkata, suspek ditahan dan diuji menggunakan alat pengesan alkohol.

"Ketika ujian kali kedua, dia enggan memberi kerjasama, menyebabkan polis membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk pengambilan sampel toksikologi bagi mengesan paras mabuk," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dakwaan rasuah: Wartawan M’kini lapor polis terhadap ejen Pakistan

Hariz Mohd

Wartawan Malaysiakini B Nantha Kumar hari ini membuat laporan polis terhadap seorang ejen Pakistan yang memberikan rasuah kepadanya pada Jumaat lalu, yang menyebabkan dia ditahan SPRM.

Dalam laporannya yang dibuat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi dan dilihat Malaysiakini, Nantha menafikan dia meminta atau menerima rasuah daripada ejen itu, yang dinamakannya sebagai Zahid.

Sebaliknya, wartawan itu berkata Zahid yang cuba menyogoknya, dan beliau telah mengambil sampul surat yang diberikan oleh ejen tersebut  untuk mendapatkan "bukti" terhadap sindiket pemerdagangan pekerja asing yang didakwa melibatkan Zahid.

“Pada 28 Februari jam kira-kira pukul 11.10 malam ketika saya berjumpa Zahid di Hotel Concorde di Shah Alam, untuk berbincang berkenaan siasatan saya berhubung sindiket Fly, dia menghulurkan sampul berwarna coklat kepada saya untuk memujuk saya bekerjasama dengan dia dalam sindiket itu.

“Saya ambil sampul itu sebagai bukti dia merasuah saya. Ini kerana saya diminta oleh seorang pengarah jabatan imigresen negeri untuk membantu jabatan itu mencari apa jua bukti ke atas warga Pakistan yang dicurigai terlibat dalam sindiket Fly.

"Saya mengambil sampul surat itu sebagai bahan bukti, untuk membuktikan dia cuba merasuah saya. Ini kerana saya telah diminta oleh seorang pengarah imigresen negeri untuk membantu jabatan dalam mengumpul sebarang bentuk bukti terhadap beberapa warga Pakistan yang disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket Fly.

“Namun sebelum saya sempat melaporkan kepada jabatan imigresen yang Zahid merasuah saya, saya telah ditahan oleh SPRM pada waktu itu juga dan direman empat hari atas tuduhan menerima rasuah.

“Saya menafikan meminta atau menerima rasuah, sebaliknya insidien tersebut adalah Zahid yang memberi rasuah kepada saya,” kata Nantha dalam laporan tersebut, yang dibuatnya di IPD Dang Wangi pada jam lima petang tadi.

Sindiket Fly merujuk kepada kegiatan pemalsuan status imigrersen, yang membersihkan individu yang tinggal lebih masa atau disenarai hitam menerusi cop keluar masuk yang palsu.

Nantha turut menggesa polis agar menyiasat latar belakang Zahid, dan mendakwa lelaki itu mengaku pernah dipenjarakan di Malaysia atas kesalahan pemerdagangan manusia.

Wartawan itu juga mempersoalkan bagaimana Zahid masih dibenarkan menetap di negara ini, dikatakan melalui visa profesional, sekiranya benar dia pernah disabitkan kesalahan.

"Tujuan saya membuat laporan ini adalah untuk meminta polis membuat siasatan penuh berhubung insidien ini dan latar belakang Zahid,” katanya lagi.

Nantha juga melampirkan salinan artikel Malaysiakini yang diterbitkan semalam, di mana dia menulis mengenai insiden yang berlaku pada 28 Februari itu.

Terdahulu, dia dituduh menerima RM20,000 daripada seorang ejen yang berurusan dengan pekerja asing sebagai pertukaran untuk tidak menerbitkan dua artikel yang akan mendedahkan kartel tersebut.

Dia dibebaskan pada Selasa lalu selepas direman selama empat hari.

Nantha telah bekerja dengan Malaysiakini sejak 2018 dan banyak menulis mengenai sindiket imigresen, termasuk yang melibatkan Jabatan Imigresen.

Terengganu: Tujuh rumah teres terbakar di Chukai

Bernama
Bomba menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.55 pagi sebelum 25 anggota dan beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian. - Gambar/ Bernama
CHUKAI: Sebanyak tujuh rumah teres dua tingkat di Taman Alam Perdana, di sini terbakar dalam kejadian pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Mohamad Hanif Che Khalid berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 7.55 pagi sebelum 25 anggota dan beberapa jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba, api sedang marak di bahagian depan dan ruang parkir beberapa unit rumah teres berkenaan. Bomba mengambil masa kira-kira 50 minit untuk mengawal api daripada merebak menggunakan dua aliran hos, pancuran air tangki jentera serta pili bomba berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Hanif berkata kejadian itu mengakibatkan setiap unit rumah mengalami kebakaran antara lima hingga 85 peratus, selain seorang lelaki dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan akibat cedera di tangan.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Warga emas dengan 14 rekod jenayah, dadah mati ditembak

Izz Laily Hussein
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Warga emas yang mempunyai 14 rekod lampau jenayah dan dadah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Molek, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, lelaki tempatan berusia 63 tahun terbabit dilaporkan terlebih dulu melepaskan tembakan ke arah polis yang menahannya untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah D9, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor sedang menjalankan rondaan menggunakan dua kenderaan polis.

"Anggota polis mengesan sebuah motosikal jenis Honda Vario yang ditunggang seorang lelaki di Jalan Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek di sini, dalam keadaan mencurigakan.

"Polis kemudian mengekori dan berjaya menahan motosikal itu di kawasan berhampiran.

"Ketika anggota polis hendak keluar bagi membuat pemeriksaan, tiba-tiba penunggang motosikal melepaskan beberapa das tembakan menyebabkan polis berbalas tembakan untuk mempertahankan diri sehingga keadaan selamat," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Kumar berkata, lelaki itu terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, polis menemui sepucuk pistol jenis Smith & Wesson berhampiran suspek serta empat butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru di lokasi sama.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah dan dadah termasuk satu rekod di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, satu rekod bawah Akta Senjata 1960 dan satu rekod masih dikehendaki polis.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pada masa sama, Kumar menyeru orang ramai supaya konsisten menyalurkan maklumat berhubung kejadian jenayah serta dadah di lokaliti masing-masing dalam membantu polis memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat terjamin.

Pesakit wanita diminta berbogel dan berlari setempat, doktor merakam menggunakan telefon bimbit

Polis terima satu lagi laporan doktor buat tak senonoh pada pesakit

Bernama

Polis menerima satu lagi laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa kepada seorang doktor perubatan sebuah hospital di George Town, yang ditahan Khamis lepas kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata ia menjadikan sehingga kini tiga laporan polis telah dibuat terhadap doktor lelaki berusia 43 tahun itu.

Beliau berkata dalam laporan polis yang dibuat semalam, wanita itu mendakwa kejadian berlaku pada 9.15 malam 20 Feb lepas di hospital tempat doktor pakar tersebut bertugas.

"Menurut wanita itu, doktor berkenaan telah meminta dia ke hospital untuk mengambil laporan ujian darah sebelum memperdayanya, kononnya dia ada penyakit jantung dan memerlukan pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata wanita itu kemudiannya diminta berbogel dan berlari setempat, sebelum doktor berkenaan merakam perbuatan wanita tersebut menggunakan telefon bimbit.

Lee berkata polis turut menemui rakaman video berkenaan di telefon bimbit doktor tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat rakaman lain yang dibuat oleh suspek.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki yang telah berkahwin itu juga mengaku terlibat beberapa kes berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa mangsa lagi.

“Lelaki itu masih direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis telah menahan reman lelaki itu pada 26 Feb lepas setelah menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung perbuatannya, namun dia dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.

Dua hari lepas, polis menahan semula doktor berkenaan susulan laporan oleh seorang wanita berhubung kelakuan tidak senonoh lelaki itu di sebuah klinik swasta, yang didakwa berlaku pada 2023, dan dia kini direman hingga 10 Mac.

- Bernama

PAS untung jika pemimpin Umno masih dikait rasuah

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Penganalisis politik berpendapat PAS mungkin mendapat manfaat susulan dakwaan bahawa beberapa pemimpin Umno dikaitkan dengan rasuah hasil siasatan dibuat pihak berkuasa ketika ini.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata Umno mempunyai sejarah dan sering dikaitkan politik wang, terbaharu membabitkan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob berkemungkinan menyebabkan penyokong Umno beralih daripada parti itu.

Ismail yang juga bekas naib presiden Umno, masih mengetuai parti itu di peringkat kawasan.

“Golongan atas pagar mungkin beralih kepada PAS kerana politik PAS berasaskan Islam,” katanya kepada FMT.

Pada 2 Mac, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu kira-kira RM170 juta dalam bentuk wang tunai serta 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit telah disita dalam satu siasatan melibatkan empat pegawai kanan yang dikaitkan dengan Ismail.

Wang tunai dan jongkong emas itu ditemui dalam serbuan di kediaman empat pegawai terbabit serta tiga premis lain yang dipercayai digunakan sebagai ‘safe house’.

Keesokan harinya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan bahawa Ismail dianggap sebagai suspek, bukan sebagai saksi dalam siasatan sedang berlangsung.

Bagaimanapun, Syaza berkata kontroversi ini tidak mungkin mempengaruhi mereka yang masih merasakan mereka boleh mendapat manfaat daripada Umno.

“Bagi sesetengah ahli Umno, memerangi rasuah mungkin bukan keutamaan. Mereka akan tetap bersama Umno selagi mereka merasakan parti itu memberi manfaat kepada mereka,” katanya.

Nasionalisme Umno tidak lagi laku

Seorang lagi penganalisis politik James Chin pula berkata dakwaan itu tidak mengejutkan memandangkan sejarah Umno dengan politik wang.

Menurutnya, walaupun parti itu mungkin cuba menangani isu ini, menghapuskan politik wang dalam Umno hampir mustahil.

“Kenyataannya ialah kebanyakan orang menyertai Umno kerana mereka mahu sesuatu daripadanya.

“Akar umbi mungkin menentang rasuah pada awalnya, tetapi setelah mereka mencapai kedudukan tertinggi dan mendapat bahagian mereka, mereka akan berdiam diri,” katanya.

Menurutnya, Umno yang kehilangan kuasa dalam PRU pada 2018 masih bergelut menarik sokongan pengundi Melayu.

“Parti yang benar-benar mewakili suara Melayu hari ini ialah PAS. Nasionalisme Umno tidak lagi laku,” katanya.

Syaza turut berkata bahawa persepsi umum terhadap Umno masih tidak berubah kerana ramai yang melihat rasuah sudah berakar dalam parti itu.

“Sejauh mana lagi persepsi terhadap Umno boleh menjadi lebih buruk apabila salah seorang pemimpinnya sudah pun dipenjara atas kesalahan rasuah besar?” katanya, merujuk kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara akibat kes SRC International.

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata penglibatan Ismail dalam kes ini tidak memberikan impak seteruk skandal rasuah Najib.

“Walaupun kes ini tidak memberi imej yang baik kepada parti, ia tidaklah seteruk kes Najib,” katanya.

Namun, menurutnya, kontroversi ini tetap mengukuhkan persepsi bahawa pemimpin Umno tidak boleh dipercayai apabila melibatkan isu rasuah.

“Kebanyakan penyokong Umno kemungkinan akan beralih kepada PAS, yang dilihat sebagai pelindung Islam. PAS adalah pemenang dalam situasi ini,” katanya.

Anak panah senapang ikan kena leher, budak lelaki nyaris maut

Budak lelaki nyaris maut tertembak leher dengan senapang ikan

Sinar Harian

Anak panah tertusuk di leher seorang budak lelaki di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand. - Foto Sinar Harian/Agensi

BANGKOK: Seorang budak lelaki di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand terselamat selepas secara tidak sengaja menembak dirinya sendiri dengan senapang ikan, menyebabkan anak panah tertusuk di lehernya.

Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika mangsa, yang berusia 11 tahun, bermain dengan senapang ikan di rumahnya.

Namun, tanpa disengajakan, dia melepaskan tembakan dan anak panah tersebut menembusi lehernya dari satu sisi ke sisi yang lain.

Walaupun mengalami kecederaan serius, budak itu tetap tenang dan menaiki basikal pulang ke rumahnya dengan anak panah masih tertancap di lehernya.

Ahli keluarga yang panik segera membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Doktor berjaya mengeluarkan anak panah tersebut selepas satu pembedahan yang rumit. Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dalam proses pemulihan.

Kejadian luar biasa ini mencetuskan perbincangan dalam kalangan masyarakat mengenai keselamatan kanak-kanak dan pemantauan ibu bapa terhadap peralatan berbahaya di rumah.

Menurut laporan media tempatan, budak lelaki itu pada mulanya cuba mengeluarkan anak panah tersebut sendiri tetapi gagal.

Menyedari kecederaannya serius, dia kemudian mengambil basikalnya dan mengayuh pulang ke rumah dengan darah mengalir di leher.

Saksi kejadian menyatakan bahawa kanak-kanak itu masih mampu bercakap ketika tiba di rumah, namun kelihatan lemah akibat kehilangan darah.

Doktor yang merawatnya memuji keberanian luar biasa kanak-kanak itu, sambil menegaskan bahawa kejadian seperti ini boleh membawa maut jika anak panah terkena bahagian kritikal seperti saluran darah utama.

Polis Thailand sedang menyiasat bagaimana budak lelaki itu memperoleh senapang ikan tersebut dan sama ada terdapat unsur kecuaian dalam insiden ini. - Sinar Harian memetik agensi

Roket SpaceX meletup, bawa ‘hujan api’ di Carribean

Astro Awani

Roket SpaceX, Starship, ketika berlepas ke angkasa lepas di Starbase, Texas. - Foto AP

ROKET gergasi SpaceX, Starship semalam, berpusing dan meletup sejurus selepas dilancarkan dari Texas, Amerika Syarikat (AS) menyebabkan penerbangan tergendala dan mencetus amaran hujan serpihan kapal angkasa.

SpaceX mengesahkan kapal tanpa kru itu mengalami pembukaan tidak berjadual secara pantas semasa berlepas ke angkasa dan kehilangan hubungan dengan pusat kawalan di darat.

Tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan, tetapi imej dari penduduk di negara-negara pulau Laut Caribbean menunjukkan serpihan berapi jatuh dari langit.

Ini merupakan misi kelapan untuk menguji roket tersebut dan kegagalan kedua berturut-turut.

Kapal angkasa setinggi 123 meter itu sepatutnya memasuki semula orbit bumi di atas Lautan Hindi selepas penerbangan selama satu jam.

Insiden itu menyebabkan gangguan penerbangan sementara di beberapa lapangan terbang Florida, termasuk di Miami dan Orlando ekoran kebimbangan mengenai serpihan berapi yang berguguran.

Dalam satu kenyataan, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata, penerbangan masuk dan keluar dari beberapa lapangan terbang tergendala disebabkan insiden pelancaran angkasa.

Rakaman tular yang dimuat naik di laman X menunjukkan serpihan roket yang terbakar jatuh di Laut Caribbean.

Di Bahamas, penduduk melaporkan mereka terpaksa mencari perlindungan bagi mengelakkan terkena serpihan yang jatuh dari langit.

Penggalak Super Heavy yang membantu pelancaran roket bagaimanapun berjaya kembali ke landasan pelancaran dengan selamat.

SpaceX, yang dimiliki oleh jutawan Elon Musk berkata, pasukan mereka segera bekerjasama dengan pegawai keselamatan untuk melaksanakan tindak balas luar jangka berikutan insiden itu.

Katanya, SpaceX akan menyemak data bagi memahami punca utama letupan tersebut dan menjelaskan letupan berlaku selepas kehilangan beberapa enjin.

Jelasnya, serpihan dijangka jatuh dalam kawasan yang telah ditetapkan dan roket tersebut tidak mengandungi bahan toksik.

Bagaimanapun alamat emel dan nombor telefon untuk dihubungi disertakan kepada mereka yang menemui serpihan roket tersebut.

Pemuda Pas Pulau Pinang, siwalaun pengecut

Pemuda Pas nyahaktif akaun FB selepas kongsi ‘dakyah grand plan DAP’

Harapandaily

Ketua Penerangan Pemuda Pas Pulau Pinang, Ibrahim Ani dikatakan telah bertindak menyahaktifkan akaun Facebook (FB) selepas berkongsikan imej bertajuk “Dakyah grand plan DAP jika ke Putrajaya”.

Perkara itu didedahkan aktivis Najib Bakar yang menyifatkan pihak pembangkang cakap tidak serupa bikin apabila bimbang dikenakan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Mereka ni banyak sembang saja. Konon nak bangkitlah, berjuanglah. Takkan bila kena report SKMM dah lari,” katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Beliau menegaskan senarai pelan besar DAP itu antaranya, Malaysia bertukar jadi republik dan Islam tidak lagi sebagai agama rasmi, sebagai amat ketara tidak masuk akal.

“Hanya yang ‘senget’ saja boleh percaya.

“Ingat tak masa kempen PRU, sampai level cikgu pun kata kalau Anwar jadi PM, habis budak perempuan kena pakai skirt pi sekolah.

“Biasa dengar? Benda paling tak masuk akal, tapi ramai yang percaya.

“Sekarang ni lepas dua tahun, ada ka anak perempuan hampa dipaksa pakai skirt?” tempelaknya.

Sehubungan itu, Najib berpendapat Perikatan Nasional (PN) sebenarnya hilang arah lantaran tidak mampu bersaing dari segi polisi dan ekonomi.

“Faktanya negeri-negeri yang ditadbir mereka, semua di tempat corot.

“Masalah asas pun belum mampu diselesaikan, jangan kata nak cakap bab pelaburan.

“Pelabur tengok perangai type W (penyokong Pas) pun depa tak berani masuk, ekstrem sangat.

“Jadi, bila tak mampu bersaing dari segi idea, cuma tinggal satu sajalah. Mainkan sentimen perkauman dan agama.

“Masalah satu, dua individu dijadikan seolah-olah seluruh kaumnya begitu. Mana boleh pukul rata,” tegas Najib lagi.

Terengganu: Penuntut kolej maut motosikal langgar tiang elektrik

BERNAMA

Kuala Terengganu: Seorang penuntut lelaki Kolej Universiti TATI maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kampung Atas Tol di sini, kira-kira 7.55 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata ketika kejadian Amirul Iman Mohd Zulkifly, 19, dipercayai dari arah Chendering menghala ke Gelugor Kedai.

Beliau berkata mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Avantiz dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik di tepi jalan.

"Pelanggaran kuat menyebabkan tiang elektrik patah. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi malam ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Azli meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.

90,000 jemaah Palestin solat di Masjid al-Aqsa pada Jumaat pertama Ramadan

Agensi



Jemaah menunaikan solat di pekarangan Masjid al-Aqsa pada Jumaat pertama Ramadan di Kota Lama Jerusalem. - Gambar AP

JERUSALEM: Puluhan ribu jemaah menunaikan solat dengan aman di Masjid al-Aqsa di Bukit Baitulmaqdis pada Jumaat pertama Ramadan, meskipun terdapat kebimbangan mengenai ketegangan berikutan situasi di Gaza.

Pihak Waqf Islam yang menguruskan kawasan suci tersebut, mengumumkan bahawa kira-kira 90,000 orang menghadiri solat Jumaat itu.

Kota Lama berada di bawah kawalan ketat pihak polis ketika para jemaah bergerak melalui lorong-lorong sempit, melewati para peniaga yang menjual makanan dan kuih-muih wangi untuk juadah berbuka puasa.

Terletak di Bukit Baitulmaqdis, kawasan Masjid al-Aqsa sering menjadi titik panas bagi keganasan, terutamanya dengan kehadiran orang ramai yang besar pada bulan Ramadan.

Sejak bertahun lalu berlaku pertempuran antara penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel di kawasan ini, dengan Hamas menggunakan simbolisme agama sebagai cara untuk meraih sokongan.

Penduduk Islam Palestin kini menyambut Ramadan kedua sejak tercetusnya perang di Gaza pada 7 Oktober 2023.

Walaupun pertempuran berada dalam keadaan gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas, pasukan keselamatan Israel tetap berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Pada Khamis, pihak penguatkuasa undang-undang menyatakan bahawa kira-kira 3,000 pegawai akan ditempatkan di seluruh Jerusalem bagi mengelakkan sebarang elemen bermusuhan daripada mengeksploitasi Ramadan untuk tujuan hasutan, rusuhan, serangan keganasan atau sebarang bentuk keganasan.

Hamas sebelum ini menyeru umat Islam Palestin untuk hadir dalam jumlah besar ke Bukit Baitulmaqdis dan menentang cubaan Israel untuk “mencemarkan dan menguasai” kawasan tersebut "dengan apa sahaja cara."

Pihak polis dan pengawal sempadan dilihat mengendalikan sekatan jalan sementara di sekitar Kota Lama, sering kali memberhentikan dan memeriksa para pejalan kaki, khususnya lelaki muda.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Pejabat Perdana Menteri Israel menyatakan, mereka menerima cadangan daripada pihak keselamatan untuk memberikan permit kemasukan ke Jerusalem kepada “bilangan terhad jemaah Muslim” dari Tebing Barat.

Walaupun jumlah sebenar tidak didedahkan, laporan dalam bahasa Hebrew pada penghujung Februari lalu menegaskan, had maksimum yang disarankan ialah 10,000 orang.

Seperti Ramadan sebelumnya, Israel hanya membenarkan lelaki Palestin berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur sekurang-kurangnya 50 tahun, serta kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah untuk memasuki Jerusalem bagi menunaikan solat Jumaat.

Laporan media Palestin menyatakan terdapat barisan panjang jemaah yang menunggu untuk memasuki Jerusalem di pos pemeriksaan Qalandia di utara bandar tersebut.

Tiada sekatan umum dikenakan terhadap penduduk Palestin di Jerusalem Timur dan warga Arab Israel, tetapi pihak polis melarang individu tertentu daripada memasuki kawasan suci tersebut.

Di luar kawasan Masjid al-Aqsa, berhampiran Pintu Singa, kira-kira 100 orang menunaikan solat dan menjadi kumpulan pertama yang keluar dari Bandar Lama setelah solat selesai.

Selepas solat, orang ramai memenuhi jalan-jalan menuju ke luar tembok Kota Lama.

Pengawal sempadan di sekitar Pintu Singa memasang sekatan bagi menghalang orang ramai daripada memasuki lebih jauh ke dalam bandar, menyebabkan mereka perlu keluar ke Jalan Jericho.

Pada 2021, pertempuran antara polis dan jemaah Muslim di Bukit Baitulmaqdis semasa Ramadan mencetuskan operasi ketenteraan terhadap Hamas di Gaza, yang turut menyaksikan keganasan antara masyarakat Arab dan Yahudi di beberapa bahagian Israel.

Kawasan ini merupakan tempat paling suci dalam agama Yahudi kerana pernah menempatkan dua kuil suci, manakala Masjid al-Aqsa pula merupakan tempat ketiga paling suci dalam Islam, menjadikannya titik pertikaian berterusan dalam konflik Israel-Palestin. - Agensi

Runtuhan di Kompleks Segama: Wanita parah dihempap lantai konkrit

Izwan Abdullah
am@hmetro.com.my
KEADAAN runtuhan di sebuah restoran di Kompleks Segama, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin.
KEADAAN runtuhan di sebuah restoran di Kompleks Segama, malam ini. FOTO Mohd Adam Arinin.
Kota Kinabalu: Wanita parah akibat dihempap serpihan bangunan selepas lantai tingkat satu sebuah bangunan kedai di Kompleks Segama, di sini, tiba-tiba runtuh, malam ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Wang Way, 55, berada di tingkat bawah bangunan yang menempatkan sebuah restoran.

Berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dihempap lantai konkrit tingkat satu yang juga siling restoran terbabit ketika berada dalam premis berkenaan.

Jurucakap bomba berkata, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sembulan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan jam 8 malam.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati terdapat runtuhan lantai dalam bangunan dan terdapat seorang mangsa perempuan dihempap.

"Mangsa sudah dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian.

"Pasukan bomba kemudian bertindak mengarahkan orang awam untuk keluar dari bangunan terbabit ke tempat yang selamat," katanya.

Difahamkan, lantai bangunan di tingkat satu yang runtuh menempatkan rumah penginapan, namun tiada laporan membabitkan mangsa dari premis berkenaan.

Runtuhan itu membentuk satu lubang besar di lantai tingkat satu bangunan terbabit, manakala kejadian dipercayai berlaku akibat struktur lantai yang lemah disebabkan faktor usia bangunan.

Di mana Nur Khalisya? Remaja cantik ini sudah 11 hari hilang

Sudah 11 hari adik bekas penyerang Harimau Malaya ini hilang.. Di mana Nur Khalisya?

Umavathi Ramayah

Nur Khalisya, kali terakhir dilihat di hadapan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, di sini dengan memakai baju rumah sukan berwarna biru, seluar trek hitam dan tudung sekolah putih. - Foto IPD Wangsa Maju

KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan adik perempuan kepada bekas penyerang Harimau Malaya, Hadin Azman, yang hilang sejak 25 Februari lalu .

Nur Khalisya, kali terakhir dilihat di hadapan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, di sini dengan memakai baju rumah sukan berwarna biru, seluar trek hitam dan tudung sekolah putih.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad LazimI smail, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja berusia 16 tahun itu yang kali terakhir dilihat pada jam 5 petang 25 Februari lalu.

Menurutnya, laporan itu dibuat ibu remaja itu yang berusia 44 tahun pada pukul 11.29 malam hari sama memaklumkan menghantar anaknya ke sekolah itu kira-kira pukul 7 pagi.

Dalam laporannya, ibu mangsa memaklumkan dia datang semula ke sekolah pada pukul 4 petang untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja itu memaklumkan mempunyai kelas tarian.

"Namun setelah menunggu hampir 40 minit anaknya tidak ada dan pengawal keselamatan sekolah juga memaklumkan tiada pelajar ynag berada di sekolah pada waktu itu.

"Pengadu kemudian menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan anaknya sudah pulang ke rumah sendirian dengan berjalan kaki pukul 5 petang dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel, di sini," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92810715 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Terdahulu, Hadin memaklumkan mengenai kehilangan adiknya itu dan memaklumkan ahli keluarga dan rakan-rakannya menggerakkan usaha mencari Nur Khalisya dengan menyebarkan poster di media sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai adik perempuannya itu.

Zamri Vinoth sahut cabaran debat Saravanan

Malaysiakini 

'Saya harap tiada yang lari' - Zamri sahut cabaran Saravanan

Pendakwah bebas Zamri Vinoth menyahut cabaran Timbalan Presiden MIC M Saravanan untuk "berdialog secara terbuka".

Zamri berkata pihaknya telahpun menghubungi pegawai Saravanan untuk menentukan tajuk, format dan perkara-perkara yang berkaitan dialog berkenaan dan sedang menunggu kata putus daripada pemimpin MIC itu.

"Saya menyambut baik pelawaan beliau. Saya harap dialog ini dapat dilaksanakan secara aman dan damai agar kita dapat buka minda semua rakyat Malaysia.

"Saya harap tiada pullback atau lari daripada dialog," katanya dalam klip video di Facebook.

Saravanan sebelum ini menetapkan 23 Mac untuk berdebat dengan Zamri berikutan kenyataan kontroversi yang membandingkan pembawa kavadi ketika sambutan Thaipusam dengan individu yang dirasuk atau mabuk.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata debat tersebut akan dianjurkan oleh Dewan Bahasa Tamil Malaysia dan meminta Zamri menentukan tempat.

Saravanan ketika mengeluarkan cabaran berkenaan turut menggesa pihak berkuasa untuk menangkap Zamri di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Menyifatkan Zamri sebagai "tidak berakal," Saravanan menggesa parti politik, pengurusan kuil, pertubuhan agama, NGO, dan individu untuk membuat laporan polis terhadapnya.

"Menteri dalam negeri (Saifuddin Nasution Ismail) memberitahu saya hari ini beliau telah mengarahkan polis untuk melakukan siasatan," kata ahli parlimen Tapah itu semalam.

Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh dan RSN Rayer, turut mengecam kenyataan Zamri, dengan Rayer telah membuat laporan polis terhadapnya.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, semalam menggesa tindakan tegas diambil terhadap Zamri dan beberapa individu lain yang melakukan penghinaan terhadap agama.

Sementara itu, dalam klip video terbarunya, Zamri memuji Saravanan yang menurutnya berani untuk tampil mengadakan dialog terbuka untuk mencari "titik pertemuan" dan titik penyelesaian.

"Saya membeli cabaran tersebut untuk sama-sama kita mengadakan dialog secara intelek, secara madani," tambahnya.

Pegang ‘power bank’, jangan simpan di bagasi, peraturan baharu penerbangan

K. Parkaran

PETALING JAYA: Penumpang penerbangan diingatkan supaya memegang sendiri bank kuasa mereka dan mengelak menyimpannya dalam bagasi kabin di ruang penyimpanan atas kepala ketika berada di dalam pesawat.

Peraturan baharu mengenai bateri lithium-ion itu dikeluarkan kepada syarikat penerbangan di Malaysia susulan insiden kebakaran dalam kabin pesawat di Korea baru-baru ini.

Arahan itu meminta syarikat penerbangan mengingatkan penumpang mengenai peraturan sedia ada yang melarang penyimpanan bank kuasa dalam bagasi daftar masuk, tetapi menghendaki ia dibawa dalam bagasi kabin.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Norazman Mahmud, berkata arahan itu sejajar dengan amalan terbaik industri dan cadangan keselamatan selepas kejadian tersebut.

Beliau berkata kru kabin perlu sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan bahaya bateri dan dilatih untuk menangani kebakaran bateri. Syarikat penerbangan juga perlu memastikan beg kawalan api dan alat pemadam api khas untuk bateri lithium-ion tersedia di dalam pesawat.

Peraturan ini susulan kejadian kebakaran dalam kabin sebuah pesawat Korea Selatan pada 28 Jan lalu, yang menyebabkan semua 176 penumpang dan kru terpaksa dipindahkan sebelum pesawat berlepas ke Hong Kong.

Bateri lithium-ion yang disimpan di ruang bagasi atas kepala dipercayai punca kebakaran, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar.

Norazman berkata syarikat penerbangan perlu memastikan langkah keselamatan ini dipertingkatkan dan dikuatkuasakan dengan tegas.

“Kejadian terbaharu menunjukkan cabaran berterusan dalam pematuhan dan kesedaran penumpang. Ramai pelancong gagal mengisytiharkan barangan ini atau salah faham mengenai keperluan penyimpanan, sekali gus meningkatkan risiko kecemasan semasa penerbangan,” katanya.

Pekerja nasi kandar maut ditetak

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pekerja restoran nasi kandar maut ditetak di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.20 pagi di Taman Sepadu Jaya, mangsa yang juga warga Myanmar diserang oleh empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang, kata Ketua Polis Seberang Perai Utara Anuar Abdul Rahman.

Katanya, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek warga tempatan itu datang ke restoran tersebut memakai topi dan penutup muka, menaiki kereta berwarna gelap, sebelum menyerang mangsa yang sedang bekerja.

“Mangsa cuba melarikan diri dan kesemua suspek mengejar dan menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan,” katanya, lapor Sinar Harian.

“Setelah beberapa kali ditetak, mangsa jatuh terbaring dan kesemua suspek melarikan diri menaiki kenderaan sama.”

Anuar berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan menjumpai mangsa dengan kesan tetakan di belakang lengan tangan, kepala dan beberapa kesan luka di bahagian belakang badan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Suspek terlibat dalam kejadian ini masih belum dikenal pasti dan pihak polis sedang berusaha mengesan mereka,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat Shuheri Abdul Rani menerusi talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Lelaki Sri Lanka diculik bekas kekasih

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga Sri Lanka yang dilapor dilarikan dari tempat kerjanya di Gelang Patah, Iskandar Puteri, bulan lepas rupanya ‘diculik’ oleh bekas teman wanitanya, menurut polis.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan berkata, pihaknya berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan pada 28 Feb, dengan penahanan empat suspek termasuk bekas teman wanita mangsa.

Menurut Kumarasan, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun melaporkan kepada polis bahawa pekerjanya, seorang lelaki warga Sri Lanka berusia 26 tahun, dilarikan dari sebuah kedai cuci kereta pada kira-kira 9 pagi.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri kemudian menahan dua lelaki dan dua wanita tempatan, berusia antara 18 hingga 37 tahun.

“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan di Kuala Selangor dan Bestari Jaya, Selangor pada 1 Mac, sekitar 12.30 tengah malam hingga 7.30 pagi,” katanya, lapor Sinar Harian.

Polis turut merampas empat telefon bimbit dan dua kenderaan milik suspek. Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah, namun salah seorang suspek lelaki memiliki rekod jenayah lampau.

Kumarasan berkata, mangsa didapati teman lelaki kepada salah seorang suspek yang ditahan.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan mangsa meninggalkan wanita itu, menyebabkan kumpulan suspek bertindak menculiknya,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek lelaki dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 7 Mac bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 34 kanun sama kerana kesalahan dilakukan secara bersama.

“Dua suspek wanita pula dibebaskan dengan bon jamin bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

“Mahkamah menetapkan 27 Mac sebagai tarikh sebutan kes, dengan kedua-dua suspek lelaki dibebaskan dengan jaminan masing-masing RM1,000 dan RM3,500.”

Loke jumpa Guan Eng, pujuk tak tanding jawatan pengerusi

Lee Way Loon

Dengan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hanya sembilan hari lagi, setiausaha agung parti itu Anthony Loke dikatakan bertemu pengerusi Lim Guan Eng untuk meyakinkannya tidak bertanding semula bagi meredakan ketegangan dalam parti.

Beberapa sumber yang mengetahui perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa Loke bertemu Lim minggu lepas, cuba memujuknya supaya tidak bertanding jawatan pengerusi parti meski kekal sebagai anggota CEC.

Bagaimanapun, menurut orang dalam, Lim tegas dengan pendiriannya, dan dia memberitahu Loke bahawa dia akan bertanding walaupun terdapat risiko menghadapi kekalahan.

“Mereka mengadakan perbincangan yang tenang dan mesra minggu lalu,” kata satu sumber.

Berita perkembangan ini dikatakan sudah tersebar di dalam parti.

Walaupun rundingan minggu lalu tidak membuahkan hasil yang diinginkan, difahamkan Loke tidak berputus asa dan akan melakukan usaha terakhir untuk meyakinkan Lim sebelum pemilihan pucuk pimpinan pada 16 Mac ini.

Percubaan Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan daripada Loke dan Lim tidak dijawab.

CEC DAP mengadakan mesyuarat terakhirnya pada malam Rabu.

Menurut seorang hadirin, mesyuarat tersebut dijalankan dalam suasana yang mesra.

Kongres Kebangsaan DAP ke-18 dan pemilihan CEC parti itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada 16 Mac jam 10 pagi.

Pemilihan CEC DAP mengikut proses dua peringkat. Perwakilan terlebih dahulu memilih 30 ahli ke dalam CEC, di mana sekurang-kurangnya sembilan daripadanya mestilah wanita, seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti.

Selepas pusingan pertama, 30 ahli CEC yang baru dipilih bersidang dan mengundi sesama mereka untuk melantik pemegang jawatan kepimpinan parti termasuk setiausaha agung—jawatan tertinggi dalam DAP, setanding dengan peranan presiden dalam parti lain.

Dengan sistem ini, mana-mana pemimpin yang bercita-cita untuk jawatan tertinggi mesti memastikan mereka dan sekutu mereka memperoleh undi yang mencukupi pada pusingan pertama untuk berpeluang dalam pemilihan terakhir.

Menjelang kongres kebangsaan parti itu dan pemilihan kepimpinan minggu depan, Kelab Veteran Kebangsaan DAP akan mengadakan Kongres ke-6 dan pemilihan kepimpinan pada 9 Mac (Ahad) jam 10 pagi di Pulau Pinang.

Beberapa pemimpin kanan parti dijangka hadir. Menurut pengumuman pengerusi kelab itu, Lay Hock Peng akhir bulan lalu, Loke akan merasmikan acara itu. Hadirin lain termasuk veteran parti Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Guan Eng, dan Ketua DAP Pulau Pinang Steven Sim.

Pada 15 Februari, satu insiden berlaku selepas makan malam penghormatan untuk Kit Siang di Pulau Pinang, apabila Tan Khong Chong, sekutu Guan Eng, secara terbuka mencerca Sim dengan kata-kata kesat dalam bahasa Hokkien, menggelarnya sebagai "pengkhianat".

Tan sejak itu telah meminta maaf, manakala Sim telah menyatakan bahawa dia tidak akan melanjutkan lagi perkara itu.

Pemandu lori didenda RM3,500 kerana menyentuh punggung seorang wanita sebanyak dua kali

Ahmad Hasbi

SEREMBAN: Seorang pemandu lori didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyentuh punggung seorang wanita sebanyak dua kali, Selasa lalu.

Majistret Nurul Saqinah Rosli turut memerintahkan, P Ghanapathy, 23, dipenjara lima bulan jika gagal bayar denda selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 29 tahun dengan mencabul kehormatan iaitu dengan menyentuh punggung sebanyak dua kali.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan jalan masuk sebuah stesen minyak di Jalan Rasah, kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dua daripadanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norshafatihah Nor Azmi memohon mahkamah menjatuhkam hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan itu menyebabkan mangsa mengalami trauma.

Tertuduh yang diwakili Peguam P A Krishnaveni dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman denda minimum kerana ini adalah kesalahan pertama tertuduh, berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung ibu bapa.

Penunggang p-panggilan didakwa bunuh anak asuhan isteri

Faisal Asyraf

Isteri tertuduh pula didakwa atas tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa berusia enam tahun.
Syafiq Daniel Osman dan isterinya Nur Nilam Kamaruddin dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang penunggang p-panggilan didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh seorang budak lelaki berusia enam tahun di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh pada 3 Mac lalu.

Tiada pengakuan direkodkan selepas tuduhan dibacakan terhadap Syafiq Daniel Osman kerana kes bunuh bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Syafiq, 26, didakwa membunuh Shakir Firman Firdaus di sebuah bilik hotel di Jalan Ipoh antara 1.15 pagi hingga 7.15 pagi pada 3 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret Amira Abd Aziz kemudian menetapkan 26 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, isteri Syafiq, Nur Nilam Kamaruddin, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan berasingan menganiaya kanak-kanak itu yang juga anak asuhannya.

Nur Nilam yang hamil anak ketiga didakwa menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada kanak-kanak tersebut di sebuah rumah PPR di Jalan Silang, di sini pada 9 malam, 25 Feb lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Siti Syakirah Mohtarudin membenarkan Nur Nilam dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Didakwa perdaya pesakit tanggal pakaian, doktor P Pinang ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang doktor di Pulau Pinang ditahan semalam atas dakwaan memperdaya seorang pesakit menanggalkan pakaiannya dan berlari setempat semasa perundingan.

Timbalan Ketua Polis Timur Laut, Lee Swee Sake, berkata doktor 43 tahun itu juga disyaki mengambil gambar badan wanita terbabit menggunakan telefon bimbit semasa pemeriksaan.

Kejadian itu didakwa berlaku pada Jun 2023, ketika wanita 30 tahun itu ke sebuah klinik swasta di kawasan Pulau Tikus untuk mendapatkan keputusan ujian darah.

Lee berkata, doktor itu ditahan ketika hadir di IPD malam tadi susulan laporan polis dibuat wanita itu Selasa lalu.

Lelaki itu direman empat hari hingga Isnin depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Seksyen 509 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, manakala Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil memperuntukkan denda maksimum RM100.

Terengganu: Pelajar tahfiz maut kemalangan usai solat tarawih

Bernama

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas. - Bernama

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar tahfiz yang baru pulang menunaikan solat tarawih maut selepas motosikal dinaikinya dilanggar sebuah lagi motosikal di Jalan Kampung Pengadang Baru, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan pada 10.45 malam dan mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19, berasal dari Marang.

"Siasatan awal mendapati Muhammad Adam Syakir dari arah simpang Sungai Rengas menghala ke simpang Taman Adeli 2 dipercayai keluar secara mengejut dari simpang memasuki jalan utama.

"Akibat jarak terlalu dekat, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd Izzad Izzuan, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125 dan sedang bergerak terus di jalan utama itu telah melanggar bahagian sisi sebelah kanan motosikal jenis Honda RS150R dinaiki mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk tindakan lanjut.

"Muhammad Hafeeq Izzuan dari Kampung Gong Kiat yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA

Honda Jazz gagal berhenti di lampu isyarat rempuh 2 remaja sehingga maut

Ahmad Hasbi
Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Seremban malam tadi. - Foto Ihsan Polis
Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Seremban malam tadi. - Foto Ihsan Polis
SEREMBAN: Dua maut manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di Jalan Persiaran Senawang 1, dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, malam tadi.

Dalam nahas jam 8.30 malam, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss masing-masing berumur 15 dan 16 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berumur 17 tahun dari arah Senawang ke Paroi.
Keadaan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Seremban malam tadi. - Foto Ihsan Polis
Keadaan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta dekat persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Seremban malam tadi. - Foto Ihsan Polis
"Tiba di lokasi kejadian, pemandu Honda Jazz dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua motosikal di sebelah kiri," katanya.

Akibat rempuhan itu, penunggang dan pembonceng Modenas Kriss yang cedera parah di kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal Honda Vario cedera parah dan dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, G Sankar di talian 014-6000353.

Pemandu komuter mengaku tidak bersalah rompak wanita guna pisau

Bernama

KANGAR: Seorang pemandu komuter mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak dengan bersenjatakan pisau di sebuah perpustakaan desa, pada minggu lepas.

Muhammad Hafiz Ruslan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak rantai tangan milik seorang wanita berusia 39 tahun dengan bersenjatakan pisau pada 9.40 pagi 27 Feb, di Perpustakaan Desa, Kampung Tersusun di Padang Besar.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan dengan seksyen 397 mewajibkan sebatan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 April.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

-- BERNAMA

Polis siasat ‘Vijayan Savarinathan’ didakwa hina agama Islam

Nurayuni Johari
'Vijayan Savarinathan' didakwa menghina Islam menerusi video di aplikasi Facebook pada 5 Mac lalu.
KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat video di aplikasi Facebook yang dimuat naik pemilik akaun ‘Vijayan Savarinathan’ dipercayai menghina penganut agama Islam dengan kata-kata kesat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan dijalakan susulan pihaknya menerima laporan daripada seorang individu di Balai Polis Manchis, Pahang, petang semalam.

“Polis telah menerima laporan berhubung klip video berdurasi tiga minit 49 saat yang mengandungi kata-kata kesat dan penghinaan terhadap penganut Islam.

“Semakan mendapati, video itu telah dimuat naik pada 5 Mac lalu dan dipercayai dipadam selepas menerima kecaman orang ramai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihaknya memandang serius perbuatan menghina mana-mana agama di negara ini yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Siasatan rapi sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu terlibat dan tindakan tegas bakal diambil mengikut undang-undang sedia ada,” jelasnya.

Terdahulu, Razarudin memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni antara agama dan bangsa di media sosial.

Beliau menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang sedia yang terlibat dalam memainkan isu 3R.

“Video tersebut dikatakan mengandungi kata-kata kesat yang menghina penganut Islam susulan isu penyampai radio yang sebelum ini didakwa membuat penghinaan terhadap agama Hindu,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Ngeri!! 9 pelajar hilang ketika bercuti ditemui maut, anggota badan dikerat ditinggal tepi jalan

Sinar Harian

Mayat mangsa ditemui di tepi lebuh raya. -Agensi

OAXACA: Mayat sembilan pelajar yang dilaporkan hilang semasa bercuti di selatan Mexico bulan lalu telah ditemui dalam keadaan menyayat hati di tepi sebuah lebuh raya tempatan di sini, baru-baru ini.

Menurut laporan Periodico Central, mayat mangsa ditemui di dalam bonet sebuah kenderaan yang ditinggalkan di San Jose Miahuatlan, iaitu di sempadan negeri Puebla dan Oaxaca.

Empat mayat ditemui di dalam bonet, manakala lima mayat lagi ditinggalkan di bawah kain kanvas berdekatan kenderaan tersebut.

Mangsa, yang terdiri daripada empat wanita dan lima lelaki berusia antara 19 hingga 30 tahun, semuanya mempunyai kesan tembakan dan tanda-tanda penyeksaan, menurut laporan El Financiero.

Kumpulan pelajar ini dilaporkan hilang pada 27 Februari lalu ketika mereka melancong ke pantai di Oaxaca untuk bercuti.

Sebuah kereta Volkswagen Vento berwarna kelabu gelap dengan plat pendaftaran dari Tlaxcala ditemui pada petang Ahad, kira-kira 241 kilometer di tenggara Mexico City.

Selain mayat, lapan pasang tangan ditemui di tempat kejadian, dengan dua lagi tangan ditinggalkan di dalam bonet kenderaan tersebut.

Kebanyakan mangsa telah berjaya dikenal pasti, termasuk Angie Lizeth, Leslie, Brenda Mariel, Jacqueline Ailet, Noemi Yamileth, Raul Emmanuel, Ruben Antonio, dan Rolando Armando.

Mangsa kesembilan masih belum dapat dikenal pasti.

Rakaman video pengawasan yang diambil pada 24 Februari menunjukkan kenderaan tersebut bergerak di sepanjang Lebuh Raya Atlixcayotl berhampiran bandar Atlixco, kira-kira 144 kilometer dari lokasi penemuan mayat.

Ketua Pejabat Peguam Negara Puebla, Idamis Pastor Betancourt berkata, dalam sidang media pada Isnin bahawa setakat ini pihaknya tidak dapat memberikan maklumat lanjut berhubung insiden berkenaan.

"Terdapat beberapa garis siasatan dan semua siasatan yang relevan sedang dijalankan. Apabila kami mempunyai jawapan dan siasatan selesai, kami akan memberikan maklumat yang lebih terperinci," katanya lapor The New York Times.

Setakat ini, tiada suspek telah dinamakan, dan Pejabat Peguam Negara di Puebla sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa di Tlaxcala dan Oaxaca untuk mengesan pembunuh yang bertanggungjawab.

Kejadian ini telah mengejutkan masyarakat tempatan dan mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pelancong di kawasan tersebut.

Keluarga mangsa kini menuntut keadilan dan menyeru pihak berkuasa agar menyiasat kejadian ini dengan teliti. - Agensi

Biasalah pemimpin PAS taklah secerdik mana pun

Adun Pas sibuk cari orang ponteng puasa dipersoal ramai

SITI NUR ZAWANI

Seorang Adun Pas di Terengganu mengundang kecaman ramai selepas memuat naik aktiviti bulan Ramadannya dengan melakukan ‘tinjauan’ di gerai-gerai untuk mencari umat Islam tidak berpuasa.

Dalam satu laporan media, Adun Cukai Hanafiah Mat berkata beliau mahu tahun ini geng plastik hitam dikurangkan seminimum mungkin.

Tetapi katanya, tinjauan di daerah Kemaman belum menemui orang Islam yang tidak berpuasa pada siang hari.

Susulan itu orang ramai mempertikai tugas dan peranan wakil rakyat berkenaan yang sepatutnya mencari rakyat miskin untuk dibantu dan bukannya melalukan perkara tidak perlu seperti memburu geng plastik hitam.

Ia turut mendapat perhatian pemerhati politik, Norman Radzuan yang menegur bahawa tugas mencari orang ponteng puasa bukan tugas seorang wakil rakyat.

“YB tugas nak cari orang ponteng puasa ini bukan tugas kamu. Tugas kamu sebagai wakil rakyat dan Exco mencari rakyat yang tidak mampu beli makanan untuk keluarganya berbuka atau mereka yang memerlukan bantuan.

“Kerja asyik nak menghukum orang tapi dia tak tahu dosa abaikan keperluan rakyat itu jauh lebih berdosa.

“Lagi pun mana ada orang ponteng puasa makan di tempat terbuka,” ulasnya di Facebook.

Menurut FMT, Hanafiah berkata beliau tidak bimbang tindakannya akan mengundang kritikan kerana niatnya adalah untuk mencegah kemungkaran serta menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Kalau dengan peniaga haram warga asing sama ke tindakan penguatkuasa

Dua anggota DBKL cedera bergelut dengan penjaja tak berlesen
story-image

Bernama

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan dua anggota penguat kuasanya cedera ketika menjalankan tugas pemantauan di Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Benteng di Kuala Lumpur, semalam.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden itu berlaku apabila anggota terbabit melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja tidak berlesen di kawasan terbabit.

Susulan kejadian itu, dua laporan polis telah dibuat dan pelaku terlibat telah diserahkan kepada polis.

“Tindakan penguatkuasaan hanya dilaksanakan apabila individu terlibat tidak mengendahkan teguran dan terus beroperasi secara tidak sah.

“Keberadaan penjaja di lokasi tidak dibenarkan boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, menghalang laluan pejalan kaki, menimbulkan isu pengurusan sampah dan kebersihan makanan,” menurut kenyataan itu.

DBKL memandang serius insiden provokasi terbabit dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan agresif ke atas petugas yang menjalankan amanah demi kepentingan masyarakat.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video dan gambar kejadian serta kecederaan anggota penguat kuasa itu.

- Bernama

Tekanan pada leher akibat jerutan punca kematian pegawai kastam

Malaysiakini

Proses bedah siasat selama hampir tiga jam ke atas mayat Pegawai Tribunal Kastam mendapati tekanan pada leher akibat jerutan menggunakan ligatur menjadi punca kematian, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Rusdi ketika dihubungi media hari ini berkata berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya di Putrajaya, kes masih diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

“Bedah siasat telah dijalankan oleh pakar patologi dari Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor. Punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher akibat jerutan menggunakan ligatur.

“Berdasarkan laporan bedah siasat dan keterangan pakar patologi, siasatan masih di bawah SDR,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di jabatan berkenaan mendapati waris keluarga mangsa hadir untuk menuntut mayat, namun mengelak daripada didekati dan enggan ditemu bual petugas media.

Media semalam melaporkan seorang pegawai kastam berusia 45 tahun ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terikat menggunakan pengikat kabel.

Rusdi turut dilaporkan berkata pegawai kastam itu ditemukan maut di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di sini, dan hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dijumpai.

Pada kira-kira 4.45 petang, mayat Pegawai Tribunal Kastam itu dituntut ahli keluarga untuk dibawa ke Pusat Peringatan Nirvana di Sungai Besi, Kuala Lumpur bagi urusan pengebumian.

Kenderaan yang membawa mayat berkenaan meninggalkan Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya dengan diiringi dua ahli keluarga mangsa yang hadir sejak tengah hari tadi.

Usaha petugas media untuk mendapatkan reaksi ahli keluarga gagal kerana kedua-duanya masih enggan memberikan sebarang komen.

- Bernama

Jet pejuang Tentera Korea Selatan tidak sengaja jatuhkan lapan bom, 7 orang awam cedera

Bernama
Anggota polis berdiri di lokasi jatuhan bom Mk82 dari jet KF-16 Tentera Udara Korea Selatan semasa latihan tembak langsung berhampiran zon demiliterisasi (DMZ). -Reuters
SEOUL: Sebuah jet pejuang milik Tentera Udara Korea Selatan pada Khamis secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom di luar kawasan latihan, mengakibatkan tujuh orang awam cedera, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan pegawai.

Jet pejuang KF-16 yang terlibat dalam latihan tembakan langsung secara "tidak sengaja" menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon pada 10.04 pagi waktu tempatan.

Tentera Udara Korea Selatan memaklumkan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung insiden itu dan memohon maaf atas kerosakan serta kecederaan yang dialami mangsa.
-- BERNAMA

Cabul bekas rakan sekerja, bapa dua anak mengaku tidak bersalah

Mutakhir

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
HAFIZZAN keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dituduh cabul rakan sekerja. FOTO Alias Abd Rani
HAFIZZAN keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas dituduh cabul rakan sekerja. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: Bapa dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul rakan sekerja wanita di sebuah kilang memproses produk berasaskan kelapa, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hafizzan Tukemin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan jurubahasa di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, dia yang sudah berhenti kerja didakwa sengaja melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan terhadap mangsa berusia 24 tahun di kilang dalam kawasan Senggarang, jam 10 pagi, 27 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM8,000 serta syarat tambahan sebelum mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 21 April depan sebagai tarikh sebutan semula.

'Mangsa dilaparkan, dipaksa makan najis sebelum dibunuh' - Pendakwa Raya

AFP
Nordquist. FOTO New York State Police via Agensi
Nordquist. FOTO New York State Police via Agensi
New York: Pendakwa raya di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendedahkan butiran mengerikan mengenai penyeksaan dan pembunuhan seorang lelaki transgender, Sam Nordquist.

Nordquist, seorang lelaki kulit hitam berusia 24 tahun, diculik, dipukul, dan diserang secara seksual selama beberapa minggu sebelum mayatnya disembunyikan, menurut pendakwa raya.

Tujuh individu dewasa didakwa atas pembunuhannya.

Sebelum pembunuhannya, Nordquist melakukan perjalanan dari Minnesota ke New York untuk bertemu seseorang yang dikenalinya secara dalam talian, yang kini turut termasuk dalam individu yang didakwa.

Keluarga Nordquist kali terakhir mendengar berita daripadanya pada Januari, dan dia kali terakhir dilihat pada awal Februari.

Sebelum ini, tujuh suspek itu hanya didakwa atas kesalahan yang lebih ringan, namun pada Rabu, mereka didakwa atas tuduhan pembunuhan tahap pertama – jenayah paling berat di negeri itu, yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Selain itu, dua kanak-kanak juga didakwa terbabit dalam penyeksaan Nordquist, yang dipercayai berlaku di sebuah motel di Canandaigua, New York.

"Sam dipukul, didera secara seksual, dilaparkan, dikurung, dan kami tidak dapat memahami bagaimana ini boleh berlaku," kata Penolong Peguam Daerah Ontario County, Kelly Wolford, dalam satu sidang media.

Namun, menurut Wolford, pendakwa raya tidak mengenakan pertuduhan jenayah kebencian kerana mereka tidak dapat mengaitkan pembunuhan Nordquist secara langsung dengan identiti jantina atau kaum

"Sam dipaksa berlutut dan berdiri menghadap dinding. Dia dipukul dengan kejam," kata Wolford, sambil menambah bahawa dua kanak-kanak yang terbabit turut menjadi mangsa keadaan.

Menurut pendakwa raya, tujuh suspek dewasa itu bukan sahaja membiarkan Nordquist kelaparan, tetapi juga memaksanya makan najis dan minum air kencing.

"Mereka memperlakukannya seperti haiwan, memaksanya untuk mematuhi arahan mereka," kata Wolford.
-hmetro 

Samseng miliki kilang lupus, proses e-waste

Suzalina Halid
Timbunan sisa elektronik yang dibiarkan terdedah ketika Ops Toksik, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
Timbunan sisa elektronik yang dibiarkan terdedah ketika Ops Toksik, baru-baru ini. - Foto fail NSTP
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kilang melupus dan memproses sisa elektronik atau e-waste dikesan dimiliki samseng yang dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket pengubahan wang haram.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pembabitan samseng itu dibongkar pihak berkuasa melalui Ops Hazard dengan ada kilang haram e-waste turut didalangi oleh warga asing.

"Maklumat kita peroleh melalui 30 premis yang diperiksa, pihak berkuasa mendapati kebanyakan pekerja adalah pendatang asing atau salah guna permit.

"Kadang-kala ia membabitkan rangkaian jenayah yang gunakan e-waste sebagai satu cara untuk 'mencuci' duit," katanya dalam temu bual bersama BH dan media berbahasa Cina, kelmarin.

Untuk itu, Nik Nazmi berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kini dalam proses memasukkan jenayah alam sekitar, termasuk pihak yang melupuskan e-waste untuk didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Katanya, tindakan tegas itu boleh dilaksanakan selepas penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendakwa penjenayah alam sekitar.

Tidak dilesenkan PBT

Mengulas modus operandi kilang terbabit, Nik Nazmi berkata, kebanyakan kilang tidak dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kedudukan premis berada di kawasan industri dan di luar kawasan industri.

"Ia termasuk di tanah rizab, ladang sawit dan di dalam hutan," katanya yang menyifatkan ia sebagai mengaburi pihak berkuasa.

Nik Nazmi turut mendedahkan, antara cabaran dalam mengekang kemasukan e-waste secara haram ke negara ini adalah apabila pemeriksaan secara rawak terpaksa dijalankan oleh pihak berkuasa.

Katanya, kos membuka dan memeriksa kontena adalah tinggi sehingga mencecah RM700 bagi setiap pemeriksaan kepada pengendali pelabuhan.

"Kita juga kekurangan alat pengimbas di pelabuhan untuk memeriksa kontena yang masuk, namun ia juga di luar bidang kuasa kita. Ini mengekang usaha membuat pemeriksaan fizikal secara menyeluruh," katanya.

Selain itu, beliau berkata, ada pengimport yang berselindung dengan membuat pengisytiharan palsu barangan menggunakan HS Code (sistem pengkelasan dan kod komoditi import dan eksport), selain ketidakpatuhan dokumentasi.

Mengenai usaha menambah baik penguatkuasaan, Nik Nazmi berkata, anggota penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mungkin menggunakan kamera badan bagi meningkatkan integriti mereka.

Katanya, kerjasama agensi di pelabuhan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), pihak berkuasa pelabuhan, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dipertingkatkan.

Ia turut membabitkan organisasi antarabangsa antaranya, Seketariat Konvensyen Basel, Asian Network dan INTERPOL dalam aspek penyaluran maklumat berhubung kapal kontena yang disyaki mengandungi e-waste masuk melalui pelabuhan.

Berhubung e-waste yang dihasilkan dalam negara setakat ini, Nik Nazmi berkata, jumlah keseluruhan sisa elektronik yang dijana dari 2005 sehingga 2023 adalah 2,618,307.30 tan.

"Sepanjang tempoh itu, tahun 2020 menunjukkan penjanaan tertinggi e-waste iaitu 904,008.90 tan.

"E-waste yang dikumpul dan diproses di setiap negeri di Malaysia bermula pada 2005 sejajar dengan pewartaan dan tarikh berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya.

Beliau berkata, penghasilan e-waste bagi seluruh negeri pada 2023 adalah 65,280.14 tan berbanding 286,205.84 tan pada 2022.

Katanya, Melaka negeri tertinggi menghasilkan e-waste iaitu 26,089.68 tan, diikuti Pulau Pinang (13,004.61 tan), Selangor (6,890.02 tan) dan Negeri Sembilan (6,833.05 tan)