Sinar Harian
Penduduk mengalami kerugian besar, dengan kediaman dan kenderaan musnah, serta gegaran kuat mengakibatkan cermin rumah pecah dan dinding retak. -Sinar Harian
SUBANG JAYA: Tragedi menggemparkan melanda Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini apabila kebakaran besar menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan akibat melecur, dengan seorang lelaki dilaporkan berlari tanpa pakaian dan badan berasap untuk menyelamatkan diri.
Salah seorang saksi, Ahmad Baharudin, 56, menceritakan detik dramatik apabila seorang pemuda tanpa seurat benang muncul berlari dari kawasan pembinaan di atas bukit dalam keadaan panik.
“Badannya berasap, dia berlari masuk ke rumah saya sebelum anak saya memberikan sehelai baju untuk dipakai.
"Kami semua segera keluar dan berkumpul di tempat selamat,” katanya ditemui pemberita di Masjid Nurul Iman di Kampung Tengah di sini pada Selasa.
Ahmad sendiri mengalami kecederaan melecur di tangan kanan akibat bahang api yang marak.
Isterinya, Yuswidayati Kahar, 52, serta dua anak mereka, Nurin Husna, 24, dan Nurin Aliya, 21, turut mengalami kecederaan, sementara dua lagi anak mereka terselamat tanpa sebarang luka.
Mangsa lain yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Lebih menyayat hati, beberapa penduduk mengalami kerugian besar apabila kediaman serta kenderaan mereka musnah dijilat api.
Lukman Hakim Mohd Nasir, 27, yang sedang tidur ketika kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi, dikejutkan oleh gegaran kuat seolah-olah gempa bumi.
“Saya segera mencari ibu dan membawanya keluar. Abang saya, Mohd Yusri, adalah orang terakhir keluar dari rumah dan mengalami kecederaan serta melecur di bahagian badan,” ujarnya.
Setakat ini, sekurang-kurangnya tiga buah kereta dan beberapa motosikal di rumahnya dilaporkan musnah, selain sebahagian struktur rumah mengalami kerosakan teruk akibat kebakaran.
Penduduk sekitar turut melaporkan gegaran kuat ketika letupan berlaku, mengakibatkan cermin rumah pecah dan dinding retak.
Zahari Husin, 65, seorang lagi mangsa dari Taman Topaz Putra Heights, yang kini ditempatkan di Kuil Sri Maha Mariamman, bersyukur kerana dia dan keluarganya terselamat tanpa kecederaan serius.
Pihak berkuasa terus memantau keadaan dan menasihatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan kejadian bagi memastikan keselamatan semua pihak. -Sinar Harian