Shah Kirit bin Kakulal Govindji
Terlebih dahulu izinkan saya memperkenalkan diri secara ringkas. Nama saya ialah Shah Kirit bin Kakulal Govindji. Pelik bukan? Kebiasaan di Malaysia, apabila seseorang itu masuk Islam, dia dikehendaki menukar nama bapa dia kepada Abdullah. Sebenarnya tidak ada satu pun nas dari Al-Quran mahupun Hadith Sahih yang mewajibkan seseorang yang masuk Islam mesti tukar nama bapa dia kepada Abdullah!
Saya telah dilahirkan sebagai seorang Islam tetapi ibu bapa saya telah membesarkan saya sebagai seorang Hindu. Tuan-tuan dan puan-puan mesti hairan, ini adalah kerana di dalam Islam kita percaya bahawa setiap kanak-kanak di dunia ini dilahirkan dalam fitrah Islam tetapi ibu bapalah yang mencorakkan mereka menjadi Nasrani, Yahudi, Majusi, Hindu, Buddha mahupun sebagai seorang ‘Free Thinker’. Hadis Rasulullah SAW bermaksud;
“Setiap anak dilahirkan dalam keadaan suci bersih. Ibu bapalah bertanggungjawab mencorakkan anak itu menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Bukhari dan Muslim)
Justeru itu saya lebih suka menggunakan perkataan ‘Revert’ daripada ‘Convert’ apabila seseorang itu menganuti agama Islam kerana mereka kembali kepada fitrah kejadian mereka.
Punca awal saya masuk Islam adalah atas dasar perkahwinan. Ya, kerana saya mahu berkahwin dengan perempuan Islam. Saya cakap berterus terang kerana dalam kalangan masyarakat kita ada sejenis ‘penyakit’, termasuklah dalam kalangan kakitangan Jabatan Agama Islam. Apabila sesorang itu menyampaikan hasrat untuk memeluk agama Islam, dia akan diperli atau disindir seperti, “Kenapa masuk Islam? Kalau tidak kerana perempuan Melayu memang tidak sah!”
Salahkah kami masuk Islam kerana mahu berkahwin? Sebenarnya masuk Islam kerana mahu berkahwin tidak salah. Mungkin itu Qada’ dan Qadar, bersabit dengan perkahwinan seseorang itu mendapat hidayah dari Allah. Yang salah ialah sudah masuk Islam tidak mahu belajar dan tidak mahu beramal dengan Islam. Yang turut salah ialah masyarakat Islam setempat yang tidak mahu membimbing atau membantu orang yang baru masuk Islam.
Jika kita perhatikan keadaan sekeliling, kita dapati ramai yang masuk Islam adalah kerana perkahwinan. Ini adalah kerana orang-orang Islam di Malaysia hampir-hampir tidak ada melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sekeliling mereka. Sudahlah tidak buat kerja, sindir orang pula!
Alhamdulillah, hari ini kita sebagai orang-orang Islam sedar bahawa Islam bukanlah milik orang-orang Arab atau Melayu sahaja tetapi adalah untuk seluruh umat manusia. Malangnya kita umat Islam hari ini telah lalai dari tanggungjawab yang diamanahkan Allah kepada kita untuk menyampai dakwah Islam kepada mereka yang belum terima hidayah lagi. Allah mencela golongan seperti ini dalam surah Al-Baqarah ayat 140;
“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan yang telah diberikan Allah kepadanya? Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.”
Na’uzubillah, janganlah kita termasuk dalam golongan ini. Allah memberikan penghormatan kepada kita orang-orang Islam di dalam surah Ali Imran ayat 110;
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia....”.
Kita pun rasa sangat seronok mendengarkan ayat ini. Namun begitu kita lupa bahawa setiap penghormatan itu datang bersama tanggungjawab. Lagi besar suatu penghormatan maka lagi beratlah tanggungjawab yang harus dipikul. Tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah kepada kita orang-orang Islam yang melayakkan kita di gelar ‘sebaik-baik umat’ juga disebut dalam ayat yang sama;
“...(Kerana) kamu menyuruh membuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah.”
Ini bermakna kita harus menjadi masyarakat ‘amar maaruf nahi munkar’ iaitu melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam secara serentak. Allah berfirman dalam surah al-Asr ayat 1-3;
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.”
“Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.”
‘Berpesan-pesan dengan kebenaran’ bermakna melakukan ‘amar maaruf nahi munkar’ yakni melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah sesama orang-orang Islam. Ayat ini jelas menunjukkan tanggungjawab melakukan dakwah bukan tugas Ustaz, Imam atau Jabatan Agama sahaja tetapi adalah tanggungjawab setiap orang Islam.
Di dalam Khutbah terakhir, Rasulullah SAW telah bertanya kepada para Sahabat yang tidak kurang dari 110,000 orang, “Adakah aku telah sampaikan pesanan Islam?”
Para Sahabat-pun secara serentak menjawab, “Ya Rasulullah! Kamu telah sampaikan.”
Maka Rasulullah SAW seterusnya memerintahkan mereka;
“Sampaikanlah kepada mereka yang tidak hadir.”
Para sahabat pun faham akan perintah Rasulullah SAW lalu keluar dari negeri Arab menyampaikan dakwah Islamiyah. Maka Islam telah pun sampai ke Negeri China, India, Sepanyol dan seterusnya ke Malaysia. Alhamdulillah, Para sahabat-sahabat Nabi dahulu tidak ada sikap macam kita iaitu hanya mahu bercerita tentang Islam sekiranya ada yang bertanya, tetapi sebaliknya telah bertebaran ke pelbagai pelusuk dunia dalam menyampaikan syiar Islam.
‘Master key’ untuk melakukan dakwah kepada orang-orang bukan Islam ada diterangkan dalam Surah Ali-Imran ayat 64;
“Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dan kamu, iaitu kita semua tidak sembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya suatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.”
Untuk mencari kalimah-kalimah yang bersamaan antara kita dengan mereka, maka kita hendaklah mengkaji kitab mereka (bukan untuk beriman tetapi) untuk mencari ayat-ayat yang menjurus kepada tauhid. Sekiranya di peringkat permulaan kita hanya menggunakan Al-Quran dan Hadith sahaja mungkin orang-orang bukan Islam ini menolak kerana mereka belum beriman kepada Al-Quran.
Sekiranya kita menggunakan Bible maka orang-orang Kristian terpaksa menerimanya. Berikut adalah antara hujah-hujah yang boleh kita gunakan dari Bible terhadap orang-orang Kristian;
“Hear, O Israel; The Lord our God is one Lord.” [Mark 12:29]
Apabila kita mulakan dakwah kepada orang-orang Hindu, adalah lebih baik sekiranya kita mulakan dengan konsep ketuhanan dalam Islam yang terdapat dalam Surah Al-Ikhlas;
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa;”
“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;”
“Ia tiada beranak, dan pula tiada diperanakkan;”
“Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya”
Seterusnya kita boleh bincangkan mengenai ayat-ayat yang ada persamaan di dalam kitab-kitab mereka contohnya Veda, Upanishad, Purana, Maha Bharata, Ramayana dan yang paling popular di kalangan orang-orang Hindu adalah Bhagavad Geeta. Berikut adalah beberapa contoh yang boleh kita gunakan:
“He is One only without a second.” (Chandogya Upanishad 6:2:1)
“There is no likeness of Him.” (Svetasvatara Upanishad 4:19)
“His form is not to be seen, no one sees Him with the eye.” (Svetasvatara Upanishad 4:20)
“There is no image of Him.” (Yajurveda 32:3)
“He is bodiless and pure.” (Yajurveda 40:8)
Namun begitu dalam kita menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam, adalah penting kita sentiasa mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Allah di dalam Surah An-Nahl ayat 125;
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
Adakah kita menggunakan hikmat kebijaksanaan dan menasihatkan dengan cara pengajaran yang baik dan lemah lembut bila menyampaikan dakwah Islamiyah kepada orang-orang bukan Islam? Jarang sekali.
Kebiasaannya bila ada orang bertanya mengenai Islam, jawaban yang lazim diberikan adalah, “Dalam Islam kita mesti sembahyang 5 kali sehari, Bulan Ramadhan mesti puasa satu bulan dari pagi sampai senja – tidak boleh makan atau minum, mesti bayar zakat, tidak boleh makan ‘kerbau pendek’ (khinzir), tidak boleh minum (arak), mesti kena ‘potong’ dulu (berkhatan), pergi masjid mesti pakai songkok dan kain, kalau pergi solat Hari Raya mesti pakai baju Melayu (seolah-olah solat itu tidak sah tanpa memakai baju Melayu!).”
Saya perhatikan bahawa kita sebenarnya lebih banyak ‘me-Melayu-kan’ seseorang yang masuk Islam dari meng-Islamkannnya. Kita memberikan gambaran seolah-olah Islam ini adalah satu agama yang sangat menyusahkan umatnya. Sepatutnya kita jangan terlalu rigid berkenaan fikah (halal dan haram) pada peringkat permulaan. Yang harus diutamakan adalah tauhid, apabila iman dia sudah meresap dan mantap barulah kita sampaikan bab-bab fikah secara beransur-ansur ikut kemampuan seseorang individu. Bila iman sudah kukuh di hati, seseorang itu akan mengerjakan perintah Allah tanpa perlu disuruh, Insya-Allah.
Saya ingin mengajak semua yang hadir di sini termasuklah diri saya agar marilah kita semua bangkit dari lena kita. Kita telah lama tidur dengan mata celik. Marilah kita bangkit dan laksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada kita untuk menyampaikan dakwah kepada orang-orang bukan Islam sambil melakukan Islah kepada sesama Islam.
Berhenti dari memberikan alasan. Apabila saya mengajak orang untuk berdakwah, mereka selalu memberikan alasan dan minta tunggu. Hendak tunggu apa lagi? Allah memberikan amaran kepada kita dalam Surah At-Taubah ayat 24;
“Katakanlah (wahai Muhammad); Jika bapa-bapa kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.
Marilah kita berhenti dari memberikan alasan-alasan seperti berikut;
1.Tunggulah saya pandai; sampai bila-bila pun kita tidak akan cukup pandai sekiranya kita tidak cuba dari sekarang. Sekali lagi saya rujuk kepada hadith diatas iaitu, “Sampaikanlah walau satu ayat”.
2.Tunggu bila ada orang bertanya baru nak cerita tentang Islam; sekali lagi saya rujuk kepada petikan dari Khutbah terakhir Rasulullah s.a.w, “Siapa-siapa yang hadir disini sampaikanlah kepada yang tidak hadir”.
3.Negara kita negara majmuk, sensitif untuk melakukan dakwah; pada zaman Nabi Muhammad SAW terdapat tidak kurang dari 360 suku kaum. Ini tidak menghalang baginda memberikan dakwah kepada kaum Musyirikin pada masa itu malahan baginda telah berjaya menyatu-padukan semua kaum tersebut di bawah panji Islam!
4.Agama ini urusan peribadi, jangan masuk campur dalam hal orang lain; Dalam Islam ia menjadi tanggungjawab semua orang-orang Islam mencampuri urusan orang lain apabila ia melibatkan perkara akidah; ‘amal maaruf nahi munkar’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan