PETALING JAYA: Apabila harga minyak naik, harga barang pasti turut naik, malah termasuk “ais kosong”. Namun apabila harga minyak turun, semua yang naik sebelum ini kekal demikian.
Jadi kepada siapa kita perlu salahkan? Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil seperti tahu sekurang-kurangnya satu pihak yang bertanggungjawab terhadap ketidakadilan ini – persatuan pengguna yang lemah.
Shahrizat dilaporkan berkata, badan pengguna hari ini tidak lagi memiliki “taring” seperti satu ketika dahulu, apabila mereka digeruni peniaga yang menyeleweng. Shahrizat berpandangan persatuan pengguna perlu kembali seperti dahulu demi menangani isu yang memberi kesan kepada pengguna, seperti peniaga licik yang tidak ingin menurunkan harga barang ketika harga minyak merudum.
Kenyataan mereka tidak diterima baik Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk Dr Marimuthu Nadason, yang mengatakan Shahrizat “menyalak pada pokok yang salah”.
“Beliau pernah menjadi menteri Kabinet. Adakah beliau tahu bahawa dasar ditetapkan oleh penggubal dasar, bukan kami?
“Beliau patut bercakap kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tentang apa yang dibuat pegawai penguatkuasa mereka. Tidakkah Shahrizat tahu bahawa penguatkuasaan di tangan mereka, bukan kami?” soal Marimuthu yang jelas marah.
Selain KPDNKK, katanya lagi, Shahrizat juga patut “menimbang untuk bercakap kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tentang tindakan mereka berhubung isu ini”.
“Jika mereka tahu yang bekalan semakin berkurang, bukankah mereka patut menambahkan permit agar pasaran dipenuhi dengan barangan-barangan dan dengan harga yang kompetitif?
“Shahrizat juga perlu tanya mereka, apakah rancangan jangka panjang bagi sektor pertanian. Ini kerana masih ada beribu ekar tanah kosong yang tidak diusahakan di negara ini. Bukankah beliau perlu tanyakan ini, apatah lagi dengan mengambil kira bil import kita yang begitu tinggi,” kata Marimuthu lagi.
Kenyataan media Statistik Dagangan Luar Malaysia pada Desember 2014 menyatakan, asas import tahunan negara adalah RM58.5 bilion, iaitu meningkat sebanyak RM2.3 bilion.
Import barangan penggunaan yang merangkumi 7.8 peratus import keseluruhan pula meningkat sebanyak RM199.2 juta kepada RM4.6 bilion.
Marimuthu mencadangkan agar Shahrizat berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung jenis perjanjian yang ditandatangani mereka di seluruh dunia, dan kesannya kepada harga barang dalam negara.
“Beliau patut bercakap dengan pihak-pihak ini. Jangan tuding jari. Saya bukan menteri Kabinet. Kalau nak saya jadi menteri, lantiklah saya,” katanya lagi.
Berikut adalah pesanan beliau kepada Shahrizat: “Fomca sudah wujud selama 42 tahun. Kami tahu apa yang kami lakukan. Tidak perlu ajar bagaimana kami buat kerja.”
Beliau berkata, Fomca mengerti bahawa perlindungan terbaik adalah perlindungan secara sendiri, dan telah memulakan program kewangan berhemat untuk memberi pendidikan tentang pengurusan kewangan cermat kepada rakyat Malaysia, bermula dengan pelajar sekolah.
“Kami menjalankan program ini tapi dengan capaian terhad. Kami tiada dana yang cukup untuk membuatnya di seluruh negara. Kami buat apa yang termampu dengan apa yang ada. Anda beri peruntukan dan kami akan tingkatkan capaian program ini,” katanya.
Katanya lagi, dengan menyalahkan persatuan pengguna, Shahrizat hanya menunjukkan betapa lemahnya mereka yang memegang kuasa.
“Jika anda kata kami lemah, maka kerajaan juga lemah. Andalah yang memegang kuasa. Bukan kami yang merangka dan melaksanakan dasar. Ini bukan masanya untuk menuding jari. Shahrizat perlu faham ekonomi global, bil dan dasar import negara dan juga faktor lain sebelum bersuara.
“Kami di Fomca telah mengambil pendekatan sederhana dengan tidak mendesak langkah drastik, yang boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian negara. Jika Shahrizat mahukannya, mungkin kami perlu fikir kembali dasar kami,” katanya.
Shahrizat sebelum ini berkata yang beliau akan mengaturkan pertemuan dengan Fomca untuk menggesa badan itu menjadi “rakan pintar” untuk memperkuatkan kuasa pengguna wanita.
“Persatuan pengguna pada masa dahulu lebih aktif, dan ada pengaruh besar dalam membantu kerajaan. Kini, kita mahu bekerja bersama mereka untuk menghadapi masalah daripada peniaga yang menyeleweng.
“Kami akan menggerakkan Skuad Pengguna Wanita Umno yang baru ditubuhkan, dan menjalankan kempen untuk mengenalpasti peniaga yang menawarkan harga yang berpatutan,” kata Shahrizat seperti dipetik.
Hujah Marimuthu memang benar. Apa pegawai penguatkuasa KPDNKK buat dalam menangani masalah ini?
Bukankah lebih berkesan untuk mengancam menarik lesen bagi peniaga yang enggan menurunkan harga, berbanding menggesa gerakan pengguna melakukannya?
Terutama apabila wujudnya monopoli serta peranan logistik ketika pengguna memilih barangan. Ada kalanya pengguna tiada pilihan lain selain ke peniaga tertentu walaupun harga yang ditawarkan lebih tinggi.
Bukankah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 memberi kuasa kepada KPDNKK untuk memantau, mengawal dan mengambil tindakan terhadap apa-apa kenaikan harga yang bertujuan mengaut keuntungan melampau?
Tentulah tidak adil untuk meletakkan beban kesalahan kepada gerakan pengguna, apabila kuasa untuk mengambil tindakan berada di tangan kementerian.
Malah, KPDNKK memiliki skuad penggunanya sendiri (kumpulan sukarelawan pemantau harga yang dijenamakan semula dan ditubuhkan pada tahun 2001) untuk memeriksa harga barangan ketika musim perayaan.
Mengapa tidak menggunakan skuad ini untuk melaporkan peniaga-peniaga yang licik ini?
Kerajaanlah yang memiliki kuasa, dan merekalah yang patut menggunakannya.
Jika Shahrizat mahu Marimuthu menangani masalah ini, mungkin benar sekali kata-kata Marimuthu – lantik sahaja beliau menjadi menteri Kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan