BERSEMUKA mendengar luahan isi hati Mejar Zaidi Ahmad, 45, tentang cabaran pertahanan negara bagai menjawab apa dorongan utama penyebab juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ini tampil mendedahkan kepincangan penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) lalu.
Ikuti pengalaman Mejar Zaidi serta situasi mutakhir dirinya selepas dihukum diberhentikan kerja dalam wawancara eksklusif beliau bersama Ketua Pengarang Harakah,AHMAD LUTFI OTHMAN dan wartawan, ARIF ATAN di kediaman beliau di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang
WARTAWAN: Bagaimana status dan tindakan tuan selanjutnya selepas keputusan Mahkamah Tentera pada 12 Januari lalu?
MEJAR ZAIDI AHMAD: Pihak peguam, Hanipa Maidin buat kesimpulan bahawa panel hakim berat sebelah. Jadi, kita buat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi. Sepatutnya kalau ikut prosedur, Mahkamah Tentera perlu tangguh keputusan. Semakan kehakiman telah ditetapkan bulan depan. Sebabnya, Mahkamah Tentera juga tertakluk pada Mahkamah Sivil. Jadi, apa mampu saya buat setakat ini, kita hanya tunggu keputusan 5 Februari nanti.
Saya mahu bersihkan nama saya sebelum tindakan selanjutnya seperti saman akan dilakukan.
Buat masa ini, secara rasmi kalau diikutkan, saya belum diberhentikan tetapi saya diarah buat persiapan untuk berhenti. Ada borang-borang perlu diisi, hantar dokumen tertentu. Kalau diikutkan hukuman yang dikenakan dibuang kerja daripada perkhidmatan patutnya pencen dan faedah lain dapat cuma jumlahnya akan ditentukan pihak atasan. Saya difahamkan ada kes sebelum ini pegawai tentera yang diberhentikan kerana masalah disiplin, jumlah pencen diperolehnya dikurangkan.
Saya berkhidmat dalam tentera sudah 26 tahun. Kami selepas 21 tahun boleh mohon untuk bersara awal tapi dah jadi begini.
Saya memang berhasrat untuk pencen pada 2013 tapi saya sebagai jurulatih ada dua orang pelatih baru yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Cadangnya tahun 2014 nak submit permohonan untuk bersara awal.
Tugas sebagai jurulatih jet pejuang TUDM?
Tujuan utama kami di TUDM tentunya mempertahankan negara daripada serangan musuh. Kalau ada pesawat musuh ceroboh, kita mesti bersedia untuk memintas cuma masa negara aman ini kita biasa memantau pesawat Singapura di selatan tanahair. Mereka boleh lalu sebab itu laluan antarabangsa tapi dekat dengan pusat latihan kita. Mereka tak masuk kawasan Malaysia tapi kita mesti bersiapsiaga.
Ikut pergerakan mereka sampai mereka keluar.
Tugas kita di Selat Melaka tidak kritikal sangat tapi di Laut China Selatan pergerakan sukar dijangka, kawasan luas. Singapura ini banyak aset tapi kawasan tiada.
Kita pantau pesawat Singapura selain daripada itu kita buat latihan-latihan tertentu. Setiap tahun ada latihan peperangan.
Ada juga latihan dengan negara luar. Selain daripada itu, kita buat latihan biasa, sesama kita termasuk melatih juruterbang baru.
Boleh tuan ceritakan sedikit tentang pengalaman sepanjang 25 tahun berkhidmat?
Dulu masa di pusat latihan, baru belajar bawa pesawat ada juga kami buat pelik-pelik. Biasalah masa itu kita muda, nak buat macam-macam.
Kadang-kadang jurulatih tak buat sebab berisiko, tapi kita buat.
Pernah berlaku situasi mencemaskan tetapi kita berjaya recover balik pesawat naik ke atas.
Kebanyakan jet TUDM ini ada dua enjin, jadi kalau salah satunya padam, kecemasan tapi satu enjin pun masih boleh terbang.
Tapi pesawat F5E ini selalunya selepas diselenggara masa test itu selalunya satu enjin padam, kita balik satu enjinlah. Berdepan musuh belum lagi sebab setakat ini negara kita tidak perang lagi.
Paling tak dapat dilupakan, misi di Bosnia selama lapan bulan pada tahun 1995. Malaysia antara negara yang menghantar pasukannya untuk misi pengaman. Lebih kurang satu batalion atau 1,000 tentera tapi TUDM dihantar dalam empat orang saja. Kami ini sebagai controller, tidak bawa kapal terbang tapi kita pergi untuk controller pesawat Nato (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara).
Kita dilatih oleh pihak Nato dan dibekalkan radio. Kalau ada kecemasan, kita akan panggil Nato datang. Memang kita di Bosnia, perang antara dua pihak berlawan berlaku atas kepala. Tembak, bom.
Serbia tembak 10 kali, pihak Islam balas sekali. Pihak Islam biasanya kurang senjata. Tembakan pula kadang-kadang jatuh dekat kem kita.
Masa itu boleh nampak pasukan Bosnia nak pergi perang, dengar taklimat.
Saya anggota Malbatt (Batalion Malaysia) ketiga. Setiap pasukan bertugas selama enam bulan.
Habis enam bulan, bertukar yang baru. Masa saya bertugas itu kira kemuncak perang. Pihak Nato buat serangan terhadap pihak Serbia.
Nampak jet-jet mereka menggugurkan bom di depan mata. Kawasan simpanan senjata yang dibom, letupan silih berganti. Serbia tembak missile pada Amerika, pilot mengelak.
Jadi, memang tengok perang live. Kadang-kadang ada peluru sesat kena khemah berlubang tapi masa saya itu, tiada korban jiwa.
Kalau ada pun di pihak tentera pemerhati. Ada juga pasukan Malaysia jadi pemerhati. Mereka ini lebih lagi dalam bahaya.
Setiap dua bulan, kami perlu ke Itali. Seminggu mereka nak test skill kita control termasuklah 4, 5 orang pelbagai negara seperti dari Sepanyol dan Pakistan. Lucunya, saya ingat orang dari Asia ini lemah bahasa Inggeris tapi ruparupanya yang paling bermasalah cakap orang putih ini, orang Perancis.
Bagaimana tuan ada keberanian untuk buat laporan polis sekali gus muncul sebagai satusatunya pegawai tentera yang membongkar realiti dakwat kekal itu sebenarnya tidak kekal?
Masa PRU13 lepas, kerajaan umumkan penambahbaikan pilihan raya dan itu memang lama kita sebagai rakyat nantikan.
Masa PRU12, kita mengundi selain kertas undi, ada satu borang ini kena tulis nama, nombor kita, tandatangan dan kepil sekali dengan kertas undi baru masuk dalam peti undi. Memang melucukan PRU12 tahun 2008 dulu.
Tapi tiba PRU13, itu semua tidak ada. Memang nampak berbeza dengan sebelum ini. Kita puas hati, seronoklah dengan penambahbaikan yang digembargemburkan.
Tiba-tiba pada hari mengundi tengok di internet orang kecoh cerita tentang dakwat di jari tidak kekal. Rasa ingin tahu, saya cuci jari yang dicelup dakwat itu. Memang bukan terus hilang tapi selepas sejam begitu, gosok dengan gosok periuk, habis hilang dakwat. Bersih sebersih-bersihnya. Kita rasa tertipu.
Adakah ini kesilapan teknikal? Kita tunggu juga apa isu sebenarnya.
Hairannya, tidak ada pula sebarang pengumuman untuk anggota-anggota bagi maklum balas tentang keberkesanan dakwat kekal. Tidak ada langsung taklimat sebut hal ini. Jadi tiada saluran untuk kita hendak beritahu, dakwat padam dan nak hubungi siapa.
Di internet banyak orang komplen dan saya jangka akan ada pihak kerajaan mohon maaf pada penjawat awam tapi malam itu di TV diisytiharkan kononnya penggunaan dakwat itu berjaya kerana tidak ada aduan.
Jadi, kita rasa tercabar. Saya nak buat aduan tapi tak tahu nak buat aduan pada siapa tetapi tiba-tiba Pengerusi SPR kata dakwat itu kekal kerana tiada aduan.
Jadi, saya malam itu saya berfikir panjang, hal ini bukan perkara kecil. melibatkan pemilihan pemimpin negara. Jadi tak tahulah tempat saya saja tak betul (dakwat).
Jadi untuk nak tahu sama ada saya seorang saja atau orang lain pun mengalami situasi sama, saya SMS pada kawan-kawan lain. Siapa yang alami macam saya, esok pagi kita buat laporan polis dakwat tanggal. Buat laporan, siapa yang tinggal sekitar Kepala Batas, jom sertai sama (buat laporan polis).
Pagi esoknya, ada 4, 5 orang tapi yang buat laporan saya dan anggota saya, Sarjan Jamal dan isteri saya. Yang lain tak berani, kebetulan mereka dalam proses nak berhenti.
Mereka berani datang tapi tak jadi nak buat laporan mungkin takut pencen terjejas dan sebagainya. Tak mengapa, saya faham. Jadi, yang buat laporan hanya tiga orang.
Sarjan Jamal pun beberapa hari lepas dikenakan tindakan iaitu diturunkan pangkat satu anak tangga. Pendakwaan ke atas beliau dibicarakan terus di peringkat dalaman.
Mustahil tuan tidak fikir risiko dari segi perkhidmatan sebagai pegawai tentera. Apa dorongan utama untuk tuan tampil ke depan?
Risiko memang saya dah duga. Ini melibatkan hal besar, pemilihan kepimpinan negara dan keduanya sebagai seorang beragama Islam, kita kena amanah. Hal ini melibatkan penggunaan wang rakyat. Kita sudah diberitahu dakwat patutnya kekal tapi kita sudah alami sendiri dakwat itu tidak kekal. Pada hal gaji penjawat awam datangnya daripada rakyat.
Dalam tentera, walaupun saya dikatakan melanggar disiplin tentera dan Pengerusi Panel Hakim Mahkamah Tentera pun sendiri sebut Ikrar Kesatria, yang pertama ialah beriman kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya tapi saya rasa saya sudah cuba untuk menepati ikrar pertama itu sebab bagi saya, orang yang beriman dan bertakwa kena cakap benar sekalipun pahit.
Saya juga yakin saya setia pada negara. Dalam tentera pun, selalu ditekankan integriti, kena benar dalam semua keadaan, tidak menyeleweng.
Tapi saya faham dalam kes ini melibatkan politik, kita boleh agak apa tindakan akan dikenakan. Insya-Allah kita buat yang betul, ada hikmah di sebaliknya.
Islam didik kita dengan rezeki diberi Allah. Tak dapat dalam bidang ini, insya-Allah dalam bidang lain. Mungkin rezeki saya bukan lagi dalam tentera.
Apa perancangan tuan seterusnya sebab tuan sudah bermula dengan satu keputusan yang besar?
Bila diberhentikan, tugas saya yang utama kini menyedarkan anggota masyarakat kita tentang aspek pertahanan dan ketenteraan terutama dari segi persediaan negara khususnya ATM dalam menghadapi peperangan.
Saya juga mahu bantu Pakatan Rakyat. Saya telah dizalimi oleh sistem di bawah rejim sedia ada. Harapan saya lebih kepada Pakatan Rakyat untuk menguasai dan membetulkan kepincangan dan ketidakadilan yang berlaku.
Masyarakat mesti sedar untuk kita semua beri desakan kepada pihak pemerintah. Kalau rakyat sendiri lantang menyuarakan keperluan kualiti pertahanan dan kelengkapan militari negara ini, kerajaan akhirnya akan akur pada tuntutan rakyat. Penguasa politik mesti dengar demand masyarakat atau hayat politik mereka akan berakhir.
Kena sampai tahap masyarakat faham akan keperluan aset kritikal tersebut kepada negara bukan menganggap “pandai-pandai kerajaanlah nak beli senjata apa.”
Apa yang kita tiada dan paling kritikal sekarang ialah pesawat Aewacs yang merujuk pada Airborne Early-Warning and Control System.
Saya juga dalam perancangan untuk tulis buku tentang hal ini. Kalau kita sebut pesawat Aewacs misalnya, ramai orang awam hanya tahu ‘awek’ (ketawa) padahal pesawat ini begitu penting sebab ada radar di atas dan di belakangnya.
Tapi Singapura sudah lama ada Aewacs.
Ya. Singapura boleh beli Aewacs sejak tahun 80-an lagi, pada hal kita dah masuk tahun baru 2015, masih tiada lagi aset kritikal yang penting ini. Itu dari segi keperluan tentera udara. Macam tentera laut pun sama. Aset maritim bukan setakat kapal saja, mereka juga perlukan pesawat udara untuk mengesan kapal musuh.
Tentera darat pun ada senjata pertahanan pangkalan macam meriam yang boleh digerakkan sebab sekarang ini kalau meriam, artileri kalau tembak, dalam masa beberapa saat sahaja kalau ada artillery locating radar, tembak sebiji, beberapa saat selepas itu musuh sudah tahu secara tepat lokasi kita di mana. Kalau kita tidak bergerak, dalam masa singkat saja serangan balas dari musuh datang.
Jadi, perlunya, artileri yang boleh bergerak sendiri. Lepas tembak ‘lari’ tempat lain. Setakat ini Malaysia tiada, sekarang ini yang kita ada jenis tarik dengan trak. Kena pasang, ambil masa. Lepas tembak kena ubah kedudukan. Lambat.
Pertahanan kita ini ada lagi benda-benda yang aset kritikal yang masih belum dimiliki.
Saya rasa sepatutnya kita miliki supaya kita jadi tentera disegani dan sentiasa bersiap-siaga dengan kelengkapan yang sewajarnya.
Aset tentera sudah jadi lubuk kepada rasuah seperti kerap didedahkan Laporan Ketua Audit Negara.
Kontroversi di sebalik urusan pembelian Scorpene, misalnya.
Ramai pertikaikan bahawa Razak Baginda melalui Perimekar itu dibayar rasuah tapi dia kata komisen RM500 juta tapi kerajaan kata untuk kerja-kerja support termasuk peranan orang tengah antara Perancis dan Malaysia.
Soalnya, kerajaan gagal menjawab persoalan rakyat.
Perlukah dana begitu banyak, sedangkan tentera ada orang yang berkelayakan. Mereka boleh buat sendiri, kenapa perlu pihak ketiga seperti Razak Baginda yang bukan ada latar belakang ketenteraan dalam mana-mana cabang sama ada udara, laut mahupun darat.
Bagaimana dia boleh jadi lead untuk projek dapatkan Scorpene itu?
Kebetulan pula dia memang rakan PM. Inilah yang menimbulkan tanda tanya kalangan orang awam. Secara rasmi komisen tapi dari segi pemerhatian dan tafsiran itu tak kena.
Tentera semua serbaserbi lengkap. Kalau nak cari penterjemah tak payah cari sampai Mongolia, ada tentera kita yang pakar bertahun-tahun duduk di Perancis cakap Perancis macam air (fasih).
Setiap tahun ada pegawai tentera dihantar belajar ke sana (Perancis) pun ada belajar bahasa untuk penterjemahan. Ada yang duduk di kedutaan. Mereka fasih cakap Perancis. Mengapa sampai perlu ambil orang Mongolia untuk jadi penterjemah?
Apa isu pertahanan paling kritikal di negara kita?
Bagi saya dan pastinya ramai anggota tentera yang cintakan tanah air ini, peluasan kuasa negara China sekarang ini menjadi ancaman kepada rantau Asia Tenggara. China telah isytihar Laut China Selatan ini miliknya yang kemudiannya sudah dimasukkan dalam peta rasmi negara mereka. Hanya beberapa negara membantah seperti Filipina dan Vietnam. Malaysia membisu tak bantah. Ini tidak patut berlaku.
China juga claim satu beting dipanggil Beting Serupai di perairan Sarawak sebagai miliknya. Kalau China kuatkuasa tuntutannya ke atas Laut China Selatan, habis telaga minyak kita jadi milik republik itu. Isu ini pernah juga akhbar The Star siarkan satu rencana oleh penulis dari Singapura yang menyokong tuntutan China ke atas Beting Serupai.
Hairannya, macam mana akhbar Malaysia boleh menyokong tindakan China yang cuba merampas hak kedaulatan perairan negara kita? Setakat ini tiada pula laporan polis dibuat. Pihak kerajaan patut peka ancaman kritikal ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan