"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"Jangan Hantar Saya Ke Penjara" - Anwar

Suasana tegang di perkarangan mahkamah

3.17pm:  Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Tan Kar Hing ditahan di belakang Istana Kehakiman ketika polis cuba membawa Anwar beredar daripada bangunan itu.

3.10pm Wan Azizah keluar daripada Istana Kehakiman menuju ke keretanya. Pihak media diminta ke ibu pejabat PKR di Petaling Jaya untuk perkembangan lanjut.

3.05pm: Berlaku tolak menolak antara polis dan penyokong Anwar yang enggan bersurai.

2.45pm: Saiful Bukhari Azlan menulis di blog bahawa keputusan hari ini membuktikan bahawa beliau saksi berwibawa.

2.43pm: FRU mengeluarkan amaran kedua tetapi orang ramai masih enggan beredar.

2.30pm: Polis mengiring keluar Anwar dari bilik mahkamah tetapi pergerakannya tersekat-sekat akibat kumpulan penyokong yang berebut-rebut memeluk beliau sebelum dibawa ke penjara.

Anwar mohon beliau ditahan di penjara Sungai Buloh, tempat beliau dipenjarakan selama lima tahun sebelum dibebaskan pada penghujung 2004.

2.10pm: Suasana tegang menyelubungi perkarangan Istana Kehakiman. Penyokong Anwar melaungkan slogan-slogan mengecam keputusan itu.

Loceng pasukan pencegah rusuhan dibunyikan dan anggota pasukan itu dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, Anwar masih berada di mahkamah bersama peguam utamanya Gopal Sri Ram.

2pm: Hakim beredar daripada mahkamah. Laungan "reformasi" dan "Allahuakhbar" gamatkan dewan mahkamah. Anwar memeluk penyokongnya.

1.57pm: Hakim berkata mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun seperti dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.

1.38pm: Lima hakim yang mendengar rayuan itu meninggalkan tempat duduk mereka sewaktu Anwar membangkitkan konspirasi politik, termasuk mendakwa mereka "tunduk pada tuan politik" mereka.

"Yang arif boleh mengharumkan nama (dalam keputusan ini). Tetapi yang arif tetap memilih menyebelahi kegelapan," tambahnya, mendorong hakim mendesaknya agar berhenti.

Apabila Anwar enggan, semua hakim itu meninggalkan tempat duduk mereka.

1.35pm Pasukan antirusuhan FRU bersedia di kawasan perkarangan Istana Kehakiman.

Di dalam mahkamah, Anwar mengemukakan hujahnya sekarang. Tokoh PKR itu berkata beliau menerima keputusan ini dengan tenang.


Bagaimanapun beliau juga berkata beliau tetap tidak bersalah dan kes ini suatu konspirasi politik bagi menyekat cita-citanya sebagai perdana menteri.

1.34pm: Shafee mahu Anwar dikenakan hukuman sekurang-kurangnya enam tahun.

1.28pm: Shafee berkata kesalahan itu serius dan tidak menolak sumbangan Anwar terhadap kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, lebih besar seseorang itu, “lebih besar juga jenayahnya”.

1.22pm: Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Shafee Abdullah berkata hukuman maksimum selama 20 tahun tetapi hukuman rotan tidak relevan.

1.18pm: Kira-kira 1,000 penyokong Anwar berkumpul di pintu belakang kompleks mahkamah, sambil melaungkan slogan popular pembangkang “Reformasi” dan “Hidup Anwar”.

1.17pm: Gopal berkata tiada sebab yang baik untuk menambah hukuman berdasarkan fakta kes.

1.12pm: Peguam utama Anwar, Sri Ram menyentuh soal hukuman.

Katanya, mahkamah patut mengambil kira sumbangan Anwar kepada demokrasi Malaysia, termasuk ketika dia bersama kerajaan sebelum ini, sebelum membuat keputusan.

1.08pm: Mahkamah bersambung semula.

1.04pm: Anwar memeluk isteri dan anaknya Nurul Izzah. Suasana penuh emosi.

12.45pm: Anwar memberitahu cucunya supaya rajin-rajin belajar manakala isterinya Wan Azizah berkata anggota keluarga mereka kekal tabah.

12.20pm: Kerajaan Malaysia menyifatkan keputusan mahkamah dibuat selepas mengambil kira semua bukti dengan seimbang dan objektif.

Kerajaan turut menegaskan laporan polis terhadap Anwar dibuat oleh Saiful dan tidak ada kena-mengena dengan pihak kerajaan.

"Sebagai mangsa terhadap keganasan seksual, dia mempunyai hak supaya kesnya dibicarakan di mahkamah," kenyataan itu dipetik.

Kerajaan juga menyeru semua pihak yang terlibat untuk menghormati proses undang-undang dan keputusan hakim.
-malaysiakini-

Anwar Bersalah Liwat Saiful, Penjara Lima Tahun Kekal
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya.

Keputusan rayuan Anwar itu diumumkan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Turut sama bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali, yang mendengar rayuan Anwar pada November tahun lepas.

Keputusan itu sekaligus menyebabkan Anwar lucut kelayakkan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
-mstar-

"Jangan Hantar Saya Ke Penjara" - Anwar
PETALING JAYA: Berbaki beberapa jam sebelum Mahkamah Persekutuan membacakan keputusan kes liwat keduanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim merayu supaya dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Menurut ketua pembangkang itu, pada tahap ini beliau masih mengharapkan mahkamah memihak kepadanya.

"Saya tak salah, jangan hantar saya ke penjara.

"Namun saya masih mengharapkan keputusan yang wajar dan waras," katanya ketika berceramah di Padang Timur di sini, Isnin malam.

Ceramah perdana 'Rakyat Hakim Negara' anjuran pakatan pembangkang itu adalah medan terakhir meraih simpati rakyat terhadap kes tuduhan liwat yang dihadapi Anwar.

Pada Selasa, Anwar akan berhadapan keputusan rayuan terakhir kes meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa meliwat Mohd Saiful, 30, di Unit 11-5-1 di Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Mengulas lanjut Anwar bagaimanapun berkata, beliau sudah bersedia sekiranya dipenjarakan.

"Kalau masuk (penjara) pun kita tak akan menyerah. Kita akan terus berjuang... InsyaAllah (saya) bebas.

"Saya sedia terima apa jua keputusan jika ini (keputusan agar dipenjara) adalah harga yang perlu saya bayar," katanya.
-mstar-

Tiada ulasan: