"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Banyak sejarah pahit dilalui bersama Nik Aziz – Husam

aziz musa
PULAU MELAKA: Banyak pengalaman pahit yang dilalui sepanjang bekerja dengan Allahyarham Nik Aziz Nik Mat sebelum tahun 1999 dan disambung kembali pada 2004 hingga 2013, kata Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Menurutnya, sepanjang bertugas dengan Nik Aziz beliau bertindak sebagai ‘budak suruhan’ bagi menyelesaikan masalah, antaranya termasuk yang berbangkit dengan pihak Istana, mahkamah mahupun parti-parti lain.

“Semua itu telah membimbing saya menjadi lebih matang dan memahami falsafah politik dan dakwah beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tanah perkuburan Pulau Melaka hari ini.

Perjuangan Nik Aziz juga berbeza dengan pemimpin politik lain kerana dasar kepimpinannya adalah mendekatkan diri dengan pelbagai kaum bagi memastikan rakyat Malaysia didekati dengan Islam dan perjuangan itu perlu diwarisi pemimpin PAS dan generasi muda yang lain.

“Saya ada menyimpan tulisan tangan Tok Guru Nik Aziz mungkin tiada siapa yang pernah melihat. Catitan itu mengambarkan pegangan politik dan falsafah beliau dan ianya merupakan perkara berharga yang saya pelajari,” katanya.

Husam yang juga bekas EXCO kerajaan Kelantan menyifatkan pemergian Nik Aziz pada malam Jumaat merupakan penghargaan paling bermakna yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ditambah pula dengan puluhan ribu rakyat yang hadir.

“Ini penghargaan Allah, saya bahagia diberi seorang pemimpin seperti ini oleh Allah, dengan penghormatan seperti ini saya harap dapat ikut jejak langkah beliau sampai saya meninggal,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Takiyuddin Hassan yang merupakan Ahli Parlimen Kota Baharu, menjelaskan Allahyarham Nik Aziz merupakan pemimpin seluruh umat tanpa mengira bangsa dan agama, yang sukar dicari ganti.

“Saya harap beliau mendapat keberkatan dan ditempatkan dalam kalangan orang yang baik di sisi Allah,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan Nik Aziz sebagai individu yang banyak berjasa dan berharap segala jasa dan pengorbanan beliau mendapat ganjaran di sisi Allah.

Ketiga-tiga pemimpin itu hadir ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Nik Aziz.

Pemergian Nik Aziz juga turut ditangisi puluhan ribu penyokong beliau yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada tokoh politik dan agama itu.

Mereka bukan saja dari Kelantan, sejak pemergian Allahyarham kira-kira 9.40 malam tadi, orang ramai mula berpusu-pusu menuju ke Kelantan daripada pelbagai pelosok negara.
-fmt-

Tiada ulasan: