"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib pilih berundur atau diusir rakyat?

ZULKIFLI YAHAYA
PIHAK pembangkang mahupun kerajaan masingmasing berlumba-lumba mendesak Dato’ Seri Mohd Najib Razak membersihkan diri dengan menyaman The Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa perdana menteri tu memasukkan sebanyak RM2.6 bilion dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) ke dalam akaunnya di Bank AmPrivate di Kuala Lumpur antara 2013 dan 2015. Ada pihak membuat laporan polis berhubung idu berkaitan.
Desakan dari pihak yang berbeza itu membawa maksud yang berbeza juga, sekalipun tindakan mereka sama. Satu pihak merasakan Najib betul.

Lebih hebat ada yang mendakwa ia permainan pihak Yahudi yang ingin mengkucar-kacirkan negara ini. Maka dengan menyaman WSJ maka nanti akhbar tersebut akan kantoi di mahkamah kerana membuat berita palsu. Maruah Najib boleh dipulihkan. Mereka ikhlas membela Najib dan yakin beliau tidak bersalah.

Di satu pihak lagi, desakan bertujuan untuk mendedahkan lebih banyak “penyelewengan” Najib melalui mahkamah. Cabaran untuk Najib “membersihkan nama” itu semacam tidak berapa ikhlas, kerana mereka juga berharap nama Najib tercemar apabila melalui proses mahkamah.

Tugas utama mahkamah ialah membuat keputusan terakhir sama ada ada sesuatu dakwaan benar atau salah. Pihak yang bersalah akan dihukum. Namun proses membuat keputusan itu selalunya terpaksa membongkar banyak perkara lain di mahkamah.

Perkara ini yang mungkin membuatkan ramai ahli politik atau pihak yang menentingkan imej berfikir banyak kali sebelum membawa kes ke mahkamah.

Dalam kes Liwat I yang mengaitkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim 1998 dahulu, tentu ramai masih ingat peristiwa tilam diusung ke mahkamah berkali-kali.

Kononnya tilam itu antara bahan bukti bahawa Anwar bermukah dengan perempuan yang bukan isterinya. Banyak lagi perkara memalukan yang terbongkar di mahkamah di sebalik isu utama iaitu dakwaan terhadap Anwar.

Benar atau salah itu cerita lain tetapi pihak yang mahu melihat imej Anwar rosak telahpun berjaya melakukannya.

Cabaran supaya Najib saman WSJ bagi pihak tertentu adalah dengan harapan supaya nanti akhbar perniagaan itu dapat mendedahkan banyak perkara lain di mahkamah, yang masih berkaitan dengan dakwaan tersebut. Sehingga kini pihak WST juga beriya-iya mempertahankan dakwaannya, bertegas bahawa mereka “ada bukti kukuh.”

Agak mengejutkan kerana (setakat ini) Najib bertegas akan menyaman WSJ. “Kalau betul saya nak samun, nak songlap duit negara takkan saya nak masukkan duit tersebut ke dalam akaun saya,”

ujar Najib. Beliau menegaskan selaku perdana menteri yang dipilih rakyat tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini. Nampak macam yakin dia tidak bersalah.

Apapun Najib adalah seorang pemain politik. Menggunakan saluran mahkamah untuk apa tujuan pun akan memakan masa yang lama. Kadang-kadang ia seolah-olah sengaja dibuat untuk melambatkan proses. Kes Liwat II Anwar tertangguh di Mahkamah Tinggi sehingga 69 kali dan ia disifatkan sebagai percubaan untuk melengahkan perbicaraan dan hukuman.

Jika Najib failkan saman sekarang, tidaklah rakyat akan didedahkan dengan dakwaan penyelewengan Najib dengan segera di mahkamah. Masa yang diambil mungkin melewati PRU14. Selepas itu penyelesaian di luar mahkamah boleh dibuat. Maka tiada siapa akan tahu cerita sebenar.

Mungkin atas asas tersebut, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berpendapat bahawa Najib perlu segera menjelaskan sama ada beliau mempunyai beberapa akaun peribadi di sebuah bank swasta, daripada berfikir untuk menyaman WSJ. Bagi Abu Talib, dakwaan terhadap perdana menteri itu sangat serius dan penjelasan perlu untuk melindungi integriti jawatannya.

“Kesan memfailkan saman undang-undang terhadap WSJ akan mengambil masa yang lama.

Perkara segera adalah bagi perdana menteri untuk menjelaskan sama ada beliau mempunyai akaun di bank itu,” kata Abu Talib.

Selain Najib, pihak bank berkenaan juga boleh menjelaskan kedudukan Najib selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Persoalannya, adakah pihak berkuasa di Malaysia bebas dari cengkaman perdana menteri?

Dakwaan terhadap Najib itu adalah serangan bersiri yang dihadapkan kepadanya satu demi satu. Belum terjawab sepenuhnya isu dakwaan penyelewengan yang terpalit kepada kerajaan pimpinan Najib, muncul pula yang lain.

Serangan bertalu-talu terhadap Najib ini bagaimanapun belum mampu untuk mejatuhkan beliau.

Sebaliknya yang jatuh ialah nilai mata wang. Nilai Ringgit Malaysia jatuh ke tahap paling lemah sejak 2005. Mata wang itu jatuh 0.6 peratus kepada 3.8025 berbanding sedolar Amerika Syarikat pada jam 9.27 pagi 6 Julai 2015 di Kuala Lumpur, menurut data dikumpulkan Bloomberg.

Menurut pakar ekonomi, kadar pertukaran matawang Malaysia paling terus merosot tahun ini susulan kontroversi di sekitar syarikat pelaburan negara 1MDB yang bernaung langsung di bawah perdana menteri.

Menjelang sambutan Aidilfitri, rakyat Malaysia akan berbelanja sakan sekalipun di bawah tekanan harga barangan yang teruk ekoran GST dan kenaikan harga minyak.

Kerana sambutan perayaan utama, rakyat akan bergolok bergadai untuk berbelanja. Selepas berakhir musim perayaan, maka tunggulah kesan yang sangat dahsyat terhadap ekonomi Malaysia. Masa itu rakyat akan benar-benar terasa penyeksaannya.

Maka Najib harus berfikir dengan baik, sama ada berundur sekarang atau dipaksa berundur oleh rakyat. Dalam sejarah Malaysia tidak pernah berlaku situasi yang seperti itu. Namun banyak perkara luarbiasa yang tidak pernah berlaku di Malaysia, berlaku di zaman Najib.

Tiada ulasan: