"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Momentum kedua perpecahan besar Pas sudah kelihatan

AHMAD LUTHFI OTHMAN
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mendakwa, Pas kini berdepan perpecahan setelah ia mula menampakkan kerjasama dan hubungan baik dengan Umno.

“Saya boleh katakan hari ini Pas sudah terbelah dua dan sebenarnya sudah berpecah.

“Satu kekuatan yang saya pelajari dengan Pas (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, Pas akan berpecah lagi. Saya berani menyatakan Pas akan berpecah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Kenyataan Salahudin yang berpengalaman sebagai bekas Naib Presiden Pas paling kanan itu sebenarnya sudah lama dikongsi banyak pihak dan telah menjadi tanggapan serta kepercayaan umum. Meskipun senantiasa disanggah pimpinan tertinggi Pas dan menganggapnya fitnah semata-mata, persepsi bahawa Parti Islam itu lebih selesa dengan Umno berbanding parti-parti pembangkang sukar disangkal lagi. Blogger terkenal, Shahbudin Husin menyifatkan pimpinan Pas sebagai "mengada-ngada" dengan memberikan pelbagai syarat sebelum kerjasama dengan parti pembangkang, khususnya Bersatu, dapat diadakan.

Mesej tersirat

Memang benar, belum ada perjanjian termeterai atau tahaluf siyasi dengan Umno terjalin secara formal, tetapi dilihat gerak dan mesej tersirat pemimpin-pemimpin kanan tertentu Pas, isyaratnya tidak lagi samar-samar.

Jika berbicara soal kerjasama politik dengan pembangkang, ada-ada saja syarat ketat yang mengikat dikemukakan. Dalam masa sama, seolah-olah terbuka ruang untuk muafakat bersama Umno dan Najib Razak, kononnya demi kepentingan Melayu-Islam. Peliknya, kompromi nampak lebih mudah, walaupun dengan Perdana Menteri, Najib Razak, yang terpalit pelbagai skandal mega yang memalukan, sehingga digelar "penyamun-perompak-pencuri".

Salahuddin mungkin merujuk muktamar tahunan Pas hujung April ini, di Alor Setar, yang bakal menyaksikan pemilihan kepimpinan, sebagai "proses tapisan" seterusnya, selepas muktamar 2015 di Kuala Selangor menyingkirkan sebahagian besar peneraju parti.

Ia bagai disahkan jika dirujuk kemaskini facebook Azman Shapawi, bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas yang juga bekas Adun Rantau Abang, Terengganu, pada 22 Februari lalu: "Muktamar Pas tahun ini ada pemilihan kepimpinan di semua peringkat. Pembersihan perlu dibuat lagi. Mungkin bukan di peringkat pusat. Tapi di peringkat kawasan masih ada saki baki yang berjiwa lain daripada Pas."

Secara lebih khusus, Harakahdaily pada 23 Februari menyiarkan berita Setiausaha Pemuda Pas Negeri Kelantan, Nazman Che Iberahim, yang mengulas kenyataan Salahuddin itu.

Katanya, muktamar Pas tahun ini penting kerana pemilihan parti semua peringkat diadakan agar "dibersihkan saki baki anggota parti dan pemimpin yang bermasalah bermula peringkat cawangan lagi".

“Kita tidak nafikan masih ada beberapa kerat pemimpin, atau ahli Pas yang jasadnya masih bersama Pas, namun tindakan dan ucapan sering mengkritik dasar parti,” kata Nazman.

Pertembungan pemikiran dan perbedaan pendekatan adalah lumrah dalam sesebuah organisasi, sementalahan pula parti politik, apatah lagi kepada parti yang semakin membesar. Malah, sekiranya ditangani dengan bijaksana dan berhemah kepelbagaian yang rencam itu, ia merupakan aset terbesar untuk melonjakkan wilayah pengaruh parti berkenaan, menembusi seluruh sektor masyarakat.

Ketua parti yang berjiwa besar dan bersikap terbuka, umpama seorang bapa, yang sabar dan cermat menghadapi karenah anak-anak, yang mungkin asyik bercakaran sesama sendiri. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Bukannya bertindak berang menyebelahi anak tertentu atau menghalau anak yang lain keluar rumah.

Sejak dahulu pemerhati politik melihat ada kecenderungan berbeda dalam Pas. Sebahagian menjadikan rentas geografi sebagai garis pemisah, antara Pantai Timur dan Pantai Barat, negeri majoriti Melayu dan wilayah yang lebih majmuk kmposisi penduduknya.

Mungkin pemimpin yang berakar di Kelantan dan Terengganu mempunyai sudut pandang berbeda dengan tokoh yang berasal dari Kedah dan Selangor atau Johor. Boleh jadi juga pemimpin yang berpendidikan Timur Tengah dan India-Pakistan tidak selari idea politiknya berbanding lepasan universiti dalam negeri, meskipun semuanya bergelar ulama.

Namun, semua sumber itu dapat diolah dengan baik, dengan mentransformasikannya sebagai aset berharga, oleh ketua yang berwawasan, bukan menjadi penyebab sesebuah organisasi itu berpecah-belah.

Rahsia umum

Malangnya, bukan rahsia umum lagi, pemimpin-pemimpin Pas dari Terengganu dan Kelantan. misalnya Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri, bersama Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Dr Khairuddin Aman Razali dan juga Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi (walaupun berasal dari Pahang) dilihat berbeda pendekatan untuk memajukan parti, dengan Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan Iskandar Abd Samad.

Dikhabarkan, Iskandar, Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga anggota Exco Kanan kerajaan negeri, kerap juga bertembung dengan pimpinan parti dari Kelantan dan Terengganu, yang cuba campur tangan secara berlebihan, sehingga boleh menganggu persefahaman politik di negeri termaju itu.

Malah, ada sumber mendakwa Iskandar sudah pun dilabelkan dengan gelaran yang negatif, sepertimana pernah dihadapi pemimpin Pas Selangor sebelum ini, misalnya Khalid Samad dan Dr Abd Rani Osman. Perbedaan bukan satu rahmat lagi.

Mengenali Setiausaha Perhubungan, Khairudin Othman, saya kira Adun Paya Jaras itu juga tentu tidak selesa dengan pembawaan majoriti pemimpin tertinggi parti, yang menjurus kepada kehilangan hampir semua kerusi yang dimenangi pada 2013!

Saya sendiri tidak percaya pendekatan atau rentak berpolitik berbeda boleh memecahkan parti. Lihat saja gaya berpolitik Dr Mahathir Mohamad berbeda dengan Muhyiddin Yassin, begitu juga dengan stail Muhammad Sabu dan Salahuddin Ayub, dan tidak terkecuali pendekatan Dr Wan Azizah Ismail dan Azmin Ali.

Pada era pertengahan 1990-an, ketika saya agak rapat dengan Dr Rais Yatim dan sering berkunjung ke pejabatnya di Jalan Tunku Abdul Rahman, bekas Timbalan Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu menyuarakan rasa tidak puas hatinya dengan gaya aristokrat ketuanya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Malah, sewaktu gandingan mantap Pas, Ustaz Fadzil Mohd Noor dan Ustaz Hadi Awang, ramai pemerhati melihat kedua-dua tokoh mempunyai personaliti dan gaya berpolitik yang berbeda. Namun semuanya tidak membawa parti terbelah dua.

Sejurus selepas program pemukiman Pas Pusat di sebuah hotel di Kuala Selangor, hampir tiga tahun lalu, saya berkunjung ke kediaman seorang pimpinan tertingginya, yang juga seorang ulama terkenal. Kami bersembang santai, terutama tentang kesihatan. Menyentuh soal polemik dalaman parti yang kecoh ketika itu, tokoh berkenaan membayangkan kemungkinan Pas mencari sekutu yang baru, meninggalkan Pakatan Rakyat.

Saya bertanya, mungkinkan Pas kembali bertanding solo? Jawabnya, kalau Pas berseorangan, yang pasti semua kerusi di Johor dan Selangor akan kalah. Maknanya, beliau menyedari keperluan membentuk pakatan yang baru. Saya tidak rasa yang dirujuknya adalah Blok Ketiga, iaitu persefahaman bersama parti kecil, Ikatan, yang membentuk Gagasan Sejahtera, yang belum pun wujud ketika itu.

Ditanya lanjut, apakah pakatan baru dengan Umno. Jawabnya sambil tersenyum, tidak semestinya.
Semakin dekat, akrab

Himpunan Ungu RUU355, 18 Februari lalu -- selepas himpunan solidari Rohingya dan kapal misi kemanusiaan food flotila -- juga menyaksikan Pas semakin dekat dengan Umno-Najib. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom (yang sedang menghadapi tindakan undang-undang oleh Yayasan Pembangunan Anak yatim/miskin atas dakwaan salah laku), bukan saja hadir berpidato, tetapi sempat menitipkan salam dari Najib Razak. Saya tertarik bila Jamil mengatakan dia bergegas ke Padang Merbok daripada program yang turut dihadiri Najib dan Zahid Hamidi, di Janda Baik. Program Institut Latihan Memperkasa Umno (Ilmu).

Dr Hassan Ali, yang menyokong penuh idea kerajaan perpaduan Umno-Pas -- dan pernah menyifatkan Tuan Guru Nik Aziz sebagai penghalang utama usaha itu -- juga diundang sebagai pemidato utama. Di majlis itu, DAP digambarkan sebagai hantu yang menakutkan. Ya, memang mudah menjentik sentimen dan emosi bila disentuh hal agama dan kaum, walaupun dari perspektif yang mengelirukan.

Bagi saya, program yang tidak mendapat sebarang gangguan daripada penguasa, sebagaimana lazimnya terjadi kepada himpunan amanan anjuran pembangkang lain, memang mendapat sambutan yang agak luarbiasa. Dan bukanlah pelik Pas dapat menghimpunkan puluhan ribu hadirin dalam majlis-majlis ceramahnya, sejak dahulu lagi.

Seperti kata Mohamad Sabu, Presiden Amanah, pada pertengahan 1980-an dulu, dalam satu program ceramah di Kedah, begitu ramai yang hadir hinggakan orang yang terakhir dapat keluar dari kawasan majlis itu, disebabkan kenderaan berpusu-pusu sesak, adalah menjelang azan Subuh. Tetapi bila diumumkan keputusan PRU1986, Pas hanya menang satu kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dun Kedah.

Rakan saya, Lim Hong Siang, kolumnis mingguan Amanah mencatatkan pengamatannya mengenai himpunan RUU355: "Hakikatnya, sungguhpun Pas mengalami retakan dalaman, robek hubungannya dengan parti pembangkang yang lain sejak dua tahun kebelakangan, ia tetap memiliki kemampuan untuk mengerah penyokongnya. ... jangan sesekali kita memperlekehkan kemampuan Pas dalam soal mobilisasi."

Bukankah himpunan itu dianggap pemimpin tertingginya sebagai menentukan maruah Pas? Maka, tidak hairanlah apabila pemerhati politik melihat Pas merasakan ia bertambah kuat dan semakin "jual mahal" dalam rundingannya dengan parti pembangkang.

"Bagus juga kesan himpunan RUU355 kepada psikologi pemimpin Pas. Sebahagian mereka tambah yakin dengan kekuatan sendiri, tak perlu sokongan parti lain," kata bekas pemimpin Pas yang tersingkir, dengan nada sinis. "Mungkin hubungan dengan PKR pun mereka boleh putuskan sebab terlalu obses dengan kejayaan himpunan unggu itu."

Lebih menarik lagi, ulasan Nik Abduh, sehari selepas RUU355: "... Itu baru Umno sokong usul Pas. Bagaimana selepas ini jika orang Umno dan pemimpinnya mula menerima dan rela jika Pas menang lebih baik dan lebih besar sehingga 40 kerusi Parlimen atau lebih?"

Waduh, baiknya hati Umno untuk memberi laluan mudah 40 kerusi Parlimen kepada Pas! Saya terkedu. Sudah tidak tahu bagaimana mahu mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas yang sering mengeluarkan kenyataan bagi mendekatkan Umno-Pas itu.

Menyerahkan 40 kerusi kepada Pas, bermakna Umno sedia dan reda kalah separuh daripada kerusinya yang ada. Ini belum dikira jumlah kerusi Umno yang bakal tewas kepada Bersatu dan Amanah lagi.

Menyatukan ummah

Saya lebih tidak dapat memahami apa maksud sebenar ucapan Nik Abduh semasa Seminar Pemikiran Haron Din, 25 Februari lalu. Laporan laman Antarapos.com dipetik: Matlamat Pas sejak dahulu mahu menumbangkan Umno bagi menukar pucuk pemerintahan negara, namun setelah Almarhum Datuk Dr Haron Din menjadi mursyidul am parti itu, Pas berfungsi sebagai parti yang menyatukan ummah.

Demikian kata ketua pemudanya, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz dalam syarahannya pada seminar itu. "Biarpun orang awam lihat Pas hanya mahu tumbangkan Umno, tapi sifat Tok Guru (Haron), Pas bukan hanya kerja nak runtuhkan Umno tapi kerja membina ummah. Itulah kelebihan politik Haron Din berbanding Nik Aziz, politiknya adalah politik menyatu. Politik menghubung,” tambah Nik Abduh, seperti laporan Antarapos.

Justeru, saya kira "ramalan" Salahuddin bahawa Pas akan berpecah sekali lagi, akan menjadi kenyataan jika ahli-ahlinya dapat melihat kecenderungan politik pemimpin tertingginya adalah untuk membawa kerjasama -- walau dalam apa bentuk sekalipun - dengan Umno-Najib.
Jangan terkejut

Boleh jadi juga momentum kali ini lebih besar daripada perpecahan yang mewujudkan Parti Amanah Negara lebih setahun lalu. Ahli-ahli akar umbi mungkin dapat menerima dan akur dengan apa juga eksperimen politik, asalkan bukan mengadakan pakatan politik dengan Umno.

"Dan jangan terkejut, kalau berlaku persefahaman politik dengan Umno, baik atas nama tahaluf ke, taawun ke, negeri yang dilihat penyokong kuat Haji Hadi, misalnya Terengganu sendiri, Pas boleh terjejas teruk di sana," kata seorang veteran Pas.

Malah, saya teringat kata-kata bekas seorang AJK Pas Pusat ketika beliau masih menyandang jawatan itu, dalam satu meyuarat di Harakah, lebih dua tahun lalu: "Soal hubungan rapat baik Pas-Umno hanya masalah penerimaan ahli peringkat bawah. Pemimpin tertinggi tertentu sudahpun ada keputusan positif untuk menjalin hubungan itu. Cuma mereka takut reaksi negatif akar umbi."

"Jadi," tambah beliau yang masih memegang jawatan penting dalam Pas, "peranan mereka adalah untuk menyediakan tapak selesa ke arah kerjasama politik itu. Sebab itu, ditekankan soal taat setia, walak dan sebagainya."

Saya sendiri cuba menduga sikap dan pendirian rakan-rakan dan kenalan yang masih istiqamah bersama Pas. Mereka boleh meneerima pendirian Pas memutuskan hubungan dengan DAP, hatta meninggalkan PKR sekalipun, namun untuk berbaik-baik dengan Umno, tidak sama sekali.

Dan sebahagian mereka, dengan nada risau dan bimbang sering bertanya saya: "Betul ke Mat, Pas dapat duit RM90 juta daripada Umno?" Saya bertanya balik: "Kalau betul, awat?" Kebanyakan mereka pantas menyanggah: "Mustahil! Mustahil!"

Lebih dibimbangi pimpinan Pas apabila sudah terbentuk wadah alternatif buat ahli-ahlinya yang akan bangkit protes jika sah berlaku hubungan politik Pas-Umno, iaitu wujud satu lagi parti Islam di negara ini, Parti Amanah Negara.

Tiada ulasan: