"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

RUU355: Antara Bebanan Rakyat & Kebejatan Tadbir-Urus Negara…Mana Penyelesaiannya?

Apabila kelompok dipertikai rakyat, naik ke pentas RUU…’
Dr Dzulkefly Ahmad 
Seperti lazim, sejurus selepas sesuatu perhimpunan besar, ramalan jumlah peserta menjadi tajuk hangat media. Begitu juga hal untuk perhimpunan RUU 355 tempoh hari yang diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Polis Kuala Lumpur melaporkan jumlah kehadiran senagai 20,000 orang sementara portal Malaysiakini kata 50,000.

Utusan Malaysia sebut 15,000 sementara Harakah rekodkan 100,000.

Paling menarik, pengerusi perhimpunan iystihar 300,000 peserta. Setahu penulis, mengikut DBKL, padang itu hanya mampu memuatkan 50,000 orang, itupun jika ia melimpah.

Begitupun, tahniah! Jumlah itu pun cukup besar. Kalau PAS punggah 10 peratus ahlinya pun sudah 100,000 orang!

Namun apa di sebalik psikologi 300,00 kehadiran itu?

Kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan mengambarkan segala-galanya. Beliau mengingatkan pengkritik RUU 355, dengan jumlah itu, ‘sila tutup mulut’!

Beliau silap dan tersasar lagi.

Perbezaan pandangan terhadap RUU 355 itu tidak dapat dilenyapkan dengan himpunan raksasa. Bukan begitu caranya. Fahamkan yang dipertikaikan.

Sudah banyak penulisan tampil. Sama ada ilmuan lslam mahupun pengamal undang-undang, semuanya beri perspektif tersendiri yang terkadang-kali berbeza.

Cukup-cukuplah ‘mentakfir’

Pendukung RUU 355 keliru tentang ‘proses legislatif’ atau ‘at-taqnin’.

Ia semestinya tertakluk kepada perbahasan atau ‘perdebatan sengit’ (rigorous check and balance) bagi mencari dan menggubal yang terbaik untuk umat, rakyat seluruhnya dan negara.

Jangan hukum anti-Islam, kafir atau munafiq kepada golongan tidak bersetuju dengan pidaan RUU Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) (Pindaan) 2016.

Fahamkan perbezaan antara ‘Syariah wa Qanun’ (Syariah dan Undang-undang).

Syariah itu sifatnya Quddus atau Sakral dan tidak harus dipertikaikan. Undang-undang pula seperti Enakmen Jenayah Kesalahan Syariah, EJKS atau Akta 355 itu adalah usaha manusia (human endeavours) untuk mengundang-undangkan Syariah.

Justeru penulis ingatkan, cukup-cukuplah ‘mentakfir’ golongan yang tidak bersetuju dengan cadangan kita.

Namun soal besar ialah: Apakah ini penyelesaian utama oleh sebuah parti politik Islam yang berusia 65 tahun, berdepan dengan rakyat dan negara yang kini dalam serba keberantakan?

Bagaimanakah RUU 355 ini akan mendepani dan mengatasi pelbagai kebejatan sosial dan kemungkaran penguasa politik di negara ini?

Lebih asas lagi, apakah didiagnosis penyakit atau sindromnya kritikal terlebih dahulu sehingga ‘rawatan’ pindaan RUU 355 dicadangkan?

‘Kelumpuhan intelek’

Merumuskan semua permasalahan masyarakat dengan rawatan pendekatan “Hukum dan Hukuman” adalah cara berfikir parti lslam di Malaysia ini bahkan sebahagian besar parti-parti Islam di negara majoriti umat lslam di dunia ini.

Ada ilmuan Islam yang mengistilahkan fenomena ini sebagai ‘Intellectual Paralysis’ atau ‘Kelumpuhan Intelek atau Berfikir’.

‘Hukum dan Hukuman’ (Legal Reductionism) adalah ciri dan ‘obsession’ utama kepimpinan Islam atau parti-parti politik Islam di negara-negara majoriti umat lslam seperti Sudan, Pakistan dan Afghanistan.

Malangnya negara mereka tidak dapat dijadikan contoh baik untuk umat Islam.

Saya cuba ringkaskan masalah besar rakyat dan negara kini sebegini.

Wujud pertentangan kaum dan perbalahan agama yang mengancam keamanan dan keharmonian negara.

Perseteruan agama

Api perkauman serta perseteruan agama sengaja dijadikan modal politik untuk sesetengah pihak meneruskan kuasa dengan cara ‘pecah-perintah’.

Kedua, kebejatan tadbir-urus kewangan yang sarat rasuah, salah-guna kuasa, serta penyelwengan oleh penguasa politik.

‘Mercu tanda’ kebejatan ini dilambangi oleh skandal terdahsyat 1MDB dan terkini institusi lain yang juga terkorban seperti FGV, Tabung Haji, MARA dan lain-lainnya.

Hilangnya sifat integriti, keamanahan, ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Ketiga, rakyat terhempit dengan kos perbelanjaan harian (termasuk pengangkutan, kesihatan dan pendidikan), dicukai lagi secara songsang (regresif) dengan 6peratus GST termasuk yang miskin.

Subsidi rakyat dihapuskan. Kenaikan kos kehidupan melebihi kenaikan pendapatan. Hutang isi-rumah turut membengkak.

Keempat, hilangnya fungsi sebuah kerajaan untuk menginstitusikan semak-imbang yang berkesan kerana cabang eksekutif (yakni PM) telah ‘merampas’ segala kuasa ‘cabang legislatif’ dan judisiari (perundangan).

Kesalahan PM tidak lagi dapat diambil tindakan olih pihak Peguam Negara atau Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Negara.

Semua agensi penguatkuasa di bawah kongkongan PM seperti pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan lain-lain.

Nah, dalam suasana sebegini, rakyat bertanya, bagaimanakah RUU355 akan menangani dan merungkaikan permasalahan rakyat dan kebejatan tadbir-urus negara ini? Tentunya agak tersasar.

Bukankah antara ciri utama Gerakan dan Politik Islam semestinya memberi penyelesaian kepada permaslahan rakyat dan negara (Hallul Qadhoya Ijtima’iyyah).

Gambaran ini persis seumpama seorang doktor yang salah membuat diagnosis lantas salah memberi ubat!

Cukup aib

Atau lebih tepat lagi doktor yang tidak perlu pun membuat apa-apa diagnosis kerana kononnya sudah mahir dengan penyakit pesakit. Tidak penting tahu punca penyakit!

Nah, kalau ditanya bagaimana ‘preskripsi’ RUU355 mampu merawat? Saya hampir pasti jawapannya ialah soalan itu tidak penting. Sembuh atau tidak bukan kerja manusia.

Yang penting ubat mesti diberikan mengikut ‘mantra turun-temurun’ yakni pelaksanaan hukum.

Peliknya, kelompok yang sedang dipertikai rakyat, tidak segan silu untuk naik ke pentas RUU…

Ada bertanya bagaimana Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang kini disaman RM20 juta oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) kerana didakwa pelbagai salah laku menggunakan dana yayasan anak yatim itu turut berucap?

Menjadi lebih mengaibkan kerana beliau dakwa diarah untuk hadir oleh PM, yang dikenali dunia sebagai ‘Malaysian Official 1′ atau MO1 dalam skandal 1MDB.

Rakyat keliru kesalahan jenayah syariah mana yang mahu ditangani RUU355… kesalahan yang bersabitan rakyat teramai sahaja?

Sebab itu RUU355 juga tidak akan mengatasi permasalahan keharmonian dan kedamaian perhubungan antara bangsa dan agama di negara ini dan tidak juga untuk mengatasi kleptokrasi, jenayah yang dilakukan oleh orang yang berkuasa!

Sedikit ingatan. Seorang pimpinan PAS Pusat sebutkan RUU355 berjaya memaparkan satu realiti baru dalam kesatuan Melayu-Islam yang kononnya digeruni oleh musuh-musuh Islam.

Pertahan kleptokrasi

RUU355 menjadi ‘battle-cry’ untuk menyatukan umat Islam-Melayu! Untuk apa? Pertahan kleptokrasi dan sejenis ‘asobiyah baru’?

Andainya kalau begitu maksudb tersiratnya maka ia sangat malang dan jahat sekali kerana ia bertentangan dengan sifat Islam Rahmatan liL ‘Alamin!

Sebaliknya, negara mesti dibangunkan dengan Fiqh Ta’ayyush (Fiqh Hidup Bersama atau ‘Co-Existence’) di mana semua warga negara memilikki tanggungjawab dan hak yang sama seperti diadun dalam Sahifah Madinah oleh Baginda RasulAlLah.

Semua warga diangkat sebagai ‘Kelas Pertama’ yang dibingkai dengan ‘Fiqh Muwotanah’ ( Fiqh Kewarganegaraan). Tiada ruang perseteruan dan permusuhan atas nama lslam ke atas agama, bangsa serta budaya.

Dalam simpang-siur dan keberantakan politik yang semakin kompleks di negara ini, hati-hati yang jujur dan akal yang waras akan dapat mengerti dan mengakui pencerahan dan kebaikan yang sebenarnya.

Persoalan sebenar akhirnya ialah: Melepasi agenda politik RUU355, bagaimanakah rakyat dan negara ini mesti diselamatkan? Fikir-fikankan…

Tiada ulasan: