"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dulu jemaah tabligh dikecam, kini jemaah PRN Sabah lonjak kes Covid-19

RAYUSA
SAYA menulis artikel ini pada lewat 2 Oktober selepas terkejut dengan jumlah kes baharu Covid-19 hari tersebut, iaitu 287.

Apabila menyambungnya pada lewat 3 Oktober pula, catatan bukan sahaja memeranjat, malah merisau dan menyedihkan. Sebanyak 317 kes pula, iaitu yang tertinggi sejak wabak pandemik ini melanda negara.

Sengaja saya menunda untuk menyiapkan artikel ini kerana mahu menunggu catatan pada 4 Oktober. Biarpun Alhamdulillah jumlah kes baharu menurun kepada 293, tetapi ia masih tiga angka dan empat hari berturut-turut di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) fasa 2. Fasa pemulihan apa kalau berterusan tiga angka begini?

Setakat ini, hanya tiga hari berturut-turut tiga angka, iaitu dari 27 hingga 29 September – masing-masing 150, 115 dan 101 kes. Jumlah 293 lebih tinggi daripada 260, dan 287.

Setelah Malaysia dipuji-puji, dan dibangga-banggakan kerana berjaya membendung penularan Covid-19 dalam masa yang relatif singkat, keadaan sekarang menjadi sebaliknya.

Jumlah kes tertinggi sebelum ini ialah 277, yang dicatatkan pada 4 Jun. Tidak disangka semakin tinggi ketika harapan berbunga negara kita akan mampu bebas Coronavirus. Malaysia pernah mencatat jumlah kes terendah dua kali, iaitu hanya satu kes pada 1 Julai, dan 4 Ogos.

Malang sekali dan mungkin juga takdir yang terpaksa ditelan. Walau bagaimanapun, semua yang berlaku di dunia ini ada sebab, dan akibatnya. Lantaran jumlah kes terendah pernah dicatatkan, dan turun naik pada dua angka, ramai yang semakin alpa.

Peraturan dalam prosedur operasi standard (SOP), terutamanya penjarakan fizikal satu meter kian dilupakan. Topeng pelitup separuh muka memang dipakai, tetapi kaedah dan niatnya masih boleh dipertikai – ada yang lebih takut didenda RM1,000 dan suka meletakkan di bawah dagu.

Pun masih ada juga yang tidak memakai topeng pelitup separuh muka. Adakah mereka kebal atau bebal? Ada yang melagakan penumbuk, malah berjabat tangan seperti biasa ketika bertemu.

Mengapa kes baharu Covid-19 mencanak semula, terutama setelah PKPP kian jauh memasuki fasa dua mulai 1 September lalu?

Menyalahkan pelaksanaan PKPP mulai 10 Jun (banyak kelonggaran) semata-mata sebagai puncanya kurang wajar. Begitu juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum itu dari 4 Mei hingga 9 Jun. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 3 Mei memang berkesan membendung penularan wabak maut tersebut.

Namun demikian, ekonomi negara pula kian meruncing dan akan lumpuh jika PKP berterusan sekian lama.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial yang diarah tutup, dibuka semula dengan penguatkuasaan SOP kesihatan yang ketat.

Langkah tersebut diambil agar ekonomi negara tidak lumpuh lantaran kegiatan perniagaan tidak berjalan, atau kurang rancak.

Jumlah kes baharu harian Covid-19 masih terkawal, dan turun naik. Kerap tercatat dua angka biarpun ada peringatan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PKP akan dilaksanakan semula jika kes kembali mencatatkan tiga angka!

Wajarkah (perlu) PKP dilaksanakan semula? Saya fikir, mahu tidak mahu, mungkin itu sahaja yang mampu membendung masalah sekarang. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri pada 1 Oktober lalu bertanya dalam akaun Twitter beliau, ‘Boleh kita semua duduk di rumah semula buat sementara waktu?’

Ada yang berpendapat setelah kembali mereda, PKP ditukar kepada PKPB kemudian PKPP semula, dan kes rancak kembali. Seperti déjà vu, ia berulang-ulang (selagi vaksin masih belum ditemui). Setelah pertanyaan di Twitter tersebut menjadi agak kecoh, Dr Noor Hisham menjelaskan itu hanya peringatan beliau, bukan permintaan atau arahan kerajaan.

Walau bagaimanapun, dalam sidang media harian pada 3 Oktober, Ismail menyatakan buat masa ini tiada keperluan pelaksanaan semula PKP di seluruh negara.

Keadaan wabak, kata Ismail, masih terkawal kerana beberapa negeri mencatatkan jumlah yang rendah. Kes yang banyak pun, tambahnya, hanya melibatkan penghuni penjara, dan lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang dilakukan ialah PKP Diperketat Bersasar di kawasan-kawasan tenat.

Para pelajar universiti awam yang baharu, dan yang pulang semula ke kampus telah menerima arahan penangguhan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia demi keselamatan mereka, meskipun ibu bapa agak berang, dan sakit kepala kerana perintah itu mengejut.

Namun demikian, belum ada arahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar sekolah rendah dan menengah ditutup,

Ada pro kontranya pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia. Pro dan baik untuk memastikan rakyat patuh duduk di rumah. Tiada jaminan mereka (semua) akan mendengar nasihat KKM jika tidak di‘paksa’. Kontra dan buruknya pula, ekonomi merudum dan lebih ramai hilang pekerjaan/perniagaan.

Setakat ini, belum ada komen atau sanggahan ramai pada cadangan tidak perlu melaksanakan PKP di seluruh negara. Jika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bercadang begitu, saya fikir, akan bertubi-tubi cercaan yang dihamburkan. Oleh kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah dan tanpa DAP, tiada makian dan cacian dilemparkan.

Saya paparkan catatan kes baharu Covid-19 di sepanjang PKPP fasa dua untuk maklumat, dan peringatan semua. Paling rendah ialah enam kes, iaitu pada 2, 5 dan 6 September. Walau bagaimanapun, mengejutkan kerana dua hari berikutnya mendadak menjadi 62, dan 100 kes!

Setelah dua angka dua hari kemudiannya, kes baharu mencanak kepada 182 kes pada 11 September. Kemudian turun kepada dua angka (turun naik berselang-seli) hingga naik kepada 147 kes pada 23 September. Setelah turun ke dua angka keesokannya, kes menaik tiga angka semula, iaitu 111 pada 25 September.

Catatan kes baharu positif selepas itu kian membimbangkan. Meskipun ada penurunan ke dua angka, tetapi mulai 26 September hingga 1 Oktober, hanya dua kali sahaja, iaitu 82 kes (26 September) dan 89 kes (30 September). Satu angka ‘jauh panggang dari api’!

Apakah Oktober akan menjadi bulan pelaksanaan semula PKP jika jumlah kes baharu terus mencanak? Yang nyata, empat hari pertamanya berturut-turut mencatat tiga angka yang tinggi!

Walaupun tidak diminta, potensinya amat besar. Ada yang berharap tiada pelaksanaan semula PKP kerana semua orang akan menghadapi kesukaran. Malang sekali, kesusahan tidak mengenal siapa.

Cuma, yang dikesali ialah mereka yang patuh SOP turut berdepan kesusahan akibat mereka yang (suka/sengaja) melanggarnya. Bukan yang tidak patuh sahaja yang menanggung!

Tarikh kira-kira dua minggu akhir September hingga dua minggu awal Oktober menarik perhatian kerana ia sebelum, dan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah (PRU Sabah) ke-16, 26 September.

Sebelum PRU Sabah ialah penamaan calon, dan kempen bermula pada 12 September. Kegiatan itu memang melibatkan ramai orang – tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi pada hari pengundian. Tidak kurang selepasnya pula.

Virus Covid-19 pula bertahan selama 14 hari. Walaupun mengikut SOP, tetapi ramai yang tidak/sukar mematuhi – memang payah mengawal di setiap masa.

Sebelum ini pun memang kes baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat yang dikatakan berpunca daripada tindakan menahan pendatang asing tanpa izin – Kluster Benteng.

Setelah kempen PRU Sabah bermula, ramai yang datang ke sana, terutamanya pemimpin parti politik dari Semenanjung. Mereka berkempen siang malam di sana, kemudian selepas hari pengundian, pulang semula ke tempat masing-masing di Semenanjung. Tidak semua yang bergejala menjalani kuarantin wajib.

Misalnya, ada anggota PDRM yang bertugas semasa PRU Sabah tidak mengkuarantin diri, sebaliknya terus bertugas sekembali ke Semenanjung (Puchong). Beberapa anggota Kabinet turut dijangkiti. Lebih parah, dikatakan Muhyiddin sendiri tidak menjalani kuarantin wajib!

Justeru, hampir setiap negeri di Semenanjung ada kes baharu Covid-19. Akhir-akhir ini terus meningkat setiap hari. Bukan saya mengenepi Kedah kerana jumlah kes baharu yang tercatat di negeri itu pada 4 Oktober ialah 113. Cuma, Sabah sedang panas sekarang, sementelah jumlah kes baharunya ialah 126 (menjadi 2,389)!

Mengapa PRN Sabah diadakan? Inilah yang menjadi kemarahan ramai sekarang. Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman, mantan Ketua Menteri Sabah (Mac 2003-Mei 2018) kini menjadi individu kecaman ramai.

Gara-gara Musa ghairah mahu menjadi Ketua Menteri semula, rakyat Malaysia kembali tidak aman. Percubaannya untuk kembali berkuasa mendorong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal membubarkan Dun Sabah.

Bukanlah Shafie tidak peka Covid-19, tetapi beliau mahukan keadilan, dan menolak perbalahan/rampasan kuasa, serta menyerahkan semula kepada rakyat.

Memang Warisan Plus tumbang, tetapi keadilan telah dilakukan dan rakyat sudah membuat pilihan walaupun banyak faktor masih boleh dibahaskan. Mana mungkin pemimpin korupsi seperti Musa dibiarkan oleh Shafie memimpin Sabah!

Jadi, ketika Musa sibuk menjaja kelebihan yang didakwanya, Shafie telah bertindak bijak, dan pantas memohon Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dun.

Untuk seketika, rakyat Sabah terselamat daripada Ketua Menteri yang korupsi dan pengumpul harta peribadi. Memang kita para penyokong PH berharap, dan mahukan Warisan Plus/Shafie terus memerintah Sabah.

Walau bagaimanapun, ketika ada yang kecewa kerana yang buruk mendapat kuasa, hikmah tersembunyi harus dilihat. Setelah Kerajaan Persekutuan diterajui PN terus ‘terpaksa’ menangani Covid-19, kini giliran Gabungan Rakyat Sabah pula di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Pada awal kes dan pelaksanaan PKP Mac lalu, setiap hari jari dituding kepada jemaah tabligh Masjid Seri Petaling. Namun begitu, mengapa kini tidak berkata apa-apa terhadap jemaah PRN Sabah walaupun jumlah kes lebih besar?

Dikesali juga pada 4 Oktober apabila Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba mengatakan kes mencanak kerana rakyat mula lupa. Sebenarnya, beliau yang lupa ada pemimpin politik PN, dan menteri yang tidak mempedulikan SOP!

Tiada ulasan: