"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Johor sedia menyusul jika kerajaan baharu di Pusat

AMNI JAGAT

Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini bersedia untuk mengubah sekali lagi landskap politik negeri ini dengan perubahan kerajaan sekiranya perkara tersebut berlaku di peringkat pusat.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan berkata pihaknya dimaklumkan dengan kenyataan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan perkenan menghadap ke bawah DYMM pada 13 Oktober nanti.

Katanya, sekiranya perubahan kerajaan itu berlaku ia juga akan melibatkan kerajaan negeri Johor yang dikatakan mempunyai majoriti yang terlalu tipis untuk bertahan sebagai sebuah kerajaan.

“Kita bersedia apa jua situasi termasuk untuk memerintah semula negeri ini dan agenda yang utama adalah memberikan semula semangat kepada rakyat berkenaan dengan suara mereka yang selama ini berkeramat.

“Apa-apa pun kita masih menanti detik 13 Oktober dan segala keputusan pihak kami akan menerimanya dengan secara terbuka tanpa ada sebarang masalah.

“Kita juga telah mengaturkan beberapa pertemuan sesama kita dalam PH supaya perkara ini diutuhkan lagi bagi persediaan apa sahaja termasuk mengambil alih semula kerajaan ini.

“Apa yang penting adalah mandat rakyat serta kebajikan mereka terjaga dan terbela bukan membiarkan rakyat terus berusaha sendiri dalam keadaan ekonomi mereka yang semakin meruncing hari ini,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor ketika ditanya soal peralihan kuasa beliau memaklumkan pencapaian selama memerintah negeri Johor akan diteruskan bagi menjayakan misi mengutamakan rakyat Johor.

“Pengalaman dalam memerintah negeri dengan pencapaian yang baik dilakukan oleh kita akan terus digarap bagi membantu rakyat di negeri ini.

“Sekiranya peralihan kuasa itu berlaku di peringkat pusat dan Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kita di Johor turut bersedia meneraju semula negeri ini dan sudah pastinya pencapaian sebelum ini akan diteruskan,” katanya.

Menjawab pertanyaan berkenaan dengan penerimaan ahli-ahli Dewan Negeri (Adun) Johor di negeri ini, beliau menjawab pihaknya terbuka untuk membincangkan perkara tersebut.

“Kesediaan kita untuk berbincang dengan mereka yang mahu bersama PH boleh dilakukan. Apa yang penting adalah penerusan usaha memartabatkan rakyat perlu dijalankan segera bagi tujuan membantu mereka yang semakin tertekan,” katanya lagi.

Menurut rekod Dun di Johor mempunyai sebanyak 29 Adun Perikatan Nasional (PN) dan 27 Adun dari PH.

Tiada ulasan: