"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Untuk Terus Kekal Sebagai PM, Najib Wajib Cantas Orang Muhyiddin

Shahbudin Husin

Di ketika Najib begitu bersungguh-sungguh menyeru ahli UMNO agar bersatu, tidak melakukan sabotaj dan memberikan kemenangan dua pertiga kepadanya, beberapa pihak lain pula terus membuat ramalan dan kajian tentang keputusan pilihanraya akan datang ini.


Keputusan pilihanraya akan datang ini bukan saja menarik perhatian rakyat yang sedang berdebar-debar ingin mengetahui sama ada UMNO dan Najib akan terus kekal menguasai Putrajaya atau terpaksa menyerah kalah Pakatan Rakyat dan Anwar Ibrahim, tetapi juga turut menarik perhatian beberapa golongan cendekiawan dan pensyarah universiti.

Selepas beberapa pihak meramalkan kekuatan BN dan PR agak seimbang dan strategi di saat-saat terakhir mungkin mempengaruhi keputusan dan menenntukan siapa menang dan siapa kalah, mutakhir ini beberapa pensyarah universiti tampil dengan hasil kajian dan ramalan masing-masing.

Terbaru ialah Prof. Muhammad Abu Bakar daripada UM yang diketahui mempunyai pandangan kritis mengenai politik negara, secara terbuka meramalkan UMNO dan BN hanya mampu menang tipis saja dalam pilihanraya akan datang ini.

Beliau yang kerapkali diundang memberikan syarahan tentang politik dan kemasyarakatan serta pernah menjadi moderator wacana Sinar Harian juga berpandangan bahawa empat negeri yang sekarang dikuasai oleh PR akan terus kekal di bawah penguasaan pembangkang.

Tanpa menyebut secara tepat jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh BN, gambaran tipis yang dimaksudkan beliau secara logiknya tentunya tidak melepasi garisan dua pertiga dan jumlah 140 kerusi yang dimenangi dalam pilihanraya 2008 lalu.

Sebelum itu, Prof Dr. Samsul Amri Baharuddin dari UKM turut meramalkan bahawa berdasarkan kajiannya menunjukkan BN hanya mampu menang sebanyak 120 kerusi Parlimen sahaja.

Malaysia mempunyai 222 kerusi Parlimen dan kerusi minimum yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan ialah 112 kerusi.

Sementara itu, Dr Agus Yusof daripada UKM pula meramalkan UMMO dan BN akan menghadapi kemungkinan yang lebih buruk di mana beliau mendapati kerusi yang cukup selesa bagi BN hanyalah 96 sahaja.

Dalam masa yang sama, beberapa bulan lalu juga Merdeka Center turut membuat kajian tentang populariti Najib dan mendapati kedudukan PM hanya berada di kedudukan 69 peratus sahaja.

Jika kajian Merdeka Canter ini dikaitkan ramalannya ketika pilihanraya 2008 lalu yang mana ketika itu populariti Pak Lah berada di kedudukan 72 peratus dan hanya mampu menang sebanyak 140 kerusi, ramalan dan kajian tentang kemungkinan keputusan pilihanraya akan datang memberi keputusan lebh buruk sebagaimana hasil dapatan beberapa pensyarah dan cendekiawan itu jelas ada kebenarannya.

Bukan saja hasil kajian pensyarah-pensyarah itu, malahan keyakinan sebahagian besar rakyat juga mendapati jumlah kerusi yang munasabah mampu dimenangi oleh BN juga hanyalah dalam lingkungan 115 hingga 120 kerusi saja. Begitu juga jika UMNO dan BN kalah kerana terlalu banyak isu yang tidak selesai serta rakyat mahukan perubahan, mereka juga hanya kekurangan kurang daripada 10 kerusi.

Secara jelasnya, baik BN atau PR, jika mereka menang jumlah kerusi yang mampu dimenangi amatlah tipis dan hanya mempunyai kelebihan beberapa kerusi sahaja.

Dalam masa yang sama, melalui pengusaan media, kawalan terhadap jentera kerajaan dan keupayaan dari segi kemampuan wang ringgit, potensi untuk UMNO dan BN kekal sebagai kerajaan adalah lebih baik berbanding PR.

Najib, UMNO dan BN dipercayai akan memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada itu bagi mengelakkan mereka kalah dan kehilangan kuasa dalam genggaman.

Namun demikian, meskipun BN dilihat mempunyai sedikit kelebihan untuk mengekalkan kuasa berbanding PR, tetapi kedudukan Najib tetap tidak selamat.

Dengan hampir semua pihak meramalkan BN hanya mampu menang dengan tipis dan kelebihan kerusi yang kecil sahaja, Najib sebenarnya masih belum boleh tersenyum lagi.

Dengan hanya menang sekitar 115 atau 120 kerusi, kedudukan Najib tetap ibarat telur di hujung tanduk. Najib hanya selamat dan tidak dipaksa turun daripada kerusi PM jika beliau berjaya melepasi garisan dua pertiga atau sekurang-kurangnya berjaya menang lebih daripada 140 kerusi, iaitu jumlah kerusi yang dimenangi pada 2008 yang akhirnya menyebabkan Pak Lah terpelanting keluar dari Seri Perdana.

Cabaran Najib di dalam UMNO ialah Muhyiddin, timbalannya sekarang serta para penyokongnya. Jika Najib sekadar menang tipis, orang-orang Muhyiddin pasti menjerit meminta Najib berundur untuk digantikan dengan boss mereka pula.

Ini memang suasana yang normal dalam perebutan kuasa, lebih-lebih lagi dalam parti seperti UMNO yang sudah berakar dengan amalan kronisme. Jika selama ini kroni Muhyiddin agak berdiam diri serta mengalah kepada kroni Najib tetapi jika Najib goyah, tibalah giliran mereka pula untuk memanjat pokok kelapa dan mengutip habuan yang ada.

Dalam hal ini, selain menyeru ahli-ahli UMNO supaya kekal bersatu dan memberikan kemenangan dua pertiga kepadanya, Najib juga perlu bersiap sedia dengan Pelan B iaitu menyingkirkan seramai mungkin orang-orang Muhyiddin atau orang yang mungkin condong kepada Muhyiddin sebagai calon pilihanraya akan datang.

Najib tidak ada pilihan lain, beliau perlu memilih hanya orang-orang yang setia kepadanya saja sebagai calon pilihanraya nanti. Pengaruh Muhyiddin harus disekat dengan mengetepikan seramai mungkin orang-orangnya sebagai calon pilihanraya.

Sementara Najib perlu bersiap sedia dan menggunakan segala upaya yang ada untuk menghalang kemaraan Anwar dan PR, beliau juga perlu bersiap sedia menghadapi tentangan daripada dalam UMNO sendiri.

Kalau boleh jangan biarkan keluar suara-suara yang memintanya berundur jika UMNO dan BN sekadar menang tipis saja. Suara menyokongnya harus lebih kuat lagi ketika itu.

Kalah pilihanraya dan hilang jawatan PM memang pengalaman menyedihkan bagi Najib tetapi jika hilang jawatan PM di ketika menang pilihanraya tentulah jauh lebih memedihkan.

Tiada ulasan: