"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Muslim, hak asasi dan politik tudung

Oleh Haris Zalkapli

Dua isu besar dalam politik dunia — tetapi agak kurang mendapat perhatian— tercetus akibat politik di Eropah dalam tempoh beberapa bulan lalu: Kecaman Presiden Perancis Nicolas Sarkozy terhadap pemakaian hijab oleh wanita Muslim di negara itu dan pembunuhan seorang wanita berketurunan Mesir, Marwa al-Sherbini di Dresden, Jerman oleh seorang ekstremis.

Tidak seperti kes karikatur di akhbar Denmark beberapa tahun lalu, dua kes ini tidak menyentuh sensitiviti seperti kes karikatur itu, disebabkan ketersampaian rendah kepada berita itu di dunia Muslim dan ketiadaan usaha membina respons terhadap isu itu seperti dalam kes karikatur Denmark.

Apapun, berlakunya dua peristiwa itu di Eropah menimbulkan sesuatu yang wajar sekali diberi perhatian oleh aktivis politik dan masyarakat sivil Muslim terutamanya. Dan lebih penting lagi, dua peristiwa itu diperhatikan bukan sebagai hanya tindakan keras atau ketidakadilan terhadap wanita dan minoriti, tetapi juga melalui perspektif yang lebih besar.

Dalam wacana hak asasi manusia dunia, hampir menjadi satu konsensus bahawa pemakaian tudung atau hijab dibaca sebagai lebih daripada pilihan pakaian seorang wanita, tetapi sesuatu yang terzahir daripada dasar politik dan budaya yang tidak progresif.

Apabila isu wanita ditimbulkan melibatkan masyarakat Muslim, hampir pasti isu berkenaan akan diletakkan di bawah tajuk besar “penindasan terhadap wanita” yang berdasarkan pada agama.

Isu penindasan wanita juga menjadi satu topik yang menjadi tumpuan aktivis hak asasi wanita di Barat. Jika dilihat di kedai-kedai buku, topik mengenai penindasan wanita di negara-negara boleh memenuhi satu ruang yang agak besar di sebuah rak.

Ini membuktikan kedudukan penting topik ini dalam wacana hak asasi manusia Barat. Pada masa sama, kumpulan-kumpulan wanita di negara majoriti Muslim yang berkongsi pandangan dengan para aktivis Barat juga melakukan usaha yang sama.

Hal ini dapat dilihat semasa kekuasaan Taliban di Afghanistan. Pihak Taliban menjadi sasaran sebahagian besar media Barat dan seluruh dunia. Pada masa itu, Taliban menjadi “villain” utama dalam drama politik dunia.

Secara konsisten dan berterusan, kumpulan wanita di Barat menggerakkan kempen menyerang Taliban dan fahaman yang dipegang mereka. Ini jelas menunjukkan kesatuan dan susunan gerakan yang efisyen pihak terbabit, walaupun kebenaran apa yang mereka sampaikan banyak yang boleh dipertikaikan.

Begitu juga dengan kes Darfur di Sudan, yang dengan mudah dapat diletakkan di bawah tajuk penindasan terhadap wanita. Kes-kes rogol oleh militia yang dapat dikaitkan dengan kerajaan yang dikuasai oleh sebuah gerakan Islam berjaya ditonjolkan sebagai penindasan terhadap wanita yang berdasarkan fahaman agama.

Dalam naratif kisah-kisah di atas dan banyak lagi kes lain, apa yang paling mudah dibaca walaupun tanpa mengetahui perincian kes-kes tersebut ialah betapa tidak selarinya agama Islam dengan pembebasan wanita.

Ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa ramai aktivis hak asasi Muslim berkiblat ke Barat dan menerima hampir semua wacana Barat membabitkan isu wanita dan hak asasi manusia.

Di Malaysia, hal yang hampir sama dapat diperhatikan pada Sisters in Islam, yang hanya bersedia diwawancara oleh media tertentu dengan hasil wawancara yang kelihatan seperti telah disediakan lebih awal, tanpa soalan-soalan kritikal yang sukar dijawab.

Kumpulan ini juga, dalam wawancara terbabit, cenderung untuk mengemukakan kes-kes paling buruk melibatkan lelaki, seperti pencapaian akademik yang sangat buruk berbanding pelajar perempuan dan pelbagai kes lain.

Hal yang sama tidak dapat dilihat di dunia Muslim melibatkan aktivis Muslim. Kes-kes seperti pembunuhan Marwa di Jerman dan sikap Sarkozy terhadap pemakaian hijab tidak mendapat respons tegas daripada aktivis Muslim.

Ini mungkin mempunyai kaitan dengan fokus yang sangat sedikit diberikan oleh aktivis Muslim atau gerakan Islam kepada isu-isu wanita. Dan perlu diakui juga, dalam banyak gerakan Islam termasuk di Malaysia, peranan dan kepimpinan wanita agak tidak diberi perhatian, sesuatu yang mungkin disebabkan oleh wacana agama gerakan Islam itu.

Isu wanita masih menjadi sesuatu yang marginal dalam gerakan Islam, seperti juga isu membabitkan alam sekitar. Sekiranya disentuh, ia biasanya hanya berlaku pada tahap yang tidak mendalam, dengan hanya disertakan beerapa petikan ayat al-Quran dan sedikit ulasan.

Sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, dapat dikesan perhatian yang sangat sedikit diberikan kepada isu wanita oleh gerakan Islam. Dalam banyak kes, jawapan atau respons yang diberikan mendedahkan pemahaman yang kurang berhubung isu terbabit, serta menunjukkan ketidakupayaan gerakan Islam untuk bercakap dalam bahasa hari ini, seperti yang difahami kebanyakan orang.

Isu berkaitan wanita tidak seharusnya dimonopoli Barat yang masyarakatnya sendiri menyaksikan satu paradoks berhubung kebebasan wanita. Masyarakat Barat sendiri, malah dalam kalangan feminis sendiri, masih banyak isu yang menyaksikan jurang yang sangat luas, dengan pemahaman dan penerimaan berbeza terhadap isu-isu melibatkan wanita.

Malah, kenyataan Sarkozy telah mendedahkan prejudis yang seolah-olah dimaafkan atau dibenarkan di Barat, kerana ketidakadilan itu melibatkan masyarakat yang lain, yang hampir tidak berhak mendapat hak seperti sebahagian besar masyarakat.

Aktivis Muslim dan gerakan Islam sendiri perlu meningkatkan wacana mereka berhubung isu wanita, untuk membina pemahaman yang lebih sofistikated terhadap isu penting ini. Melalui usaha inilah mereka akan dapat memberikan respons sewajarnya kepada isu-isu wanita.

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: