Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Krau akan memberi sokongan penuh terhadap penganjuran demonstrasi mansuhkan ISA oleh GMI pada 1 Ogos 2009 nanti. Begitulah yang diutarakan oleh Ketua Cabangnya, Saudara Suhaimi Said.
Suhaimi pernah dua kali ditahan ISA, iaitu pada tahun 1985 dan pada Operasi Lalang 1987. Dalam kenyataan sokongannya, Suhaimi juga bersyukur kerana kini rakyat telah begitu menyedari akan kezaliman di sebalik perlaksanaan ISA ini.
Berdasarkan pengalaman peribadinya, Suhaimi menjelaskan bahawa tuduhan mengancam keselamatan negara hanyalah rekaan parti pemerintah sahaja. Beliau semasa ditahan pernah dituduh membawa ajaran syiah semata-mata kerana ada tulisan “IRANFORMER” di barang permainan anaknya, sedangkan itu adalah tulisan anaknya yang baru belajar menulis, yang mahu menulis perkataan “TRANSFORMER.” Kerana ini beliau dianggap menyokong Iran yang baru menang revolusi ketika itu, dan didakwa menentang Arab Saudi.
Yang lebih melucukan, Suhaimi menambah beliau juga pernah dituduh berjuang mempertahankan minyak sawit Malaysia dan menentang minyak kacang soya. Rupa-rupanya di Malaysia ini mempertahankan produk negara sendiri juga menjadi satu kesalahan di bawah ISA, seloroh Suhaimi.
Suhaimi, yang ketika ditahan ISA itu adalah aktivis PAS turut dituduh mengkafirkan Umno, padahal bukti yang ada di tangan polis yang menangkapnya menunjukkan yang sebaliknya.
Yang sebenarnya, Suhaimi yang juga seorang peguam, menjadi perhatian parti pemerintah dan pihak polis ketika itu kerana beliau secara cergas masuk-keluar kawasan penempatan Felda bagi mengajak dan membantu peneroka dalam menuntut hak mereka mendapatkan Suratan Hakmilik Individu apabila mereka berjaya melunaskan hutang mereka dengan Felda. Tuntutan ini sangat popular pada tahun 80-an dan kerana kerja keras Suhaimi, PAS ketika itu berjaya membuka banyak cawangan di Felda-Felda seluruh negara.
Oleh kerana gerakan yang dibuat Suhaimi ini, Umno mula kehilangan banyak sokongan dari kawasan-kawasan penempatan Felda, yang sepatutnya menjadi kubu terakhir Umno bagi mendapatkan sokongan orang-orang Melayu. Inilah sebab sebenar beliau ditahan, tegas Suhaimi.
Bahkan dalam salah satu penahanannya, beliau ditahan hanya beberapa hari sebelum satu Seminar Peneroka-Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan diadakan di Darul Amin, Temerloh dengan jangkaan kehadiran tidak kurang dari 5000 orang pemimpin peneroka dari seluruh negara.
Sama ada 80-an, 90-an atau sekarang, ISA tidak lagi wujud sebagai instrumen preventif terhadap ancaman keselamatan negara, ujar Suhaimi. Ia wujud semata-mata sebagai ubat tidur paling mujarab, supaya rakyat terus tidak sedar, supaya rakyat terus tidak terjaga, ia preventif untuk ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan