"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Penjenayah musuh sebenar polis, bukannya pembangkang

Oleh Mohamad Sabu

KENYATAAN Perdana Menteri di hadapan pegawai-pegawai kerajaan di Putrajaya pada 27 Julai lalu amat dialu-alukan. Kerajaan akan menumpukan usaha membasmi jenayah jalanan sekarang dan pada masa akan datang. Kejadian rompak jalanan, rogol jalanan, peras ugut jalanan, pergaduhan jalanan, pembunuhan jalanan; kesemuanya amat menggerunkan rakyat.

Walaupun kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan untuk meningkatkan keupayaan pasukan polis, menambah anggota dan kelengkapan; saya yakin rakyat akan menyokong tindakan kerajaan. Peningkatan jenayah jalanan amat menggerunkan rakyat dan pelancong asing di Malaysia.

Kadang kala kita dapat melihat di hadapan mata kita wanita atau lelaki disamun beg tangan mereka. Kita hanya tergamam dan tidak boleh berbuat apa-apa. Mangsa hanya melepaskan kemarahan dengan memaki hamun dan kita hanya menjadi penonton kepada kejadian jenayah seolah-olah kita sedang menonton wayang di televisyen.

Pasukan polis yang tidak beruniform hendaklah sentiasa ditempatkan di kawasan-kawasan yang kerap berlaku jenayah yang pelbagai seperti di kawasan Chow Kit Road, Bukit Bintang, Brickfields dan bandar Klang yang kejadian jenayahnya tinggi. Polis yang berupaya akan bertindak segera menghadapi penjenayah dan orang ramai akan lebih rasa terjamin berada di kawasan sesak di Malaysia.

Sayangnya di Malaysia pasukan polis yang ramai digunakan untuk 'memerangi' parti-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak sehaluan. Majlis ceramah bukan suatu aktiviti jenayah, tetapi ratusan anggota polis ditempatkan di kawasan ceramah parti pembangkang.

Pada 25 Julai lalu saya dijadualkan berceramah di Taman Guar Perahu, Pulau Pinang. Setibanya di tempat ceramah saya melihat ratusan anggota polis pelbagai pangkat telah berada di pentas dan di sekitar tempat ceramah. Anggota polis lebih banyak daripada orang ramai yang mahu mengikuti ceramah.

Perkara seperti ini sudah puluhan kali saya alami sepanjang lebih 30 tahun saya terbabit dalam majlis penerangan politik. Saya lihat dalam majlis ceramah di rumah sahabat saya di Jelebu, ratusan anggota polis dihantar bagi menggagalkan ceramah tersebut. Mereka diarahkan bertugas sejak dari jam 2.00 petang hingga 3.00 pagi. Anggota polis yang menjaga mahkamah turut dilibatkan.

Apakah tindakan kerajaan ini tidak membazirkan waktu dan anggota polis? Seeloknya tenaga anggota polis ditumpukan untuk memerangi jenayah yang makin bermaharajalela. Badan politik hendaklah dipantau dan keamanan dijaga bukan untuk 'diperangi'.

Kerajaan mesti mengubah haluan dan tumpuan anggota polis supaya jenayah dan penjenayah menjadi musuh utama negara bukannya rakyat dan parti-parti politik pembangkang serta NGO. Kita sedia bekerjasama dan bersatu tenaga dengan mana-mana pihak termasuk kerajaan untuk memerangi jenayah di Malaysia. Hidup demokrasi, perangi jenayah!

-detikdaily.net-

Tiada ulasan: