"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

UBN Najib Altantuya: Umno tertekan isu kematian Teoh Beng Hock

PERMATANG PAUH, 28 Julai: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Umno yang cuba untuk mengaburi mata rakyat dengan mengalihkan isu penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock kepada isu penghurmatan terakhir yang diberikannya kepada mendiang baru-baru ini.

Menurut Anwar kepimpinan BN dan Umno sedar bahawa rakyat semakin marah kepada mereka kebelakangan ini.

Oleh kerana itu maka jalan untuk mengalihkan pandangan rakyat yang negatif terhadap mereka digunakan dengan pelbagai cara termasuklah memperalatkan media arus perdana untuk kepentingan politik mereka.

"Mereka daripada BN dan Umno ini menyedari bahawa rakyat semakin marah dengan isu kematian Teoh Beng Hock yang diragui cara kematian beliau. Mereka juga semakin gentar apabila bekas pemimpin yang pernah menerajui MCA seperti Datuk Chua Jui Meng dan Datuk SS Subramaniam yang pernah menerajui kepimpinan tertinggi MIC menyertai Pakatan Rakyat.

"Penyertaan kedua-dua tokoh ini bersama-sama dengan penyokong mereka memberi tamparan hebat kepada kepimpinan Barisan Nasional. Oleh kerana ini telah menjadi satu isu apabila rakyat melihat sokongan kepada Pakatan Rakyat semakin bertambah, maka mereka daripada BN ini akan menjadikan isu seperti tindakan saya memberi penghurmatan terakhir kepada mendiang Teoh Beng Hock sebagai modal politik murahan mereka yang terdesak," kata Anwar.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, rakyat juga marah dengan ISA yang masih lagi menjadi pautan penting BN dan Umno untuk mengekang kemaraan dan sokongan yang diterima oleh Pakatan Rakyat.

Oleh kerana itu maka rakyat disarankan supaya bersama-sama dalam Gerakan Mansuhkan ISA yang akan diadakan pada 1 Ogos yang akan datang.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ceramah beliau di Kompleks Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang, Permatang Pauh.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Chua Jui Meng, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Tiada ulasan: