KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, timbul isu tentang kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia dan pelaksanaan puasa sunat sempena hari Arafah. Persoalan ini timbul kerana perbezaan hari dan waktu antara Malaysia dan Arab Saudi.
Perbezaan ini menimbulkan sedikit kekeliruan hari bilakah umat Islam boleh berpuasa sunat. Bagi menjawab kekeliruan itu Jakim telah mengeluarkan suatu kenyataan media melalui ketua pengarahnya, Datuk Haji Othman Mustapha.
KAEDAH PENENTUAN AIDILADHA DI MALAYSIA DAN PELAKSANAAN PUASA SUNAT SEMPENA HARI ARAFAH 1435H
Adalah dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin memaklumkan mengenai Kaedah Penentuan Aidiladha di Malaysia dan Pelaksanaan Puasa Sunat sempena Hari Arafah.
1. Kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia pada masa kini adalah berpandukan rukyah dan hisab negara sendiri yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja Malaysia dalam mesyuaratnya kali ke-164 pada 3 Februari 1994 setelah mendengar pandangan dan syor Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah pada 22 Ogos 1992.
2. Antara hujah Jawatankuasa Fatwa menyetujui penentuan Aidiladha berpandukan cerapan hilal Zulhijjah sendiri dalam muzakarahnya pada 22 Ogos 1992 dan 23 April 2002 adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 mengenai rukyah hilal untuk menentukan awal bulan yang bermaksud:
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keteranganketerangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, siapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah ia berpuasa, dan siapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka dan kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain…”
3. Juga hadith-hadith riwayat Muslim mengenai ibadah korban mesti dengan melihat hilal yang bermaksud: “Dari Umm Salamah bahawasanya Nabi SAW bersabda; ‘Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang mahu berkorban maka hendaklah dia (orang yang hendak melakukan korban) jangan memotong rambut dan kukunya’.”
“Dari Umm Salamah bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Apabila tanggal sepuluh (Zulhijjah) masuk dan salah seorang di antara kamu hendak menyembelih korban, maka janganlah dia menyentuh sedikitpun rambut dan kulitnya (yakni membuang rambut dan kulitnya).’
4. Begitu juga hadith riwayat Muslim mengenai hilal yang mempunyai matla’ (kawasan yang berada pada jangkamasa waktu-waktu terbit dan terbenam yang hampir sama) tertentu yang bermaksud, “Dari Kuraib bahawa Ummu al-Fadl telah menghantarnya menemui Muawiyah di negeri Sham. Kuraib berkata, ‘Aku tiba di Sham dan menunaikan hajatnya sedangkan perisytiharan tentang kelihatan anak bulan berkumandang di udara. Aku melihat anak bulan pada malam Jumaat, kemudian aku balik ke Madinah pada akhir bulan, pada masa itu aku ditanya oleh Abdullah bin Abbas yang menyebut tentang anak bulan.’ Katanya, ‘Bilakah kamu melihat anak bulan?’ Aku menjawab, ‘Kami melihat pada malam Jumaat!’ Ibn Abbas bertanya lagi katanya, ‘Adakah engkau sendiri melihat anak bulan itu?’ Aku menjawab, ‘Ya, orang lain pun melihatnya dan mereka itu berpuasa, Muawiyah turut berpuasa.’ Ibn Abbas berkata, ‘Kami di sini melihat anak bulan pada malam Sabtu, oleh itu kami terus berpuasa hingga kami sempurnakan 30 hari atau hingga kami melihat anak bulan Syawal.’ Aku bertanya, ‘Tidakkah memadai bagi kamu dengan penglihatan anak bulan itu oleh Muawiyah dan puasanya?’ Ibn Abbas menjawab, ‘Tidak! Beginilah caranya Rasulullah SAW menyuruh kami…’.”
5. Untuk penentuan awal Zulhijjah 1435H, kebanyakan negara di seluruh dunia telah mencerap hilal pada petang 24 September 2014 yang lalu. Antara negara tersebut termasuklah negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura yang lebih dikenali dengan MABIMS. Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah juga telah mencerap hilal Zulhijjah pada tarikh yang sama.
6. Tiada negara anggota MABIMS melaporkan telah berjaya mencerap hilal pada petang 24 September 2014. Di Malaysia, 29 tempat cerapan rasmi keseluruhannya melaporkan tidak berhasil mencerap hilal. Justeru, Malaysia dan kesemua negara anggota MABIMS telah menetapkan awal Zulhijjah pada 26 September 2014 seterusnya akan menyambut Aidiladha pada 5 Oktober 2014. Komuniti Islam di negara
yang menerima pakai keputusan cerapan hilal rantau MABIMS seperti Jepun juga akan menyambut Aidiladha pada tarikh yang sama. Di rantau Timur Tengah pula, Arab Saudi dilaporkan telah berhasil mencerap hilal Zulhijjah di kawasan sekitar Shaqra dan Sudair berdekatan dengan Riyadh seterusnya menetapkan wuquf di Arafah jatuh pada 3 Oktober 2014 dan Aidiladha pada 4 Oktober 2014.
7. Matla’ negara Malaysia yang berbeza dengan Arab Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal lebih tinggi di negara berkenaan. Perbezaan waktu antara kedua-dua negara adalah sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia.
8. Setiap negara hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla’ negara masing-masing. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini menjelaskan matan Minhaj al-Talibin oleh Imam al-Nawawi;
“Dan apabila dilihat hilal di sesuatu negara maka wajiblah hukum yang sama bagi negara berhampiran sebagaimana kota Baghdad dengan kota Kufah, tidak bagi negara yang berjauhan seperti negara Hijaz dengan negara Iraq”.
Maksud di dalam negara yang satu ialah matla’ yang sama. Bagi matla’ Malaysia adalah terletak di dalam matla’ Asia Tenggara. Oleh itu sewajarnya penentuan tarikh Aidiladha mengikut persetujuan Majlis Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama MABIMS.
9. Komuniti Islam di Jepun telah bertanyakan kepada negara Arab Saudi berkenaan sejauh mana kesahan matla’ hilal dalam menentukan awal Zulhijjah dan Aidiladha di tempat mereka. Kenyataan rasmi negara Arab Saudi memaklumkan supaya komuniti Islam di Jepun berhari raya dan berpuasa sunat sempena hari Arafah mengikut hasil cerapan hilal di Jepun atau pun negara yang sama matla’ dengannya seperti negara MABIMS. Oleh kerana itulah komuniti Islam di Jepun menerima pakai
keputusan cerapan hilal di Malaysia.
10. Al-Syeikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj menjelaskan kenyataan Imam al-Nawawi berhubung dengan berpuasa pada hari Arafah:
“Dan berpuasa pada hari Arafah itu adalah pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji…
11. Hakikatnya, bukan semua negara di dunia dapat berpuasa pada detik yang sama. Sekiranya semua orang ingin berpuasa Arafah pada detik yang sama dengan orang-orang di Arab Saudi Jumaat ini, maka
ketika orang-orang di Arab Saudi baru memulakan puasa, orang-orang Islam di Malaysia sudah lama memulakan puasa menghampiri waktu tengahari, orang-orang Islam di New Zealand sudahpun menghampiri waktu berbuka. Maka jadilah orang-orang Islam di New Zealand berpuasa Arafah jauh mendahului apa yang sedang berlaku di Arafah.
12. Ringkasnya, kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia yang berpandukan kepada cerapan hilal Zulhijjah sendiri dan tidak terikat dengan hasil cerapan hilal Zulhijjah Arab Saudi adalah tepat. Pun begitu, negara-negara atau rakyat Malaysia yang berada sekitar Arab Saudi atau negara-negara sebelah barat Arab Saudi (atas dasar imkanur-rukyah atau peluang kenampakan hilal menjadi lebih besar sebelah barat negara yang berhasil rukyah hilal) perlu beraya bersama
Arab Saudi.
13. Cadangan untuk menukar kaedah penentuan Aidiladha di Malaysia kepada berpandukan hari wuquf pernah dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 23 April 2002. Muzakarah membuat keputusan seperti berikut:
“Menolak Cadangan Penentuan Aidiladha Berdasarkan Hari Wukuf Dan Mengekalkan Kaedah Penetapan Aidiladha Di Malaysia Adalah Berdasarkan Kepada Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Berasaskan Sistem Imkanul Rukyah Kerana Kaedah Rukyah Anak Bulan Zulhijjah Lebih Sesuai Diamalkan Di Negara Ini.
14. Pelaksanaan puasa sempena hari Arafah di Malaysia bolehlah dilaksana pada 9 Zulhijjah negara bersamaan hari Sabtu 4 Oktober 2014.
---------------------------------------------------------
AHMAD MOUHYIDEEN HASYIM
Rakyat Islam Malaysia perlu berpuasa sunat Hari Arafah pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014 bersamaan 9 Zulhijjah 1435H walaupun hari Wukuf di Arab Saudi adalah pada hari Jumaat, 3 Oktober 2014. Begitu juga Hari Raya Aidil Adha perlu disambut di Malaysia pada hari Ahad, 5 Oktober 2014 bersamaan 10 Zulhijjah 1435H walaupun hari raya tersebut disambut di Arab Saudi pada hari Sabtu, 4 Oktober 2014.
Perbezaan ini adalah kerana Islam meraikan perbezaan tempat terbit matahari dan bulan (matla') di setiap negara. Perbezaan tempat dan waktu terbit ini akan menatijahkan perbezaan waktu dan hari. Malaysia mempunyai tempat terbit matahari dan bulan yang berbeza dengan Arab Saudi. Jika tarikh di Malaysia sama dengan Arab Saudi sekali pun, perbezaan waktu tetap berlaku. Usaha untuk menyamakan hari puasa sunat Arafah dan Hari Raya Aidil Adha di seluruh dunia adalah umpama ingin menyamakan waktu solat di setiap negara.
Selain daripada itu, maksud puasa sunat Hari Arafah pula ialah pada tarikh 9 Zulhijjah, bukannya semata-mata kerana ibadat Wukuf di Arafah. Jika dilihat kepada takrifan yang diberikan oleh Ulamak di dalam kitab feqah dan syarahan hadis Rasulullah s.a.w. tentang Hari Arafah maka mereka mengatakan Hari Arafah itu ialah pada 9 Zulhijjah sebagaimana yang terdapat dalam kitab 'Al-Kamus Al-Fiqhi', 'Mu'jam Lughah Al-Fuqaha', 'Al-Mughni libni Qudamah' dan lain-lain lagi. Bahkan terdapat di sana riwayat yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w berpuasa pada 9 Zulhijjah. Ia tidak merujuk semata-mata kepada ibadat Wukuf di Arafah. Riwayat tersebut telah diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad dan An-Nasaie serta telah disahihkan oleh Syeikh Al-Albani.
Hujjah yang menyatakan bahawa zaman sekarang mempunyai teknologi yang canggih tidak sepatutnya membawa kepada perbezaan tarikh di antara negara-negara Islam adalah tidak dapat diterima. Ini kerana secanggih mana sekali pun teknologi yang ada, ia tidak boleh mengubah tempat atau waktu terbit matahari dan bulan yang berbeza mengikut negara dan sekali gus tidak boleh mengubah perbezaan hari dan waktu.
Perbezaan menunaikan ibadat puasa sunat Hari Arafah dan menyambut hari Raya Aidil Adha di setiap negara tidak bermakna umat Islam dilihat berpecah. Kedatangan Islam bukan untuk menyatukan semua perkara bahkan ia meraikan perbezaan dalam perkara cabang agama. Perkara yang tidak boleh berlakunya perbezaan ialah dalam perkara prinsip dan usul.
Umat Islam mesti bersatu dan tidak boleh berbeza pandangan dalam pensyariatan Hari Raya Aidil Adha dan puasa sunat Hari Arafah kerana ia adalah perkara prinsip dan usul. Walau bagaimanapun, hari dan waktu untuk menunaikan ibadat tersebut yang berbeza mengikut tempat atau waktu terbit matahari dan bulan adalah merupakan cabang agama yang mesti diraikan.
Perbezaan ini menyerlahkan keindahan Islam kerana ia bersifat anjal dalam perkara cabang dan tegas dalam perkara prinsip. Ia adalah sesuai di setiap tempat dan zaman.
Penulis ialah Pengarah Operasi, Majlis Penyelidikan & Tafaqquh, Dewan Ulamak PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan