DR AZMAN IBRAHIM
TIBA di Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia, Amman kira-kira jam 10 pagi waktu Malaysia atau 4 pagi waktu tempatan, semalam.
Saya pasti nun jauh di tanah air sana, isu yang sedang hangat diperkatakan di mana-mana ialah kenaikan harga minyak yang kembali bertandang.
Ketika harga getah skrap merudum di bawah RM2 sekilo, harga kelapa sawit pula menjunam, rakyat pula dalam mood persiapan untuk menyambut Idul Adha, hadiah istimewa ini tiba. Ianya tentu sangat lumayan.
Memang sebagaimana dulu dan dulu-dulu juga, ini bukan kenaikan harga minyak tetapi hanya rasionalisasi subsidi. Perbelanjaan negara untuk subsidi minyak telah terlalu banyak lantas perlu dijimatkan supaya ianya dapat disalurkan kepada sektor-sektor lain yang lebih memerlukan. Sektor mana yang menerima manfaat dari penjimatan subsidi minyak? Entahlah...
Walau bagaimanapun, minyak kita masih lebih murah berbanding Singapura dan Thailand! Bermakna negara kita sebenarnya lebih baik dan kehidupan rakyatnya lebih makmur serta pemerintahnya lebih bijak menguruskan ekonomi negara!
Anehnya mengapa tidak pula dibuat perbandingan harga minyak dengan negara-negara serantau yang sama-sama memiliki khazanah emas hitam ini dari perut bumi mereka seperti Brunei dan Indonesia.
Membandingkan harga minyak di Malaysia dengan Singapura ibarat membandingkan harga rambutan di Kuala Berang, Terengganu dengan Tokyo!
Drama minyak ini telah bermula dari seminggu lalu apabila Terengganu, Pahang dan Kelantan dinafikan kononnya tidak memiliki minyak. Rupanya selama ini bila kita melintasi bandar Kerteh Terengganu dan melihat kawasan industri petroleum tersergam di kiri dan kanan jalan, kita sangka itu adalah pusat pemprosesan minyak tetapi rupanya kita ditipu. Hakikat sebenarnya ia adalah kawasan industri pemprosesan minyak gamat, bukannya petroleum!
Episod seterusnya dari drama minyak ini nyata lebih dramatik. Sebagaimana biasa, orang kampumg tak payah risau. Sekadar memiliki sebuah Honda Cub, bukannya makan minyak banyak. Naik pun 20 sen sahaja. Kalau biasa kita isi RM5, lepas minyak naik pun kita tetap boleh isi RM5, bukannya RM5.20! Apa mau bimbang? Naik motor pun sekadar untuk pergi ke kebun dan surau. Bukan banyak pun habis.
Bila minyak naik harga, fenomena BRIM akan terus kelihatan bersesak-sesak di stesen-stesen minyak. Beratur Ramai Isi Minyak (BRIM). Penuh sesaklah segala stesen minyak. Silakan isi, kemudian parking kereta dalam garaj, bungkus elok-elok dan pergi kerja naik motosikal atau naik bas. Itulah petua terbaik untuk penjimatan minyak kereta. Tak salah untuk dicuba. Saya yakin ianya berkesan.
Tentunya minyak sebagai nadi penggerak ekonomi, maka kenaikannya tak akan terhenti setakat itu sahaja. Ianya akan disusuli dengan kenaikan itu dan ini, barangan itu dan barangan ini, caj di sana dan di sini sehingga akhir sekali ramai yang akan naik minyak!
Tapi saya yakin, kerajaan tak perlu bimbang apa-apa. Fenomena rakyat naik minyak ini mudah saja diturunkan semula dengan sedikit gula-gula. Kesudahannya mereka tetap akan undi BN lagi.
Time getah naik harga, kelapa sawit naik harga, kita tak bising pulak, bila minyak naik harga sikit dah bising riuh rendah. Belajarlah bersyukur sikit! Inilah ungkapan yang biasa keluar dari mulut JKKK yang tidurnya berselimut dengan bendera kati.
Bumi Malaysia kami tinggalkan untuk sementara kira-kira pada jam 10.10 malam semalam menuju dalam rehlah panjang. Transit seketika di Bangkok menuju Amman, Jordan dan seterusnya Khortoum, Sudan.
Rasa rugi juga kerana tak sempat nak menikmati minyak dengan harga baru menjelang jam 12 tengah malam semalam. Apa pun syabas dan tahniah untuk rakyat Malaysia atas hadiah Hari Raya Haji ini.
Selesai misi kemanusian ini, kami dengan izin Allah akan kembali semula ke tanah air. Masa itu, bila ada jemputan ceramah, tentunya bayaran saguhati untuk duit minyak kena tebal sikit. Bukan salah penceramah, tapi salah tangan-tangan yang masih tegar memangkah BN!
Memang suara rakyat suara keramat, tapi kalau pesen suara pengundi yang percaya mati-matian dengan 'keris keramat' jawabnya makan kayu keramatlah kita.
Salam Eidul Adha dari Bumi Amman, Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan