ANUAL BAKRI HARON
Kehadiran Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam arena dakwah dan kancah politik di Malaysia sudah boleh kita anggap satu fenomena kerana meninggalkan sesuatu yang bersifat luar biasa.
Penampilan uniknya bersifat ajaib. Masyarakat tidak percaya akan adanya pemimpin Islam yang berwibawa seperti Tok Guru dalam tempoh lima puluh tahun ini.
Kehadirannya memukau khalayak dan kenyataannya sering dinanti. Pemergiannya juga terbukti ditangisi.
Cara kelompok yang menyatakan penghargaan ini boleh dilihat dari dua segi – ada yang menyatakannya secara berilmu dan ada juga yang teragak-agak.
Golongan yang teragak-agak ini tidak menolak dhamir untuk menulis tetapi memilih untuk mengambil sikap berpilih atau sinis, walaupun selepas Tok Guru diisytiharkan meninggal dunia.
Mereka ini tidak kenal dengan sosok ini, dan tidak pula arif dengan kandungan hal ehwal Islam itu sendiri.
Ulasan sinis boleh dilihat dalam lenggok tulisan yang berbagai di akhbar arus perdana. Tok Guru dilambung dalam pujian yang tinggi khususnya dari segi kewarakan beliau. Demikian juga dari segi kealiman dan adab.
Akan tetapi, mereka diamkan diri dari berbicara mengenai sumbangan Tok Guru dalam konteks politik dan pemerintahan berdemokrasi. Mereka seakan-akan tidak dapat menerima keadaan Tok Guru yang menyentuh denyut nadi siasah negara.
Pada mereka politik itu kotor walaupun mereka juga faham yang setiap yang kotor wajib dibersih. Mereka melihat Islam itu sakral dan wajib berada atau hanya diizinkan berlegar; di rumah-rumah suci.
Paling kuat, Islam kepada mereka harus dibenarkan beroperasi bebas seputar cawan yang berpiringkan pemerintahan raja berperlembagaan setakat yang diizinkan ruang demokrasi. Di sinilah letaknya ironi.
Setegasnya, bukanlah Tok Guru Nik Abdul Aziz jika tanpa pemikiran politik. Penghargaan ke atas beliau harus bersifat menyeluruh. Manakan adil jika kita menilai sebelah sahaja sedangkan sebelah lagi sengaja didiamkan, semata-mata untuk kerana tidak serasi dengan nafsu panel penilai?
Nilailah Almarhum secara keseluruhan. Jika tidak, dikhuatiri pengamatan itu sendiri rosak binasa. Analisis itu menjadi berat sebelah dengan piring neracanya amat mentereng ke kiri.
Siapa tidak senang atau lega dengan pengakuan pemimpin peringkat nasional di kebanyakan akhbar perdana dari 13 hingga 17 Februari yang berbunyi 'TGNA - pejuang ke akhir hayat' atau ‘saya sedih Tok Guru Dato’ Nik Aziz telah pulang ke rahmatullah'.
Ada juga kenyataan ramah yang lain berbunyi 'Kita kehilangan seorang pemimpin yang di hormati dan banyak menabur bakti kepada Islam, bangsa dan negara' dan banyak lagi.
Jika kita pinjam apa yang dinobatkan sebuah akhbar berbahasa Cina terhadap allahyarham, lebih dahsyat lagi! Beliau diistilahkan dengan ‘Yi Tai Zhong Si’ atau “Tok Guru sepanjang zaman”.
Bahkan, ada sebuah akhbar berbahasa Melayu yang menobatkan almarhum sebagai seorang “murabbi”. Anehnya pujian dari jenis ini tidak pernah dimunculkan di sepanjang hayat hidup Tok Guru .
Lebih ekstrem lagi, Tok Guru diharamkan memasuki kampus universiti untuk berucap dan berkata-kata. Almarhum dikepung ketika berceramah.
Almarhum pernah dihalang dengan keras oleh pihak berkuasa walaupun permit untuk ceramah telah dikeluarkan – namun dengan rendah diri Tok Guru meminta izin untuk sekadar berdoa.
Pernahkah ucapannya muncul di rangkaian televisyen dan radio sepanjang 23 tahun menjadi Menteri Besar? Jauh panggang dari api.
Ternyata ucapan lunak itu hanya satu sebuah sandiwara kerana beliau tiba-tiba diakui tentang ketokohan dan kejujuran - disahkan sebagai cukup berjasa oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed selaku pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan misalnya.
Tetapi inilah luar biasanya Malaysia.
Jika ada pojok dan komentar yang menghargai sumbangan dan memperakui kearifan Tok Guru di akhbar pula, ada kecenderungan untuk melarikan panji-panji pujian setelah dikibarkan sekerat jalan.
Legasinya cukup-cukuplah; jika boleh terhenti setakat ini. Ada yang kata, mari kita bicara nasib kita yang hidup dan tinggalkanlah yang sudah pergi. Yang pergi tetaplah pergi. Barangkali mereka bimbang kerana melihat Tok Guru masih berpengaruh walaupun tempoh pemergian allahyarham sudah genap seminggu.
Bagi yang sinis, mereka boleh menerima Tok Guru dalam wajah seorang ahli ilmu yang warak, ahli ibadah yang tekun dan seorang mukhlis yang jujur hatinya tetapi tidak sisi yang satu lagi. Maksud saya, sisi seorang Tok Guru sebagai daie atau pendakwajh yang mempercayai bahawa kuasa boleh menjaga agama.
Ulama atau gerakan Islam harus melibatkan diri dalam politik untuk bergulat dan sedia beradu lengan dengan saingannya dari parti aliran kebangsaan. Kepada beliau, Islam itu syamil dan kamil. Ia lengkap dan bukan sekadar ilmu tauhid dan feqah yang terpisah-pisah.
Ia juga bukan tasauf yang beruzlah dan harus menyendiri. Ia sejenis addin yang menyeluruh. Ia ugama yang bersifat praktikal menyentuh kuasa dan pemerintahan. Islam harus memerintah dan bukan sebuah agama pasif yang boleh dikurung mudah-mudah di madrasah untuk diatur, disuruh dan diperintah.
Saya masih ingat sekitar bulan Oktober di tahun 2006, saya pernah menulis bagi pihak beliau di sebuah pojok yang berbunyi kira-kira begini:
”Islam sebenarnya tidak hidup dengan nama. Dia sejenis agama yang hidup dengan pelaksanaan. Sebab itu, kerajaan Kelantan tidak suka buat banyak sarang. Dalam kerajaan itu sudah ada IKIM, Jakim dan segala-galanya. Kami laksanakan Islam melalui kerajaan Islam.
“Kami putuskan segala dasar, program, projek dan aktiviti berlandaskan Islam. Kami simpan duit kerajaan ke dalam akaun Bank Islam kerana Islam. Kami tutup kelab malam dan tolak bayaran lesen kedai judi dan tari menari walaupun kita sedar kita miskin kerana Islam.
“Kami galakkan rakyat tutup aurat kerana Islam.Kami nak laksanakan hudud dan buat sambutan Hari Hudud serta Bulan Sembahyang demi Islam. Kami anjurkan tazkirah Ramadhan dan didik rakyat kami dengan kuliah agama juga kerana Islam.
“Rakyat kami digalakkan berniaga dan hidup tolong menolong dan hormat menghormati sesama Islam dan sesama bukan Islam. Kami buat sekolah berpuluh juta ringgit kerana Islam. Buat jalan kerana Islam. Buat bandar baru kerana Islam dan lancar Ar-Rahnu dan Dinar Emas untuk kepentingan umat Islam.
Pendek kata, allahyarham Tok Guru tidak pernah keliru tentang penyertaan beliau di arena politik. Keyakinan beliau cukup terpancar melalui kata-kata di atas. Beliau acap kali menyebut kepada saya dan di mana-mana akan maksud firman Allah dari, Surah Al-A'raf, ayat 96:
“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan..”
Sisi wajah dan sosok tubuh rohani beliau yang sebeginilah yang sering menjadikan mereka yang sinis terhadap beliau menjadi teragak-agak. Nak dikatakan salah,tak salah. Nak dipuji, malu kerana Nik Abdul Aziz mewakili blok seteru.
ANUAL BAKRI HARON bekas setiausaha politik kepada allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk tempoh antara 1999 hingga 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan