HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Ramai di antara kita yang beranggapan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang yang tidak kaya-raya dan tidak pula miskin.
Bagi Aspan Alias, ini kerana Tok Guru berbelanja mengikut keupayaaan dan tidak banyak menggunakan wang rakyat untuk kepentingan keluarga dan peribadi.
Menulis dalam blognya, semalam beliau menyatakan tetapi akhirnya terbukti Tok Guru merupakan orang yang terkaya di antara pemimpin-pemimpin negara.
Berikut ialah tulisan penuh beliau.
Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) dihormati ramai sehingga akhir kalamnya. Sebabnya adalah ‘obvious’, iaitu kerana beliau seorang ulamak yang memainkan peranan membentuk dan landskap politik negara terutamanya sejaka 20 tahun terakhir dalam hidupnya. TGNA dianggap sebagai seorang yang merendah diri dan hidup begitu ‘simple’ dan beliau tidak memerlukan rumah yang besar seperti pemimpin-pemimpin UMNO dan sesetengah pimimpin PAS sendiri.
Di mana beliau tinggal sebelum memegang jawatan Menteri Besar di situ jugalah beliau duduk dan tinggal semasa memegang jawatan Menteri Besar itu. Bagaimana beliau berpakaian sebelum menjadi Menteri Besar begitu jugalah pakaiannya semasa dan sesudah menjadi Menteri Besar. Beliau tidak berubah cara hidup beliau walaupun beliau merupakan salah seorang pemimpin besar negara ini.
Beliau tidak ke sana ke mari dengan jet-jet mewah dan mempunyai isteri yang memegang pelbagai jawatan serta mempunyai pengaruh terhadap pimpinan beliau setiap masa. Malahan ramai yang tidak mengetahui nama isteri beliau. Di Singapura dahulu tidak ada siapa yang mengetahui nama isteri Lee Kuan Yew sampailah isterinya meninggal dunia, barulah namanya timbul. Itu pun sekarang ramai yang sudah lupa nama mendiang isterinya termasuk diri saya sendiri.u
TGNA tidak mempunyai kehidupan yang glamour tetapi beliau tetap pemimpin besar kerana beliau betul-betul memilih cara hidup yang wasatiyah seperti saranan Dato' Seri Najib. Akhirnya yang bercakap tentang wasatiyah membelanjakan wang rakyat dengan begitu boros dan TGNA yang tidak melaungkan istilah wasatiyah tetap hidup dengan wasatiyah yang sebenarnya wasatiyah.
Ramai di antara kita yang beranggapan TGNA adalah seorang yang tidak kaya-raya dan tidak pula miskin kerana beliau berbelanja mengikut keupayaaan beliau dan tidak banyak menggunakan wang rakyat untuk kepentingan keluarga dan peribadi beliau.
Tetapi akhirnya terbukti TGNA merupakan orang yang terkaya di antara pemimpin-pemimpin negara. Semasa kematian beliau dua hari lepas, terbukti yang TGNA merupakan pemimpin yang teramat kaya. Berita kematian beliau telah diterima dengan begitu terharu oleh rakyat tanpa mengira kefahaman politik dan bangsa dan budaya. Beliau dihormati oleh ramai manusia bukan sahaja dalam negara ini tetapi berita kematiannya diketahui umum di peringkat antarabangsa.
Inilah kekayaan yang sebenarnya yang setiap umat perlu cari. Mahu tidak mahu kita wajar menerima kenyataan yang TGNA merupakan pemimpin yang terkaya melebihi kekayaan yang ada pada pemimpin-pemimpin besar yang lain. TGNA telah menunjukan betapa fakirnya banyak pemimpin-pemimpin yang lain semasa kematiannya.
Saya begitu kagum melihat keramaian rakyat yang datang menziarahi jenazah beliau. Saya yang tidak berkesempatan untuk ke Kota Bharu hanya melihat lautan manusia yang membanjiri Kota Bharu di hari pengkebumian beliau. Inilah kekayaan pemimpin ini yang sangat terserlah dan boleh dilihat dengan mata kepala kita sendiri.
Dalam kehidupan ini, bagaimana kita memulakannya tidak begitu penting, tetapi yang paling penting ialah bagaimana kita mengakhiri kehidupan kita. Segala amal dan ibadah serta ubudiyah dan amal sedekah kita itu semata-mata untuk mencari kekayaan di dunia dan akhirat. Kita mahu mati dalam kalimah dan seterus berbahagia di alam yang kekal itu nanti. Bagi mereka yang berjaya untuk mencapai kekayaan ini, mereka adalah kekayaan yang sejati dan sebenarnya.
Kekayaan wang ringgit bukan lagi setaraf dengan kekayaan jiwa kita. Kita boleh menjadi orang yang kaya dengan wang ringgit tetapi jiwa mereka masih fakir dan tidak bernyawa. Bagi mereka yang kaya jiwanya boleh dianggap sebagai seekor ikan yang hidup bertahun-tahun dalam lautan masin yang dalam, tetapi tidak terpengaruh dengan keadaan masin persekitaran dalam lautan yang luas itu. Jika ikan yang hidup dan berjiwa ini dikeluarkan dari lautan yang dalam dan masin itu, ia akan tetap tidak masin dan terpengaruh dengan keadaan sekeliling yang mencabar itu.
Sebaliknya, jika kita kaya tetapi fakir jiwa, kita boleh dianggap sebagai ikan mati yang akan hanyut mengikut arus, atau dalam bahasa Inggerisnya ‘swimming with the flow’. Mereka ini ibarat ikan mati yang jika dimasukkan ke dalam air yang masin buat beberapa ketika dan dijemur, ikan itu akan menjadi ikan kering masin, kerana elemen masin itu telah meresap ke dalam ikan mati itu. Ikan masin kering ini selalunya akan terbuka matanya tetapi tidak bernyawa kerana sudah menjadi ikan masin yang akan digulai dan dimakan sebagai hidangan yang enak.
Kalau dilihat dari zahiriahnya ada tanda-tanda besar yang TGNA merupakan pemimpin yang sangat kaya, malahan lebih kaya daripada ramai pemimpin-pemimpin yang lain. Pembanjiran puluhan ribu manusia berbilang kaum di hari pengkebumian beliau tiga hari lepas jelas menampakkan bagaimana kayanya TGNA pemimpin politik dan masyarakat yang sangat popular itu.
Sesungguhnya TGNA adalah seorang yang paling kaya yang kita lihat dalam sejarah negara kita. Beliau kaya dalam erti hakikatnya yang sebenar.
Saya berdoa agar rohnya sebaris dengan roh-roh aulia, ambia-ambia serta syuhada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan